Category: Jenayah

  • Polis kesan sindiket bawa PATI guna MPV mewah

    Polis kesan sindiket bawa PATI guna MPV mewah

    POLIS mengesan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah untuk membawa masuk dan keluar mereka melalui jalan tidak diwartakan.

    Pihak polis sudah mempunya maklumat berhubung modus operandi yang digunakan sindiket itu dan akan melalukan pemantauan serta berkongsi risikan bersama pasukan Cawangan Khas dan lain-lain Kontinjen.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, itu merupakan taktik terbaharu sindiket bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

    “Mereka ini dikesan mengambil kesempatan dan sudah tidak melalui laluan tikus. Mereka guna laluan gajah naik kereta mewah.

    “Ada sahaja ruang mereka akan lakukan penyeludupan masuk Pati, tetapi kita akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di Briged Tengah PGA, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Terdahulu Hazani menyaksikan Majlis Perbarisan dan Serah Terima Tugas Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Komander Briged Tengah PGA dan Komander Unit Tindakhas (UTK).

    Sementara itu, Hazani berkata, tangkapan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasukan khas lain terhadap Pati turut meningkat.

    “Minggu lalu berlaku peningkatan yang terbaru di Kelantan apabila kita menahan 13 warga Myanmar termasuk ‘transporter,’” katanya.

  • Empat GRO warga asing ditahan JIM

    Empat GRO warga asing ditahan JIM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    EMPAT gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan dalam serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di sebuah premis hiburan di Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah, semalam.

    Timbalan Pengarahnya, Rosmaliza Mohamed Rashid berkata, keempat-empat wanita berkenaan terdiri daripada dua warganegara Laos dan dua lagi warganegara Thailand didapati tinggal melebih tempoh dibenarkan di negara ini selain tidak memiliki permit pekerjaan yang sah.

    Katanya, keempat-empat warga asing tersebut merupakan sebahagian daripada 36 individu yang diperiksa di premis berkenaan.

    “Serbuan ini dilakukan setelah kita menerima maklumat menyatakan terdapat wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO di sini.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pintu rahsia menghubungkan pusat hiburan tersebut yang berada di tingkat atas premis, dengan tingkat bawah dipercayai bagi memudahkan GRO terlibat melarikan diri,” katanya.

    Premis terbabit beroperasi di lot kedai dua tingkat yang baharu dibuka dengan kewujudannya mungkin tidak akan terlihat hanya dengan sekali pandang.

    Difahamkan GRO terbabit menawarkan khidmat ‘fly’ dari bilik ke bilik dengan mengenakan bayaran tertentu kepada pelanggan.

    Mengulas lanjut katanya, keempat-empat GRO berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala pemilik premis terlibat, turut disaman.

    “Semua wanita itu dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Belantik untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Wanita tunggang motosikal maut digilis lori

    Wanita tunggang motosikal maut digilis lori

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas digilis kenderaan berat dipercayai lori di Kilometer 28 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan, di Ipoh, pukul 4.31 pagi tadi.

    Mazaitul Hafiszan Ma’an, 38, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, semasa pihak bomba tiba, terdapat mayat mangsa yang dipercayai dilanggar dan digilis kenderaan berat.

    Penunggang motosikal maut selepas digilis kenderaan berat dipercayai lori di KM 28 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan, Ipoh awal pagi tadi

    Bagaimanapun, katanya, tiada kenderaan itu mahupun kenderaan lain yang berkemungkinan terbabit dengan kemalangan di lokasi kejadian.

    “Mangsa telah disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas perubatan, manakala anggota melakukan pembersihan di lokasi.

    “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

  • Pengurus lombong bijih rugi RM40,000 ditipu ‘LHDN’

    Pengurus lombong bijih rugi RM40,000 ditipu ‘LHDN’

    LAGI mangsa penipuan membabitkan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Kali ini ia ‘menjerat’ pula seorang pengurus lombong bijih di Gua Musang, Kelantan yang kerugian RM40,000 akibat diperdaya sindiket tersebut pada Sabtu lalu.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Asisten Komisioner Mohd. Wazir Mohd. Yusof, mangsa berusia 36 tahun yang berasal dari Kota Bharu itu menerima panggilan daripada ‘pihak LHDN’ pada lukul 5.20 petang.

    Katanya, pihak ‘LHDN’ itu memberitahu mangsa mempunyai tunggakan bayaran cukai sebanyak RM98,000 dan kemudiannya menyambung panggilan itu ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah.

    “Dalam perbualan itu ‘pihak LHDN’ mengtaakan mangsa telah terlibat dalam kes penggubalan wang haram dan jenayah berkait dengan dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Mohd. Wazir, mangsa telah diminta untuk membuka satu akaun bank baharu bagi menjalankan siasatan.

