Category: Jenayah

  • Peniaga acu kapak kepada penguat kuasa KKM

    Peniaga acu kapak kepada penguat kuasa KKM

    EMPAT anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang menjalani pemeriksaan diacu dua bilah kapak di sebuah pusat makanan di Kampung Koh, Sitiawan, pukul 9.30 malam kelmarin.

    Insinden itu membabitkan seorang peniaga yang berang selepas premisnya dikenakan notis kerana tidak mematuhi amalan kebersihan yang ditetapkan.

    Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada pegawai operasi yang memaklumkan empat anggota mereka telah menerima ancaman ketika menjalankan tugas.

    Menurutnya, dalam laporan berkenaan, peniaga itu dikatakan telah mengeluarkan kata-kata kesat sambil mengacukan dua kapak terhadap anggota terlibat.

    “Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

    “Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 186 kanun yang sama kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Beliau berkata, polis telah pun mengenal pasti peniaga yang terlibat dan akan memanggil individu berkenaan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

    “Siasatan awal mendapati, peniaga berusia 56 tahun itu merupakan pemilik premis dan kejadian itu mungkin berlaku disebabkan rasa tidak puas hati apabila kedainya dikenakan tindakan.

    “Dalam pemeriksaan itu, peniaga itu didapati gagal menyediakan persekitaran premis yang bersih selain menyimpan kuku panjang dan memakai cincin,” katanya.

  • ESSCom keluar senarai 20 suspek kes culik

    ESSCom keluar senarai 20 suspek kes culik

    KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) hari ini mengeluarkan senarai terkini 20 individu warga Filipina yang dikehendaki kerana terbabit dalam kes penculikan untuk wang tebusan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

    Komander ESSCom, DCP Hamzah Ahmad berkata, senarai yang dikemas kini itu melibatkan seorang suspek baharu iaitu Majdid Said @ Ammah Pattit, yang merupakan ketua paling kanan Daulah Islamiah Sulu Based.

    Beliau berkata, Majdid yang berperanan sebagai komander Kumpulan Abu Sayyaf Sulu, adalah pemimpin kanan yang bakal menggantikan ketua kumpulan itu Hatib Hajan Sawadjaan.

    Esscom

    Sementara itu, antara suspek yang kekal dalam senarai tersebut adalah Mudzrimar @ Mundi Sawadjaan, yang juga pemimpin kanan kumpulan Abu Sayyaf dan memiliki kepakaran menghasilkan bom.

    “Mudzrimar adalah perancang letupan bagi beberapa insiden di Jolo, Filipina pada 2020,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Di samping itu, menurut Hamzah, suspek yang disyaki berperanan sebagai ‘keepers’ dan terlibat dalam kes penculikan di perairan Tambisan, Tungku dekat sini, iaitu Ahadin Hussien, Ellam Sajirin @ Nasirin dan Ismurah Jirah juga masih berada dalam senarai dikehendaki ESSCom.

    “Suspek lain dikehendaki ESSCom ialah Salip Mura, Al Munjir Yadah, Ben Tatoh Quirino, Basaron Ahok, Mujimar Sawadjaan @ Rasad, Marajan @ Manajan Asiri, Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw, Jul @ Jun Hasan, Barak Undog @ Alvin, Hamsan Pakkan @ Black Cobra, Sabri Madrasul @ Salip Jul, Hadji Wahad @ Talip, Tampi @ Bunju, Haibin Mubin @ Apo Kuhambo dan Sangbas Parisko,” katanya.

    culik

    Beliau berkata, pihaknya akan memperhebatkan lagi operasi khas serta melaksanakan operasi bersepadu di laut dan darat, bagi membanteras sebarang ancaman di ESSZone yang menggugat keselamatan negara.

    Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu dikehendaki itu, agar menghubungi Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863181 atau menyalurkan maklumat menerusi aplikasi WhatsApp di 011-63311072. – BERNAMA

  • Terence sudah kemuka penjelasan bertulis kepada DAP

    Terence sudah kemuka penjelasan bertulis kepada DAP

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu telah mengemukakan penjelasan secara bertulis kepada DAP berhubung penahanannya dalam serbuan polis di Perai, Pulau Pinang, dua minggu lepas.

    Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata, menerusi penjelasan itu, Terence turut menyertakan bukti laporan air kencing yang dilakukan beliau di sebuah klinik di Pulau Pinang yang menunjukkan keputusan negatif dadah.

    “Mungkin ada kesilapan pada ujian kali pertama kerana ujian yang dilakukan pada hari kedua selepas ditahan membuktikan keputusan adalah negatif.

    “Bagaimanapun kita tidak boleh buat sebarang keputusan dan tidak mahu komen lebih lanjut sekarang kerana masih menunggu keputusan siasatan yang dijalankan polis,” katanya pada sidang media selepas program pemberian buah limau sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Buntong di Ipoh hari ini.

    Sebelum ini media melaporkan Terence ditahan bersama 35 individu lain di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang pada 13 Jan lepas apabila keputusan ujian saringan air kencing menunjukkan mereka positif dadah.

    Selasa lepas polis menyerahkan kertas siasatan berhubung kes ADUN Perak yang positif dadah itu kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang, namun ia dikembalikan kepada polis untuk beberapa tindakan susulan. – BERNAMA

  • Edar ganja, dua beranak ditahan

    Edar ganja, dua beranak ditahan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS menahan dua beranak serta merampas sembilan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja bernilai RM22,500 di Kampung Teluk, Sungai Layar, Sungai Petani Isnin lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin berkata, bapa berusia 75 tahun serta anak lelakinya berusia 57 tahun itu diberkas dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah kira-kira jam 2 petang.

    “Pasukan terbabit bertindak menahan sebuah kereta Proton Saga yang berhenti di tepi jalan di kampung berkenaan, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menemui sembilan ketulan mampat dibaluti plastik lutsinar dan aluminium foil disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 8,990 gram.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah RM22,500. Hasil pemeriksaan air kencing mendapati suspek pertama (bapa) positif dadah jenis THC manakala suspek kedua (anaknya) negatif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin

    Mohd. Taufik berkata, ekoran tangkapan suspek dan rampasan dadah, jabatan berkenaan telah menyita harta dua beranak terbabit iaitu wang tunai berjumlah RM 1,012.

    Katanya, dua beranak ini sudah ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Berdasarkan rekod kedua-dua suspek tiada kesalahan lampau.

    “Kejayaan ini adalah hasil usaha Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah berbahaya berjaya di tumpaskan,” jelas beliau.

    Dalam pada itu, beliau turut meminta kerjasama serta penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka kepada pihak polis.

  • JPNP serbu kegiatan lombong bijih besi haram

    JPNP serbu kegiatan lombong bijih besi haram

    PENGKUATKUASAAAN Timur (UPKT) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melakukan serbuan di sebuah lombong bijih besi yang diteroka secara haram dalam kawasan Hutan Simpan Ibam, Muadzam Shah, Rompin, semalam.

    Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, aktiviti haram itu berjaya dikesan hasil aduan awam sebelum anggota penguat kuasa menemui dan menyita sebuah jengkaut yang disyaki digunakan dalam kegiatan itu.

    “Hasil semakan mendapati jentera itu berada dalam Hutan Simpan Ibam tanpa permit sah daripada JPNP dan dipercayai digunakan untuk mengangkat ketulan batu ke atas lori sebelum dipindahkan ke kawasan lain untuk diproses.

    “Anggota UPKT turut menemui beberapa lubang di kawasan terbabit dipercayai kesan ketulan batu yang telah diambil,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Mengulas lanjut, Nor Azirim berkata, jengkaut yang disita itu disimpan sementara di Pejabat Renjer Hutan Muadzam Shah untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

    Beliau berkata, kes itu adalah yang pertama melibatkan pencerobohan kawasan hutan simpan bagi kegiatan melombong bijih besi secara haram di Pahang tahun ini.

    Menurutnya, usaha mengesan pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan itu sedang dilakukan untuk tindakan selanjutnya.

    “JPNP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan di mana tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

    “Kami juga meminta kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui kegiatan menceroboh hutan simpan dan memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran,” jelasnya.

