Oleh RAHIMI MOHAMAD

HASIL perkongsian maklumat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kontinjen Johor dengan Polisi Republik Indonesia (Polri) berkaitan kegiatan penyeludupan migran membantu mengesan dalang kejadian bot karam di Kota Tinggi, pada 15 Disember lalu.

Bagaimanapun, Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin berkata, butiran terperinci berkaitan perkara terbabit belum boleh didedahkan kerana dikhuatiri akan mengganggu proses seterusnya.

“Polis Johor dan Polri sudah mengesan sindiket terbabit yang terlibat dalam kes bot pancung itu, kita sudah tahu siapa yang terlibat tetapi tunggu dahulu nanti kita maklumkan lagi.

“Kita tidak boleh dedahkan secara berlebihan kerana proses seterusnya sedang dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Pertengahan Disember lalu, bot membawa 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia itu terbalik akibat cuaca buruk ketika dipercayai mahu mendaratkan migran terbabit di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi.

Datuk Khaw Kok Chin

Seramai 21 mangsa mati termasuk seorang yang meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi dalam insiden terbabit, manakala 13 terselamat dan 16 lagi masih belum diketahui status mereka.

Sementara itu, Kok Chin berkata, seramai 1,460 PATI ditahan menerusi 137 serbuan Op Benteng sepanjang tahun lalu yang terdiri daripada 1,387 migran dan 73 tekong termasuk 30 warga tempatan.

Menurut beliau, baki 43 tekong lagi terdiri daripada 40 warga Indonesia, dua orang Pakistan dan seorang warga Thailand.

“Sepanjang tahun lalu, polis merampas tiga buah bot pancung, 22 motokar dan masing-masing satu van serta motosikal, selain 29 kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” katanya.

Jelas Kok Chin, seramai lima ahli sindiket penyeludupan yang dikenali sebagai Geng Mat Piah dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan berada di pusat pemulihan khas selama dua tahun.

Sementara itu, dalam perkembangan banjir di Johor, beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai orang hilang akibat bencana itu selain tiada kes kecurian melibatkan barangan mangsa yang kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita juga mengesahkan tiada balai-balai polis di kawasan banjir dinaiki air kecuali Galeri Darurat Bukit Kepong di Pagoh, Muar tetapi tiada barangan yang rosak kerana ia dipindahkan lebih awal sebelum banjir,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here