Category: Jenayah

  • Penyelia direman tepuk punggung janda

    Penyelia direman tepuk punggung janda

    SEORANG penyelia direman selepas dikatakan menepuk punggung pekerjanya yang juga janda di sebuah kilang di Telok Gong, Klang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek diberkas polis pada 11 malam di sebuah gudang penyimpanan penyaman udara di kilang itu.

    Beliau memberitahu, suspek berusia 35 tahun direman selama 14 hari untuk membantu siasatan.

    “Lelaki itu dipercayai melakukan perbuatan terhadap wanita berusia 29 tahun yang juga ibu tunggal kepada dua anak pada 9 pagi, hari sama.

    “Siasatan mendapati mangsa sedang menyusun barangan sebelum didatangi suspek yang kemudian menepuk bahagian punggungnya.

    “Mangsa baru tiga bulan bekerja di kilang itu manakala suspek pula bekerja selama empat tahun di lokasi sama.

    “Bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan suspek yang ketika itu sedang bekerja,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Kata beliau, motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek direman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Kanak-kanak 11 tahun maut dalam kebakaran kilang

    Kanak-kanak 11 tahun maut dalam kebakaran kilang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG kanak-kanak berusia 11 tahun maut dalam kebakaran melibatkan sebuah kilang getah sintetik di Bakar Arang dekat Sungai Petani, Kedah awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.11 pagi.

    Setibanya di lokasi kejadian katanya, api didapati sedang marak di kilang tersebut dengan pihaknya turut menerima makluma mengenai keberadaan mangsa di kilang tersebut.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami cuma masuk ke dalam kilang itu bagi memastikan keberadaan mangsa di situ namun usaha itu terbatas akibat api yang terlalu marak.

    “Pihak kami kemudiannya meneruskan usaha untuk memadam kebakaran tersebut dan api dapat dikawal pada pukul 5.10 pagi,” katanya.

    Tambahnya, mangsa kemudiannya ditemukan kira-kira pukul 7.30 pagi di tingkat atas bangunan tersebut.

    “Setakat ini punca kejadian masih disiasat,” katanya.

  • RM19.4 bilion dana 1MDB diperoleh semula sehingga 31 Januari 2022

    RM19.4 bilion dana 1MDB diperoleh semula sehingga 31 Januari 2022

    KEMENTERIAN Kewangan pada Khamis mengumumkan jumlah dana berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang telah berjaya diperoleh semula sehingga 31 Januari lalu bernilai kira-kira RM19.14 bilion.

    Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, kementerian itu berkata dana tersebut dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AA MKA).

    Katanya sebahagian besar dana diperoleh adalah daripada lima sumber utama merangkumi AS$1.23 bilion atau RM5.17 bilion daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan AS$2.5 bilion (RM10.5 bilion) daripada Goldman Sachs, sebagai sebahagian jumlah penyelesaian yang dimuktamadkan pada Julai 2020 dan dikreditkan pada September 2020.

    “Sebanyak AS$80 juta atau RM336 juta diterima daripada Deloitte hasil penyelesaian global pada 24 Mei 2021 (dikreditkan pada Jun 2021); RM2.315 bilion daripada AmBank hasil penyelesaian global pada 5 Mei 2021 (dikreditkan pada Julai dan Disember 2021); dan AS$80 juta atau RM336 juta daripada KPMG hasil penyelesaian global pada 16 Disember 2021 (dikreditkan pada Januari 2022),” menurut kementerian itu.

    Dalam pada itu, katanya 1MDB telah melantik Parker Randall sebagai juruaudit untuk melaksanakan pengauditan ke atas penyata kewangan syarikat termasuk aset dan liabilitinya.

    Bagaimanapun, laporan penyata kewangan beraudit terkini masih belum dapat dimuktamadkan kerana juruaudit lama iaitu KPMG (2010, 2011 dan 2012) dan Deloitte (2013 dan 2014) telah menarik balik laporan dan pandangan mereka terhadap penyata kewangan syarikat.

    “Justeru itu, jumlah kerugian sebenar 1MDB pada masa ini tidak dapat ditentusahkan,” katanya. – Bernama

  • Pegawai penguat kuasa direman, miliki lombong bitcoin, terima bayaran bulanan sindiket

    Pegawai penguat kuasa direman, miliki lombong bitcoin, terima bayaran bulanan sindiket

    SEORANG pegawai penguat kuasa di Perak ditahan awal pagi tadi kerana disyaki melindungi pusat-pusat perlombongan bitcoin dengan bayaran RM12,000 sebulan di negeri itu.

    Menurut sumber, suspek yang berusia 34 tahun itu juga disyaki memiliki sebuah pusat perlombongan bitcoin yang mencuri bekalan elektrik, dan penahanannya dibuat susulan soal siasat ke atas seorang taikun yang mengawal 500 premis perlombongan bitcoin di seluruh negara.

