Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

RAHSIA dua lelaki yang hidup mewah dan tinggal dalam
kawasan rumah berpagar dan berpengawal terbongkar apabila berjaya dihidu pihak berkuasa sebelum melakukan serbuan sekitar Kempas, Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada 23 Januari lalu.

Menerusi operasi bermula pada pukul 4 petang itu, kedua-dua suspek berusia 31 dan 34 tahun diberkas hasil daripada maklumat yang diperolehi menerusi siasatan ke atas tangkapan dalam Op Tapis Khas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan pertama melibatkan suspek berusia 34 tahun dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan di Kempas.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan menemui sejumlah 4.06 kilogram (kg) dan 1 kg ketamin.

“Siasatan lanjut membawa kepada tangkapan kedua melibatkan suspek berusia 31 tahun di sebuah rumah di Nusa Bestari, Iskandar Puteri.

“Polis menemui 37.77 kg syabu dan 6.1 kg ketamin di dalam rumah mewah berpagar dan berpengawal,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah melibatkan dadah jenis syabu seberat 41.78 kg dan ketamin 7.11 kg bernilai RM1.9 juta.

Beliau berkata, sindiket ini beroperasi sejak awal tahun lalu dengan menggunakan modus operandi meletakkan bekalan dadah di dalam kenderaan sebelum diedarkan kepada pembeli.

“Kejayaan tangkapan ke atas dua lelaki ini adalah hasil siasatan ke atas individu yang ditangkap menerusi Op Tapis Khas yang bermula 21 hingga 23 Januari lalu,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas lima kenderaan termasuk kereta mewah jenis Audi A7S, Volkswagen serta Toyota Camry selain wang tunai RM1,500 serta barang kemas bernilai RM65,000 turut dirampas.

Jelasnya, hasil semakan terhadap rekod lampau mendapati memiliki rekod jenayah dan kesalahan dadah serta hasil ujian air kencing mendapati kedua-sua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari bermula pada 21 hingga 30 Januari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here