Category: Jenayah

  • SPRM Johor tahan penolong akauntan, kes seleweng wang

    SPRM Johor tahan penolong akauntan, kes seleweng wang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang penolong akauntan kerana disyaki melakukan penyelewengan wang berjumlah hampir RM100,000.

    Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru pada pukul 3 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, pada 2016 hingga 2018, suspek yang bertanggungjawab dalam menguruskan akaun pejabatnya yang berpusat di sebuah daerah telah menyeleweng wang tersebut untuk kepentingan dirinya sendiri.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

    Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, jam 9 pagi esok untuk pertuduhan.

  • Suami isteri antara ahli sindiket edar dadah RM2 juta

    Suami isteri antara ahli sindiket edar dadah RM2 juta

    SEPASANG suami isteri berusia 30 dan 43 tahun merupakan antara empat individu yang ditahan polis Pulau Pinang kerana terbabit dalam sindiket pengedaran dadah melibatkan rampasan syabu bernilai hampir RM2 juta.

    Kedua-dua pasangan warga tempatan itu ditahan bersama dua lagi suspek dalam empat serbuan di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) antara 20 hingga 22 Januari lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sindiket itu tumpas selepas polis menahan suspek pertama iaitu lelaki berusia 43 tahun berkenaan di tepi jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam pukul 5 petang, 20 Januari lalu.

    Jelasnya, ketika ditahan polis menemukan tiga bungkusan plastik berwarna kuning disyaki dadah jenis syabu bersama suspek yang merupakan pemilik bengkel besi dengan anggaran berat kira-kira tiga kilogram (kg) bernilai RM113,832.

    Tambahnya, penahanam suspek pertama itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Bukit Mertajam yang mana seorang wanita yang juga isteri suspek ditahan.

    “Pemeriksaan di rumah itu juga menemukan sebanyak 20 bungkusan plastik berwarna kuning disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 20.8 kg bernilai RM748,000.

    “Selain itu, turut ditemukan adalah dua bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah ketamin seberat kira-kira 1.3 kg bernilai RM70,895 serta 23 bungkusan plastik yang mengandungi 58,750 biji pil eramin 5 bernilai RM881,250,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, hasil soal siasat ke atas suspek pertama, polis berjaya menahan dua lagi ahli sindiket itu dan merampas dadah jenis ketamin dengan seberat kira-kira 3.26 kg bernilai RM178,750.

    Jelas beliau, siasatan lanjut mendapati sindiket itu aktif mengedar dadah sejak tahun lalu dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

    Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek pula didapati negatif dadah, namun dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

    “Kesemua suspek kini direman sejak 21 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Selain rampasan dadah, kita turut menyita lapan buah kenderaan, barang kemas, wang tunai dan wang di dalam akaun dengan nilai keseluruhan sitaan RM1.31 juta,” katanya.

  • PRN Johor:11,000 anggota polis bertugas

    PRN Johor:11,000 anggota polis bertugas

    Oleh ABU BAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 10,000 hingga 11,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas bagi memastikan kelancaran pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah itu termasuk pegawai yang melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan juga dari Bukit Aman.

    “Pihak polis kini menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam PRN Johor.

    “Secara kasarnya, kita memang sudah melakukan persiapan melibatkan jumlah anggota dan juga dalam mengenal pasti lokasi panas yang akan menjadi tumpuan” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, pihaknya juga sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau pelbagai platform media sosial sepanjang tempoh PRN Johor bagi memastikan tidak disalah guna.

    “Memang ada pasukan khas untuk pantau media sosial dan meneliti pelbagai fakta dan komen yang dibuat masyarakat, ini bagi memastikan tiada penyebaran maklumat palsu berlaku,” katanya.

    Pasukan khas itu katanya, akan melibatkan pegawai dan anggota yang mahir dalam bidang teknologi maklumat dari pelbagai jabatan dalam PDRM.

    Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya menyediakan keanggotaan mencukupi bagi PRN itu dan penyusunan gerak kerja berikutnya dilaksanakan oleh ketua polis negeri. 

    DUN Johor dibubarkan pada Sabtu selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan pada kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan
    mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

    Mesyuarat itu bagi akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

  • Bot rekreasi beroperasi tanpa lesen sah, insurans luput

    Bot rekreasi beroperasi tanpa lesen sah, insurans luput

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot rekreasi yang beroperasi tanpa lesen sah dan insurans yang telah tamat tempoh semalam.

    Bot itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia Pulau Pinang di kedudukan 0.65 batu nautika utara Tanjung Huma kira-kira pukul 1.05 petang ketika sedang melakukan aktiviti rekreasi iaitu menarik penumpang dengan payung terjun.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, ketika ditahan bot yang menggunakan nombor pendaftaran PPP 03474X itu dikendalikan dua kru warga tempatan berusia 49 dan 53 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati bot rekreasi itu sedang beroperasi tanpa mempunyai lesen yang sah dan insurans yang telah tamat tempoh.

