ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menahan 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di sempadan negara Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan, berkata kesemua PATI itu ditahan pada 5.45 pagi ketika merentasi sempadan di kawasan ladang getah yang dalam Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

“Pasukan Serang dan Tangkap (SERKAP) yang ditempatkan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand telah mengesan kelibat sekumpulan orang awam yang sedang bersembunyi berhampiran laluan jalan tidak berturap dalam kebun getah.

“Anggota bertugas seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua orang awam terbabit seramai 47 orang. Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.


“Pemeriksaan lanjut juga mendapati PATI terbabit masuk melalui pagar sempadan yang dirosakkan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Menurut kenyataan, warga Myanmar itu berusia antara 15 hingga 49 tahun, terdiri daripada 40 lelaki dan tujuh perempuan.

Turut dirampas adalah 34 telefon bimbit dan wang tunai Thailand, Myanmar dan China dengan anggaran nilai keseluruhan RM 27,608.

PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here