Category: Jenayah

  • SPRM siasat 2 aduan terhadap Maszlee, tiada intimidasi

    SPRM siasat 2 aduan terhadap Maszlee, tiada intimidasi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima dua aduan terhadap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

    SPRM menegaskan bahawa proses siasatan perlu dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang.

    “Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menemu bual beberapa saksi yang terlibat.

    “SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat,” jelas SPRM dalam kenyataan media, hari ini.

    Walau bagaimanapun, SPRM tidak menyatakan secara lanjut tentang aduan yang diterima terhadap Maszlee.

    Sehubungan itu, SPRM menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya pegawainya melakukan intimidasi sebagaimana yang didakwa oleh Maszlee.

    Menurut SPRM, siasatan yang dijalankan akan berteraskan prinsip ketelusan, keadilan dan profesionalisme serta berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan.

    “Justeru, SPRM berharap agar pihak yang terlibat memberikan kerjasama penuh dan berhenti mensensasikan proses siasatan ini,” kata suruhanjaya itu.

    Bekas Menteri Pendidikan era rejim Pakatan Harapan (PH) itu membuat dakwaan tidak berasas terhadap SPRM kononnya beliau diintimidasi dalam sidang media di Kuala Lumpur semalam selepas selesai dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

    Beliau hadir ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung kehadirannya menyaksikan penyerahan memorandum oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di bangunan Parlimen 20 Januari lalu.

  • Lelaki mati dalam tahanan polis dipercayai sakit mental

    Lelaki mati dalam tahanan polis dipercayai sakit mental

    UNIT Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes seorang lelaki yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di Kuala Kangsar, Perak.

    Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai pesakit mental yang mengamuk dan menyerang bapanya di sebuah rumah di Kampung Temong Hilir, Kuala Kangsar pada 7 malam, semalam.

    “Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati suspek dalam keadaan agresif dan sedang bergelut sebelum ditahan empat lelaki termasuk bapanya.

    “Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan. Lelaki itu bagaimanapun tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azri berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh. – BERNAMA

  • 4 mat rempit ditahan, 43 motosikal disita

    4 mat rempit ditahan, 43 motosikal disita

    POLIS Pulau Pinang menyita sebanyak 43 buah motosikal dan menahan empat ‘mat rempit’ dalam Op Samseng Jalanan bermula pukul 12 tengah malam tadi hingga pukul 6 pagi ini.

    Operasi di sekitar daerah Barat Daya dan  Seberang Perai Utara (SPU) dilakukan sempena Op Selamat (17) Tahun Baharu Cina dan diketuai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Zafri Zolkapli bersama lima pegawai dan 28 anggota.

    Menurut Zafri, operasi iti dijalankan hasil aduan dan maklumat orang awam berhubung aktiviti samseng jalanan termasuk mat rempit yang sering berlumba dan menunggang motosikal secara bahaya di kawasan terbabit.

    Katanya, menerusi operasi itu sebanyak 37 buah motosikal disita di daerah Barat Daya dan enam lagi di SPU manakala empat lelaki ditahan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987.

    Selain itu jelas beliau, sebanyak 117 saman tu dikeluarkan kepada penunggang motosikal dengan pelbagai kesalahan trafik.

    “Kita mengambil tindakan proaktif dengan mengaturkan pasukan untuk memantau dan menjalankan operasi bagi mencegah aktiviti kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.

    Tambah Zafri,  tindakan penguatkuasaan akan diambil secara menyeluruh jika terdapat pengguna yang masih lagi enggan mematuhi peraturan di jalan raya terutama kepada pelaku-pelaku samseng jalanan.

  • ESSCOM sahkan pembuat bom Abu Sayyaf masih hidup

    ESSCOM sahkan pembuat bom Abu Sayyaf masih hidup

    PEMBUAT bom yang juga sub ketua kumpulan Abu Sayyaf, Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan yang dilaporkan ditembak mati Mei lepas di Filipina, disahkan masih hidup.

    Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), DCP Hamzah Ahmad berkata, status Mudzrimar yang dikehendaki di ESSCom, disahkan hasil perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina melibatkan Joint Task Force Sulu (JTFS) serta Western Mindanao Command (J2 WESTMINCOM).

    “Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup susulan beberapa siri pertempuran dan pertembungan pihak pasukan keselamatan Filipina dengan suspek sejak Julai 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hamzah berkata, susulan itu, Mudzrimar yang dikeluarkan dalam senarai individu dikehendaki ESSCom pada tahun lalu kini disenaraikan semula sebagai suspek dikehendaki membabitkan kes penculikan untuk wang tebusan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

    Muzdrimar juga merupakan anak saudara kepada pemimpin kanan Abu Sayyaf iaitu Hatib Hajan Sawadjaan, dan selain itu mempunyai kepakaran membuat bom serta perancang letupan bagi beberapa insiden di Jolo, Filipina pada tahun 2020, termasuk insiden letupan bom di ‘The Our Lady Of Mount Carmel Cathedral Jolo’.

