Category: Jenayah

  • KKM rampas kit ujian COVID-19 diimport tanpa kebenaran

    KKM rampas kit ujian COVID-19 diimport tanpa kebenaran

    PIHAK Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan (KKM) menyerbu sebuah syarikat pemasaran produk kesihatan di Dataran Niaga Sungai Besi, hari ini dan merampas 1,530 kit ujian kendiri COVID-19 dianggar bernilai RM10,000 yang dipercayai diimport tanpa kebenaran.

    Memetik laporan BH, serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu dijalankan sepasukan 18 pegawai MDA bersama lapan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta dua anggota polis.

    Menurut Ketua Eksekutif MDA, Ahmad Shariff Hambali, serbuan dilakukan hasil risikan terperinci pihaknya susulan aduan terhadap syarikat terbabit.

    “Pemeriksaan mendapati syarikat ini melanggar syarat lesen dengan mengimport kit ujian kendiri COVID-19 tanpa kebenaran wakil yang diberi kuasa (AR) dan mengedarkan kit ujian tanpa kelulusan bersyarat daripada MDA.

    “Kita merampas 1,530 unit kit ujian kendiri COVID-19 membabitkan empat jenama dengan nilai keseluruhan dianggar RM10,000,” katanya.

    Ahmad Shariff menambah, kebanyakan kit ujian kendiri itu dijual kepada syarikat, klinik dan individu.

    Beliau memberitahu, syarikat itu dipercayai terbabit dengan pengedaran dan penjualan kit ujian berkenaan sejak April tahun lalu.

    “Keselamatan dan keberkesanan kit ujian yang dirampas itu tidak dapat disahkan dan dikhuatiri berisiko terhadap pengguna memandangkan pengimportan dan pengedarannya tidak mengikut keperluan ditetapkan MDA.

    “Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 19 (1) Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737), iaitu tidak mematuhi syarat dikenakan ke atas lesen establismen.

    “Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

    Ahmad Shariff berkata, pemegang lesen di bawah Akta 737 diingatkan sentiasa mematuhi ke semua syarat yang dikenakan ke atas lesen bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

    Menurut beliau, peruncit, penyedia perkhidmatan kesihatan dan orang awam dinasihat menyemak status lesen syarikat yang membekalkan peranti perubatan dan status pendaftaran sesuatu peranti perubatan.

  • ADUN Yong Peng umum bersara daripada politik

    ADUN Yong Peng umum bersara daripada politik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Chew Peck Choo membuat kejutan apabila menyatakan mahu bersara daripada politik selepas bergiat aktif selama kira-kira 20 tahun.

    Wakil rakyat DAP Johor itu berkata, keputusan tersebut dibuat bukan kerana mempunyai isu atau masalah politik.

    Jelasnya, persaraan itu juga dibuat atas pilihannya sendiri dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

    “Selepas terlibat dalam empat pilihan raya utama, saya membuat keputusan untuk tidak lagi terlibat dalam mana-mana pilihan raya atau kerja kempen.

    “Saya akan bersara daripada politik kerana mahu meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga.

    “Sebenarnya saya mahu buat keputusan bersara selepas kena strok ringan pada November 2108, kemudian 2020 sihat sepenuhnya dan sekarang baharu ambil keputusan bersara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Pengumuman persaraan ADUN DAP itu sedikit mengejutkan beberapa pihak memandangkan terdapat khabar angin bahawa akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam tempoh terdekat.

    Hari ini, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang turut membuat kenyataan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk bersara daripada politik sekiranya benar PRN Johor diadakan.

    Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tebrau dilaporkan berkata, sudah tidak aktif sangat dengan aktiviti bersama parti sebaliknya lebih banyak memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai exco kerajaan negeri.

  • Lagi bot pendatang asing karam, 5 lemas 3 masih hilang di Teluk Ramunia

    Lagi bot pendatang asing karam, 5 lemas 3 masih hilang di Teluk Ramunia

    LIMA pendatang asing warga Indonesia ditemukan lemas, manakala tiga lagi masih hilang dalam kejadian bot karam kira-kira satu batu nautika dari Teluk Ramunia, Pengerang, di Kota Tinggi, pagi tadi. 

    Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata dalam kejadian pukul 4.50 pagi itu, 19 orang lagi terdiri daripada 10 wanita dan sembilan lelaki, ditemukan selamat terapung di lokasi kejadian.

    “Dua mayat wanita ditemukan bersama dengan yang terselamat, manakala tiga lagi mayat wanita ditemukan kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi kejadian pada 7.30 pagi tadi,” kata beliau dalam satu kenyataan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Pengerang  hari ini. 

    Kesemua mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat, manakala yang selamat berumur antara 20 dan 40 tahun itu, dibawa ke Pos Angkatan Tentera Malaysia Tanjung Sepang, di sini. 

    Menurut beliau, bot kayu sepanjang 15 meter (m) dengan tiga enjin masing-masing berkuasa 200 kuasa kuda itu, dipercayai dari Tanjung Tondang, di Pulau Bintan, Indonesia dan mahu mendarat di Teluk Ramunia.

    “Difahamkan bot berkenaan boleh bergerak selaju 80 kilometer sejam dengan kapasiti 27 penumpang, manakala jarak dari Pulau Bintan ke Teluk Ramunia kira-kira 17.7km dan sempadan Indonesia/Malaysia kira-kira enam batu nautika yang boleh mengambil masa hanya setengah jam.

    “Kami percaya bot kayu berkenaan dipandu terlalu laju dengan ombak setinggi satu hingga 1.5m selain kelajuan angin, menyebabkan bot tidak stabil lalu karam,” kata beliau. 

    Terdahulu, menerusi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia telah mengesan bot yang mencurigakan sedang bergerak dari perairan Pulau Bintan, Indonesia, menuju ke perairan negara pada pukul 3.45 pagi sebelum memaklumkannya pada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

    TLDM kemudiannya mengesan bot berkenaan pada 4.10 pagi, bagaimanapun selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot dilihat dipandu terlalu laju sebelum karam di kedudukan 0.8 batu nautika Teluk Ramunia pada 4.50 pagi.

    Beliau berkata bot kayu itu kemudiannya ditemukan pada 9.30 pagi tadi di kedudukan satu batu nautika barat daya kuala Sungai Rengit, di sini. 

    Nurul Hizam berkata usaha mencari tiga mangsa lagi diteruskan, meliputi 50 batu nautika sektor pencarian di laut serta 20km pencarian di darat dari Tanjung Penyusup sehingga Pos Maritim Pengerang. 

    “Seramai 97 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi serta tujuh aset terlibat dalam Op Carilamat,” tambah beliau. 

    Insiden tersebut merupakan kejadian kedua bot karam dalam minggu ini melibatkan ramai pendatang asing lemas, selepas enam wanita warga Indonesia lemas manakala tujuh terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Pontian Besar Selasa lepas.

    — BERNAMA

  • Lelaki dicekup polis ketika leka proses air ketum

    Lelaki dicekup polis ketika leka proses air ketum

    SEORANG lelaki ditahan ketika leka memproses bahan untuk menjual air ketum dalam satu serbuan di Kampung Permatang Raja, Padang Gajah dekat Taiping malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Osman Mamat berkata, dalam serbuan pada 11.15 malam itu, pihaknya berjaya merampas air ketum bernilai kira-kira RM7,000 yang disimpan di dalam plastik dan tong untuk dijual di pasaran tempatan.

    “Semasa ditahan lelaki berumur 51 tahun itu sedang memproses bahan untuk menjual air ketum yang sudah dibotolkan.

    “Suspek, yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak, telah terlibat dengan kegiatan penjualan air ketum hampir empat tahun di kawasan itu sejak 2018,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping hari ini.

    Beliau berkata bekalan air ketum yang dirampas dijual pada harga RM10 seliter.