    Beliau berkata suspek kini direman selama lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengenai kegiatan sindiket perlombongan bitcon, dan disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    “Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Jenayah 1, Ipoh. Selain itu, hasil soal siasat juga mendedahkan bahawa wujud kegiatan pemilikan pusat-pusat perlombongan bitcoin dalam kalangan pegawai tinggi agensi penguatkuasa, namun pusat-pusat ini dijalankan oleh ahli sindiket bagi pihak pegawai terbabit,” kata sumber itu kepada Bernama.

    “Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak bahawa akan ada lagi tangkapan berhubung perkara ini dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” tambahnya.

    Selasa lepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mendedahkan sindiket melombong bitcoin yang mencuri bekalan elektrik dari 2018 hingga 2021 mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian mencecah RM2.3 bilion.

    Susulan itu SPRM menahan 18 lelaki warga tempatan termasuk dalang berusia antara 30-an hingga 60-an di seluruh negara.

    Sementara itu di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur seorang pengarah syarikat pendawaian direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) membabitkan sindiket melombong bitcoin yang mencuri bekalan elektrik.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nur Farahain Roslan selepas membenarkan permohonan reman oleh SPRM.

    Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009. – Bernama

  • 4 wanita antara 10 suspek sindiket ah long online

    4 wanita antara 10 suspek sindiket ah long online

    SERAMAI empat wanita tempatan merupakan antara 10 individu warga tempatan yang ditahan selepas disyaki menjadi ahli sindiket yang menawarkan pinjaman wang secara haram di Pulau Pinang.

    Kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 30 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan BSJK IPD Seberang Perai Selatan (SPS) di sebuah premis di Nibong Tebal kira-kira pukul 4.30 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Lee Chong Chern berkata, serbuan menerusi Op Vulture itu turut menemukan sejumlah peralatan elektronik yang mencurigakan.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis mengesyaki premis berkenaan menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang secara online tanpa lesen dan pusat panggilan bagi kegiatan mengutip hutang.

    “Selain menahan kesemua individu terbabit, kita turut merampas peralatan seperti komputer riba, telefon bimbit dan kad prabayar yang disyaki digunakan dalam kegiatan itu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

  • KKM rampas produk kesihatan tidak berdaftar hampir RM24 juta

    KKM rampas produk kesihatan tidak berdaftar hampir RM24 juta

    BAHAGIAN Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) merampas produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM23,956,851 menerusi serbuan di 1,332 premis sepanjang 2021 hingga 31 Januari tahun ini.

    Menurut jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini, KKM memaklumkan serbuan berterusan ke atas premis-premis atau penjual tersebut berdasarkan pemantauan dalaman dan pengesahan ke atas aduan yang diterima daripada orang awam.

    “Syarikat atau individu yang didapati memiliki atau menjual produk kesihatan tidak berdaftar akan disiasat dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Jualan Dadah 1952,” menurut KKM menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang mahu kementerian itu menyatakan pemantauan penjualan ubat-ubatan dalam talian memandangkan masih banyak produk berbahaya dan tidak berdaftar diiklankan secara berleluasa.

    KKM memberitahu Bahagian Penguatkuasaan Farmasi juga meningkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan melibatkan pengiklanan dan penjualan ubat tidak berdaftar secara dalam talian.

    Sejak 2020, pihak syarikat pengendali platform telah diarahkan untuk menyekat sebarang produk ubat-ubatan tidak berdaftar dan sebanyak 8,145 iklan produk tidak berdaftar telah diarahkan untuk diturunkan di platform e-dagang dalam negara sepanjang 2021.

    “Bahagian Penguatkuasaan Farmasi juga terlibat dalam operasi dan aktiviti antarabangsa yang memberi tumpuan kepada laman sesawang dan media sosial yang menawarkan ubat-ubatan yang berbahaya seperti Operasi Pangea, Projek Energia dan penyediaan Toolkit to Combat Illegal Internet Medical Product Sales.

    “Begitu juga kerjasama dengan pihak Interpol (Polis Antarabangsa) dan agensi penguatkuasaan lain dalam dan luar negara juga diadakan secara berkala bagi memastikan ubat-ubatan yang dijual secara dalam talian tidak dapat dibawa masuk ke Malaysia,” menurut KKM. – Bernama

  • Rasuah pegawai TNB:Enam anggota sindiket perlombongan bitcoin direman

    Rasuah pegawai TNB:Enam anggota sindiket perlombongan bitcoin direman

    ENAM anggota satu sindiket direman empat hari bermula Selasa kerana disyaki memberi rasuah secara bulanan antara RM500 hingga RM15,000 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) Zon Utara dan Zon Selatan.

    Sumber berkata, pemberian itu dipercayai sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan kerana melakukan aktiviti mencuri elektrik.

    “Ia dipercayai membabitkan lima suspek bagi perlombongan bitcoin dan seorang operasi kilang kayu,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Kesemua mereka yang berumur antara 29 tahun hingga 67 tahun diberkas di beberapa lokasi di sekitar Perak, dalam Ops Power yang dijalankan SPRM pada Isnin.

