Category: Jenayah

  • Pesara awam wanita rugi RM1.63 juta ditipu ‘Sarjan Razif’

    Pesara awam wanita rugi RM1.63 juta ditipu ‘Sarjan Razif’

    SEORANG wanita yang merupakan pesara awam di Sibu kerugian lebih RM1.63 juta akibat sindiket ‘Macau Scam’ dalam tempoh dua bulan ini.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supt Dr Collin Babat berkata penipuan tersebut bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya ejen insurans pada 27 Okt lepas.

    Collin berkata pemanggil tersebut telah memberitahu mangsa dia mempunyai tuntutan insurans kemalangan yang masih belum diselesaikan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

    “Talian mangsa kemudian dipindahkan kepada individu mendakwa dirinya sebagai Sarjan Razif, yang memberitahu mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dari 2020 hingga 2021 dan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya,” kata Collin dalam satu kenyataan di Sibu hari ini.

    ‘Sarjan Razif’ kemudian menawarkan diri untuk membantu mangsa menyelesaikan kesnya tetapi mangsa perlu membuka dua akaun atas namanya untuk memberi akses kepada Bank Negara Malaysia menjalankan siasatan.

    “Mangsa kemudian membuka dua akaun berdasarkan arahan diberikan dan menyerahkan nama pengguna serta kata laluan kepada suspek,” katanya.

    Pada 10 Nov, mangsa memasukkan wang simpanannya ke dalam akaun tersebut untuk tujuan siasatan.

    Dia hanya menceritakan perkara itu dengan abangnya pada Selasa lepas dan diberitahu bahawa dia mungkin telah ditipu.

    Apabila menyemak akaun banknya selepas itu, mangsa mendapati 52 transaksi pengeluaran berjumlah RM1,638,943 telah dibuat dan membuat laporan polis keesokannya. – BERNAMA


  • Kes buli MRSM Muar: Polis tunggu arahan Bukit Aman

    Kes buli MRSM Muar: Polis tunggu arahan Bukit Aman

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    BAHAGIAN Pendakwaan dan Undang-​Undang (D5) Bukit Aman sudah menerima kertas siasatan melibatkan kejadian buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar awal bulan ini.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kejadian melibatkan lima pelajar itu dirujuk ke Bukit Aman kerana ia menjadi satu kes yang mempunyai kepentingan awam.

    “Ketika ini masih tiada sebarang tindakan pertuduhan dikenakan terhadap mereka selepas tamat tempoh reman namun siasatan kes yang berlaku di MRSM itu sudah lengkap dan kita sudah hantar hasil ke IPK Johor sebelum dipanjangkan ke Bukit Aman,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor 2021 di sini hari ini.

    Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan isterinya, Senior Asisten Komisioner Datin Zaleha Mohd. Ariffin yang juga Pengerusi Perkep Johor.

    Pada 16 Disember lalu, kelima-lima pelajar berkenaan direman bagi membantu siasatan kejadian buli terhadap seorang mangsa berusia 14 tahun yang mengalami kecederaan bengkak rusuk kiri.

    Kelima-lima mereka sebelum itu ditahan di sekitar Kuala Sungai Baru, Melaka; Kajang, Selangor; Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

    Zaharudin berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar kini sedang menunggu arahan selanjutnya berkaitan kes itu daripada Bukit Aman.

    Tambah beliau, siasatan yang dijalankan buat masa ini juga hanya hanya melibatkan lima pelajar berkenaan dan tidak melibatkan individu lain.

    “Lima pelajar tersebut merupakan wakil pelajar yang dilantik pihak sekolah dan kejadian dipercayai berpunca akibat ketidakpuasan hati antara suspek dan mangsa.

    “Ketika ini saya tidak dapat mengesahkan tindakan yang diambil pihak sekolah terhadap mereka kerana sekolah sedang bercuti,” ujarnya.

