Category: Jenayah

  • JPJ Pulau Pinang keluar 181 notis kesalahan jalan raya

    JPJ Pulau Pinang keluar 181 notis kesalahan jalan raya

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 181 notis lagi kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan dalam operasi sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Juru arah utara malam tadi.

    Dalam operasi bermula kira-kira pukul 8 malam itu, kesalahan memandu tanpa lesen dan lesen tamat tempoh antara  paling banyak dikesan dilakukan pengguna jalan raya.

    Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Pulau Pinang, Aedy Fadly Ramli berkata, secara keseluruhan, pihaknya memeriksa sebanyak 895 kenderaan dalam operasi lebih lima jam itu dengan 132 daripadanya telah dikenakan tindakan.

    Katanya, daripada 181 notis yang dikeluarkan pula, sebanyak 69 merupakan kesalahan berkaitan lesen memandu; pelesenan kenderaan (35); cermin gelap (28); nombor pendaftaran (15) dan lain-lain (34).

    “Operasi ini memfokuskan penguatkuasaan kesalahan utama jalan raya membabitkan pemeriksaan berkaitan lesen memandu dan cukai jalan.

    “Kita mahu memastikan pengguna jalan raya yang ingin kembali ke kediaman masing-masing selepas tamat cuti Tahun Baharu Cina tiba dengan selamat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada operasi itu.

    Operasi bersepadu itu yang bermula pada 1 Februari lalu turut mendapat  kerjasama pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

    Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata, puhaknya turut memeriksa kenderaan yang menggunakan cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi selain lampu High Intensity Discharged (HID) yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

    “Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa patuh pada peraturan dan undang undang berkuat-kuasa semasa memandu, serta  memandu dengan cermat, berhemah dan berhati-hati semasa memandu ke destinasi dituju,” katanya.

  • Bayi perempuan baru lahir ditemukan dalam bakul pakaian kotor

    Bayi perempuan baru lahir ditemukan dalam bakul pakaian kotor

    SEORANG bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam bakul pakaian kotor berhampiran sebuah restoran di Taman Mutiara, Batu Berendam, Melaka hari ini.

    Pihak polis menerima aduan daripada orang awam berhubung penemuan bayi yang masih bertali pusat itu pada pukul 7.15 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi dan bayi berkenaan ditemui wanita berusia 51 tahun yang juga pekerja am.

    “Wanita terbabit sedang mengutip tin di kawasan berhampiran sebelum terdengar tangisan bayi.

    “Dia kemudian pergi memeriksa dan menemui bayi yang masih hidup di dalam bakul pakaian berwarna krim yang diletakkan di tepi tembok batu di hadapan restoran,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, wanita terbabit kemudian ke sebuah klinik berdekatan untuk mendapatkan bantuan bagi menghubungi pihak polis dan ambulans.

    Katanya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan mengesahkan kejadian sebelum menghubungi pihak hospital untuk membawa bayi berkenaan mendapatkan rawatan lanjut.

    “Terdapat tali pusat, uri dan kesan darah pada badan bayi terbabit,” katanya memberitahu bayi itu ini kini dirawat di Hospital Melaka.

    Raiz Mukhliz berkata, sehubungan itu orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi atau tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

    Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

    “Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

  • APMM gagalkan cubaan seludup ganja bernilai hampir RM150,000

    APMM gagalkan cubaan seludup ganja bernilai hampir RM150,000

    PENGUATKUASAAN Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup masuk 30 kilogram (kg) ketulan ganja mampat bernilai hampir RM150,000 dalam satu Op Khas di perairan Kuala Perlis, semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim, Mohd. Zawawi Abdullah berkata, rampasan dibuat hasil risikan pasukan operasi khas APMM yang berjaya mengesan pergerakan masuk sebuah bot fiber dari negara jiran pada kedudukan 2.26 batu nautika barat laut muara Kuala Perlis sekitar 1.42 pagi.

