Category: Jenayah

  • LPPR perlu lebih telus perinci kenyataan isu Azam Baki

    LPPR perlu lebih telus perinci kenyataan isu Azam Baki

    LEMBAGA Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) perlu lebih telus dalam memperinci dan melanjutkan siasatan terhadap kenyataan berkaitan isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    Rasuah Busters dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa kontroversi peribadi itu langsung tidak menyumbang kepada pemulihan institusi yang reputasinya sedang terjejas akibat dakwaan salah laku segelintir pegawainya pada waktu ini.

    “Rakyat ingin melihat wibawa moral SPRM sebagai badan yang berakauntabiliti dan boleh diharap bertindak segera untuk mencegah, mendakwa dan mendidik masyarakat.

    “Sebarang risiko yang menjadi penghalang kepada usaha mengembalikan integriti SPRM sebagai badan yang bebas wajar dikekang,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu menyebut #Rasuah Busters tidak akan bertoleransi dengan tingkah laku rasuah dan salah guna kedudukan yang mewujudkan apa jua potensi konflik kepentingan dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap badan yang seharusnya melindungi kepentingan rakyat dan pemegang taruh.

    SPRM harus bebas, sebagai badan profesional yang dihormati dan isu peribadi tidak wajar mengatasi kepentingan itu, menurut kenyataan tersebut sambil menambah konflik berkenaan tidak harus ditangani secara emosi. – BERNAMA

  • Azam Baki saman pengguna laman Twitter ‘Lalitha Kunaratnam’

    Azam Baki saman pengguna laman Twitter ‘Lalitha Kunaratnam’

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan telah memulakan tindakan undang-undang seperti yang ditegaskannya dalam sidang akhbar khas, semalam.

    Tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna laman Twitter dikenali sebagai ‘Lalitha Kunaratnam’ itu dilakukan kerana tuduhan palsu dan berniat jahat yang dibuat terhadap dirinya secara peribadi, keluarga dan SPRM.

    Azam dalam kenyataannya hari ini memaklumkan telah memulakan prosiding undang-undang terhadap Lalitha bagi melindungi kedudukan baik dan reputasi profesionalnya.

    Menurut Azam, tindakan tersebut diambil selepas mendapat nasihat peguamnya.

    “Saya mengulangi bahawa saya tidak akan teragak-agak untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang menyebarkan atau membuat dakwaan palsu dan berniat jahat terhadap saya atau ahli keluarga.

    “Saya memandang serius pelbagai tuduhan palsu dan berniat jahat yang dibuat terhadap saya secara peribadi, keluarga dan juga SPRM,” katanya.

    Terdahulu, Lalitha menerusi akaun Twitternya mengesahkan telah menerima surat tuntutan daripada Azam.

    Menerusi surat bertarikh 6 Januari itu, Azam mengemukakan surat tunturan menerusi firma guaman Zain Megat dan Murad.

    Surat tuntutan berkenaan berkaitan artikel dipercayai ditulis Lalitha yang mendakwa Azam mempunyai kepentingan dalam beberapa syarikat.

    “Saya telah menerima surat tuntutan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM. Terima kasih,” katanya ringkas dalam ciapan di Twitter.

    Dalam sidang akhbar khas semalam, Azam menegaskan tohmahan ke atasnya sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka untuk menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

    Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan, Azam berkata, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya. 

  • Geng Muruku rompak, samun apa sahaja termasuk curi haiwan peliharaan

    Geng Muruku rompak, samun apa sahaja termasuk curi haiwan peliharaan

    GENG Maruku yang aktif melakukan kegiatan jenayah antaranya kes samun rumah, samun kebun sayur, samun kedai runcit, samun kuil dan pasar raya tumpas selepas pihak polis menahan lima lelaki tempatan, kelmarin.

    Semua ahli geng tersebut yang aktif menyamun dan melakukan rompakan ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kuala Langat dan Bandar Baru Klang, Klang.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, geng tersebut dipercayai aktif merompak, menyamun dan mengambil apa sahaja termasuk haiwan peliharaan serta barang makanan.

    Menurutnya, polis menerima laporan daripada seorang pesara berusia 69 tahun yang bertugas sebagai setiausaha di sebuah kuil di Telok Bunut, Banting selepas rumah ibadat berkenaan disamun oleh suspek terbabit pada Isnin.

    “Dalam kejadian tersebut dua orang pekerja kuil mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat dipukul dengan kayu oleh suspek. Suspek menyasarkan kuil untuk merompak barang kemas yang digunakan ketika upacara sembahyang.

