Category: Jenayah

  • Isu integriti: SPRM serbu tiga pejabat Mara di Kuala Lumpur

    Isu integriti: SPRM serbu tiga pejabat Mara di Kuala Lumpur

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mara Corporation dan Pejabat Setiausaha Syarikat kepada Mara Corporation dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Lumpur, hari ini.

    Astro Awani melaporkan, difahamkan, dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi, lebih 10 pegawai SPRM dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya menyerbu pejabat Mara di di Jalan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang bagi mendapatkan maklumat berkaitan dakwaan isu integriti pegawai kanan agensi terbabit.

    Difahamkan, serbuan dilakukan bagi mengumpul dokumen dan mengambil keterangan beberapa saksi daripada Mara Corporation.

     Sebelum ini, media melaporkan SPRM akan menjalankan siasatan berhubung isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara bermula 7 Februari ini.

    SPRM turut memaklumkan, pihaknya memandang serius berhubung dakwaan berkaitan perkara tersebut yang tular menerusi satu hantaran di media sosial, baru-baru ini.

    Siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

    Pada Jumaat lalu, sepucuk surat berhubung permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Mara tular di Twitter.

    Pendedahan itu dilakukan oleh pemilik akaun @ES_EdisiKhas yang melampirkan enam helai surat tersebut berhubung integriti pegawai-pegawai Mara.

    Surat yang bertarikh 30 Januari itu dihantar oleh Pengerusi Eksekutif MARA Corporation, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Dun.

  • Sebahagian penduduk berdekatan tapak sampah Pulau Burung yang terbakar dibenar pulang

    Sebahagian penduduk berdekatan tapak sampah Pulau Burung yang terbakar dibenar pulang

    SEBAHAGIAN daripada kira-kira 400 penduduk yang terjejas akibat kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula hari ini.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas cerapan terkini dan ulasan teknikal daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mendapati kualiti udara di sekitar kawasan terutamanya di Kampung Kebun Baru semakin baik.

    Bagaimanapun tambah kenyataan itu, penduduk di Ladang Byram dinasihatkan untuk tidak kembali ke rumah buat masa ini memandangkan JAS masih perlu melakukan pemantauan lanjut sehingga bacaan kualiti udara yang stabil diperoleh.

    “Dalam pada itu, penduduk di sekitar SPS khususnya dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan kesihatan diri.

    “Sekiranya didapati mempunyai gejala seperti sesak nafas dan tidak sihat, mereka dinasihatkan supaya terus mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital berhampiran,” kata kenyataan itu.

    Kebakaran seluas kira-kira 11.3 hektar di tapak pelupusan sampah itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 1 Februari lalu iaitu selepas kira-kira 20 hari operasi pemadaman dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

    Tapak pelupusan sampah itu mula dikesan terbakar pukul 5 petang pada 12 Januari lalu sehingga diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Ekoran itu, kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga di kawasan sekitar iaitu Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru diarahkan berpindah sementara berikutan kualiti udara yang tercemar dan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan di SK Bakap Indah.  

    Kejadian itu turut menyebabkan sebanyak 10 buah sekolah berdekatan diarahkan ditutup selama tiga hari berikutan indeks udara menunjukkan kepekatan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa. 

  • PDRM nafi keluar amaran berhubung sindiket culik kanak-kanak

    PDRM nafi keluar amaran berhubung sindiket culik kanak-kanak

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan ada mengeluarkan amaran berhubung satu sindiket culik kanak-kanak bagi mendapatkan organ.

    PDRM mengesan sebaran mesej palsu itu dalam media sosial yang kononnya dikeluarkan Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman.

    Superintendan Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Superintendan A. Skandaguru berkata, mMesej itu kononnya memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya berwaspada dengan sindiket penculikan menggunakan Proton Wira dan sebuah van putih.

    “Mereka dikatakan menyasarkan kanak-kanak serta remaja berusia di bawah 15 tahun bagi mendapatkan organ tertentu untuk dijual.

    “Mesej sama juga menyenaraikan harga bagi organ dijual seperti jantung, hati, paru-paru, buah pinggang dan mata,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata, tiada laporan polis diterima berkaitan kes penculikan dan penjualan organ manusia seperti didakwa.

    Tambahnya, semakan mendapati mesej palsu itu tular sejak 2016 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial, malah tiada sebarang amaran sedemikian pernah dikeluarkan oleh pihak Bukit Aman.

    Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan berita tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

    Katanya, tindakan berkongsi atau menyebar berita sedemikian akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat.

  • Meninggal dunia ketika daki bukit di Georgetown

    Meninggal dunia ketika daki bukit di Georgetown

    SEORANG lelaki meninggal dunia ketika melakukan aktiviti pendakian di bukit berhampiran Taman Botani, Jalan Kebun Bunga di Georgetown, semalam.

    Mangsa berusia 54 tahun ditemukan tidak sedarkan diri pada ketinggian 200 meter dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

    Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal Safry Romli, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 4.10 petang.