    Baru-baru ini tercetus persoalan berikutan kenyataan ESSCom menyenaraikan semula Mudzrimar antara 20 suspek warga Filipina dikehendaki terkini sedangkan dia dilaporkan telah ditembak mati. – BERNAMA

  • 1,157 pemandu mabuk ditahan di Kuala Lumpur

    1,157 pemandu mabuk ditahan di Kuala Lumpur

    POLIS menahan seramai 1,558 individu atas pelbagai kesalahan trafik termasuk memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menunggang motosikal secara berbahaya, menerusi pelbagai operasi yang diadakan di sekitar ibu negara tahun lepas.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Supt Zulkafli Chek Lah berkata, pemandu mabuk mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 1,157 kes direkodkan dan disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau berkata, bagi kesalahan memandu secara berbahaya pula, seramai 287 individu telah ditahan dan diambil tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Sementara itu, kesalahan mempamerkan nombor plat pendaftaran palsu dan disyaki mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram masing-masing mencatatkan empat dan lima kes,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan operasi Op Motosikal dan Op Mabuk di sekitar ibu negara malam tadi.

    Zulkafli berkata, dalam Op Selamat tahun ini bermula 1 Jan hingga semalam, seramai 235 individu telah ditahan bagi pelbagai kesalahan trafik dengan tangkapan tertinggi juga membabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol iaitu seramai 192 individu, manakala memandu secara berbahaya seramai 34 individu ditahan.

    Sementara itu, katanya, dalam operasi yang dilakukan malam tadi di tiga lokasi di sekitar Kuala Lumpur, sebanyak 189 saman dikeluarkan dengan tiga pemandu mabuk ditahan dan tujuh motosikal disita.

    Beliau berkata, dalam Op Selamat kali ini, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi dan fokus terhadap pemandu mabuk dan penunggang motosikal bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya terutama ketika musim perayaan. – BERNAMA

  • Tular kalimah Allah didakwa dicetak di tikar khemah Decathlon

    Tular kalimah Allah didakwa dicetak di tikar khemah Decathlon

    HANGAT dibincangkan di media sosial apabila tular beberapa keping gambar dan video tikar khemah jenama Decathlon yang menunjukkan cetakan kalimah Allah di atas tikar khemah tersebut.

    Gambar dan video berkenaan cetakan kalimah Allah itu dimuatnaik oleh Pak Lang Botuck di laman Facebook ‘Family Camping Malaysia’ dan segera menjadi satu topik perbincangan hangat di ruangan komen.

    Dalam pada itu, ruangan komen di perkongsian itu dibanjiri netizen yang mengharapkan ada jalan penyelesaian segera daripada pihak yang menjual tikar khemah berkenaan, Decathlon.

    “Decathlon, sila keluarkan kenyataan rasmi dan tarik produk ni,” kata Mohd Huzaifah.

    “Tukar nanti, depa (Decathlon) pergi jual pula dekat lain, kemudian orang pijak juga, kalimah itu kita kena jaga. Kalau pergi tukar jadi tiada beza la jadinya,” soal Arif Azmi.

    Sementara itu, menerusi Facebook Decathlon Malaysia, pihak mereka memohon sedikit ruang bagi melakukan siasatan lanjut dan akan memberikan penjelasan sewajarnya.

    “Berikan sedikit ruang untuk pihak kami melakukan siasatan lanjut dan kami akan memberikan penjelasan yang sewajarnya setelah siasatan selesai,” katanya. – SB

    Pautan aduan pengguna https://www.facebook.com/groups/FamilyCampingMalaysia/permalink/4907543212670934/?sfnsn=mo&ref=share

  • Kapal tangki dari Malabo ditahan bersauh tanpa kebenaran

    Kapal tangki dari Malabo ditahan bersauh tanpa kebenaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIDAK serik-serik. Mungkin itu perumpamaan yang boleh diberikan terhadap kapal-kapal tangki asing yang terus menceroboh perairan negara.

    Terbaharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Johor menahan sebuah kapal tangki kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Penawar, Kota Tinggi, pukul 10. 55 pagi semalam.

    Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki didaftarkan di Malabo itu ditahan pada kedudukan 8.4 batu nautika timur laut Tanjung Penawar.

    “Ketika penahanan kapal tangki sepanjang 39 meter itu dikendalikan oleh enam kru warga Indonesia yang mempunyai dokumen pendaftaran diri sah berusia dari 25 tahun hingga 58 tahun.

    “Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas dokumen kapal mendapati, nakhodanya gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

    Nakhoda kapal kemudian dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Nakhoda kapal telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

    Maritim Malaysia Negeri Johor ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan yang tegas akan dipergiatkan lagi bagi membanteras kapalkapal yang berlabuh secara haram di perairan negeri Johor.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pemilik kapal antarabangsa supaya menghormati kedaulatan dan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan dalam perairan Malaysia.