  • Operasi di Jeti Langkawi: Polis keluarkan 473 saman kepada penunggang motosikal

    Operasi di Jeti Langkawi: Polis keluarkan 473 saman kepada penunggang motosikal

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sebanyak 473 saman dikeluarkan polis terhadap 606 kesalahan dilakukan penunggang motosikal yang memasuki Langkawi semalam bagi meraikan sambutan tahun baharu, malam ini.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, selain itu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 104 notis dan menyita sebuah motosikal.

    “Sebanyak 1,200 motosikal diperiksa melalui tiga trip feri dari Kuala Perlis ke Langkawi, semalam. Satu daripada trip tersebut adalah pada waktu siang manakala dua lagi pada waktu malam.

    “Kebanyakan saman dikeluarkan atas kesalahan tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Sejak semalam tular di aplikasi Tik Tok memaparkan klip video penunggang motosikal terpaksa menolak motosikal masing-masing bagi diperiksa sebaik turun dari feri di Langkawi.

    Shariman menambah, kebanyakan penunggang motosikal itu datang dari Terengganu, Kelantan, Lembah Klang dan Johor Bharu secara konvoi.

    “Kesemua mereka turut diberi peringatan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan sepanjang berada di Langkawi,” katanya.

  • Tiada tangkapan baharu, kertas siasatan Long Tiger lari hampir siap

    Tiada tangkapan baharu, kertas siasatan Long Tiger lari hampir siap

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KERTAS siasatan melibatkan kes Long Tiger yang bertindak melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak di Johor, dua minggu lalu hampir selesai untuk dilengkapkan oleh polis.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya bagaimanapun sedia membuat permohonan reman tambahan sekiranya diperlukan bagi melengkapkan lagi siasatan terhadap lelaki berusia 32 tahun yang berketurunan Rohingya itu.

    “Sambung reman atau tidak, ini bergantung kepada siasatan kalau belum lengkap mungkin kita akan minta sambung reman dan keadaan ini juga bergantung kepada Majistret sama ada akan bagi reman tambahan atau tidak.

    “Tetapi saya rasa Insha-Allah, ‘more or less’ kita dah siapkan kertas siasatan, kes ini adalah ‘straight forward’ iaitu dia melarikan diri daripada tahanan. Kita akan lihat kalau tidak cukup, kita akan minta reman tambahan,” katanya.

    Ayob Khan berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor 2021 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

    Pada Selasa lalu, polis berjaya menahan suspek dalam buruan itu yang menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota polis.

    Seorang lelaki berperwatakan perempuan yang berusia 46 tahun turut dicekup dalam serbuan itu kerana disyaki bersubahat melindungi Long Tiger sebelum dua lagi lelaki ditangkap di Batu Pahat, tidak lama kemudian.

    Sementara itu, Ayob Khan berkata, jumlah tangkapan melibatkan kes terbabit masih kekal empat orang termasuk suspek utama Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid.

    Pada pukul 11.55 pagi, 15 Disember lalu, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan melibatkannya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan bermula.

    Ketika itu, dia juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.

    Dalam kes ugutan bunuh itu, Long Tiger yang sudah berkahwin tidak ditawarkan jaminan selepas pihak pendakwaan mengambil kira tertuduh dibimbangi boleh mengganggu saksi utama pendakwaan.

    Sementara itu, dalam tempoh dia melarikan diri, peguamnya, Datuk Sharudin Ali mengumumkan penarikan diri daripada mewakili lelaki itu di mahkamah dalam semua kes yang dituduh terhadapnya kerana sukar untuk mendapatkan arahan selanjutnya.

    Dalam kejadian sama juga, Ketua Polis Daerah Tangkak; Ketua Polis Balai Tangkak dan seorang Inspektor Ketenteraman Awam kini sedang dikenakan siasatan tatatertib atas kesalahan kecuaian dalam penyeliaan tugas.