    “Sehubungan itu, bot serta kru terbabit telah ditahan dan dibawa ke ibu pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bot rekreasi yang ditahan Maritim Malaysia.

    Menurut Abd. Razak, kes itu akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang tanpa lesen yang sah dan insurans tamat tempoh.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengusaha-pengusaha aktiviti rekreasi di laut supaya mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

    “Orang ramai serta komuniti maritim diseru memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya.

  • PGA rampas 2.2 juta batang rokok putih bernilai RM1.6 juta di Kota Bharu

    PGA rampas 2.2 juta batang rokok putih bernilai RM1.6 juta di Kota Bharu

    BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas 2.2 juta batang rokok putih bernilai RM1.6 juta termasuk cukai yang disembunyikan di kawasan semak di Kampung Lundang Paku, di Nilam Puri di Kota Bharu, awal pagi semalam.

    Pegawai Pemerintah PGA8, Supt Mat Shukor Yusof berkata rampasan pada 3.30 pagi itu dilakukan selepas sepasukan anggotanya mengesan dua kenderaan jenis Pajero dan Proton Exora yang mencurigakan di kawasan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di Kota Bharu.

    “Menyedari diekori, kedua-dua kenderaan tersebut dipandu laju ke Kampung Lundang Paku hingga gagal dikesan, namun anggota kami menemui kesan tayar kenderaan tersebut di kawasan semak.

    “Pemeriksaan lanjut menemui timbunan 220 kotak besar berisi rokok putih jenama John disembunyikan di dalam semak dan dipercayai untuk diedarkan secepat mungkin ke kawasan lain,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Markas PGA8 Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

    Mat Shukor percaya rokok tersebut diseludup masuk melalui jalan laut sebelum diedarkan ke pasaran tempatan di sini.

    Katanya, kesemua rokok yang dirampas diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

    — BERNAMA

  • Broker kemuka matan palsu berkaitan kontrak perolehan LCS ditahan

    Broker kemuka matan palsu berkaitan kontrak perolehan LCS ditahan

    SEORANG broker ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berkaitan kontrak perolehan enam buah kapal tempur pesisir pantai (LCS).

    Menurut sumber SPRM, lelaki itu dipercayai telah mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu yang dianggarkan bernilai RM24 juta kepada sebuah syarikat perkapalan melalui tiga syarikat.

    Menurutnya, lelaki berumur 62 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini kira-kira 9.30 malam semalam.

    Sumber itu berkata siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Broker itu kini direman selama lima hari sehingga 30 Jan setelah perintah reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

    SPRM pada Isnin menahan dua ketua pegawai eksekutif syarikat susulan penemuan petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam kapal LCS oleh Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

    Pada 21 Nov lepas, Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid membuat laporan kepada SPRM berhubung projek pembinaan enam kapal LCS yang gagal diserahkan mengikut jadual.

    Projek bernilai RM9.128 bilion itu dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dengan RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal tersebut secara serentak. – BERNAMA

  • Dua lelaki diberkas, dadah RM1.9 juta dirampas

    Dua lelaki diberkas, dadah RM1.9 juta dirampas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    RAHSIA dua lelaki yang hidup mewah dan tinggal dalam
    kawasan rumah berpagar dan berpengawal terbongkar apabila berjaya dihidu pihak berkuasa sebelum melakukan serbuan sekitar Kempas, Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada 23 Januari lalu.

    Menerusi operasi bermula pada pukul 4 petang itu, kedua-dua suspek berusia 31 dan 34 tahun diberkas hasil daripada maklumat yang diperolehi menerusi siasatan ke atas tangkapan dalam Op Tapis Khas.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan pertama melibatkan suspek berusia 34 tahun dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan di Kempas.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan menemui sejumlah 4.06 kilogram (kg) dan 1 kg ketamin.

    “Siasatan lanjut membawa kepada tangkapan kedua melibatkan suspek berusia 31 tahun di sebuah rumah di Nusa Bestari, Iskandar Puteri.

    “Polis menemui 37.77 kg syabu dan 6.1 kg ketamin di dalam rumah mewah berpagar dan berpengawal,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah melibatkan dadah jenis syabu seberat 41.78 kg dan ketamin 7.11 kg bernilai RM1.9 juta.

    Beliau berkata, sindiket ini beroperasi sejak awal tahun lalu dengan menggunakan modus operandi meletakkan bekalan dadah di dalam kenderaan sebelum diedarkan kepada pembeli.

    “Kejayaan tangkapan ke atas dua lelaki ini adalah hasil siasatan ke atas individu yang ditangkap menerusi Op Tapis Khas yang bermula 21 hingga 23 Januari lalu,” katanya.

