Category: Jenayah

  • Seludup PATI Rohingya:Tiga anggota IPK Kedah dituduh

    Seludup PATI Rohingya:Tiga anggota IPK Kedah dituduh

    TIGA anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah antara lapan warga tempatan yang didakwa di mahkamah hari ini, terhadap tuduhan menyeludup 119 pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya pada 24 Mei lalu.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, semua suspek berusia antara 28 hingga 51 tahun ditahan secara berasingan dalam dua siri tangkapan.

    “Dalam kejadian bulan lalu itu sebuah bot nelayan ditahan di perairan Kuala Kedah bersama empat warga tempatan disyaki tekong bersama sembilan warga Myanmar oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

    “Susulan kejadian berkenaan, empat lagi warga tempatan dikesan dan ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran.

    “Ini menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai lapan orang iaitu tiga daripadanya anggota polis yang bertugas di IPK Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 (Pin. 2002).

    Wan Hassan berkata, kes itu dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah dan seterusnya ke Pejabat Peguam Negara Putrajaya dan kebenaran pertuduhan sudah diperolehi terhadap kedua-dua penjawat awam itu mengikut Seksyen 26B (d) ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

    “Tiga warga tempatan dituduh mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan pula boleh dihukum dengan penjara selama 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

    “Dua lagi suspek diletakkan mengikut bon Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593),” katanya.

  • Budak 4 tahun kritikal dikesan ada dadah dalam badan

    Budak 4 tahun kritikal dikesan ada dadah dalam badan

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun kritikal selepas dikesan terdapat kandungan dadah dalam badan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK).

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa yang tinggal di Kampung Sri Bintang, Kuala Krai dikejarkan ke HKK pada pukul 5 pagi semalam oleh ibunya untuk rawatan sebelum pihak hospital melaporkan kepada polis.

    “Mangsa dibawa ke HKK dalam keadaan kritikal dan sebaik pemeriksaan dibuat mendapati dalam badannya terdapat kandungan dadah jenis methampethamine.

    “Siasatan mendapati kanak-kanak lelaki ini dipercayai dibawa bapa saudaranya ke suatu tempat dan belum dapat dipastikan lagi sama ada mangsa diberikan dadah atau dibiarkan terdedah dengan bahan larangan itu sebelum memasukkannya dalam badan.

    “Susulan itu, bapa saudara mangsa berusia 30 tahun ditahan jam 10 malam tadi dan soal siasat yang dibuat, suspek mengaku membawa anak saudaranya itu ke sesuatu tempat tapi menafikan ada memberinya dadah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kota Bharu, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, mangsa yang kini masih kritikal sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan pihaknya sedang menunggu laporan lanjut.

    Hasil ujian saringan yang dibuat ke atas suspek katnya, mendapati dia positif dadah jenis methampethamine dan turut memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah.

    Permohonan reman akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, katanya.

  • Kes bunuh CEO Cradle Fund: Nasib Samirah, 2 remaja diketahui esok

    Kes bunuh CEO Cradle Fund: Nasib Samirah, 2 remaja diketahui esok

    NASIB Samirah Muzaffar dan dua remaja akan diketahui esok sama ada mereka akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, empat tahun lepas.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman dijangka membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada 9 pagi esok.

    Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Samirah, 47, dan dua remaja maka mereka akan dipanggil untuk membela diri, namun jika keputusan adalah sebaliknya, ketiga-tiga tertuduh itu akan dilepas dan dibebaskan.

    Pada 22 April lepas, Hakim Ab Karim menetapkan 30 Mei sebagai tarikh untuk menyampaikan keputusannya selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, walau bagaimanapun, tarikh itu ditunda kepada 21 Jun (esok).

    Pasukan pendakwaan dianggotai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Abu Bakar manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Rahmat Hazlan.

    Pada 14 Feb lepas, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak si mati, Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan dan Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng; serta pengawal keselamatan kediaman si mati Raju Kumar Pandit.

    Perbicaraan tersebut bermula pada 6 Sept 2019.

    Samirah serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 19 dan 16 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.–Bernama

  • Polis bebaskan pelakon tumbuk, tendang pengawal keselamatan esok

    Polis bebaskan pelakon tumbuk, tendang pengawal keselamatan esok

    POLIS sudah melengkapak kertas siasatan berhubung keas pelakon lelaki yang menumbuk dan menendang pengawal keselamatan di kondominium di Segambut, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Susulan itu kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, pelakon berkenaan yang direman tiga hari akan dibebaskan dengan jaminan polis, esok.

    Pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) esok.