    “Barang-barang yang hilang berupa pasport, telefon bimbit, komputer riba, wang tunai RM7,800 serta barang kemas bernilai RM16,000 milik kuil,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, hari ini.

    Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua suspek dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Bandar Baru Klang sekitar jam 12.15 tengah malam pada Selasa.

    “Hasil soal siasat pada 4 Januari jam lebih kurang 4.45 pagi serbuan kedua dibuat dan berjaya memberkas tiga lelaki tempatan di kawasan Banting,” katanya.

    Katanya, pihaknya berjaya menemui barang milik mangsa dan sejumlah barang disyaki hasil kegiatan jenayah membabitkan beberapa kes pecah rumah, pecah kedai, pecah pejabat dan samun.

    “Pihak polis percaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes samun dan 10 kes pecah rumah di sekitar Banting, Kuala Selangor dan Klang.

    “Antara kes berjaya diselesaikan ialah pecah Pejabat Peladang pada 30 Disember dan beberapa kes samun rumah, samun kebun sayur, samun kedai runcit, samun kuil dan pasar raya daripada bulan Oktober 2021 hingga Januari,” katanya.

    Ahmad Ridhwan berkata, kesemua suspek yang berusia 18 sehingga 30 tahun didapati mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

    Tambah Ahmad Ridhwan, pihaknya sudah mengenal pasti seorang lagi suspek yang masih bebas dan usaha mengesan lelaki tersebut sedang giat dijalankan.

    “Suspek direman enam hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.

  • Bapa saudara parah dipukul kerana tegur anak saudara ambil ubat nyamuk

    Bapa saudara parah dipukul kerana tegur anak saudara ambil ubat nyamuk

    SEORANG lelaki cedera parah di kepala selepas dipukul anak saudaranya dengan kayu hanya kerana mengambil ubat nyamuk tanpa kebenaran, dalam kejadian di Kampung Tempoyak, Kota Bharu, pada Isnin lalu.

    Mangsa, 55, sempat berlari ke rumah adiknya berhampiran dalam keadaan berlumuran darah untuk memaklumkan kejadian menimpanya dalam
    kejadian pada pukul 11.30 malam itu.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, mangsa tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

    Katanya, ketika kejadian, suspek berusia 30 tahun datang ke rumah mangsa sebelum mengambil sekotak ubat nyamuk tanpa kebenaran.

    “Mangsa menegur suspek yang didakwa sering mengambil barangnya tanpa keizinan menyebabkan suspek berang dan terus memukul mangsa di kepala menggunakan sebatang kayu sebelum melarikan diri.

    “Mangsa yang merupakan seorang duda cedera parah dan berlumuran darah terus menuju ke rumah adiknya memaklumkan dia dipukul oleh anak saudaranya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya menahan suspek di tepi sungai di kampung yang sama pada 8.45 pagi tadi.

    “Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Tular ritual bertentangan dengan syariat Islam, Jakim teliti tindakan wajar

    Tular ritual bertentangan dengan syariat Islam, Jakim teliti tindakan wajar

    IBRAHIM Mat Zin atau nama gelarannya Raja Bomoh membuat laporan di Balai Polis Teluk Intan pada pukul 12.30 tengah malam tadi bertujuan menafikan upacara dilakukannya bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, Raja Bomoh mendakwa upacara itu tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

    “(Sebaliknya mendakwa ia) hanya mendoakan keselamatan semua penduduk supaya tidak berlaku banjir.

    “Laporan ini juga dirujuk kepada pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk siasatan pihak berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Terdahulu, video tular berdurasi 25.09 minit itu memaparkan seorang pengamal perubatan tradisional bersama-sama wanita melakukan ritual bagi menolak berlakunya banjir yang didakwa sebagai petua zaman dahulu.

    Ahmad Adnan berkata, susulan tularnya video ritual berkenaan, Ketua Polis Balai Teluk Intan sudah membuat laporan polis pada 4.30 petang semalam.

    Mengulas lanjut, katanya, upacara itu dilakukan di tepi Sungai Perak berhampiran sebuah kuil di Dataran Sungai Perak, Teluk Intan.

    “Laporan berkenaan juga sudah dirujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata,Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneliti tindakan sewajarnya dikenakan terhadap Raja Bomoh dan wanita terbabit.