    Osman berkata, siasatan mendapati suspek memiliki empat kesalahan lampau berkaitan ketum dan ditahan reman tiga hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

    Katanya, polis telah menahan seramai 1,254 pengedar dan penagih dadah dengan nilai sitaan berjumlah RM657,632 sepanjang tahun lepas. – BERNAMA

  • Polis tahan tukang paip disyaki curi meter air, peralatan paip di Kota Bharu

    Polis tahan tukang paip disyaki curi meter air, peralatan paip di Kota Bharu

    POLIS  menahan seorang tukang paip di sebuah rumah di Jalan Sultanah Zainab di Kota Bharu yang disyaki terlibat dengan beberapa kes curi kepala paip dan meter air di belakang premis sekitar bandar itu, semalam.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata suspek yang berusia 30 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada pukul 4.30 petang, dan semasa ditahan polis turut menemukan meter air serta pelbagai peralatan membaiki paip bersama suspek.

    “Siasatan mendapati lelaki itu bekerja sebagai seorang tukang paip dan disyaki menggunakan peralatan yang dirampas untuk menjalankan kegiatannya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata suspek yang didapati positif dadah jenis Methamphetamin mengaku mencuri meter air serta peralatan paip di sekitar daerah Kota Bharu sejak setahun yang lepas, dan dia juga didapati memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan dadah di Pengkalan Chepa dan Pasir Mas.

    “Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

    — BERNAMA


  • Hak ADUN Perak untuk buat ujian air kencing kedua – polis

    Hak ADUN Perak untuk buat ujian air kencing kedua – polis

    ADALAH hak seorang Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Perak untuk membuat ujian kedua air kencingnya, selepas ujian pertama didapati mendapati positif dadah ketika ditahan di sebuah pusat hiburan di Perai, dekat sini 13 Jan lepas.

    Namun Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata pihaknya tidak boleh menguna pakai keputusan tersebut, walaupun ujian kedua air kencing yang dibuat oleh lelaki berusia 54 tahun itu, negatif.

    “Polis masih menunggu laporan patologi sampel air kencing ADUN itu bagi memastikan sama ada ia negatif atau positif, selepas dapat keputusan baru kita tahu macam mana (negatif atau positif), kami juga sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu.

    “Berdasarkan laporan berita, beliau telah membuat ujian kedua air kencingnya di sebuah klinik swasta dan ia negatif, itu adalah haknya (untuk buat ujian kedua), siasatan kami berdasarkan keputusan patologi yang dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga tiga bulan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Terence Naidu, mendakwa ujian kedua air kencing yang dilakukan di sebuah klinik swasta – Klinik 02 di Pulau Pinang didapati negatif.

    Peguamnya Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan hari ini di laporkan berkata ujian itu dilakukan pada 15 Jan lepas, sehari selepas dia dibebaskan dengan jaminan polis dan berdasarkan perkembangan tersebut, siasatan lanjut perlu dibuat oleh pihak polis dengan kadar segera, demi kepentingan dan keadilan kepada Terence.

    Mengulas lanjut, Mustafa Kamal berkata polis memang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu termasuk laporan polis dibuat ADUN tersebut, yang mendakwa minumannya telah dicampur dengan dadah dan ditambah semasa beliau ke tandas di ruang karaoke.

    “Polis menjalankan siasatan selengkap-lengkapnya sebelum kertas siasatan disiapkan, dihantar kepada DPP (Timbalan Pendakwa Raya) untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya juga masih menunggu laporan patologi 35 lagi individu, termasuk dua anggota polis yang turut positif ketika ditahan dalam serbuan pukul 9 malam tersebut.

    Dua anggota polis yang ditahan dalam serbuan itu adalah anggota polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Perak dan Pulau Pinang.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam di sebuah pusat hiburan di Perai itu, seramai 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah.

  • Jururawat rugi RM350,000 diperdaya ‘Datuk Nurul Huda’

    Jururawat rugi RM350,000 diperdaya ‘Datuk Nurul Huda’

    SEORANG jururawat wanita kerugian RM350,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa tidak membayar cukai pendapatan berjumlah RM55,800.82.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 53 tahun yang menetap di Pokok Sena itu dihubungi seorang individu yang mengaku daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan pembayaran selama 15 bulan.