    Lantaran itu katanya, mangsa telah membuka akaun baharu di Bank Islam Gua Musang sekitar pukul 12 tengah hari.

    “Mangsa telah memindahkan wang berjumlah RM40,000 daripada Tabung Haji ke dalam akaun Bank Islam tersebut,” katanya.

    Beliau berkata, selepas itu, mangsa telah diberikan satu link aplikasi Bank Negara Malaysia versi 1 dan diminta untuk mengisi kesemua maklumat akaun (Bank Islam) dan pengenalan diri.

    Ujarnya, mangsa kemudian diberitahu siasatan akan dijalankan selama tiga hari dan boleh mengambil kembali wang tersebut.

    “Selepas sejam kemudian mangsa yang mula curiga dan segera menghubungi pusat khidmat pelanggan Bank Islam untuk mendapatkan maklumat,” ujarnya.

    Bagaimanapun katanya, mangsa diberitahu baki wang yang ada dalam akaun tersebut adalah sebanyak RM100.

  • Bayi 3 bulan disyaki mati tersedak susu, bapa ditahan

    Bayi 3 bulan disyaki mati tersedak susu, bapa ditahan

    SEORANG lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes bayi berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu di sebuah rumah di Bukit Gasing, Petaling Jaya, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan ketika tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pagi tadi.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati individu yang juga bapa kepada mangsa itu telah memberikan susu kepada bayi lelaki tersebut pada 2 petang semalam sebelum meninggalkan mangsa seorang diri untuk keluar bekerja.

    “Lelaki yang bekerja sebagai buruh itu kembali ke rumah kira-kira dua jam kemudian dan mendapati anaknya tidak bernafas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa kemudiannya dihantar oleh bapanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya pada kira-kira 4.20 petang namun, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

    Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengetahui punca kematian mangsa.

    Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (A) Akta Kanan-Kanak 2001 dan lelaki berkenaan ditahan reman empat hari sehingga 13 April ini. – BERNAMA

  • Lelaki kantoi sorok 48 bungkusan, 273 kotak mercun dalam rumah

    Lelaki kantoi sorok 48 bungkusan, 273 kotak mercun dalam rumah

    SEORANG lelaki ditahan susulan penemuan sebanyak 48 bungkusan dan 273 kotak mercun bernilai RM20,745 di dalam rumahnya di Kampung Bunut Payung di Kota Bharu, malam tadi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata, serbuan pada kira-kira pukul 8 malam itu, dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat berkaitan penyeludupan mercun di kawasan berkenaan.

    Beliau berkata, lelaki berusia 34 tahun itu, yang mengaku pemilik rumah tersebut, ditahan untuk siasatan dan hasil pemeriksaan menemukan bungkusan dan kotak yang mengandungi mercun.

    “Mercun yang dirampas dipercayai diseludup masuk melalui pangkalan haram sempadan Malaysia-Thailand dan dipasarkan di sekitar Kota Bharu termasuk di pasar malam Wakaf Che Yeh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azhari berkata, penjualan mercun dalam bulan puasa adalah atas faktor permintaan tinggi, walaupun pihak berkuasa sudah banyak kali mengeluarkan larangan.

    Katanya, harga mercun didapati meningkat sehingga dua kali ganda kerana kesukaran untuk dibawa masuk ke negara ini ekoran kawalan ketat oleh agensi penguat kuasa di sempadan Malaysia-Thailand.

    “Kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Kota Bharu bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

    Beliau berkata PGA7 akan terus menggandakan usaha dan mengetatkan kawalan sempadan negara, terutama menjelang musim perayaan, kerana permintaan kepada barang-barang seludup (kontraban) dijangka meningkat.

    “Masyarakat juga diingatkan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya. – BERNAMA

  • 3 lelaki suspek tipu guna TikTok ditahan

    3 lelaki suspek tipu guna TikTok ditahan

    TIGA lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Cendana, Kampung Baru di sini petang semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian menggunakan aplikasi TikTok di premis berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan pada pukul 2.50 petang yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial itu, turut merampas antaranya tiga unit komputer riba, 21 unit telefon bimbit, satu unit modem dan satu monitor komputer.

    “Semua suspek, berusia antara 19 hingga 23 tahun, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Noor Dellhan, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan telah beroperasi selama sebulan dan menyasarkan penduduk tempatan serta warga asing menerusi aplikasi TikTok.

    “Semua suspek ini berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang mendapatkan mangsa melalui aplikasi TikTok untuk menambah kenalan dan kemudiannya mewujudkan kumpulan sebelum menyerahkan senarai rakan TikTok tersebut kepada satu kumpulan sindiket yang lain bagi tujuan penipuan secara dalam talian,” katanya. – BERNAMA

  • Dua pelajar sekolah merempit, buat aksi Superman

    Dua pelajar sekolah merempit, buat aksi Superman

    PERBUATAN dua orang pelajar berlumba dengan melakukan aksi bahaya ketika umat Islam menunaikan solat tarawih di Jalan Bandar Baru Kuala Nerus, malam tadi membawa padah.