    Katanya, sepasukan lima anggota mendaki kira-kira 20 minit iaitu sejauh 450 meter ke lokasi mangsa ditemukan pengsan.

    “Ketika tiba di tempat kejadian, didapati mangsa tidak sedarkan diri pada ketinggian 200 meter bukit berkenaan.

    “Pasukan penyelamat memberi bantuan kecemasan jantung dan pernafasan atau cardiopulmonary resuscitation (CPR) selama 30 minit kepada mangsa,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

    Safry berkata, anggota bomba menurunkan mangsa ke kaki bukit menggunakan pengusung.

    “Mangsa yang disahkan meninggal dunia kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.

    Difahamkan mangsa dari Sungai Ara, Bayan Lepas, sebelum itu melakukan aktiviti mendaki bersama kira-kira 10 rakannya sebelum didapati tidak sedarkan diri.

  • Tipu pakej perkahwinan: Bapa, anak lelaki ditahan

    Tipu pakej perkahwinan: Bapa, anak lelaki ditahan

    SEORANG lelaki dan anaknya ditahan semalam kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan perkhidmatan pakej perkahwinan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata kedua-dua lelaki berusia 57 dan 25 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang, susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita berusia 24 tahun pada Januari lepas.

    Beliau berkata wanita itu tertarik untuk mendapatkan perkhidmatan perunding perkahwinan dari sebuah syarikat yang dikendalikan dua beranak itu pada sekitar Mei tahun lepas yang meliputi tawaran pakej perkahwinan termasuk dewan, katering, pakaian pasangan pengantin dan jurugambar.

    Wanita itu membayar deposit RM7,265 bagi mendapatkan perkhidmatan itu, namun tidak diberikan perkhidmatan seperti yang dijanjikan untuk majlis perkahwinannya.

    “Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur menerima laporan polis daripada wanita itu pada 3 Jan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Mohd Mahidisham berkata kedua-dua lelaki terbabit direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Berdasarkan hasil siasatan, polis mengesyaki terdapat ramai lagi mangsa ditipu dan meminta mereka tampil untuk membuat laporan polis, katanya.

    Beliau turut menasihati peniaga supaya tidak menawarkan perkhidmatan atau menjual barangan sekiranya tidak ada kemampuan dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan alasan pandemik COVID-19 kepada pelanggan jika gagal menunaikan janji mereka.

    — BERNAMA

  • Warga asing larikan RM15,000 milik pengusaha restoran ditahan

    Warga asing larikan RM15,000 milik pengusaha restoran ditahan

    POLIS menahan seorang pelanggan warga asing selepas beberapa jam melarikan wang milik pengusaha sebuah restoran di Jalan Tenggiri 17/23, Seksyen 17, Shah Alam semalam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata, suspek ditangkap kira-kira 4 petang di tempat kejadian susulan laporan polis oleh pengusaha restoran berkenaan.

    Katanya, pemilik restoran telah membuat laporan polis semalam dengan menganggarkan jumlah kerugian RM15,000 selepas wang dalam beg tangan hilang.

    “Suspek adalah lelaki warga Indonesia dikenal pasti sebagai pelanggan yang sering ke restoran berkenaan.

    “Pasukan polis Balai Sri Muda mengesan dan menangkap suspek yang berumur 36 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan,” katanya lapor Harian Metro.

    Baharudin berkata, dalam tangkapan itu, polis merampas beg tangan mangsa bersama wang tunai untuk siasatan lanjut dan ketika tangkapan ke atas suspek, jumlah wang dijumpai semula sebanyak RM9,500 di mana suspek mengaku sempat membelanjakan wang itu.

    Beliau berkata, permohonan reman dibuat terhadap suspek untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

    Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di restoran pada 11.15 pagi, suspek kelihatan mundar-mandir di kaunter restoran sebelum bertindak mengambil beg tangan yang diletakkan di sebalik kaunter, memasukkan ke dalam bajunya dan melarikan diri.

  • Anggota polis patah kaki dirempuh kereta lari sekatan

    Anggota polis patah kaki dirempuh kereta lari sekatan

    SEORANG anggota polis parah selepas dirempuh sebuah kereta dalam sekatan jalan raya di Seri Kembangan, Serdang awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A Anbalagan berkata, dalam kejadian pada 1.50 pagi itu, Lans Koperal Meor Mohd Asri Meor Azlan Shah, 33, yang bertugas di Balai Polis Seri Kembangan, patah kaki kanan dan menerima enam jahitan di belakang kepala selain cedera di kedua-dua belah tangan.

    “Beliau kini dirawat di Hospital Serdang dan dalam keadaan sedar serta stabil,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Anbalagan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota berjaya mengesan kenderaan terbabit dan menahan tiga suspek termasuk seorang wanita di depan sebuah kedai makan di Taman Serdang Perdana pada 3 pagi.