  • 5 lelaki ditahan bergaduh urusan tarik kereta kemalangan

    5 lelaki ditahan bergaduh urusan tarik kereta kemalangan

    POLIS Pulau Pinang menahan lima lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan berpunca daripada salah faham berhubung urusan menarik kereta yang terbabit kemalangan.

    Mereka merupakan antara kira-kira 20 individu yang dikesan terlibat dalam insiden itu yang berlaku di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Georgetown, kira-kira pukul 2 petang semalam.

    Insiden itu yang berjaya dirakam orang awam dan turut tular di dalam media sosial Facebook menunjukkan kira-kira 20 lelaki bergaduh sesama sendiri sehingga menarik perhatian pengguna jalan raya lain.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian itu berlaku selepas sebuah lori membawa muatan mozek dan dua buah kenderaan lain terbabit kemalangan di laluan menghala pusat bandar.

    “Hasil siasatan mendapati pergaduhan tersebut melibatkan sekumpulan individu kira-kira 20 orang terdiri dari pekerja-pekerja penarik kereta berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan menarik kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya berkenaan.

    “Anggota polis yang berada di lokasi kejadian cuba meleraikan pergaduhan tetapi gagal dan seterusnya mendapatkan bantuan dari anggota polis Cawangan Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Soffian, ketika anggota MPV dan URB tiba di lokasi kejadian, kesemua individu berkenaan bagaimanapun telah melarikan diri.

    “Setakat ini, lima lelaki warga tempatan berumur antara 26 hingga 50 tahun telah ditangkap di sekitar Georgetown.

    “Pihak polis turut merampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan tersebut iaitu topi kaledar dan pengunci motosikal,” katanya.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (kesalahan merusuh dengan senjata).

  • Lelaki dicekup semasa leka pindah 2,800 liter diesel bersubsidi

    Lelaki dicekup semasa leka pindah 2,800 liter diesel bersubsidi

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang menahan seorang pemandu lori tangki warga tempatan ketika sedang leka mengisi minyak diesel bersubsidi ke dalam tangki lori.

    Lelaki itu ditahan dalam serbuan lima pegawai penguat kuasa PPDNHEP Pulau Pinang di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Tengah awal pagi semalam.

    Pengarah PPDNHEP Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, ketika ditahan pemandu lori itu sedang mengisi minyak diesel bersubsidi ke dalam tangki lori menggunakan dua nozel di pam stesen minyak berkenaan selama kira-kira 40 minit.

    Kata beliau, siasatan lanjut terhadap resit belian mendapati lori tersebut telah membuat pengisian minyak diesel bersubsidi sebanyak RM 6,582.85.

    “Selain pemandu lori tangki itu, turut ditahan seorang lagi warga tempatan dan kita turut menyita sebanyak 2,800 liter minyak diesel, sebuah lori serta dua unit telefon bimbit untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini.

    Menurut beliau, serbuan itu dilakukan hasil risikan selama kira-kira sebulan susulan aduan orang awam.

    Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan itu adalah RM52,520 dan kes itu  disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    diesel bersubsidi
    Penguat kuasa PPDNHEP Pulau Pinang memeriksa lori tangki yang digunakan.

    Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    “Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, jumlah denda yang dikenakan tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda yang dikenakan ialah tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan mengingatkan mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan tegas.

    Pada masa sama, pihaknya mengalu-alukan maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan bawang kawalan bersubsidi.

    “Orang awam boleh memyalurkan maklumat menerusi aplikasi WhatsApp di nombor 019-2794317 atau menghubungi bilik gerakan PPDNHEP negeri di talian 04-3840245,” katanya.

  • Seleweng minyak masak bersubsidi hasilkan minyak sembahyang

    Seleweng minyak masak bersubsidi hasilkan minyak sembahyang

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah premis di Bukit Pelandok, Port Dickson, semalam.

    Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, minyak masak peket bersubsidi tersebut dipercayai digunakan sebagai bahan asas di dalam proses penghasilan minyak sembahyang dengan dicampur bahan-bahan lain kerana harganya lebih murah berbanding minyak masak industri.