    “Lelaki terbabit akan diberi jamin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul esok. Siasatan juga sudah lengkap,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Semalam, pelakon lelaki direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang pengawal keselamatan di kondominium di Segambut.

    Suspek berusia pertengahan 30-an yang juga penghuni di kondominium sama dilaporkan menumbuk dan menendang pengawal keselamatan dalam kejadian pada pukul 8.30 malam, Khamis lalu.

    Kejadian berlaku apabila suspek meminta rakannya membeli minyak masak.

    Ketika rakan suspek hendak menghantar minyak masak kepadanya, pengawal keselamatan di kondominium berkenaan tidak membenarkan rakannya itu masuk.

    Berlaku pertengkaran mulut di antara kawan suspek dan pengawal keselamatan di situ.

    Suspek kemudian turun ke tempat kejadian dalam keadaan marah terus menumbuk dan menendang muka, dada dan perut mangsa.

  • Polis berkas suspek rogol remaja tingkatan satu

    Polis berkas suspek rogol remaja tingkatan satu

    LELAKI yang disyaki melarikan dan merogol remaja perempuan bawah umur sudah diberkas polis di Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, tangkapan dibuat susulan siasatan polis berhubung laporan kehilangan remaja itu oleh keluarganya.

    “Pada pukul 9.30 malam tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menangkap suspek yang berumur 39 tahun di Kuala Lumpur.

    “Sewaktu tangkapan dibuat, polis turut merampas telefon bimbit dan kenderaan yang digunakan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini seperti dilaporkan Harian Metro.

    Hoong Fong berkata, ibu bapa remaja perempuan berumur 13 tahun itu membuat laporan polis pada pukul 8 malam Khamis lalu.

    “Ibu remaja itu memaklumkan pemandu van memberitahu anaknya tiada di kawasan sekolah selepas selesai waktu sekolah.

    “Pengadu bersama suami pergi ke sekolah dan mendapat tahu daripada rakan sekolah bahawa mangsa menaiki sebuah kereta jenis tidak pasti dengan seorang lelaki selepas tamat waktu sekolah,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan mendapati anak mangsa adalah pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di bawah pentadbiran IPD Klang Selatan berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi Zaky pada 14 Jun lalu.

    “Selepas berkenalan selama dua hari, mangsa dipercayai membuat temujanji bersama suspek di hadapan sekolah untuk melarikan diri ke Melaka.

    “Pada pukul 6.40 petang Khamis lalu, suspek mengambil mangsa di hadapan sekolah menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva warna perak dan membawa mangsa ke Melaka.

    “Mangsa dibawa ke sebuah bangunan rumah kedai dan suspek dipercayai melakukan perhubungan seks bersama mangsa,” katanya.

    Menurut beliau, siasatan mendapati, suspek menghantar mangsa ke Sentul atas permintaan mangsa pada pukul 11.30 malam Jumaat.

    “Selepas mangsa diturunkan di kawasan Sentul, mangsa meminta bantuan seorang kawan untuk bawa dan tinggal di rumah kawannya.

    “Pada keesokannya, mangsa meminta bantuan daripada rakan sekelasnya mengambilnya dari Sentul untuk pulang ke rumah. Maklumat itu dikongsi dengan pihak polis dan mangsa diselamatkan,” katanya.

    Katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang daripada penjagaan yang sah di sisi undang-undang.

    “Selain daripada itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.

    “Suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut. Pihak polis ingin menasihatkan kepada orang awam agar sentiasa mengawasi pergerakan, pergaulan serta penggunaan peranti elektronik anak masing-masing terutamanya remaja agar tidak terbabit dengan aktiviti-aktiviti tidak sihat,” katanya.

  • Jagdeep Singh Deo patah pergelangan kaki diserang lelaki dipercayai mabuk

    Jagdeep Singh Deo patah pergelangan kaki diserang lelaki dipercayai mabuk

    OleH WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo patah pergelangan kaki kiri selepas diserang seorang lelaki yang dipercayai mabuk.

    Kejadian itu berlaku pukul 8.30 malam Jumaat lalu ketika Jagdeep yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang berada bersama ahli keluarganya di sebuah kedai di Jalan Sungai Kelian, Tanjung Bungah.

    Difahamkan, ketika kejadian Jagdeep secara tiba-tiba ditolak sehingga terjatuh oleh seorang lelaki warga asing yang menghampirinya dalam keadaan terhuyung-hayang dipercayai kerana mabuk.

    Ekoran kejadian itu, ahli politik berusia 51 tahun berkenaan cedera pada buku lali dan kini dirawat di sebuah hospital swasta.

    Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain ketika dihubungi media mengesahkan seorang suspek telah ditahan berhubung kes itu dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

  • 12 jahitan di kepala dipukul dengan besi paip kerana hantaran dalam FB

    12 jahitan di kepala dipukul dengan besi paip kerana hantaran dalam FB

    SEORANG lelaki cedera dipukul rakannya di sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin, akibat perselisihan faham berkaitan hantaran menerusi Facebook.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak polis pihaknya pada pukul 12.40 tengah malam semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Nasir Drahman berkata,
    siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 10 malam kelmarin, semasa mangsa, 48, berada di restoran bersama empat lelaki dengan dua daripada mereka dikenali pengadu.

    “Pengadu dan suspek berjumpa kerana mereka bersetuju untuk menyelesaikan masalah peribadi mengenai perselisihan faham hantaran di Facebook.

    “Bagaimanapun, perbincangan itu menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan memukul mangsa serta rakannya menggunakan batang besi paip hingga mengakibatkan mangsa cedera di kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohd. Nasir berkata, pengadu mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Bandar Mahkota Cheras dan menerima 12 jahitan di kepala akibat kecederaan terbabit.

    “Suspek yang terbabit dalam kejadian itu iaitu lelaki berusia 39 tahun sudah dikenal pasti dan sedang dikesan polis bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Ahmad Faizal di talian 019-7691924 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

  • 47 PATI ditahan di sempadan Malaysia-Thailand

    47 PATI ditahan di sempadan Malaysia-Thailand

    ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menahan 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di sempadan negara Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, semalam.

    Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan, berkata kesemua PATI itu ditahan pada 5.45 pagi ketika merentasi sempadan di kawasan ladang getah yang dalam Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

    “Pasukan Serang dan Tangkap (SERKAP) yang ditempatkan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand telah mengesan kelibat sekumpulan orang awam yang sedang bersembunyi berhampiran laluan jalan tidak berturap dalam kebun getah.

    “Anggota bertugas seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua orang awam terbabit seramai 47 orang. Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.


    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati PATI terbabit masuk melalui pagar sempadan yang dirosakkan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Menurut kenyataan, warga Myanmar itu berusia antara 15 hingga 49 tahun, terdiri daripada 40 lelaki dan tujuh perempuan.

    Turut dirampas adalah 34 telefon bimbit dan wang tunai Thailand, Myanmar dan China dengan anggaran nilai keseluruhan RM 27,608.

    PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

  • Ali Imran hilang sejak Khamis

    Ali Imran hilang sejak Khamis

    POLIS memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang sejak Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, remaja itu dikenali sebagai Ali Imran Naseruddin yang beralamat di No 5, Nilam Terraces, Bandar Bukit Puchong 2.

    “Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang Sarjan Nur Arfidah Mohamed di talian 012-7955 961 atau balai berdekatan untuk tindakan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kali terakhir Ali Imran dikesan melalui kamera litar tertutup pos kawalan sedang berjalan kaki seorang diri keluar dari kawasan perumahan itu pada 3.57 pagi.

    “Laporan polis dibuat oleh ibu remaja berkenaan pada 6.52 pagi hari yang sama.

    “Remaja berkenaan memakai seluar jeans, kemeja T, jaket, bertopi, kasut serba hitam dan menggalas sebuah beg kalis air berbentuk silinder warna biru, mempunyai ketinggian 170 sentimeter dan berambut hitam pendek,” katanya. – BERNAMA

  • Rugi RM583,555 ditipu pelaburan melalui WhatsApp

    Rugi RM583,555 ditipu pelaburan melalui WhatsApp

    SEORANG peniaga wanita dari Port Dickson kerugian RM583,555 selepas menjadi mangsa skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan menerusi aplikasi WhatsApp pada 14 Feb lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Supt Aibee Ab Ghani berkata, mangsa berusia 35 tahun itu telah menerima pesanan menerusi WhatsApp daripada seorang lelaki tidak dikenali yang menawarkan skim pelaburan melalui aplikasi ‘RRR68.club’.

    “Tertarik dengan tawaran tersebut, wanita berkenaan melakukan pembayaran sebanyak 52 transaksi berjumlah RM583,555 ke dalam 13 akaun bank bermula 15 Feb sehingga 23 April lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa berasa ditipu selepas mendapati aplikasi WhatsAppnya telah disekat oleh individu terbabit pada bulan lepas.

    Katanya, mangsa telah membuat laporan polis dua hari lepas dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BERNAMA