    “Menyedari kehadiran bot peronda APMM, dua suspek lelaki dipercayai warga tempatan bertindak membuang satu bungkusan plastik berwarna hitam ke dalam laut sebelum menukar haluan berpatah balik ke negara jiran (Thailand),” katanya kepada pemberita di Kangar, hari ini.

    Mohd. Zawawi berkata, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan plastik hitam tersebut menemukan 30 bungkus ketulan ganja mampat dengan anggaran berat keseluruhan 30kg.

    “Taktik mencampak barang antara yang sering dilakukan oleh kebanyakan sindiket yang melakukan aktiviti penyeludupan bagi memperdaya pihak berkuasa selain untuk memperlahankan bot APMM yang mengejar mereka,” katanya.

    Beliau berkata, daripada maklumat yang diperoleh APMM, sindiket tersebut mengunakan kaedah barter trade atau perdagangan barter iaitu sindiket dari Thailand membawa masuk dadah jenis ganja ke negara ini dan menukarnya dengan daun ketum daripada sindiket tempatan.

    Menurutnya, ini merupakan rampasan kedua dan terbesar bagi Zon Maritim Kuala Perlis pada awal tahun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama
     

  • Lima warga Bangladesh ditahan, sindiket judi online tumpas

    Lima warga Bangladesh ditahan, sindiket judi online tumpas

    POLIS menumpaskan satu sindiket judi online yang berselindung di sebalik kondominium sekitar Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur selepas diserbu hari ini.

    Seramai lima lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an dipercayai operator sindiket ditahan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sindiket itu dipercayai mempromosi judi online untuk pasaran Bangladesh di premis yang disewa pada harga RM1,700 sebulan.

    “Setiap pekerja menerima upah sebanyak RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

    “Sindiket ini telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dan mampu meraih keuntungan kira-kira RM10,000 sehari.

    “Kita turut merampas telefon bimbit pelbagai jenama dan komputer riba untuk kegunaan perjudian,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Dalam perkembangan berasingan, Habibi berkata, seramai 306 individu ditangkap dalam Op Dadu sejak 1 Januari sehingga 3 Februari lalu.

    “Daripada tangkapan itu, 156 orang telah didakwa di mahkamah, selebihnya masih dalam siasatan,” katanya.

    Beliau berkata, polis turut merampas 947 pelbagai rampasan komputer, ko dan telefon bimbit serta wang tunai di rampas RM27,288.

  • Lelaki maut terjun tingkat 12 selepas tikam isteri hingga mati

    Lelaki maut terjun tingkat 12 selepas tikam isteri hingga mati

    PENEMUAN mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah di tingkat bawah sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Pulau Pinang awal pagi tadi membongkar satu kejadian pembunuhan di dalam salah sebuah unit rumah di pangsapuri terbabit.

    Lelaki itu dipercayai bertindak menikam isterinya sehingga maut sebelum terjun dari tingkat 12 pangsapuri berkenaan dan dijumpai orang awam kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, lelaki berusia 54 itu dipercayai bertindak menikam isterinya yang berusia 46 tahun selepas berlaku salah faham antara mereka.

    Bagaimanapun tambahnya, kejadian itu hanya terbongkar beberapa jam kemudian apabila ibu kepada mangsa wanita memaklumkan gagal menghubungi anaknya yang merupakan isteri kepada lelaki berkenaan.

    Kata beliau, polis kemudiannya ke rumah mangsa di tingkat 12 sebelum mendapati wanita berkenaan dalam keadaan berlumuran darah di atas katil di dalam bilik.

    “Hasil pemeriksaan ke atas mayat mendapati ada dua kesan tikaman pada leher dan paha mangsa selain penemuan pisau yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

    “Kita tidak menolak kemungkinan suspek menikam isterinya sebelum bertindak terjun,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

    Menurut Saravanan, pasangan itu yang bekerja kilang mempunyai anak berusia 18 tahun yang ketika kejadian berada di rumah neneknya di Air Itam.

