Category: Jenayah

  • Sumpah laknat wanita kes cabul bekas ADUN tak ganggu siasatan polis

    Sumpah laknat wanita kes cabul bekas ADUN tak ganggu siasatan polis

    TINDAKAN seorang wanita yang membuat pengakuan sumpah laknat melibatkan dakwaan kes cabul oleh seorang bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor, tidak menganggu siasatan pihak polis.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat turut menjelaskan bahawa, siasatan kes berkenaan juga masih diteruskan.

    “Tidak ada (ganggu siasatan)…itu adalah (dakwaan) peribadi dia. (Kes ini) kita akan terus siasat secara adil dan saksama,” katanya selepas Operasi Samseng Jalanan, di Johor Bahru hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang wanita yang melakukan pengakuan sumpah laknat berhubung kes cabul melibatkan bekas ADUN berkenaan semalam.

    Kamarul Zaman baru-baru ini berkata, kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan bekas ADUN berkenaan terhadap seorang wanita, yang juga ahli sebuah parti politik telah dilengkapkan.

    Beliau berkata, kertas siasatan itu juga telah diserahkan kepada Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

    Kamarul Zaman turut menjelaskan bahawa seramai 11 individu telah memberikan keterangan membabitkan kes itu, termasuk bekas ADUN dan wanita tersebut. – BERNAMA

  • Penganggur malang lesap RM22,840 ditipu scammer

    Penganggur malang lesap RM22,840 ditipu scammer

    AKIBAT terpedaya dengan tawaran kerja palsu dalam laman sosial, seorang penganggur terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM22,840 setelah wang simpanannya habis licin ditipu sindiket tersebut.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof memberitahu, mangsa merupakan seorang wanita berusia 33 tahun telah melihat tawaran kerja berkenaan di akaun Facebook lalu menghubungi nombor tertera di laman sosial itu pada pukul 3.30 petang

    Menurut beliau ketika itu mangsa sedang berada di rumahnya di Air Putih, Kuantan.

    Menurut beliau, mangsa kemudian berurusan dengan seorang wanita dikenali sebagai Evon dan menyatakan minatnya untuk melakukan kerja-kerja promosi dan penjualan produk yang ditawarkan.

    Katanya, suspek memaklumkan mangsa akan diberikan komisen sebanyak RM600 melalui barangan yang ditempah dan diberikan satu aplikasi ‘Isalebiz’ untuk membuat tempahan 60 barangan dengan menggunakan wangnya sendiri.

    “Mangsa turut dimaklumkan wang miliknya akan dikembalikan semula berserta komisen dan keuntungan daripada penjualan produk secara terus ke dalam akaunnya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Mohd Wazir, penganggur terbabit kemudiannya bersetuju dan membuat pembelian sebanyak RM600 sebagai permulaan.

    Ujarnya, hasil daripada penjualan melalui aplikasi Isalebiz itu, mangsa telah memperoleh komisen sebanyak RM182 dan dia mula yakin lalu membuat pembelian berskala besar untuk memperoleh lebih banyak komisen.

    Menurut beliau, mangsa kemudian telah memasukkan wang sebanyak RM22,840 ke dalam empat akaun berbeza menerusi lima transaksi secara dalam talian sebelum diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM8,640 bagi mendapatkan semua wang serta komisen itu.

    Bagaimanapun katanya, mangsa tidak membuat sebarang pembayaran kerana sudah kehabisan wang dan suspek memaklumkan jika gagal berbuat demikian wang dan komisen mangsa tidak akan dipulangkan semula.

    “Sebaik menyedari merasakan dirinya telah ditipu, semalam mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Daerah Kuantan, jelas beliau.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Lapan kaki judi dicekup semasa syok main mahjong, terup

    Lapan kaki judi dicekup semasa syok main mahjong, terup

    SERAMAI lapan individu termasuk seorang wanita ditahan ketika sedang leka berjudi dalam serbuan di sebuah pondok tidak bernombor di Kampung Batu 6, Lukut, Port Dickson malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 29 hingga 50 tahun itu ditahan menerusi Op Limau dan Tahun Baru Cina kira-kira pukul 8.40 malam.

    “Sebaik polis tiba di lokasi, dua kumpulan dilihat sedang mengelilingi dua meja dengan meja pertama dikelilingi tiga lelaki dan seorang wanita yang berjudi daun terup manakala empat lelaki berjudi jenis mahjong di meja kedua.

