SEORANG penjawat awam lelaki kerugian RM711,626 selepas diperdaya oleh sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai mahkamah dan polis di Kuala Lumpur tahun lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata mangsa berusia 52 tahun itu telah dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah pada 4 Okt tahun lepas.
“Suspek memberitahu mangsa kononnya terlibat dengan pengubahan wang haram dan jenayah rasuah namun mangsa menafikannya.
“Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada pihak ‘polis’ dan diarahkan untuk membuat transaksi ke 13 akaun berbeza,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang ketakutan membuat 74 transaksi berjumlah RM711,626 di antara 15 Okt 2021 hingga 17 Jan lepas ke akaun berlainan.
Katanya mangsa yang menyedari dirinya tertipu membuat laporan polis pada Sabtu lepas dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Justeru, Mohd Mahidisham menasihati orang ramai agar mendapatkan butiran terperinci pihak berkuasa yang berhubung dengan mereka mengenai sebarang siasatan seperti nama dan pangkat pemanggil serta tempat bertugas.
“Buat semakan di balai berdekatan untuk memastikan butiran panggilan adalah benar-benar daripada pihak berkuasa dan membuat panggilan semula kepada agensi berkenaan melalui talian rasmi,” katanya. – BERNAMA
PEGAWAI polis yang maut selepas dipercayai menembak kepalanya di sebuah rumah di Jalan Selingsing, Kuala Lumpur semalam merupakan pegawai berintegriti tinggi, mempunyai prestasi kerja yang baik dan disenangi rakan.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, pegawai berusia 35 tahun itu pernah mendapat pujian daripada kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia dan menerima surat penghargaan Ketua Polis Negara kerana menolak suapan.
“Pegawai polis berkenaan pernah ditawarkan RM10,000 bagi cubaan membebaskan seorang OKT (Orang Kena Tahan) bagi kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, pada Ogos tahun lepas.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan pegawai berkenaan tiada masalah berkaitan kerja dan sebelum ini dia ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebagai pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan kemudian ditukarkan ke IPD Dang Wangi tiga bulan lepas.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani dokumen penerimaan semula pondok polis yang dibaik pulih oleh MRT Corp di Pondok Polis Batu 3, di Kuala Lumpur.
Menurutnya, proses bedah siasat pegawai polis berkenaan akan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur hari ini.
Beh berkata, pegawai itu yang mempunyai seorang isteri dan dua anak, ditemui mati di rumah kawannya.
“Saksi merupakan kawan kepada pegawai polis berkenaan, ketika kejadian ada kawan lelaki dan kawan perempuan dalam rumah yang didiami beberapa orang itu,” katanya.
Beh dilaporkan berkata, kejadian itu dimaklumkan pihaknya selepas Pusat Kawalan Ibu IPD Sentul menerima panggilan daripada sistem MERS 999 pada kira-kira 3.30 petang.
Semalam, seorang pegawai polis berpangkat Insp maut dipercayai menembak kepalanya dengan pistol dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Selingsing, pada Ahad.
Sementara itu, Beh berkata pondok polis yang diterima pihaknya itu akan beroperasi semula pada hari ini setelah tiga tahun ditinggalkan akibat pembinaan projek MRT. – BERNAMA
SEORANG pegawai polis yang bertugas di Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul maut dipercayai menembak diri di kepala dengan menggunakan pistol di sebuah rumah di Jalan Selingsing, Kuala Lumpur, hari ini.
Kejadian itu dimaklumkan kepada pihak polis selepas Pusat Kawalan IPD Sentul menerima panggilan daripada Sistem MERS 999 kira-kira pukul 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa lelaki yang berumur 35 tahun merupakan seorang pegawai kanan yang kini sedang berkhidmat di IPD Dang Wangi.
“Siasatan awal dipercayai mangsa telah menembak dirinya sendiri di bahagian kepala dengan menggunakan sepucuk pistol.