    Ini kerana, remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun itu akhir ditahan polis ketika memberhentikan motosikal di Kampung Padang Kemunting, Kuala Nerus pada pukul 9.06 malam.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man, Skuad 42 JSPT sebelum itu melakukan pemantauan di Bandar Baru Kuala Nerus sebelum terlihat dua penunggang terbabit yang berlumba sesama sendiri, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kedua-dua pelajar itu turut melakukan aksi bahaya dengan menundukkan kepala selari dengan meter disamping menunggang secara zig- zag.

    Katanya, mereka dikesan membuat aksi itu sejauh 700 meter dari Bandar Baru Kuala Nerus menghala ke Taman Kemunting, Kuala Nerus sebelum Skuad 42 JSPT bertindak mengekori dua penunggang terbabit.

    Ujarnya, kedua-dua remaja itu berjaya ditahan ketika memberhentikan motosikal.

    Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Selain menyita dua motosikal suspek, kita turut mengeluarkan sembilan saman membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tidak memakai topi keledar dan tiada nombor pendaftaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Dalam operasi berasingan, Ismail memberitahu, seorang remaja lelaki ditahan selepas dikesan melakukan aksi merbahaya dengan bersaing sesama sendiri dan menunggang motosikal dengan aksi superman secara berulang kali membabitkan jarak kira-kira 600 meter.

    Menurutnya, suspek berusia 17 tahun itu dikesan melakukan kesalahan tersebut pada pukul 2.45 pagi tadi.

    “Skuad 42 JSPT bertindak mengekorinya sehingga ke Jalan Gong Kijang, Kuala Terengganu sebelum ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987,” jelas beliau.

  • Pesawah ditahan bersama 150kg daun ketum dipetik sendiri

    Pesawah ditahan bersama 150kg daun ketum dipetik sendiri

    POLIS menahan seorang lelaki dan merampas 150 kilogram daun ketum selepas menyerbu sebuah rumah di Labu Kubong, Chederong Balai, Teluk Intan, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 23 tahun itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak selepas menerima maklumat awam sekitar jam 1 pagi.

    “Siasatan awal mendapati, suspek yang bekerja sebagai pesawah itu mendapatkan bekalan daun ketum dengan memetiknya sendiri dalam hutan di belakang rumahnya.

    “Daun ketum terbabit dikatakan sedia ada di hutan berhampiran rumah suspek disyaki ditanam orang lain sebelum ini.

    “Ketika serbuan dibuat, polis menjumpai 30 bungkus beg plastik hitam yang di dalamnya terdapat daun ketum dianggarkan seberat 150 kilogram dalam stor belakang rumah.

    “Suspek mengaku daun ketum itu adalah miliknya dan bekalan itu untuk dijual kepada pembeli yang berminat,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, berdasarkan keterangan, suspek turut mengaku menjadi orang tengah yang mengutip dan mengumpulkan bekalan daun ketum daripada orang kampung.

    Katanya, tindakan itu dibuat kerana bekalan daun yang dipetik sendiri tidak cukup untuk menampung permintaan pembeli terutama dari sekitar Teluk Intan.

    “Suspek terlibat dalam perniagaan ini sejak enam bulan lalu. Dia ditahan reman selama tiga hari sehingga Isnin ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 atas kesalahan memiliki daun ketum,” katanya.

  • Seorang maut, 2 cedera kemalangan MPV dengan lori

    Seorang maut, 2 cedera kemalangan MPV dengan lori

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG terkorban manakala dua lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

    Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu menyebabkan pemandu MPV jenis Perodua Alza, Mohamad Fikri Mohd. Zuki, 27, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya yang menerima panggilan pukul 12.09 tengah hari bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kemalangan membabitkan MPV berkenaan dengan sebuah lori tanpa muatan.

    “Terdapat tiga mangsa di dalam Perodua Alza iaitu Perodua Alza iaitu pemandu yang tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) serta dua penumpang lelaki dan wanita yang cedera.

    Selepas kemalangan pemandu lori tidak diketahui kerana tiada di tempat kejadian ketika bomba tiba

    “Bagaimanapun, pemandu lori tidak diketahui kerana tiada di tempat kejadian ketika bomba tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pasukan bomba melakukan kerja-kerja penyelamatan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas menyelamat.

    Jelasnya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira 40 minit kemudian sebelum diserahkan kepada polis, manakala mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak ambulans.

    Jelasnya, operasi itu yang dijalankan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor tamat sepenuhnya pukul 1.37 petang.