    “Polis kemudiannya merampas 152 batu mahjong, kad daun terup (52), dadu (tiga), meja (dua), kerusi (lapan), kertas mahjong (empat) dan wang tunai berjumlah RM728 yang dijadikan pertaruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut mendapati dua daripada lapan individu itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

    Aidi Sham berkata, susulan itu, kesemua mereka bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BERNAMA

  • Polis tahan pelajar Tingkatan Enam pecah rumah

    Polis tahan pelajar Tingkatan Enam pecah rumah

    SEORANG pelajar lelaki Tingkatan Enam ditahan selepas disyaki terbabit dengan kegiatan pecah rumah di Kuala Selangor, semalam.

    Suspek berusia 20 tahun ditahan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 6 petang.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, tangkapan itu susulan laporan polis daripada pelajar perempuan sebuah kolej swasta yang mendakwa rumahnya dipecah masuk di Taman Warisan pada 7 Februari lalu.

    “Mangsa mendapati telefon bimbit miliknya hilang. Selain itu, rakannya juga dimaklumkan barang miliknya turut hilang.

    “Barangan yang hilang itu ialah dua telefon bimbit, dua komputer riba, sebuah beg mengandungi komputer riba dan fon telinga,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Ramli berkata, berdasarkan maklumat dan risikan pihaknya menahan sebuah Proton Iswara di Taman Meranti.

    “Hasil pemeriksaan di kenderaan itu menemui barangan yang disyaki dicuri oleh suspek.

    “Semakan mendapati pelajar itu masih lagi bersekolah di sebuah sekolah menengah di Kuala Selangor,” katanya.

    Menurutnya, soal siasat masih dijalankan terhadap suspek atas pembabitan kes itu.

    “Kita tidak menolak kemungkinan modus operandi suspek adalah dengan masuk ke dalam rumah pelajar yang disewa oleh pihak kolej.

    “Suspek direman bermula semalam sehingga 15 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

  • Pelajar perempuan dicabul lelaki gila seks

    Pelajar perempuan dicabul lelaki gila seks

    SEORANG pelajar perempuan yang dalam perjalanan pulang dari sekolah di Taman Connaught, Kuala Lumpur, berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa rakus lelaki gila seks, pukul 2 petang Rabu lalu.

    Gadis berusia 17 tahun terbabit berjalan kaki untuk pulang ke rumahnya di lorong belakang sebuah sekolah berdekatan Jalan Ahliman.

    Harian Metro melaporkan, tiba-tiba datang seorang lelaki memeluknya dari belakang dan menutup mulut mangsa dengan tangan.

    Menurut sumber, suspek kemudian bertindak mencabulnya menyebabkan mangsa yang ketakutan terus menjerit meminta pertolongan.

    “Akibat jeritan mangsa itu, suspek terus melarikan diri sebelum mangsa yang trauma dengan kejadian itu memaklumkan kepada keluarganya dan tampil membuat laporan di Balai Polis Cheras untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan sedang dijalankan.

    “Setakat ini masih belum ada tangkapan dan mangsa juga tidak dapat mengecam muka suspek,” katanya.

  • Pengasuh ditahan cederakan bayi 10 bulan

    Pengasuh ditahan cederakan bayi 10 bulan

    SEORANG pengasuh kepada bayi perempuan berusia 10 bulan ditahan kelmarin kerana disyaki mencederakan bayi terbabit di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bentong.

    Wanita berusia 26 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di bandar Bentong kira-kira pukul 12.30 pagi.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, hasil siasatan awal, suspek telah menarik telinga mangsa dan menyebabkan kecederaan ringan di telinga kiri bayi terbabit pada 8 Februari lalu.

    “Mangsa dirujuk ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan susulan.

    “Pusat jagaan itu juga didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Ujarnya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 14 Februari dan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    “Ibu bapa juga dinasihatkan supaya memastikan menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan yang memiliki kelulusan,” tambahnya lagi.

  • Suspek disyaki pecah mesin ATM ditahan polis

    Suspek disyaki pecah mesin ATM ditahan polis

    SUSPEK yang memecah mesin juruwang Automatik (ATM) di Chendering, Kuala Terengganu berjaya ditahan polis, petang semalam.

    Memetik laporan Berita Harian, suspek berusia 31 tahun yang merupakan seorang lelaki warga asing itu ditahan pada pukul 6 petang semalam di pekan Chabang Tiga, kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar, polis menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 3.55 pagi semalam, sebelum bergegas ke lokasi tersebut.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah mesin ATM sudah dibuka di bahagian penutup atas.