    Difahamkan jumlah keseluruhan wang rasuah yang telah diberikan kepada pegawai TNB itu ialah RM 153,500.

    Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan kesemua suspek berkenaan.

  • SPRM beku aset AS$10 juta milik bekas CEO wanita

    SPRM beku aset AS$10 juta milik bekas CEO wanita

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan aset di dalam dan luar negara bernilai kira-kira AS$10 juta milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat televisyen bersatelit susulan pendedahan terbaharu dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Amerika Syarikat.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM akan meneruskan usaha untuk mengesan dan membantu mengembalikan wang-wang yang berkaitan kepada negara.

    “Buat masa ini, saya tidak boleh berkongsi nama-nama lain yang terlibat. Perkara lain yang akan terlibat dalam hal ini ialah kerjasama daripada Pejabat Peguam Negara untuk kita mendapatkan apa-apa keterangan daripada pihak di Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media khas Op Power di ibu pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

    Isu berkaitan sebuah rumah di London dan nama bekas eksekutif kanan itu disebut oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner pada perbicaraan di Amerika Syarikat dan mendakwa mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.

    Selain itu, Azam berkata, SPRM akan memanggil semula bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat televisyen bersatelit itu untuk memberi keterangan jika terdapat elemen dan perkembangan baharu.

    “Kami akan memanggilnya jika terdapat keperluan dan akan memanggil individu-individu lain yang berkaitan,” katanya.

    Pada Khamis, SPRM mengambil keterangan wanita terbabit selama sembilan jam bagi membantu siasatan berkaitan isu itu dan dia sekali lagi dipanggil semalam dan proses mengambil keterangan berlangsung selama tiga jam.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

    Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kes Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang didakwa terlibat dalam isu integriti, Azam berkata kertas siasatan telah siap dan dalam peringkat perbincangan bersama Pejabat Peguam Negera.

    “Tindakan akan diambil terhadap kesemua mereka minggu hadapan,” katanya.

    Pada 5 Feb, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu sebelum menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada 7 Feb. – BERNAMA

  • Mayat warga emas ditemukan terapung dalam parit ketika banjir surut

    Mayat warga emas ditemukan terapung dalam parit ketika banjir surut

    SEORANG lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat lemas di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, hari ini.

    Mayat Rahim Deraman, 69, dijumpai terapung dalam parit berhampiran Balai Polis Pasir Gajah ketika air banjir surut pukul 10.15 pagi ini.

    Memetik laporan Sinar Harian,Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan memberitahu, kehilangan Rahim hanya disedari selepas anaknya yang tinggal di Chukai meminta bantuan jiran melihat keadaan bapanya susulan banjir di kawasan berkenaan.

    Menurut beliau, rumah mangsa tidak dinaiki air namun kerana bimbang keadaannya yang tinggal seorang diri selepas kematian isteri, anak mangsa meminta tolong jiran pergi menjenguk bapanya, tetapi mangsa tidak ada di rumah.

    “Penduduk kemudian cuba mencari mangsa di kawasan sekitar namun gagal.

    “Selepas banjir surut pagi tadi, mayat mangsa ditemui orang ramai di dalam parit yang terletak 2 kilometer dari rumahnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Hanyan berkata, mangsa dipercayai merayau di kawasan sekitar ketika banjir sebelum terjatuh di dalam parit.

    Katanya, mayat warga emas itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

  • Polis siasat rakaman ceramah politik tular berbaur ugutan

    Polis siasat rakaman ceramah politik tular berbaur ugutan

    POLIS sedang menyiasat satu rakaman video berbaur ugutan yang dibuat semasa satu ceramah politik bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan tular dalam media sosial.

    Memetik laporan Utusan TV, dalam video berdurasi 1:22 saat itu menunjukkan penceramah telah meminta pihak polis melanjutkan tempoh masa berkempen, namun tidak dibenarkan.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, penceramah tersebut kemudiannya telah mengeluarkan ungkapan “Bila kita jadi kerajaan balik, korang taulah nanti” dalam bahasa Cina.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati, ceramah yang diadakan pada 26 Februari di bilik gerakan sebuah parti politik di Yong Peng, Batu Pahat bermula pukul 8.30 malamdan berakhir pada pukul 10 malam.

    “Ceramah berkenaan mempunyai permit polis dan tiada pelanggaran SOP dikesan semasa pemantauan dilakukan.

    “Susulan daripada itu juga pihak polis telah menerima laporan daripada orang awam berkaitan video tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Mengulas lanjut Ismail berkata, pihak polis menyeru kepada semua parti politik yang bertanding supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Mereka juga diminta mematuhi arahan Pegawai Penguatkuasa yang bertugas bagi sama-sama membendung penularan COVID-19,” tambahnya.

    Difahamkan, ceramah politik tersebut melibatkan seorang Ahli Parlimen pembangkang yang pernah menjadi menteri Kabinet semasa rejim Pakatan Harapan (PH) berkuasa dahulu.