  • TNB rugi RM2 juta angkara perbuatan curi elektrik untuk lombong bitcoin

    TNB rugi RM2 juta angkara perbuatan curi elektrik untuk lombong bitcoin

    SATU sindiket yang mencuri elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin terbesar di sekitar daerah Manjung, Lumur, tumpas semalam.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sindiket itu ditumpaskan dalam Operasi Bersepadu khas yang dijalankan selama 13 jam bermula pukul 9 pagi.

    Jelasnya, operasi itu melibatkan 154 pegawai dan anggota polis dibantu 15 juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta enam anggota bomba.

    “Sebanyak 30 rumah kedai diserbu dan 1,720 mesin bitcoin bernilai RM3.5 juta dirampas. Seorang lelaki berusia 28 tahun disyaki penjaga premis turut ditahan dalam operasi itu.

    “Lelaki berkenaan direman selama empat hari untuk membantu siasatan. Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 15 monitor, 22 unit pemprosesan pusat (CPU), 56 modem, sebuah komputer riba dan tujuh kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Lumut, hari ini yang turut dihadiri Pengurus TNB Perak, Mohd. Toha Abdul Manaf.

    Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, aktiviti mencuri sumber elektrik itu menyebabkan TNB mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM2 juta.

    Katanya, sindiket itu didapati menyewa di premis yang terlindung daripada orang ramai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan itu termasuk pemilik premis.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.

    Beliau menggesa orang ramai melaporkan sebarang kegiatan melombong Bitcoin secara haram kepada pihak polis untuk diambil tindakan.

  • Lelaki ditahan, dadah dalam kereta bernilai RM20,820 dirampas

    Lelaki ditahan, dadah dalam kereta bernilai RM20,820 dirampas

    POLIS menahan seorang lelaki dan merampas tiga ketulan ganja mampat serta 1,000 pil erimin 5 bernilai RM20,820 dalam kereta yang dipandunya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, pemeriksaan itu dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Wangsa Maju pada pukul 8.20 malam.

    “Seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 27 tahun ditahan di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta berhampiran restoran makanan segera di Bangunan M-City Jalan Ampang.

    “Pemeriksaan menemukan satu beg plastik hitam berisi tiga ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat 2,928 gram serta 100 helai aluminium foil mengandungi 1,000 pil yang disyaki dadah jenis erimin 5,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, suspek telah direman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Bomba selamatkan empat pendaki sesat di Gunung Lambak

    Bomba selamatkan empat pendaki sesat di Gunung Lambak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI empat pendaki yang sesat ketika mendaki Gunung Lambak, Kluang berjaya diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, hari ini.

    Muhd. Hakimi Bakar, 23, Nurul Zahidah Zamri, 24, Nornatasya Carena Ishak 23, dan Yazid Harith Syarul Anuar, 22, berjaya ditemukan selepas beberapa jam tersesat dalam hutan.

    Komander Operasi dari BBP Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Jusoh Mohd. Saleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 12.30 tengah hari.

    Susulan itu katanya, tujuh anggota dengan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.

    “Setibanya di tempat kejadian didapati empat mangsa tersebut tersesat dalam hutan sebelum ditemui dalam keadaan selamat. Pihak bomba bertindak menggunakan tangga untuk mangsa menyeberangi gaung sedalam 9.1 meter.

    “Mereka semuanya berjaya diselamatkan dan operasi tamat pada pukul 1.43 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • PDRM terima tujuh laporan kecurian semasa banjir di Klang Utara

    PDRM terima tujuh laporan kecurian semasa banjir di Klang Utara

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima tujuh laporan kes kecurian barangan milik mangsa banjir yang berlaku sepanjang bencana alam tersebut di kawasan Klang Utara bermula 18 Disember lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, kesemua laporan itu masih dalam siasatan pihaknya.

    “Bagi mencegah kegiatan kecurian itu, pihak polis melakukan pemantauan secara kerap di kawasan terjejas banjir.

    “Selain pemantauan dan rondaan cegah jenayah, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga harta benda masing-masing dan terus melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program gotong-royong memasak kepada warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang terjejas banjir, hari ini.