    “Mangsa bagaimanapun menafikan perkara itu dan memberitahu dia tidak pernah membuka akaun syarikat perniagaan (SSM) dengan nama syarikat AR Maju Trading yang didaftar di Kelantan. Namun, individu terbabit kemudian meminta mangsa untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan untuk menafikan mangsa tidak terbabit dengan kes berkenaan.

    “Mangsa yang panik membuat panggilan itu dan disambung dengan ‘Datuk Nurul Huda Saleh’ dari IPK Kelantan yang kemudian meminta nombor Mykad mangsa untuk membuat pemeriksaan,” katanya seperti dilapor Astro AWANI.

    Beliau berkata, individu itu kemudian meminta mangsa memberi nombor kad ATM serta nombor akaun Tabung Haji dan akaun Bank Islam milik mangsa.

    “Mangsa menyedari ditipu selepas mangsa pergi ke Bank Islam cawangan Alor Setar untuk mengeluarkan wang dan terkejut apabila membuat semakan baki mendapati wang simpanannya berkurangan,” katanya.

    Semakan yang dilakukan mangsa mendapati wang sebanyak RM350,000 telah lesap.

    Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena, pada 18 Januari.

    Beliau berkata, berikutan itu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • 3 kes samun bersenjata parang, 4 lelaki ditahan

    3 kes samun bersenjata parang, 4 lelaki ditahan

    POLIS Melaka menahan empat lelaki berusia antara 32 dan 42 tahun dipercayai terbabit dalam tiga kes samun bersenjatakan parang di sekitar Ayer Keroh dan Batu Berendam di sini pada 9 hingga 15 Jan lepas.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, kesemua suspek ditahan dalam dua serbuan di sekitar Bukit Beruang dan Bukit Katil pada Selasa lepas.

    “Semasa tangkapan dilakukan, seorang suspek telah melarikan diri ke atas bumbung bangunan rumah pangsa empat tingkat namun berjaya ditahan.

    “Polis terpaksa meminta bantuan Bomba Ayer Keroh bagi menangkap lelaki tersebut yang bersembunyi di dalam tangki air di atas bumbung bangunan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kumpulan samun bersenjata itu terdiri daripada orang tempatan dan warga asing membabitkan kerugian wang tunai, telefon bimbit serta dokumen penting.

    Menurutnya, turut dirampas dua kenderaan, dua parang dan empat telefon bimbit dipercayai digunakan bagi kegiatan samun bersenjata itu.

    Christopher berkata, kesemua suspek direman sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 394, Seksyen 395/397 serta Seksyen 393 Kanun Keseksaan

    “Polis percaya dengan tumpasnya kumpulan samun bersenjatakan parang ini, tiga kes samun di daerah Melaka Tengah yang berlaku sejak awal Januari lepas berjaya diselesaikan.

    “Kami juga ingin mengingatkan bahawa sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi,” katanya. – BERNAMA

  • Seludup dadah melalui laut, modus operandi baharu di Terengganu

    Seludup dadah melalui laut, modus operandi baharu di Terengganu

    POLIS Terengganu mengesan modus operandi (MO) baharu penyeludup dadah iaitu melalui jalan laut di perairan negeri itu, setelah berjaya merampas 18.7 kilogram syabu bernilai lebih RM674,000 di Marang Ahad lepas. 

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata rampasan di tepi pantai di Kampung Rhu Kubur, Jambu Bongkok di Marang kira-kira 8 malam itu, adalah susulan daripada laporan awam yang menemukan satu guni dipercayai ditinggalkan tiga individu mencurigakan di kawasan itu.

    “Orang awam ini terlihat suspek sedang mengangkat sesuatu objek dengan tergesa-gesa, namun bila suspek ternampak orang awam, mereka melarikan diri dengan sebuah kenderaan dan meninggalkan satu guni di situ.

