Category: Jenayah

  • MBSJ sita empat premis milik warga asing

    MBSJ sita empat premis milik warga asing

    MAJLIS Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyita dan menutup empat premis perniagaan dijalankan warga asing di sekitar Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya, Petaling Jaya.

    Operasi yang bermula pukul 3 hingga 5 petang kelmarin itu disertai 39 anggota termasuk pegawai Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan MBSJ serta 11 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, premis penjualan arak secara haram yang diusahakan peniaga warga asing, antara yang disita dalam operasi itu.

    “Selain itu, MBSJ mengeluarkan 26 Notis Tawaran Kompaun (NTK) sepanjang operasi yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, katanya, KPDNHEP turut mengeluarkan kompaun RM300 kepada seorang pemilik kedai runcit kerana gagal menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal iaitu telur ayam gred A/B/C di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

    Azfarizal menambah, pemantauan berkala akan terus dijalankan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak didapati melanggar peraturan dan syarat ditetapkan.

  • 10 lawan 1 – Pelajar dibelasah beramai-ramai dalam kelas

    10 lawan 1 – Pelajar dibelasah beramai-ramai dalam kelas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis menerima laporan daripada seorang pelajar berusia 16 tahun yang mendakwa dibelasah beramai-ramai di sebuah sekolah di Langkawi, semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham akibat ejekan.

    Menurutnya, laporan polis itu dibuat pelajar berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, awal pagi ini.

    “Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku semalam kira-kira pukul 9 pagi di sebuah kelas dalam sekolah berkenaan.

    “Suspek sedang dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan ringkas di Langkawi, hari ini.

    tersebar klip video yang memaparkan kejadian itu dengan mangsa dilihat dibelasah oleh sekurang-kurangnya 10 pelajar lain.

    Sementara itu di media sosial, tersebar klip video yang memaparkan kejadian itu dengan mangsa dilihat dibelasah oleh sekurang-kurangnya 10 pelajar lain.

    Terdahulu mangsa dilihat berperang mulut dengan rakannya sebelum seorang pelajar lain dilihat menendang dari belakang sehingga membuatkan pelajar lain berkerumun bagi membelasahnya.

    Shariman menambah, mangsa turut dirujuk ke hospital bagi menjalani pemeriksaan namun dia setakat ini didapati tidak mengalami kecederaan fizikal.

    “Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Tahanan lari dari depot sudah sampai ke Selayang-JIM

    Tahanan lari dari depot sudah sampai ke Selayang-JIM

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mengesan pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Kedah pada 20 April lalu kini berada di sekitar Selayang.

    Ketua JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, bagaimanapun pihaknya sedang mengenal pasti lokasi sebenar tahanan berkenaan sebelum tindakan diambil.

    Berdasarkan maklumat yang diterima katanya, berkemungkinan pelarian itu dibantu komuniti mereka sendiri untuk membawa tahanan yang lolos ke kawasan Selayang.

    “Kita percaya ada di antara mereka yang tahu mengenai selok-belok Selayang dan Kuala Lumpur kerana mereka pernah tinggal di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas serbuan di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, setakat ini tahanan yang masih bebas ialah seramai 61 orang dan pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih giat memburu pelarian yang masih bebas.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PDRM yang bersama JIM dalam melakukan pencarian bagi mengesan saki-baki tahanan yang melarikan diri dari pusat tahanan terbabit,” katanya.

    Dalam kejadian berkenaan, 528 tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap merusuh dan melarikan diri.

    Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

    Bagaimanapun, 467 orang berjaya ditahan semula setakat ini manakala bakinya sedang diburu polis.

  • 6 anggota polis Pulau Pinang disiasat susulan tahanan lolos dari lokap

    6 anggota polis Pulau Pinang disiasat susulan tahanan lolos dari lokap

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    ENAM anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal ditahan susulan kejadian seorang tahanan lelaki meloloskan diri dari Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru, Pulau Pinang tengah malam semalam.

    Kesemua anggota berusia 20-an hingga 30-an itu kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes itu di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya tidak berkompromi dalam menjalankan siasatan kes itu dan akan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.

    Mengulas kejadian itu, jelas beliau, tahanan yang dikenali Azizi Mohammad Hassan, 33, itu ditahan atas kesalahan membabitkan dadah pada 20 April lalu.

    “Suspek sedang ditahan serta menunggu keputusan sama ada dikenakan tahanan menurut Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

    “Susulan kejadian ini juga, kita telah melancarkan operasi untuk mengesan suspek berkenaan,” katanya selepas melancarkan Op Selamat ke-18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat Pulau Pinang hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, seramai 61 lagi tahanan Rohingya yang meloloskan diri dari Depoh Sementara Imigresen Relau, Kedah minggu lalu masih diburu sehingga kini.

    Kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan tahanan berkenaan telah melepasi sempadan Pulau Pinang dan berada di negeri jiran.

    “Kita bimbang kemungkinan tahanan Rohingya ini telah berasimilasi dengan penduduk tempatan.

    “Kejadian ini sudah seminggu berlaku dan mereka mungkin mendapat bantuan dari segi makanan, sebab itu berjaya mengelak ditangkap,” katanya.

  • Lelaki samun lapan premis seminggu diberkas

    Lelaki samun lapan premis seminggu diberkas

    SEORANG lelaki yang melakukan lapan kes samun dalam tempoh seminggu secara bersendirian bersenjatakan pistol palsu, akhirnya berjaya diberkas polis di Sungai Buaya pukul 8.40 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan dan pihaknya
    menemui beberapa barangan dan wang disyaki hasil kegiatan samun di sekitar daerah Kuala Langat dan Klang.

    “Ini termasuk sepucuk pistol palsu berwarna hitam bersama satu unit kelopak tanpa peluru, sebilah pisau, telefon bimbit jenama Oppo dan wang tunai berjumlah RM87.

    “Susulan tertangkapnya suspek yang baru aktif sejak seminggu lalu itu, polis percaya telah menyelesaikan lapan kes samun di sekitar kawasan Banting, Sungai Jarom dan Klang,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Tambah beliau, antara kes yang berjaya diselesaikan ialah samun kedai runcit di Taman Rambai Indah, Jalan Sungai Buaya dan Kampung Kanchong manakala kedai serbaneka di Bandar Saujana Putra, klinik di Rimbayu dan samun mendatangkan kecederaan di sebuah kedai runcit di Telok Gong, Pelabuhan Klang.

    Beliau berkata, suspek kini direman tiga hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabit kesalahan.

  • Sindiket curi kenderaan mewah tumpas, serbuan di 4 negeri

    Sindiket curi kenderaan mewah tumpas, serbuan di 4 negeri

    SATU sindiket curi berjaya ditumpaskan selepas polis menahan sembilan lelaki tempatan dalam serbuan berasingan di empat negeri sejak Disember tahun lalu hingga Isnin lalu.

    Modus operandi sindiket itu adalah menukar identiti kenderaan curi berkenaan dengan mendapatkan maklumat berkaitan kenderaan dilupus atau kenderaan diisytihar ‘total loss’ (musnah sepenuhnya).

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menerima satu laporan berkaitan sebuah kenderaan mewah hilang di sebuah kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Disember tahun lalu.

    “Susulan itu, kita menjalankan siasatan yang membawa kepada penahanan sembilan lelaki berusia antara 30-an hingga 40-an.

    “Kita merampas 26 kenderaan mewah membabitkan Toyota Vellfire, Mercedes, BMW, Ford Ranger dan Mazda yang dianggarkan bernilai RM3 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Azmi berkata, sindiket berkenaan memperoleh maklumat menerusi satu laman sesawang insurans, kemudian digunakan bagi menggantikan identiti kenderaan curi sebelum ia didaftarkan dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Sebahagian daripada kenderaan mewah yang dirampas selepas polis berjaya menahan sembilan lelaki yang disyaki dalang sindiket kecurian kereta mewah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Selepas identiti ditukar, setiap kenderaan itu akan dijual dan meraih keuntungan antara RM30,000 sehingga RM40,000 bagi setiap satu,” katanya.

    Azmi berkata, pihaknya menerima 26 laporan berkaitan kehilangan kenderaan mewah di ibu negara sejak tahun lalu dan percaya ada lagi laporan yang berkait dengan sindiket berkenaan.

    “Semakan dilakukan mendapati ada di antara suspek yang mempunyai rekod jenayah curi kenderaan.

    “Dua daripada sembilan suspek berkenaan masih dalam tempoh reman untuk membantu siasatan,” katanya

  • Polis belum terima laporan 2,000 babi ‘hilang’ di Port Dickson

    Polis belum terima laporan 2,000 babi ‘hilang’ di Port Dickson

    POLIS Negeri Sembilan masih belum menerima sebarang laporan berhubung isu2,000 ekor babi di 19 ladang tidak berlesen di Kampung Baru Tanah Merah A, Port Dickson yang didakwa dibawa keluar tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

    Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid, bagaimanapun siasatan lanjut akan dilakukan sekiranya menerima laporan polis mengenai kejadian terbabit, lapor Sinar Harian.

    “Kita akan semak berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Op Selamat 18/2022 Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang berhubung isu 2,000 babi yang dipercayai dibawa keluar tanpa pengetahuan pihak berkuasa berkaitan.