    Beliau berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya bertindak menyerbu premis berkenaan kira-kira 12.05 tengah hari dan menahan seorang lelaki tempatan berumur 65 tahun yang bertanggungjawab terhadap premis itu bagi membantu siasatan.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 159 kotak mengandungi minyak masak peket 1kg dengan jumlah keseluruhan 2,703kg minyak masak berada di dalam premis berkenaan. Kesemua barangan berkenaan dengan anggaran nilai rampasan RM6,757.50 telah disita,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Ain Arjuna berkata, suspek yang telah menjalankan kegiatan itu sejak setahun di lokasi sama melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Jelasnya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat mengenai pihak-pihak yang terlibat di dalam rantaian yang membekalkan minyak masak peket 1kg itu.

    “Pengguna di negeri ini boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang didapati menjalankan aktiviti penyelewengan barang kawalan berjadual antaranya menerusi Portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my atau talian WhatsApp di 019-2794317,” katanya.

  • 45 peratus kebakaran tapak sampah Pulau Burung belum dipadam

    45 peratus kebakaran tapak sampah Pulau Burung belum dipadam

    MASIH terdapat kira-kira 45 peratus daripada 11.5 hektar kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang terbakar sejak hampir dua minggu lalu perlu dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

    Sehubungan itu, Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya tidak dapat menjangkakan bila usaha memadam kebakaran yang dikategorikan bencana tahap satu tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya.

    Begitupun ujar beliau, pihaknya kini yang mendapat bantuan pelbagai agensi lain sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tersebut.

    Jelas beliau, selain menggunakan air, usaha memadamkan kebakaran di tapak itu turut menggunakan tanah yang disumbangkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

    “Kira-kira 50 hingga 60 lori tanah sehari turut digunakan untuk memadamkan kebakaran.

    “Setakat ini, kita tidak boleh memberikan jangkaan bila kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya, namun kita cuba melakukan yang terbaik,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Kempen Keselamatan Keluarga Malaysia dan Menghapuskan Bahaya Kebakaran (MBK) sempena Tahun Baharu Cina di Bukit Mertajam hari ini.

    Usaha memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu memasuki minggu kedua kini selepas mula dikesan terbakar sehingga mengeluarkan asap tebal dan hitam petang 12 Januari lalu.

    Bencana itu juga menyebabkan 400 penduduk daripada kira-kira 90 buah keluarga yang tinggal di dua kawasan berhampiran tapak tersebut diarahkan berpindah dengan sebahagiannya ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

    Dalam perkembangan lain, Saadon berkata, kes, kematian atau kecederaan akibat kebakaran, penyelamatan dan khidmat khas 24 jam di Pulau Pinang pada tahun lalu menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.

    Misalnya tambah beliau, kes kebakaran melibatkan bangunan, belukar dan sebagainya berkurangan kepada 51 kes tahun lali berbanding 54 kes (2020).

  • Op Benteng:Empat PATI warga Indonesia ditahan

    Op Benteng:Empat PATI warga Indonesia ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TENTERA Darat Malaysia (TDM) menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) wargan Indonesia di pinggir hutan Bukit Sedili Kecil, Kota Tinggi, hari ini.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan memberitahu, pada pukul 3 pagi anggota petugas Pos Pemerhati mengesan dan melihat pergerakan orang yang mencurigakan di pinggir hutan itu setelah menerima maklumat daripada penduduk kampung.

    “Pada pukul 4.30 pagi, Tim Quick Reaction Force (QRF) telah diaturgerakkan ke lokasi kejadian dan seterusnya berjaya menahan dan membuat penangkapan ke atas empat PATI.

    “Kesemua empat PATI yang berusia sekitar 35 hingga 52 tahun telah diserahkan ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk disoal siasat dan proses dokumentasi,” jelas kenyataan tersebut, hari ini.

    Ujian saringan Covid-19 dibuat ke atas mereka di Klinik Kesihatan Sungai Rengit dan hasilnya mendapati semua PATI negatif sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Johor Bahru.

    Menurut kenyataan tersebut, laporan kejadian tersebut dibuat di Balai Polis Kuala Sedeli pada pukul 8.30 pagi.

    Tambah kenyataan itu, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM12,124 melibatkan RM10,534 dan lima buah telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM1,590.

    “Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI sekitar kawasan tangkapan,” katanya.