Category: Jenayah

  • Segera selamatkan ‘hamba abdi’ rakyat Malaysia di Kemboja

    Segera selamatkan ‘hamba abdi’ rakyat Malaysia di Kemboja

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung kes rakyat Malaysia yang menjadi tawanan dan ‘hamba abdi’ di luar negara khususnya di Kemboja.

    Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, kes itu amat serius kerana melibatkan ramai rakyat Malaysia khususnya golongan belia yang menjadi mangsa selepas mereka ditipu terutama untuk mendapatkan pekerjaan.

    Jelasnya, kerajaan Pusat juga harus mengambil tanggungjawab menjalankan siasatan dan membantu mangsa-mangsa terbabit dengan segera.

    “Kerajaan boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Kemboja untuk menyelamatkan warganegara kita.

    “Yang penting adalah menyelamatkan rakyat kita yang ditawan sindiket penipuan antarabangsa. Kesungguhan kerajaan boleh mengelak rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan dan pihak berkuasa kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Toh Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang mengulas pendedahan menerusi satu sidang akhbar semalam yang mana mangsa sindiket pekerjaan di luar negara itu mengadu mereka dipukul dan didera secara mental serta fizikal sekiranya enggan akur dengan arahan pihak sindiket.

    Lebih menakutkan, mangsa wanita juga diugut akan dirogol sekiranya tidak mengikut arahan.

    Di samping itu, mangsa juga diarah menjadi ‘keldai scammer’ untuk menipu rakyat Malaysia yang bekerja di Kemboja.

  • Gagal seludup 3.1 tan ketum ke Thailand

    Gagal seludup 3.1 tan ketum ke Thailand

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah mematahkan cubaan individu tertentu untuk menyeludup keluar daun ketum seberat 3.1 tan ke negara jiran, semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya telah mengesan kegiatan pemunggahan bungkusan hitam yang mencurigakan di muara Kuala Sala di Kuala Kedah kira-kira pukul 6.45 pagi semalam.

    Sehubungan itu katanya, bot Perkasa 1226 yang sedang melakukan rondaan rutin Op Aman, digerakkan ke lokasi tersebut dan menemui sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama empat suspek, sedang memunggah bungkusan hitam tersebut di atas bot berkenaan.

    “Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kesemua suspek dipercayai warga tempatan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran.

    “Pemeriksaan lanjut terhadap bot tersebut mendapati terdapat 310 bungkusan plastik hitam yang disyaki daun ketum dianggarkan bernilai RM558,000, cuba disorok di bahagian tempat simpanan ikan,” katanya.

    Tambahnya, modus operandi kegiatan penyeludupan tersebut didapati berbeza kerana menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar, berbanding menggunakan bot fiber tanpa nombor pendaftaran sebelum ini.

    Tindakan itu katanya, dipercayai dilakukan bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Kami percaya bot tersebut sedang menunggu masa sesuai untuk keluar ke sempadan negara.

    “Kesemua bungkusan ketum tersebut termasuk bot nelayan yang dianggarkan bernilai RM60,000, dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • PATI Indonesia bawa senapang angin, sabit dicekup

    PATI Indonesia bawa senapang angin, sabit dicekup

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    EMPAT pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan polis selain merampas selaras senapang angin buatan sendiri serta tiga bungkus peluru dan tiga bilah sabit di kawasan tepi Sungai Kampung Bakar Batu, tengah malam tadi.

    Menurut Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah, keempat-empat suspek lelaki yang ditahan itu berusia antara 35 hingga 50 tahun.

    Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun yang bertindak selaku transporter kepada keempat-empat suspek turut dicekup dalam serbuan berkenaan.

    “Kesemua mereka ditahan ketika anggota polis membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang berada dalam keadaan mencurigakan pada pukul 12.15 tengah malam.

    “Sejurus ditahan, keempat-empat suspek telah gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    senapang angin
    PATI yang ditahan.

    Tambah Muhd. Zailani, soal siasat terhadap kesemua suspek yang berasal dari Surabaya, Indonesia itu memaklumkan senapang angin berkenaan digunakan untuk tujuan memburu.

    Katanya, keempat-empat mereka dan kesemya barangan rampasan kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan selanjutnya.

    “Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM); Akta Senjata Api 1960; Akta Bahan Letupan dan Kakisan dan Senjata Berbahaya serta Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

    Muhd. Zailani turut meminta kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah termasuk penyeludupan kepada PPM wilayah itu di talian 07-2372221 atau 07-2372222.

  • Mayat bayi lelaki 4 bulan dibuang dalam tong sampah

    Mayat bayi lelaki 4 bulan dibuang dalam tong sampah

    MAYAT bayi lelaki yang dianggarkan berusia empat bulan ditemukan di tempat pembuangan sampah di sebuah kondominium di Bandar Baru Klang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, berkata mayat bayi berkenaan dijumpai oleh seorang lelaki di lokasi tersebut kira-kira 3 petang.