“Pihak ambulans telah sampai ke tempat kejadian dan pegawai perubatan yang bertugas telah mengesahkan kematian mangsa pada jam 3.59 petang,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.
Tambahnya, punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan pihak polis dan kes ini telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Pihak Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini untuk tampil memberikan keterangan ataupun menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Foo Keat How di talian 012-7461500 atau boleh juga menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul ditalian 03-40482206,” katanya.
POLIS Pulau Pinang telah mengenal pasti individu di dalam video yang tular di media dalam sosial yang memaparkan beberapa buah motosikal berkuasa tinggi ditunggang secara berbahaya di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya telah mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal yang merakam aksi berbahaya tersebut.
Jelas beliau, polis sedang mengesan penunggang-penunggang motosikal berkenaan bagi melengkapkan siasatan.
“Kita menerima satu laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Kamarul Rizal turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Hamizah Ahmad Rosli di talian 013-2064 682 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi kira-kira 45 saat yang memaparkan penunggang dua buah motosikal berwarna merah dan biru melakukan aksi mengangkat tayar hadapan atau ‘wheelie’ pada kelajuan tinggi di jambatan yang turut dikenali Jambatan Kedua Pulau Pinang itu tular di media sosial awal hari ini.
Dalam rakaman sama turut dipaparkan panel meter motosikal individu yang membuat rakaman yang menunjukkan kenderaan itu dipandu pada kelajuan lebih 280 kilometer sejam (km/j).
Malah, terdapat dakwaan di media sosial individu yang menaiki motosikal berkuasa tinggi itu merupakan pembantu kepada pendakwah terkenal namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan bekas eksekutif kanan sebuah syarikat televisyen bersatelit semalam, susulan pendedahan mengenai pemberian sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Amerika Syarikat.
Menurut sumber SPRM, proses mengambil keterangan itu dibuat di Ibu Pejabat SPRM di sini dan berlangsung kira-kira sembilan jam bermula 9 pagi.
“Beliau telah memberikan dokumen-dokumen untuk membantu siasatan berkaitan perkara tersebut,” kata sumber itu hari ini.
Sumber SPRM itu berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.
“Siasatan perkara ini masih di peringkat awal dan beberapa lagi individu akan dipanggil untuk membantu siasatan,” kata sumber itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan daripada bekas eksekutif kanan itu.
“Akan ada saksi-saksi lain yang akan dipanggil dan kita masih meneliti perkara ini,” kata Azam.
Rumah di London dan nama bekas eksekutif kanan itu antara yang disebut dalam perbicaraan kes 1MDB di Amerika Syarikat oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc Tim Leissner, yang menyatakan mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.
Leissner telah mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang. – BERNAMA
SEBUTIR bom lama sepanjang kira-kira 42 sentimeter ditemukan seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di Sungai Tupai, Taiping, hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Osman Mamat berkata, buruh berusia 46 tahun itu, menemukan bom dipercayai jenis mortar itu ketika sedang menjalankan kerja pembersihan bersama tiga lagi pekerja di atas tanah, dalam kawasan sungai pada kira-kira pukul 8.30 pagi.
“Pihak polis dari Balai Polis Pokok Assam telah sampai di tempat kejadian dan mendapati sebutir bom yang tidak dapat dipastikan jenisnya berada di atas tanah di lokasi kejadian.
“Anggota telah membuat kawalan dan pemeriksaan turut dilakukan oleh Pasukan Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping,” katanya dalam kenyataan di Taiping, hari ini.
Menurutnya, bom itu kemudian dimusnahkan oleh Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, dengan bantuan anggota Cawangan Persenjataan IPD Taiping.
Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dan kerosakan harta awam dilaporkan berlaku semasa tugas pemusnahan dijalankan. – Bernama
SEORANG pesara kerajaan dari Kuala Terengganu mengalami kerugian sejumlah RM532,800 apabila wang persaraan serta gadaian barangan kemas milik isterinya lesap setelah menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam.