    Beliau berkata, tindakan individu berkenaan jelas bercanggah dengan ajaran Islam selain terdapat unsur khurafat serta tahyul.

    “Saya sudah mengarahkan Jakim untuk meneliti apa sahaja tindakan yang sewajarnya kerana individu berkenaan sentiasa mencari publisiti sebegitu walaupun tidak mendapat sambutan.

    “Tindakan yang dilakukan itu jelas membawa unsur bercanggah dengan ajaran agama dan ada unsur khurafat serta tahyul dalam upacara itu,” katanya.

  • Dalang tragedi bot karam sudah dikenal pasti

    Dalang tragedi bot karam sudah dikenal pasti

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    HASIL perkongsian maklumat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kontinjen Johor dengan Polisi Republik Indonesia (Polri) berkaitan kegiatan penyeludupan migran membantu mengesan dalang kejadian bot karam di Kota Tinggi, pada 15 Disember lalu.

    Bagaimanapun, Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin berkata, butiran terperinci berkaitan perkara terbabit belum boleh didedahkan kerana dikhuatiri akan mengganggu proses seterusnya.

    “Polis Johor dan Polri sudah mengesan sindiket terbabit yang terlibat dalam kes bot pancung itu, kita sudah tahu siapa yang terlibat tetapi tunggu dahulu nanti kita maklumkan lagi.

    “Kita tidak boleh dedahkan secara berlebihan kerana proses seterusnya sedang dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

    Pertengahan Disember lalu, bot membawa 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia itu terbalik akibat cuaca buruk ketika dipercayai mahu mendaratkan migran terbabit di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi.

    Datuk Khaw Kok Chin

    Seramai 21 mangsa mati termasuk seorang yang meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi dalam insiden terbabit, manakala 13 terselamat dan 16 lagi masih belum diketahui status mereka.

    Sementara itu, Kok Chin berkata, seramai 1,460 PATI ditahan menerusi 137 serbuan Op Benteng sepanjang tahun lalu yang terdiri daripada 1,387 migran dan 73 tekong termasuk 30 warga tempatan.

    Menurut beliau, baki 43 tekong lagi terdiri daripada 40 warga Indonesia, dua orang Pakistan dan seorang warga Thailand.

    “Sepanjang tahun lalu, polis merampas tiga buah bot pancung, 22 motokar dan masing-masing satu van serta motosikal, selain 29 kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” katanya.

    Jelas Kok Chin, seramai lima ahli sindiket penyeludupan yang dikenali sebagai Geng Mat Piah dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan berada di pusat pemulihan khas selama dua tahun.

    Sementara itu, dalam perkembangan banjir di Johor, beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai orang hilang akibat bencana itu selain tiada kes kecurian melibatkan barangan mangsa yang kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

    “Kita juga mengesahkan tiada balai-balai polis di kawasan banjir dinaiki air kecuali Galeri Darurat Bukit Kepong di Pagoh, Muar tetapi tiada barangan yang rosak kerana ia dipindahkan lebih awal sebelum banjir,” katanya.

  • Long Tiger direman, kuarantin 2 minggu di Penjara Sungai Udang

    Long Tiger direman, kuarantin 2 minggu di Penjara Sungai Udang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LONG Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid ketika ini sedang menjalani proses reman penjara dan kuarantin selama dua minggu bermula semalam di Penjara Sungai Udang, Melaka.

    Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin berkata, lelaki berketurunan Rohingya itu akan habis menjalani tempoh tersebut pada 18 Januari ini dan selepas itu akan didakwa selepas mendapat arahan Pejabat Peguam Negara.

    “Pihak kita telah lengkapkan kertas siasatan dan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan pertuduhan atau sebaliknya.

    “Dia negatif Covid-19 cuma tahanan reman ini adalah prosedur reman penjara untuk kes mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

    “Selesai jalani reman, kita akan tuduh tetapi bergantung kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Selain itu, beliau berkata, lapan lagi rakan lelaki berketurunan Rohingya itu yang berusia 30-an hingga 40-an termasuk seorang wanita yang disyaki bersubahat dibebaskan dengan jaminan polis.

    Pada 28 Disember lalu, penjenayah paling dikehendaki dalam buruan polis itu ditangkap ketika bersembunyi di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah.

    Semasa tangkapan pada pukul 3.15 petang oleh polis Bukit Aman itu, Long Tiger mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah ketika cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

    Sementara pada 29 Disember lalu, keempat-empat mereka termasuk lelaki berperwatakan perempuan yang dicekup bersama-sama Long Tiger di Sungai Petani serta di Yong Peng, Batu Pahat, direman selama empat hari sehingga 1 Januari lalu.