    Smentera itu, Vijaya berkata, pihaknya menerima sebanyak 8,622 laporan polis berkaitan banjir.

    “Setakat ini, kawasan di Klang Utara yang terjejas banjir telah pulih dan semua pusat pemindahan sementara ditutup sepenuhnya,” katanya.

    Mengulas mengenai program itu, beliau berkata, makanan yang dimasak secara bergotong-royong itu akan disumbangkan kepada 97 pegawai dan anggota yang terjejas banjir.

    “Saya bersama warga IPD Klang Utara memasak makanan tengah hari untuk disumbangkan kepada pegawai dan anggota terlibat.

    “Sekurang-kurangnya dengan apa yang dilakukan ini sedikit sebanyak dapat membantu pegawai dan anggota polis IPD Klang Utara yang terlibat banjir,” katanya.

  • Pegawai bank rugi RM104,000 ditipu ‘Sarah’

    Pegawai bank rugi RM104,000 ditipu ‘Sarah’

    SEORANG pegawai bank berputih mata apabila kerugian RM104,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa kad kredit miliknya terlibat dalam transaksi pembayaran Oversea Bitcoin, semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata kejadian kira-kira 9 pagi, wanita berusia 47 tahun itu menerima panggilan telefon daripada pihak bank yang memaklumkan terdapat transaksi daripada kad kredit mangsa berjumlah RM4,663 kepada Oversea Bitcoin dan kemudian panggilan disambungkan kepada wakil pihak Bank Negara bernama ‘Sarah’.

    “Sarah memberitahu terdapat transaksi atas nama mangsa serta menunjukkan laporan telah dibuat ke atas wanita itu lalu panggilan tersebut disambungkan kepada seorang lelaki yang memintanya mengemas kini pita magnetik pada kad.

    “Lelaki itu turut meminta mangsa senaraikan kad bank yang ada dan menyuruh wanita itu menukar nombor pin di mesin ATM. Mangsa juga telah memberikan maklumat yang diminta tanpa disedari ia adalah perbuatan Scam,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

    Jelasnya, mangsa yang mengesyaki dirinya diperdaya telah membuat semakan di bank tempatan pada hari sama dan mendapati terdapat pengeluaran sebanyak RM104,000 sebelum membuat laporan polis semalam.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati, tidak panik dan ambil masa untuk periksa kesahihan informasi yang dimaklumkan individu tidak dikenali.

    — BERNAMA

  • 804 penjawat awam termasuk polis, tentera, bomba terlibat dadah ditahan

    804 penjawat awam termasuk polis, tentera, bomba terlibat dadah ditahan

    TIMBALAN Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain mendedahkan, seramai 804 penjawat awam yang terlibat dengan kesalahan berkaitan dadah ditahan sejak 1 Januari hingga 30 November lalu.

    Menurut beliau, daripada jumlah tersebut seramai 346 pegawai dan anggota polis serta 104 anggota Angkatan Tentera Malaysia telah ditahan.

    “Kita turut 14 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat dan 340 daripada agensi serta jabatan kerajaan lain,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), hari ini.

    Razarudin berkata, jumlah tangkapan melibatkan penjawat awam membabitkan kesalahan dadah tahun ini menunjukkan penurunan berbanding 1,042 tangkapan tahun lalu.

    “Jumlah pegawai dan anggota polis yang ditahan pada tahun ini juga menunjukkan penurunan di mana seramai 408 telah ditangkap pada tahun lalu,” ujarnya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai jabatan Polis Diraja Malaysia termasuk Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) turut melakukan pemeriksaan mengejut seperti ujian air kencing terhadap semua pegawai dan anggotanya.

    “Masalah ini masih di tahap terkawal kerana kita sentiasa menjalankan pemeriksaan ke atas pegawai dan anggota polis.

    “Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dengan sebarang jenayah terutama melibatkan dadah tanpa rasa takut atau pilih kasih,” jelasnya.