Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KETUA Polis Daerah Tangkak berdepan tindakan tata tertib berhubung kecuaian penyeliaan dalam penugasan yang membawa kepada insiden Long Tiger meloloskan diri dari Mahkamah Majistret Tangkak, Muar pada 15 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya turut membuka kertas siasatan terhadap dua pegawai iaitu Ketua Polis Balai dan seorang Inspektor bagi kesalahan yang sama.

Katanya, kertas siasatan tatatertib itu akan menghantar ke Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman untuk penilaian dan tindakan susulan.

“Di Johor, kita beri tumpuan khusus kepada aspek kebertanggungjawaban dan penyeliaan yang sepatutnya serta memeriksa lokap sama ada lokap di mahkamah atau lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau balai.

“Turut berdepan tindakan, seorang anggota polis berpangkat Koperal berusia 30 tahun dan seorang pegawai berpangkat Senior Asisten Komisioner yang terbabit dalam kecuaian menyebabkan kebocoran maklumat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana mendedah maklumat sulit, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara satu tahun atau denda RM1 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan seorang banduan lelaki Rohingya dikenali ‘Long Tiger’ atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 33, ditahan setelah didapati menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah.

Susulan tangkapan itu, tular beberapa gambar menunjukkan beberapa anggota polis membawa Long Tiger keluar di sebuah rumah dan hanya berseluar pendek berwarna putih setelah cubaannya melarikan diri gagal setelah jatuh ketika memanjat bumbung.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, pihaknya juga membuka siasatan terhadap pemilik akaun Facebook yang merupakan seorang bekas anggota polis mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Katanya, individu berusia 47 tahun yang berasal dari Klang itu dipercayai menularkan maklumat sulit atau gambar operasi yang diperolehi ke laman sosialnya.

“Hentikan tindakan menyebarkan, jangan terlalu ghairah mahu menularkan benda yang boleh mengganggu operasi polis, ini akan menjejaskan operasi susulan pihak polis,” katanya.

Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak, Johor sebelum perbicaraannya bermula pada 15 Disember lalu, pukul 11.55 pagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here