    Long Tiger bertindak meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak melalui pintu hadapan pada 15 Disember tahun lalu ketika sedang menunggu proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 kerana pemerasan.

    Dia juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.

  • Polis cekup lelaki ugut anggota penguat kuasa MPKS

    Polis cekup lelaki ugut anggota penguat kuasa MPKS

    POLIS menahan seorang lelaki yang melakukan provokasi ke atas anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sehingga video perbuatannya itu tular dalam media sosial, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Bidara 6/3, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, kira-kira pukul 9 malam tadi.

    “Susulan kejadian itu, polis menerima satu laporan yang telah dibuat oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai anggota penguat kuasa MPKS pukul 9.49 pagi semalam.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Terdahulu, seorang lelaki bertindak mengugut dan menganggu tugas penguat kuasa MPKS akibat marah serta tidak berpuas hati dipercayai akibat disaman.

    Menerusi video yang tular itu, lelaki terbabit menghampiri penguat kuasa berkenaan dan beberapa kali menyatakan ingin menumbuk muka anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas. 

  • Rohingya minta sedekah atas jalan boleh diambil tindakan – PDRM

    Rohingya minta sedekah atas jalan boleh diambil tindakan – PDRM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ETNIK Rohingya yang terlibat dalam kegiatan meminta sedekah secara berbahaya di jalanan atau mengganggu orang awam, boleh diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) serta Akta Kesalahan-Kesalahan kecil.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, pihak polis tidak perlu menunggu laporan daripada mana-mana pihak untuk bertindak berhubung perkara itu.

    “Melalui laporan media pun kita boleh ambil tindakan. Macam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin katakan, undang-undang negara ini tidak tertakluk kepada warganegara saja sebaliknya tertapakai kepada sesiapa juga yang telah melakukan jenayah atau kesalahan kecil.

    “Oleh itu mereka masih tertakluk epada undang-undang. Saya tak perasan ada laporan atau tidak tetapi daripada laporan media pun kita boleh bertindak,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kedah Dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Kedah di IPK Kedah, hari ini.

    Pada majlis itu Datuk Kamarul Zaman Mamat yang akan bertukar menjadi Ketua Polis Johor menyerahkan tugas selaku Ketua Polis Kedah kepada bekas Timbalan Pengarah (Integriti), Jabatan Integriti Dan pematuhan Standard (JIPS), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Wan Hassan Wan Ahmad.

    Mengulas lanjut Razarudin berkata, pihaknya akan mengarahkan semua kontinjen serta Ibu Pejabat Daerah (IPD) bagi memberi perhatian terhadap perkara itu.

    “Selalunya kita lihat kejadian ini berlaku di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Biasanya mereka akan minta sedekah di kawasan-kawasan sesak termasuk di persimpangan lampu isyarat.

    “Apa pun kita sudah arahkan kontinjen-kontinjen dan IPD untuk beri perhatian,” katanya.

    Dalam pada itu beliau turut tidak menolak kemungkinan kegiatan meminta sedekah dalam kalangan warga Rohingya ini turut didalangi sindiket.

    “Kemungkinan itu ada namun saya tak boleh kata apa lagi. Mungkin lepas buat tangkapan atau siasatan, kita cuba kumpulkan risikan berkaitan perkara itu,” katanya.

  • Tular kes buli: Nasib 10 pelajar MRSM di tangan pendakwa raya

    Tular kes buli: Nasib 10 pelajar MRSM di tangan pendakwa raya

    POLIS telah melengkapkan kertas siasatan berhubung satu kes buli membabitkan 10 orang pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar bulan lepas.

    Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaakob berkata kertas siasatan kes itu telah dilengkapkan pada 17 Dis, dan diserahkan kepada pejabat pendakwa raya negeri Perak untuk tindakan seterusnya dua hari lepas.

    “Kes membabitkan 10 pelajar MRSM Kuala Kangsar ini telah selesai disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jadi sekarang ia di bawah (tindakan lanjut) pihak pendakwa raya,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini.

    Beberapa media sebelum ini melaporkan polis telah mengambil keterangan sembilan pelajar berusia 13 tahun dan seorang 15 tahun yang dipercayai terlibat dalam satu kes buli, susulan penularan video berdurasi 10 saat di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut. – Bernama