    Dalam pada itu, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

  • MBPP beri notis tunjuk sebab kepada peniaga bergaduh rebut pelanggan di Padang Kota Lama

    MBPP beri notis tunjuk sebab kepada peniaga bergaduh rebut pelanggan di Padang Kota Lama

    DUA peniaga yang terlibat dalam  pergaduhan di Kompleks Medan Renong, Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang sehingga tular dalam media sosial 2 Februari lalu telah diberikan notis tunjuk sebab oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

    MBPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kedua-dua peniaga itu perlu memberikan penjelasan berhubung kejadian tersebut dalam tempoh tujuh hari atau sehingga 10 Februari ini.

    Menurutnya, MBPP berasa amat kesal dengan kejadian pergaduhan itu dan peniaga terlibat  perlu memberi penjelasan berhubung kejadian tersebut.

    Tambahnya, insiden itu tidak seharusnya berlaku dan MBPP selaku pemiik kompleks makanan berkenaan amat memandang serius kejadian tersebut.

    “Siasatan dalaman serta tindakan susulan juga telah diambil dan tarikh akhir bagi peniaga berkenaan untuk membalas surat tun tersebut adalah pada 10 Februari ini.

    “Penjelasan daripada kedua-dua peniaga akan diambil maklum oleh MBPP dalam Mesyuarat Jawatankuasa Majlis untuk keputusan dan tindakan lanjut tanpa sebarang prasangka,” katanya.

    Dalam pada itu tambah MBPP, pihaknya tidak akan bertoleransi dan berkompromi dengan apa-apa tindakan yang akan mengganggu ketenteraman awam atau merosakkan keharmonian di kawasan awam dan kemudahan yang disediakan oleh MBPP. 

    Jelasnya, MBPP juga tidak membenarkan mana-mana peniaga di dalam kompleks milik MBPP untuk memonopoli mana-mana ruang atau meja yang disediakan untuk kepentingan persendirian.

    “Orang awam adalah bebas untuk memilih tempat duduk mereka dan membuat pesanan atau membeli makanan dan minuman dari mana-mana gerai yang mereka suka,” katanya.

    Pada 2 Februari lalu, insiden pergaduhan tercetus di Kompleks Medan Renong, Padang Kota Lama yang merupakan lokasi tumpuan pelancong dengan videonya turut tular di dalam media sosial.

    Polis Pulau Pinang kemudiannya mengesahkan kejadian itu dengan siasatan awal mendapati ia disebabkan perebutan pelanggan dan dendam lama antara dua peniaga di medan selera berkenaan.

  • HRV terbakar ada kaitan aktiviti tarik kereta?

    HRV terbakar ada kaitan aktiviti tarik kereta?

    POLIS belum dapat mengenal pasti sama ada kejadian melarikan kenderaan dan kebakaran yang mengorbankan tiga individu di Jalan Wakaf Bharu-Palekbang, Tumpat Kelantan awal pagi semalam mempunyai kaitan dengan aktiviti tarik kereta.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, pihaknya masih lagi melakukan siasatan termasuk memburu seorang lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai rakan mangsa terbabit dengan kejadian tersebut.

    Menurut beliau, pihaknya sudah mengenal pasti lelaki berkenaan dan percaya dia masih ada di sekitar Kelantan.

    “Siasatan juga mengambil kira pelbagai aspek termasuk laporan dibuat lelaki berusia 28 tahun yang mendakwa kenderaan utiliti sukan (SUV) Ford Ranger miliknya yang dilarikan ketika kejadian,” katanya, hari ini.

    Mohd Azmir berkata, identiti dua mangsa rentung masih dalam proses pengenalpastian menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA), manakala seorang lagi mangsa yang maut tercampak berusia 33 tahun.

    Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, tiga individu meninggal dunia selepas Honda HRV dinaiki terbakar selepas terbabas akibat dikejar sebuah kereta BMW dipandu lelaki berumur 28 tahun.