    Sekiranya terdapat sebarang aduan, pertanyaan atau laporan mengenai kegiatan di perairan negeri Johor, segera hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9401.

  • Pusat Karaoke tawar wanita Korea Selatan diserbu

    Pusat Karaoke tawar wanita Korea Selatan diserbu

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur melakukan serbuan sebuah pusat karaoke di Mont Kiara, Kuala Lumpur pukul 11 malam tadi yang menawarkan wanita warga Korea Selatan yang gebu sebagai peneman berhibur.

    Premis berkenaan menyediakan pakej bilik eksklusif dengan layanan istimewa daripada wanita Korea Selatan itu yang bukan saja dikunjungi pengunjung biasa tetapi juga golongan kenamaan.

    Pengarah JIM Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, menerusi serbuan itu pihaknya menahan enam wanita warga Korea Selatan yang disyaki menjadi pelayan pelanggan (GRO).

    “Kita turut menahan tiga lelaki terdiri daripada dua warga Korea Selatan dan seorang warga Pakistan turut ditahan ketika serbuan itu.

    “Berdasarkan siasatan awal, premis itu menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan menawarkan wanita warga asing berusia antara 24 hingga 46 tahun sebagai pelayan istimewa dari bilik ke bilik pelanggan.

    “Mereka memperoleh bayaran sebanyak RM500 bergantung kepada perkhidmatan yang ditawarkan selain menerima tip daripada pelanggan.

    “Bayaran bagi setiap bilik pula mencecah sehingga RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas ekspatriat.

    Dalam serbuan berasingan, Syamsul Badrin berkata, JIM Kuala Lumpur menyerbu tiga pusat urut dan refleksologi di Pandan Indah, Ampang.

    Menurutnya, seramai 23 individu diperiksa dan tujuh daripadanya ditahan membabitkan enam wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Vietnam.

    “Bagi mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan, pelanggan perlu membayar sebanyak RM200 bagi tempoh satu jam,” katanya.

    Katanya, kesemua suspek dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan susulan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

  • Seludup masuk 24 warga Myanmar:4 lelaki ditahan

    Seludup masuk 24 warga Myanmar:4 lelaki ditahan

    POLIS menahan empat lelaki yang menjadi ejen bagi membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dari negara itu dengan melintasi sempadan Malaysia-Thailand secara haram, hari ini.

    Susulan penahanan empat suspek itu, polis menemukan 24 lagi warga Myanmar terdiri daripada 18 lelaki dan enam wanita disembunyikan di sebuah inap desa di Kampung Cherang Hangus, Pasir Mas, pukul 1.20 pagi.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, kejayaan itu bermula dengan penahanan sebuah kereta dinaiki dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun di Kampung Repek.

    “Pemeriksaan polis mendapati nombor plat kereta berkenaan adalah palsu, manakala nombor casis didapati sudah diganggu.

    “Suspek berusia 24 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamin di samping mempunyai lima rekod jenayah.

    “Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku bertugas sebagai ‘penghantar’ yang mengambil warga Myanmar di pangkalan haram Lubok Gong, Pasir Mas untuk dibawa ke satu destinasi dalam negara.

    “Suspek berusia 24 tahun juga mengaku hanya dia dan seorang adiknya yang mengenali seorang warga Myanmar yang dipanggil ‘Apik’, dalam urusan membawa masuk pendatang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Nasaruddin berkata, polis kemudiannya menyerbu sebuah inap desa di Kampung Cherang Hangus dan berjaya menahan 24 warga Myanmar berusia 20 hingga 40-an,.

    Menurutnya, pukul 2.40 pagi tadi, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun yang juga adik suspek berusia 24 tahun itu, di sebuah rumah tidak bernombor di Lubok Setol untuk siasatan lanjut.

    “Suspek mengaku sudah 14 kali bertindak sebagai ‘penghantar’ dengan menerima arahan daripada “Apik” bagi mengangkut pendatang haram Myanmar.

    “Polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah tidak bernombor di Kampung Tasik, Rantau Panjang dan berjaya menahan suspek warga Myanmar dikenali sebagai ‘Apik’ di luar rumah itu,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati suspek warga Myanmar berusia 40-an itu adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR) dan berperanan sebagai ‘ejen’ membawa masuk pendatang Myanmar ke negara ini dengan mengupah penduduk tempatan sebagai penghantar.

    Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

  • OKT mati dalam tahanan di lokap Balai Polis Marang

    OKT mati dalam tahanan di lokap Balai Polis Marang

    JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mengesahkan menerima satu laporan berhubung kematian mengejut, melibatkan seorang lelaki yang merupakan Orang Kena Tahan (OKT) di lokap Balai Polis Marang, Terengganu, hari ini.

    Pengarah JIPS, Datuk Azri Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan pada 3 petang tadi.

    Beliau berkata, siasatan berkenaan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS.

    “OKT yang berumur 38 tahun itu, ditahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Azri berkata, OKT direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 30 Jan di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu. – BERNAMA