Kejadian dikatakan bermula apabila lelaki berusia 65 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Mastura’ pada Oktober tahun lalu.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud, suspek pada mulanya menghubungi mangsa, memaklumkan nama lelaki itu berada dalam senarai perhatian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut beliau, selain itu suspek turut mendakwa mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram sebelum mengarahkannya membuka satu akaun baharu dengan memberikan semua maklumat peribadi dan akaun kepadanya, lapor Berita Harian.
Menurut M Zambri, mangsa yang ketakutan akur dengan arahan diberikan apabila bertindak mengeluarkan semua wang simpanannya selain turut menggadai barangan kemas isterinya sebelum wang diperoleh dimasukkan ke dalam akaun yang baharu dibuat.
Katanya, pada mulanya, mangsa tidak mengesyaki apa-apa namun menyedari ditipu apabila mendapati duit yang ada dalam akaun berkenaan dikeluarkan tanpa pengetahuannya.
Beliau berkata, cubaan mangsa menghubungi suspek juga gagal sebelum mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada Selasa lalu.
Ujarnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, M. Zambri mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku daripada penguat kuasa, bank atau mana-mana agensi kerajaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan terlebih dahulu sekiranya menerima panggilan seperti ini selain tidak sewenang-wenang memberi maklumat peribadi dan perbankan kepada individu tidak dikenali,” ujar beliau.
POLIS sudah memanggil 18 individu bagi memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi perempuan berusia 15 bulan di sebuah pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan, Seremban, kelmarin.
Mereka terdiri daripada pengusaha pusat asuhan, pengasuh dan ibu bapa lain yang menghantar anak di situ.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, hasil laporan bedah siasat dilakukan di Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, semalam, mendapati tekanan pada leher menjadi punca kematian bayi berkenaan.
“Bedah siasat dilakukan pada pukul 9.45 pagi hingga 1.10 tengah hari mendapati punca kematian mangsa disebabkan tekanan pada leher.
“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.
Tambah Nanda, hasil siasatan awal juga mendapati pusat jagaan kanak-kanak itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beroperasi sejak penghujung tahun 2019.
Katanya, pemilik pusat asuhan itu ialah dua wanita berusia 29 tahun dan 37 tahun.
Sebelum ini media melaporkan Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemui tidak sedarkan diri pukul 3 petang di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan terbabit.
Mangsa telah diberi susu oleh pengasuh dan dimasukkan ke dalam bilik tidur bersama dua kanak-kanak lain pada pukul 12.30 tengah hari.
Namun pada pukul 3 petang, pengasuh masuk semula ke dalam bilik dan mendapati mangsa dengan keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.
Pengasuh kemudian telah melakukan bantuan kecemasan kepada bayi terbabit namun mangsa didapati tidak bernafas dan meninggal dunia.
NOORYANA Najwa, anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengakui pernah pernah bertemu dengan dua bekas pekerja Goldman Sachs – Roger Ng dan Tim Leissner yang masing-masing pada ketika itu merupakan Ketua Pelaburan Perbankan Goldman Sachs Malaysia dan Pengerusi Asia Tenggara.
Menurut Nooryana, dia mengenali mereka sebagai sebahagian daripada usaha rangkaiannya untuk mendapatkan “pekerjaan yang kompetitif” dan berminat dengan Goldman Sachs kerana mahukan peranan yang melibatkan kewangan dan dasar kerajaan selari dengan kelulusannya dalam bidang politik antarabangsa dan dasar luar.
TIM Leissner (kanan) dan Roger Ng
Bagaimanapun, dia diberitahu bahawa ia boleh menjadi konflik kepentingan kerana Goldman Sachs menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia.
“Ya, saya ada bertanya jika Goldman Sachs mempunyai peranan antara disiplin sedemikian. Saya bersedia untuk ditemu bual untuk mereka.