    Sebelum itu, semua mangsa bersama seorang lelaki yang masih belum ditemui ke sebuah rumah di Sungai Pinang di sini dan melarikan Ford Ranger.

  • Nenek 74 tahun rugi RM52,300 gara-gara Love Scam

    Nenek 74 tahun rugi RM52,300 gara-gara Love Scam

    SEORANG wanita warga emas kerugian RM52,300 apabila wang simpanannya lesap gara-gara terperangkap dalam jerat cinta satu sindiket Love Scam.

    Wanita berusia 74 tahun itu yang juga seorang pesara dikatakan terpedaya dengan sindiket Love Scam tersebut selepas berkenalan dengan lelaki dikenali Nelson Michael melalui Facebook pada 18 Disember tahun lalu.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, sepanjang perkenalan mangsa tidak pernah berjumpa dengan
    suspek yang mendakwa berasal dari Amerika Syarikat dan dikatakan bekerja dalam bidang cari gali minyak di Miri, Sarawak.

    Menurut beliau, selepas sebulan perkenalan berlangsung, suspek mahu meminjam wang daripada mangsa disamping melahirkan keinginannya untuk berkahwin dengan mangsa sekiranya permintaan dipenuhi.

    Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada hari ini Mohd Wazir memberitahu, ekoran itu mangsa telah melakukan tujuh transaksi ke dalam akaun bank diberikan suspek sehingga 31 Januari lalu berjumlah RM52,300.

    Katanya, selepas melakukan pemindahan wang, suspek tidak lagi menghubungi mangsa sehingga ke hari ini.

    “Ekoran itu, mangsa merasakan dirinya ditipu dan tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Khamis.

    “Modus operandi suspek ialah berkenalan dan menjalin hubungan dengan mangsa melalui Facebook bagi memperdaya mangsa agar memasukkan duit ke dalam akaun diberikan,” ujarnya.

    Selain itu jelas beliau, suspek turut menggunakan kata-kata manis termasuk akan mengahwini mangsa semata-mata untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.

    Ujarnya, polis telah merakam percakapan mangsa untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

  • JAKIM arah jabatan agama negeri siasat jika wujud ajaran sesat

    JAKIM arah jabatan agama negeri siasat jika wujud ajaran sesat

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan jabatan agama di setiap negeri mengambil tindakan jika terdapat laporan kegiatan ajaran sesat yang berlaku di negeri masing-masing.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, jika kegiatan ajaran sesat itu dipaparkan dalam media sosial, JAKIM yang menerima laporan berkenaan akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    “Apabila kegiatan ajaran sesat itu berlaku di mana-mana negeri, JAKIM akan menghubungi jabatan agama di negeri terbabit untuk mengambil tindakan. Ia sama seperti kes kegiatan ‘Mimpi Terakhir’, apabila JAKIM meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak.

    “Begitu juga kes bomoh di Perak, kita minta pihak berkaitan yang bertindak. Jabatan agama di setiap negeri memang bekerjasama baik dengan JAKIM, jadi masing-masing akan bertindak jika memerlukan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Terdahulu beliau melancarkan Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022, di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

    Idris mengulas tindakan yang akan diambil mengenai ajaran ‘mimpi’ lelaki Pakistan yang disebarkan oleh kumpulan dikenali Gerakan Akhir Zaman (Gaza).

    Kumpulan Gaza itu berasal dari Indonesia dan dikatakan sedang membuat persiapan untuk akhir zaman berdasarkan mimpi seorang lelaki dari Pakistan yang dikenali sebagai Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah dalam mimpinya.

    Antara dakwaan mimpi lain yang dialami Muhammad Qasim adalah bertemu Allah, bertemu Rasulullah sebanyak 300 kali namun tidak berani memandang baginda serta diberikan amanah oleh Allah untuk berkongsi mimpinya dengan masyarakat.