    “Siasatan lanjut mendapati dua suspek lelaki berusia 29 tahun serta wanita berusia 24 tahun itu mempunyai kesalahan lampau membabitkan penyalahgunaan dadah dan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amfetamina, metamfetamina dan ketamin.

    “Suspek lelaki yang merupakan pemandu kereta berkenaan pula mempunyai 16 saman trafik membabitkan kesalahan pandu laju, tidak mempunyai lesen memandu dan memotong barisan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Pemandu kereta berkenaan direman selama enam hari bermula hari ini manakala dua lagi suspek direman selama tiga hari,” katanya. – BERNAMA

  • SPRM siasat isu integriti pegawai kanan MARA

    SPRM siasat isu integriti pegawai kanan MARA

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan siasatan akan dijalankan bermula Isnin ini dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation.

    “Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan,” menurut kenyataan itu.

    Semalam Bernama melaporkan Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya memulakan siasatan lanjut di MARA Corporation dengan meneliti dokumen-dokumen berkaitan bagi memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik.

    “Sekiranya wujud sebarang salah laku dalam tadbir urus anak syarikat di bawah agensi ini, MARA sesekali tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang terlibat atas prinsip menjunjung nilai integriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya lagi. – BERNAMA

  • Enam PATI diberkas semasa cuba pulang ke Indonesia

    Enam PATI diberkas semasa cuba pulang ke Indonesia

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    ENAM pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba keluar dari negara ini tidak berjaya apabila diberkas semasa menaiki pacuan empat roda dan motosikal di Ladang Bukit Batu Mas, Pengerang, Kota Tinggi, hari ini.

    Semua PATI berkenaan dipercayai sedang menuju ke satu kawasan bot sedang menunggu untuk membawa mereka pulang namun kehadirannya berjaya dikesan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang melakukan Op Benteng.

    Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia ATM, kesemua PATI itu terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 21 hingga 39 tahun.

    “Pada pukul 9.20 pagi, Tim Peronda telah mengesan dan melihat pergerakan orang yang mencurigakan di ladang tersebut. Kemudian pada pukul 10.30 pagi, tim telah berjaya menangkap enam PATI bersama-sama sebuah kenderaan pacuan empat roda.

    “Kenderaan itu dipercayai ditinggalkan tekong darat semasa melarikan diri selain juga dijumpai lima buah motosikal yang dibawa PATI berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pemeriksaan mendapati semua PATI tidak mempunyai pengenalan diri yang sah dan cuba balik ke Indonesia secara tidak sah.

    Katanya, semua PATI berkenaan diserahkan ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk soal siasat dan proses dokumentasi.

    Mereka ujarnya, akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru manakala kenderaan yang dirampas diserahkan ke Balai Polis Pengerang untuk tindakan lanjut.

    Beliau berkata, laporan pula dibuat di Balai Polis Bayu Damai, dekat sini pada jam 12.30 tengah hari.

    Nilai keseluruhan rampasan katanya, dianggarkan berjumlah RM29,282 melibatkan wang tunai RM192, kenderaan pacuan empat roda bernilai RM19,000, lima motosikal bernilai RM7,300 dan enam telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM2,790.

    “Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM serta dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.

  • Lelaki maut terjun tingkat 12 tikam isteri 34 kali

    Lelaki maut terjun tingkat 12 tikam isteri 34 kali

    HASIL bedah siasat ke atas mayat wanita berusia 46 tahun yang maut akibat ditikam suaminya sebelum lelaki itu terjun dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Pulau Pinang semalam mendapati mangsa ditikam sebanyak 34 kali.

    Perkara itu disahkan Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan yang memaklumkan bedah siasat ke atas mayat wanita berkenaan siap dijalankan hari ini.

    “Berdasarkan hasil bedah siasat, wanita tersebut ditikam sebanyak 34 kali di badannya,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Dalam kejadian awal pagi semalam, satu kes pembunuhan di sebuah rumah di pangsapuri itu terbongkar selepas penemuan mayat seorang lelaki di bahagian bawah pangsapuri berkenaan oleh orang awam kira-kira pukul 7.30 pagi.

    Lelaki berusia 54 tahun itu dipercayai bertindak nekad terjun dari tingkat 12 pangsapuri berkenaan selepas menikam isterinya di kediaman mereka.

    Mayat wanita berkenaan ditemukan di dalam sebuah bilik kediaman pasangan itu beberapa jam kemudian selepas ibu wanita berkenaan membuat laporan polis berikutan gagal menghubungi anaknya itu.

    Difahamkan, pasangan suami isteri  yang bekerja di kilang di Bayan Lepas itu berselisih faham dan polis turut menjumpai sebilah pisau dipercayai digunakan lelaki berkenaan untuk menikam isterinya hingga mati.

    Pasangan itu mempunyai anak berusia 18 tahun namu  ketika kejadian tiada di rumah kerana tinggal bersama neneknya di Air Itam.