    “Orang awam itu kemudiannya memeriksa guni yang diikat dengan pelampung dan mengesyaki terdapat bahan terlarang di dalam guni tersebut lalu segera menghubungi pihak polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

    Beliau berkata pemeriksaan polis kemudiannya menemukan 17 peket yang berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu, dibungkus dalam plastik teh Cina, terdapat di dalam guni berkenaan.

    “Penyeludupan melalui jalan laut pesisir pantai ini bukanlah kelaziman di Terengganu, ini yang pertama kami kesan, jadi polis percaya ekoran operasi besar-besaran termasuk Op Benteng, ia telah mendorong suspek mengubah MO mereka.

    “Polis percaya guni berkenaan telah terapung selama beberapa hari (sebelum diangkut ke darat). Kami juga syak suspek menggunakan pesisir pantai ini sebagai transit sebelum mengedarkan dadah itu ke pasaran tempatan termasuk di luar Terengganu,”  katanya yang turut mengesyaki dadah itu diseludup dari luar negara.

    Menurut Rohaimi syabu itu dianggarkan boleh menampung lebih kurang 94,000 penagih.

    “Setakat ini belum ada tangkapan, semua ketua polis daerah yang mempunyai pesisir pantai sudah diminta untuk melakukan risikan lanjut dan bekerjasama rapat dengan masyarakat setempat dan meminta mereka melaporkan segera kepada polis jika terdapat sebarang kegiatan mencurigakan,” katanya.

    Beliau berkata lokasi kejadian yang gelap dan jauh dari kediaman penduduk merupakan antara faktor yang dipercayai mendorong suspek melakukan kegiatan jenayah di kawasan terbabit.

    “Mungkin selepas ini kami boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan supaya memasang lampu di kawasan atau spot yang kami syaki berpotensi berlaku kegiatan jenayah,” katanya.

    — BERNAMA

  • Sanggup disuntik air suling untuk dapatkan sijil vaksinasi – polis

    Sanggup disuntik air suling untuk dapatkan sijil vaksinasi – polis

    POLIS Terengganu mendedahkan terdapat individu yang sanggup disuntik dengan air suling asalkan dapat memperoleh sijil vaksinasi COVID-19 daripada seorang doktor klinik swasta yang didakwa melakukan kegiatan itu di Marang.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan 23 individu daripada pelbagai latar belakang, yang kesemuanya telah memiliki sijil vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera, namun mengakui tidak mendapatkan suntikan sebenar.

    “Ada di antara mereka mengaku mengambil suntikan air suling atau air garam dengan alasan kononnya mereka tetap mendapatkan suntikan cuma tidak mengandungi vaksin COVID-19,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan siasatan membabitkan kes seorang doktor yang didakwa mengeluarkan sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar di klinik swasta di Marang.

    Katanya setakat ini, siasatan polis mendapati 1,223 nama individu yang berurusan dengan klinik berkenaan telah dihantar kepada pihak vendor untuk dikeluarkan sijil vaksinasi melalui MySejahtera.

    “Pihak klinik telah menghantar nama mereka kepada vendor untuk dimasukkan dalam MySejahtera, tapi polis percaya tak semua penama ini telah mendapatkan suntikan sebenar,” katanya.

    Rohaimi berkata pihaknya juga dimaklumkan bahawa sijil vaksinasi yang telah dikeluarkan klinik doktor berkenaan sudah disekat oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Tiada lagi kesahan pada sijil yang dikeluarkan oleh klinik berkenaan dan polis juga mendapat kerjasama daripada pihak majikan yang mengesyaki pekerja mereka terlibat dengan kes klinik itu.

    “Ada pelbagai kategori individu dipercayai terlibat termasuk kakitangan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat besar dan ada golongan yang tidak bekerja,” katanya.

    Pada 8 Jan lepas seorang doktor lelaki berusia 51 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pengeluaran sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar dengan mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM600.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tindakan selanjutnya oleh pihak pendakwa raya.

    — BERNAMA