“Dan ya, saya diberitahu bahawa Goldman Sachs menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia jadi ia boleh menjadi konflik kepentingan,” akui Nooyana dalam hantaran Facebooknya pada Khamis.
Susulan daripada pertemuan itu, Leissner telah “memperkenalkannya” kepada TPG – sebuah firma ekuiti persendirian yang menurutnya sesuai dengan latar belakang pendidikannya dalam bidang polisi.
“Saya pergi temu duga untuk jawatan penganalisis intern di pejabat TPG London. Ya, seorang pelatih. Ini bermakna anda berada di bahagian bawah rantai makanan. Selain skop kerja teras anda, anda juga bertanggungjawab untuk spadework (kerja persiapan).
“Anda ialah gadis PowerPoint, gadis fotostat, gadis kopi dan gadis penghantar hanya untuk menamakan beberapa (tugasan),” katanya.
Beliau selanjutnya menjelaskan, selepas bekerja 11 bulan sebagai pelatih dia dinaikkan pangkat sebagai penganalisis sepenuh masa dan dipindahkan ke TPG Hong Kong.
Nooyana meletak jawatan selepas 18 bulan untuk fokus pada perniagaannya sendiri dan melanjutkan pelajaran.
Pada 22 Februari, Leissner memberitahu Mahkamah Daerah Timur New York bahawa dia dimaklumkan oleh Jho Low bahawa Najib mahu tiga anaknya diberikan pekerjaan di Goldman Sachs.
Leissner berkata bersetuju dengan kehendak Ahli Parlimen Pekan berkenaan kerana Najib pada ketika itu merupakan Perdana Menteri dan “berpotensi menjadi orang penting untuk Goldman Sachs” mandangkan perniagaan Malaysia untuk firma tersebut adalah “salah satu yang terbaik” di “seluruh Asia”.
“Jadi saya merasakan anak-anak Perdana Menteri yang bekerja untuk kami berpotensi akan dilihat bukan sahaja oleh beliau sebagai perkara yang positif tetapi juga semua pelanggan kami yang lain di negara ini akan mengambil perhatian mengenainya dan mereka bakal melihat mempunyai hubungan yang baik,” katanya kepada mahkamah.
Secara khusus, Leissner berkata dia menerima resume Nooryana dan kemudian membantunya mendapatkan pekerjaan dengan TPG.
Najib pada awal hari ini menjelaskan bahawa tidak ada seorang pun anaknya ditawarkan pekerjaan oleh Goldman Sachs.
Leissner ialah saksi utama dalam perbicaraan terhadap pegawai bawahannya Roger Ng, yang dituduh melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah berhubung urus niaga 1MDB.
Goldman Sachs telah mengatur pinjaman AS$6.5 bilion untuk 1MDB – sebuah syarikat yang ditubuhkan atas bantuan Najib sebagai menteri kewangan dan mempunyai kuasa untuk memutuskan perkara pelaburan dan pengambilan pengarahnya.
Menurut penyiasat, kebanyakan wang yang dikumpul oleh 1MDB telah diselewengkan.
Susulan kejatuhan pentadbiran Najib, Goldman Sachs telah mencapai penyelesaian berbilion dolar dengan kerajaan Malaysia.
KELICIKAN sepasang kekasih yang menjadi tokan dadah di pusat peranginan di Pitas, Kota Marudu, pada pukul 4 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, kedua-dua suspek berusia 22 dan 25 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis yang diketuai oleh Inspektor Redzuan Amat Lin terus melakukan serbuan.
“Hasil serbuan, polis menemui 11 paket plastik lutsinar berlainan saiz bersama enam tiub straw plastik berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 31.8 gram.
“Berdasarkan ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Zairolnizal berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek turut mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah.
Katanya, suspek terus dibawa ke IPD Kota Marudu untuk siasatan lanjut dan kini direman mengikut seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan,” katanya.