    Bagaimanapun katanya, bahagian peti simpanan wang dalam mesin itu gagal dibuka dan tiada kerugian dan kehilangan wang tunai.

    “Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana memecah masuk dan Seksyen 427 KK kerana melakukan khianat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan cubaan seorang lelaki mencuri wang di dalam mesin ATM di sebuah bank di Chendering gagal apabila alat penggera premis berkenaan berbunyi.

  • Anggota Kastam akan dipasang kamera badan Jun ini

    Anggota Kastam akan dipasang kamera badan Jun ini

    BAGI menangani kes salah laku dalam kalangan anggota dan penguat kuasanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka memulakan pemasangan kamera badan melibatkan anggota bertugas pada Jun ini.

    Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir, pemasangan kamera melibatkan seluruh anggota dan pegawai JKDM yang bertugas di lapangan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat kerana membabitkan peruntukan besar.

    Ini kerana katanya, kamera berkenaan bukan hanya digunakan untuk penguat kuasa, ia juga melibatkan pegawai yang bertugas terutama mereka yang berada di barisan hadapan (frontliner) seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kawasan sempadan negara.

    “Dijangkakan lebih 100 anggota kastam termasuk penguat kuasa akan terlibat dalam pemasangan kamera badan untuk fasa pertama,” katanya pada Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia (Corporate Social Responsibility) JKDM Terengganu bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) hari ini.

    Sebelum ini, Penguat kuasa JKDM disaran supaya memakai kamera pada badan sebagai inisiatif menangani kes salah laku dalam kalangan kakitangan agensi berkenaan.

    Selain meningkatkan lagi integriti pasukan, ia turut dilihat dapat membantu dijadikan bukti kepada anggota kastam yang kerap dituduh terbabit dalam aktiviti rasuah.

  • Polis rampas dadah bernilai RM25,700, berkas 12 individu

    Polis rampas dadah bernilai RM25,700, berkas 12 individu

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    DADAH jenis heroin dan syabu seberat 487.38gram bernilai RM25,700 berjaya dirampas polis dalam empat serbuan dilakukan di sekitar daerah Rompin bermula Jumaat hingga Khamis lalu.

    Dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rompin itu turut menahan 12 individu termasuk seorang wanita berusia 28 hingga 45 tahun untuk siasatan lanjut, lapor Sinar Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd. Azahari Mukhtar, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Janglau 3, Rompin pada pukul 4.20 petang, 4 Februari lalu.

    Menurut beliau, dalam serbuan itu polis telah menahan tiga lelaki dan merampas satu peket dadah jenis heroin seberat 36.35 gram.

    Katanya, serbuan kedua dilakukan pada 7 Februari lalu di dalam ladang kelapa sawit Felda Selancar Tiga, polis menemukan dadah jenis heroin seberat 60.56 gram dan syabu seberat 15.32 gram sebaik menahan tiga lelaki.

    Mohd Azahari (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai kenderaan yang disita selepas penahanan 12 individu yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah di daerah Rompin, Pahang.

    “Serbuan berasingan pada hari yang sama di Perwira Jaya, Muadzah Shah pula, polis menemukan 53.52 gram dadah disyaki jenis heroin dan syabu seberat 16.64 gram selepas menahan tiga lagi lelaki,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut Mohd Azahari, dalam serbuan keempat di sebuah hotel bajet di bandar Rompin pada Khamis lalu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 205 gram.

    Tambah beliau, polis turut menyita lapan motosikal, sebuah kereta dan sebuah pacuan empat roda dipercayai milik suspek yang berjumlah RM147,300.

    Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan positif dadah dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah serta pelbagai kesalahan lain.

    “Kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” ujar beliau.

    Ujarnya, siasatan awal mendapati keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 100 hingga 150 orang penagih pada satu-satu masa.

  • Penduduk gempar jumpa mayat lelaki terapung

    Penduduk gempar jumpa mayat lelaki terapung

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SUASANA menjadi gempar seketika apabila penduduk di Kampung Cherang Ruku, Pasir Puteh, menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung di kawasan jeti lama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, pagi semalam, lapor Sinar Harian.

    Mayat yang tidak mempunyai identiti itu ditemukan pada pukul 10.25 pagi oleh seorang penduduk kampung berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal, sebaik sahaja menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu pihaknya terus bergegas ke lokasi.

    Katanya, berdasarkan pemeriksaan luaran ke atas mayat mendapati tidak terdapat sebarang unsur jenayah.

    Menurut beliau, mayat tersebut kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk pemeriksaan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.