    Katanya, kerajaan negeri khuatir haiwan yang dibawa keluar itu akan mencetuskan jangkitan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) ke negeri lain.

    Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Ruslan berkata, seorang lagi banduan reman yang melarikan diri dari Penjara Jelebu pada 10 April lepas dan masih bebas sudah disenaraikan sebagai individu yang dikehendaki polis.

    “Usaha untuk mengesan banduan berkenaan telah dipergiatkan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

    Polis giat memburu seorang daripada tujuh banduan iaitu Muhammad Syafiq Rohmat, 32, dengan nama gelaran Umai yang melarikan diri dari Penjara Jelebu pada 10 April lepas selepas enam daripadanya berjaya ditahan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai banduan ini, boleh salurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran ataupun ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu di talian 06-6136 222 atau pegawai penyiasat Inspektor Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096 996.

    Pada 18 April lepas, enam banduan yang ditahan semula itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol, atas kesalahan melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia, namun kesemua mereka tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

    Dilaporkan siasatan polis mendapati kejadian kira-kira pukul 6 pagi pada 10 April itu berlaku di Blok Muhasabah 2, institusi berkenaan yang kesemua tujuh banduan reman terbabit ditempatkan.

    Mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi menuju semak di belakang penjara itu.

  • 9.2 tan produk babi dari China tanpa permit sah dirampas

    9.2 tan produk babi dari China tanpa permit sah dirampas

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya mengagalkan cubaan membawa masuk 9,180 kilogram (kg) produk babi dari China tanpa permit import sah di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), kelmarin.

    Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, produk iti dibawa masuk menggunakan kontena yang dimuatkan di dalam 1,125 kotak dengan anggaran nilai RM453,600.

    Menurut beliau, perbuatan mengimport produk babi tanpa permit import sah daripada MAQIS adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3), Akta yang sama.

    “Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Produk babai dari China itu dibawa masuk menggunakan kontena yang dimuatkan dalam 1,125 kotak dengan anggaran nilai RM453,600

    Jelas beliau, tindakan penguatkuasaan sedemikian perlu diambil bagi menghalang risiko kemasukan virus African Swine Fever (ASF) ke negara ini yang mampu menjejaskan industri penternakan babi Malaysia.

    Katanya, antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi salai, sosej babi, produk babi yang ditinkan dan seumpamanya.

    “Pihak MAQIS mengambil langkah lebih serius mengenai pengimportan melalui sempadan negara terutamanya isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

    “Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan biosekuriti serta tahap jaminan keselamatan makanan negara terpelihara,” katanya.

  • Bapa tetak anak gara-gara selisih faham berkenaan wang

    Bapa tetak anak gara-gara selisih faham berkenaan wang

    HANYA kerana berselisih faham berkenaan wang, seorang bapa berusia 40-an tergamak menetak anak kandung sendiri menggunakan senjata tajam di rumah mereka di Kampung Teluk Awak, Teluk Bahang, Pulau Pinang.

    Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin itu menyebabkan anak kandung suspek yang berusia 20-an mengalami kecederaan di bahagian belakang badan.

    Difahamkan berlaku perselisihan faham antara kedua-dua beranak itu melibatkan wang sehingga menyebabkan suspek berang lalu menyerang serta menetak anaknya itu.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, susulan kejadian itu suspek yang bekerja sendiri ditahan polis selepas penduduk kampung membuat laporan berhubung kejadian tersebut.

    “Bertindak berdasarkan laporan itu, polis telah menahan suspek berusia 40-an kerana disyaki menetak anaknya dan suspek kini direman bagi membantu siasatan.

    “Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Balik Pulau (HBP) untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah Kamarul Rizal, ujian saringan awal air kencing suspek mendapati negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

  • Pemilik akaun TikTok disiasat isu provokasi larangan azan

    Pemilik akaun TikTok disiasat isu provokasi larangan azan

    POLIS menyiasat seorang pemilik akaun TikTok disiasat selepas mengulas secara provokasi isu larangan laungan azan menggunakan pembesar suara di Pune, India kerana mungkin boleh menggugat ketenteraman kaum di negara ini.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

    Beliau berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

    Abd Jalil turut mengesahkan kenyataan berhubung larangan laungan azan menggunakan pembesar suara itu bukan dikeluarkan di Malaysia.

    “Arahan tersebut dibuat oleh Presiden Maharashtra Navnirman Sena (MNS), Raj Thackeray. Beliau turut mengarahkan membuang semua pembesar suara di masjid sebelum 3 Mei ini dan perkara itu dilaporkan dalam portal The New Indian Express pada 17 April lalu.

    “Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

    “Kita turut menasihatkan orang ramai supaya prihatin terhadap isu yang menyentuh sensitiviti agama serta kaum.

    “Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar harian.