Oleh RIZQI ZABIDI

POLIS menahan dua beranak serta merampas sembilan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja bernilai RM22,500 di Kampung Teluk, Sungai Layar, Sungai Petani Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin berkata, bapa berusia 75 tahun serta anak lelakinya berusia 57 tahun itu diberkas dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah kira-kira jam 2 petang.

“Pasukan terbabit bertindak menahan sebuah kereta Proton Saga yang berhenti di tepi jalan di kampung berkenaan, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menemui sembilan ketulan mampat dibaluti plastik lutsinar dan aluminium foil disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 8,990 gram.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah RM22,500. Hasil pemeriksaan air kencing mendapati suspek pertama (bapa) positif dadah jenis THC manakala suspek kedua (anaknya) negatif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin

Mohd. Taufik berkata, ekoran tangkapan suspek dan rampasan dadah, jabatan berkenaan telah menyita harta dua beranak terbabit iaitu wang tunai berjumlah RM 1,012.

Katanya, dua beranak ini sudah ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Berdasarkan rekod kedua-dua suspek tiada kesalahan lampau.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah berbahaya berjaya di tumpaskan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerjasama serta penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka kepada pihak polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here