    Selain itu, lelaki itu mendakwa bermimpi bertemu dajal beberapa kali, selain dapat melihat Yakjuj dan Makjuj ketika dilepaskan di bumi.

    Sementara itu, Idris turut menasihatkan umat Islam di negara ini untuk mempelajari ilmu agama dengan guru yang bertauliah supaya tidak terjebak dengan sebaran fahaman sesat.

    “Saya lihat terdapat segelintir umat Islam hanya bergantung dan ‘berguru’ di media sosial semata-mata, seperti yang dinyatakan Imam Ghazali, mengaji tanpa berguru itu tok gurunya adalah syaitan.

    “Sebab itu, kita perlu belajar sekurang-kurangnya ilmu asas agama Islam, jika mempunyai asas agama, bila ada fahaman sesat itu, kita tahu perkara itu tidak logik,” katanya.

  • Siasat ajaran ‘wali tujuh’ didakwa miliki ilmu kebal, batin

    Siasat ajaran ‘wali tujuh’ didakwa miliki ilmu kebal, batin

    JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Pejabat Mufti Sabah sedang menyiasat ajaran kumpulan ‘wali tujuh’ yang didakwa menuntut ilmu kebal dan batin dibimbangi boleh mendatangkan ancaman keselamatan terhadap negeri ini.

    Menteri Tugas-tugas Khas Sabah, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, pihaknya, JHEAINS dan Pejabat Mufti Sabah masih mendapatkan maklumat terperinci berhubung perkara itu.

    “Itu tidak mustahil (mengancam keselamatan) dan sebab itu kita perlukan penjelasan kerana kita tidak mahu nilai-nilai yang bertentangan dengan agama.

    “Biasanya yang bertentangan, yang menyeleweng ini mudah untuk ekstrem, mudah untuk menyelewengkan semangat atau akidah untuk melakukan sesuatu kekerasan dan sebagainya,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini, selepas ditemui pemberita di Surau Al-Abid, Desa Kastam Sepanggar, Kota Kinabalu, malam tadi.

    wali tujuh
    Tiga PATI dipercayai terbabit dalam ajaran meragukan di Kinabatangan pada Selasa lalu yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada Sabah

    Beliau mengulas berhubung tangkapan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai terbabit dalam ajaran meragukan di Kinabatangan pada Selasa lalu yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada Sabah.

    Diminta mengulas lanjut, pihaknya sedang mendapatkan maklumat sejauh mana penyebaran ajaran berkenaan di seluruh negeri ini dan dijangka maklumat berhubung perkara itu diterima dalam masa terdekat.

    “Kita akan dapatkan maklumat dulu, dalam minggu ini ada data. Kita akan dapatkan juga sumber daripada yang membuat laporan berkenaan.

    “Mufti sedang meneliti perkara berkenaan dan kita boleh rujuk kepada mufti kita,” katanya.

    Tambah beliau lagi, setakat ini bahagian penguat kuasa dan pegawai tadbir JHEAINS daerah telah diarah untuk membuat siasatan mengenainya.

    “Hasil siasatan akan dibawa ke pejabat mufti untuk mendapatkan pandangan hukum berhubung ajaran itu.

    “Ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah atau ajaran-ajaran sesat yang menyeleweng boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS),” katanya.

    Sehubungan itu, Mohd Arifin menasihatkan orang ramai yang meragui sesuatu ajaran diminta merujuk atau melaporkan segera kepada JHEAINS di daerah-daerah.

    “Kalau kita di daerah, rujuk kepada JHEAINS, rujuk kepada guru-guru agama kita yang bertauliah dan sekiranya kita ragu-ragu insya-ALLAH kita akan berikan penjelasan.

    “Sebelum ini pun kita sudah mewartakan beberapa ajaran yang menyeleweng dan ini boleh dirujuk daripada warta dan juga kepada irsyad hukum jabatan atau Pejabat Mufti Negeri Sabah,” katanya.