    Kamarul Zaman berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas lima kenderaan termasuk kereta mewah jenis Audi A7S, Volkswagen serta Toyota Camry selain wang tunai RM1,500 serta barang kemas bernilai RM65,000 turut dirampas.

    Jelasnya, hasil semakan terhadap rekod lampau mendapati memiliki rekod jenayah dan kesalahan dadah serta hasil ujian air kencing mendapati kedua-sua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

    Kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari bermula pada 21 hingga 30 Januari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Wanita pekerja kondominium songlap setengah juta ringgit

    Wanita pekerja kondominium songlap setengah juta ringgit

    SEORANG wanita yang bekerja dengan perbadanan pengurusan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur disyaki melarikan wang pengurusan lebih RM500,000.

    Memetik laporan FMT, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, polis sedang menyiasat kes tersebut selepas laporan dibuat oleh pengurusan kondominium terbabit.

    Menurut beliau, siasatan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

    Amihizam memberitahu, suspek wanita rakyat tempatan itu dikatakan menghilangkan diri bersama wang terbabit sejak September 2020.

    “Siasatan awal mendapati suspek telah mengeluarkan resit penyelenggaraan penduduk yang berbeza dengan jumlah kemasukan wang kutipan ke dalam akaun syarikat, sejak Julai 2016 hingga September 2020.

    “Namun begitu, tindakan siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan jumlah kerugian sebenar dan dokumen lengkap daripada pihak pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

    Amihizam berkata, beberapa saksi kes sudah dipanggil bagi membantu siasatan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

    “Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini,” katanya.

    Beliau berkata, maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, atau mana-mana balai polis berdekatan.

    Kelmarin, pengerusi badan pengurusan kondominium terbabit dilaporkan berkata, suspek berusia lingkungan 60-an hilang selepas memaklumkan perlu berjumpa doktor pada 25 September 2020.

    Laporan polis mengenai kehilangan wanita terbabit dibuat badan pengurusan lima hari kemudian di IPD Brickfields selepas wanita itu gagal dihubungi.

    Selain dipercayai melakukan pecah amanah membabitkan dana pengurusan bernilai RM150,000, wanita terbabit juga dipercayai melarikan beberapa fail milik badan pengurusan ketika menghilangkan diri.

    Lebih mengejutkan pemeriksaan sebuah firma perakaunan forensik mendapati, nilai sebenar dana yang hilang ialah RM582,125.05 sepanjang 2017 hingga 2020.

  • Kes penyelewengan projek 6 kapal LCS:Dua Ketua Pegawai Eksekutif ditahan

    Kes penyelewengan projek 6 kapal LCS:Dua Ketua Pegawai Eksekutif ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) dengan menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif daripada syarikat yang terlibat.

    Menurut sumber, kedua-dua individu itu berusia 79 dan 49 tahun ditahan pada petang semalam di Ibu Pejabat SPRM ketika memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

    “Kedua-dua individu itu ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

    “Seorang lagi, disyaki menerima rasuah daripada sub-kontraktor yang dilantik bagi mengendalikan projek tersebut,” katanya.

    Katanya, siasatan tertumpu kepada kesalahan di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

    Sebelum ini, SPRM menerima aduan berhubung projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

    Laporan yang dibuat kepada SPRM adalah bagi membuat siasatan ke atas pelaksanaan projek tersebut susulan kegagalan pihak berkenaan menyerahkan kapal itu mengikut tempoh ditetapkan.

    Mengikut kontrak asal yang ditandatangani pada 2014, LCS pertama sepatutnya diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada April 2019 dan bayaran sebanyak RM6 bilion juga telah dibuat.

    Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua individu itu.

    “Ya, memang benar, ramai akan dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

  • Penumpang samun, tikam pemandu e-hailing ditahan

    Penumpang samun, tikam pemandu e-hailing ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki menikam dan menyamun seorang pemandu e-hailing, dalam satu kejadian di Jalan Sentul Pasar, Kuala Lumpur, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari tadi di Kota Damansara, Selangor selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 47 tahun itu mengambil suspek yang juga penumpang itu di Putrajaya, kira-kira 1 tengah hari.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian, suspek meminta nombor akaun untuk membuat pembayaran namun ketika mangsa sedang mencari nombor tersebut, suspek bertindak menikam leher mangsa sebelum melarikan diri dengan kenderaan milik mangsa.

    “Dalam kejadian itu, mangsa yang cedera dibantu orang awam dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beh berkata pihaknya berjaya menemui semula kereta Proton Saga milik mangsa dengan nombor pendaftaran telah dibuang dalam tong sampah, serta beberapa barangan peribadi milik mangsa.

    “Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Terdahulu, tiga video mengenai kejadian itu tular di media sosial, memaparkan tindakan seorang lelaki menarik keluar individu dipercayi pemandu e-hailing yang mempunyai kesan darah di bahagian lehernya, sebelum melarikan diri dengan kereta mangsa. – Bernama