    “Hasil pemeriksaan oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, bayi malang itu telah tidak bernyawa dan dianggarkan dia telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

    “Bertindak atas maklumat, pihak polis telah berjaya menangkap seorang wanita warga asing dan teman lelakinya yang merupakan warga tempatan masing-masing berumur lingkungan 30-an dan 40-an di sekitar lokasi kejadian.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan perintah tahanan reman bagi meneruskan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

  • 65 kes pengeluaran Tabung Haji  babit Macau Scam, kerugian RM3.6 juta

    65 kes pengeluaran Tabung Haji  babit Macau Scam, kerugian RM3.6 juta

    POLIS  mengesan taktik baharu sindiket Macau Scam untuk mengeluarkan wang daripada akaun Tabung Haji mangsa yang dihubungkan dengan akaun bank konvensional.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din, berkata setakat ini pihaknya telah mengesan 65 kes seumpama itu melibatkan kerugian berjumlah RM3,599,275.46.

    Kamarudin berkata, siasatan pihaknya mendapati perkara itu berlaku apabila mangsa mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada individu tidak dikenali yang menyamar sebagai anggota pihak berkuasa.

    “Kemudahan fasiliti perbankan internet Tabung Haji yang dihubungkan dengan bank-bank konvensional yang lain telah membolehkan perkara ini berlaku.

    “Sindiket ini terlebih dahulu akan membuat panggilan dan menakutkan mangsa dengan dakwaan terlibat dalam aktiviti jenayah dan tunggakan kad kredit dan untuk tujuan siasatan mangsa perlu mendedahkan maklumat perbankannya,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut Kamarudin susulan pendedahan maklumat perbankan itu, mangsa bukan sahaja kehilangan duit dalam akaun bank konvensional kepada sindiket itu tetapi juga duit dalam akaun Tabung Haji yang dihubungkan dengan bank konvensional berkenaan.

    Beliau mengingatkan orang ramai tidak mendedahkan maklumat perbankan masing-masing dan menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 untuk sebarang nasihat dan maklumat lanjut.

  • MPV polis terbalik semasa iringi MB Johor

    MPV polis terbalik semasa iringi MB Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA anggota polis berdepan detik cemas apabila kereta peronda MPV dipandu hilang kawalan dan terbalik semasa mengiringi Menteri Besar Johor di Kilometer 76 Jalan Johor Bahru-Mersing, berhampiran Kota Tinggi, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, kemalangan tersebut berlaku pada pukul 9.50 pagi melibatkan pemandu yang berusia 32 tahun dan penumpang pula berusia 42 tahun.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu dalam perjalanan dari arah Mersing ke Johor Bahru sebelum gagal mengawal kenderaan ketika melalui selekoh licin serta basah kerana hujan.

    Kemalangan tersebut berlaku pada pukul 9.50 pagi melibatkan pemandu yang berusia 32 tahun dan penumpang pula berusia 42 tahun.

    “MPV polis tersebut kemudian terbabas ke kiri jalan lalu terbalik. Kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkuan Jalan (APJ) iaitu memandu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

    Jika sabit kesalahan katanya, boleh didenda minimum RM4,000 dan tidak lebih RM10,000 serta boleh dipenjara tidak lebih setahun.

    Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama.

  • Polis wanita berpangkat Lans Koperal antara lima ditahan dalam operasi maksiat

    Polis wanita berpangkat Lans Koperal antara lima ditahan dalam operasi maksiat

    SEORANG anggota polis wanita berpangkat Lans Koperal ditahan dalam operasi maksiat yang turut membongkar penemuan mercun dan bunga api bernilai RM5,000 serta air ketum di sebuah rumah di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

    Penahanan dibuat ketika serbuan dilakukan pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu bersama penguat kuasa dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) pada pukul 5.47 pagi.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, kesemua suspek yang ditahan berusia 20-an hingga 30-an.

    Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah ada dua lelaki dan tiga perempuan termasuk seorang anggota polis wanita berusia 30 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api iaitu kotak happy boom (23), pek magic shoot (20), kotak crackers ball (lima), bungkus mercun bola (18) dan kotak mercun pelbagai jenis (50) yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM5,000,” katanya lapor Sinar Harian.

    Menurut Mohd Suhaimi, lokasi serbuan adalah rumah didiami oleh anggota polis wanita tersebut dan kesemua barangan dirampas di rumah itu.

    Ujarnya, turut dirampas sebungkus plastik mengandungi cecair dipercayai air ketum di dalam peti sejuk di rumah berkenaan.

    “Hasil soal siasat awal, kawan lelaki anggota polis itu mengaku bahawa mercun dan bunga api yang dirampas dibeli di Rantau Panjang, Kelantan untuk pasaran runcit dan disimpan sementara di rumah anggota polis itu bersama air ketum ” katanya.

    Beliau berkata,kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

    Katanya, siasatan turut dilakukan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan oleh pihak Jaheaik.

    “Anggota berkenaan ditahan reman selama dua hari manakala mereka yang lain sehari bagi membantu siasatan,” jelas beliau.

  • 61 kompaun bernilai RM40,000 kepada peniaga, pemborong ayam

    61 kompaun bernilai RM40,000 kepada peniaga, pemborong ayam

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBANYAK 61 kompaun berjumlah RM40,000 dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor terhadap penjual ayam di seluruh negeri ini.

    Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, kompaun dikeluarkan terhadap tiga kesalahan iaitu gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu (pink plate), melebihi harga jualan dan tidak mempamer harga jualan.

    Selain itu, pihaknya juga memberikan 60 notis kepada peniaga di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk menjalankan siasatan sama ada wujudnya sebarang elemen pencatutan.

    “Tindakan itu dibuat selepas KPDNHEP Johor memeriksa 2,852 peruncit dan 48 lagi di peringkat pemborong di pasar basah, pasar awam, pasar raya dan juga pembekal seperti pemborong, peladang, pengeluar dan pengimport di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, seramai 200 anggota terlibat dalam pemeriksaan itu kerana pihaknya komited untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat dengan pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi memastikan harga barangan berpatutan dan stabil.

    “Sehubungan itu, kami juga menasihati peniaga untuk mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya,” jelasnya.

    Beberapa hari lalu, segelintir peniaga ayam di Johor Bahru didapati menjual ayam melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90 sekilogram.

    Mereka meletakkan harga sehingga RM10 sekilogram dengan alasan terpaksa setelah menerima ayam segar pada harga RM8.60 daripada pemborong serta perlu membayar kos pengangkutan RM1 bagi setiap ekor ayam.

  • Bocor maklumat projek:Pembantu pegawai ditahan SPRM

    Bocor maklumat projek:Pembantu pegawai ditahan SPRM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menahan seorang pembantu pegawai sebuah agensi bagi membantu siasatan berkaitan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000.

    Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 32 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor, Johor Bahru pada pukul 12.30 tengah hari tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan pada 2020 hingga tahun lalu, lelaki tersebut yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai tadbir di sebuah jabatan telah meminta dan menerima rasuah daripada dua perunding projek sebagai balasan membantu membocorkan maklumat berkaitan projek yang hendak dipohon oleh kedua-dua individu tersebut.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok bagi mendapatkan permohonan reman.

  • Rangka budak perempuan ditemukan, dipercayai mangsa bunuh

    Rangka budak perempuan ditemukan, dipercayai mangsa bunuh

    SATU rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan pihak polis di Jalan Bukit Zamrud, Seremban, pada pukul 11 pagi tadi.

    Polis menemukan tengkorak, geraham dan cebisan rangka dalam keadaan bertaburan di tanah serta dilitupi daun kering kira-kira 10 meter dari lokasi asal pencarian kes seorang budak hilang yang dilakukan sejak 28 Mac lalu.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ekoran penemuan rangka manusia itu, pihaknya mengklasifikasikan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) iaitu membunuh.

    “Penemuan rangka ini berhubung kes kanak-kanak hilang dan kami sudah mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 KK. Polis menemui tengkorak, geraham dan cebisan tulang di lokasi ini.

    “Kami percaya tulang ini adalah milik mangsa, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun. Bagaimanapun tulang ini akan dihantar ke forensik dan patologi bagi mengesahkan sama ada ia milik manusia atau haiwan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Media pada 28 Mac melaporkan polis membawa seorang wanita yang dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat wanita di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus ke satu kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud, Temiang, Seremban.

    Polis bagaimanapun enggan mendedahkan tujuan pencarian berkenaan, namun mengesahkan kedua-dua berkenaan mempunyai kaitan.

    Ditanya mengenai kaitan kes ini dengan penemuan mayat wanita tanpa identiti di gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus, Seremban, 20 Mac lalu, Nanda berkata, suspek bagi kedua-dua kejadian dipercayai individu yang sama.

    “Wanita yang ditemui di Jalan Lama Bukit Putus dan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ini tidak mempunyai kaitan.

    “Sebenarnya pencarian ini dilakukan sejak 28 Mac lalu sehingga ke hari ini. Kami mendesak suspek utama dan saksi supaya memberitahu lokasi sebenar mangsa dibuang atau ditanam.

    “Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati anggaran kematian antara dua ke tiga bulan lalu. Rangka ditemui ini akan diuji oleh pihak forensik dan patologi sebelum laporannya akan dihantar ke pihak pendakwa raya untuk pertuduhan.

    “Saya percaya siasatan bagi kedua-dua kes ini sudah hampir selesai. Motif kejadian akan diketahui sebaik siasatan selesai dalam masa terdekat,” katanya.

    Media pada 21 Mac lalu melaporkan seorang lelaki yang mahu merakam gambar ketika berjoging di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus, terkejut selepas menemui satu mayat wanita di kawasan gaung.

    Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita pada 22 Mac di dua lokasi di daerah ini.