Category: Jenayah

  • Ambil tindakan tegas, senarai hitam syarikat yang curi balak – Husam

    Ambil tindakan tegas, senarai hitam syarikat yang curi balak – Husam

    KERAJAAN Kelantan perlu tegas termasuk menyenarai hitam pihak dan syarikat yang didakwa terlibat dalam kegiatan curi kayu balak bernilai kira-kira RM5 juta dari kompartment 25, Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri.

    Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, kenyataan yang dikeluarkannya berhubung kecurian balak di HSK Nenggiri sebelum ini ternyata benar apabila pihaknya sendiri telah meninjau sendiri lokasi matau di Kuala Betis, Gua Musang

    “Terdapat kira-kira 43 longgokan balak yang terletak di sebelah matau Daulah Najah Sdn. Bhd. kini telah disita oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

    “Sehingga hari ini kerajaan negeri tidak memberikan penjelasan yang lanjut dan seperti tidak mahu ambil tanggungjawab berkaitan kejadian curi balak,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Beliau selaku rakyat Kelantan berasa kesal kerana jika dibiarkan, kawasan Hutan Simpan Dara (VJR) yang sepatutnya dipelihara akan dicerobohi.

    “Masih lagi dalam proses siasatan dan apa yang penting ialah kerajaan negeri selain daripada mengakui adanya kejadian kecurian, mencari siapa pencuri yang sebenar.

    “Kalau pencuri ini terlibat dengan sedikit sebanyak ada kaitan apa-apa bentuk dengan Daulah Najah, saya berharap Daulah Najah memohon maaf kepada rakyat negeri Kelantan atas peristiwa ini dan menyenarai hitamkan syarikat yang terbabit. Sama ada kontraktor ataupun subkontraktor atau mana-mana pihak dan tindakan yang tegas diambil,” katanya.

    Pihaknya juga berharap rakyat atau mana-mana pihak dapat tampil memberi maklumat tentang kecurian hutan di kawasan seluruh negeri Kelantan.

    Katanya, Save Kelantan akan memberi sagu hati kepada orang yang memberi maklumat tentang masalah pencerobohan hutan dan hidupan liar yang terganggu.

    Sebelum ini, Husam Musa yang juga bekas Exco negeri mendedahkan kompartmen 26 di HSK Nenggiri diwartakan sebagai hutan dara perlindungan, namun diluluskan untuk pembalakan kepada anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, Daulah Najah Sdn. Bhd.

    Beliau turut mendakwa, wujud kes ‘kecurian’ balak di kawasan bersebelahan, iaitu Kompartmen 25, yang membabitkan anggaran kerugian sehingga RM5 juta.

    Mengulas mengenai kecurian Kompartmen 25, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya difahamkan Jabatan Perhutanan sudah menyita balak terbabit untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan masih meneruskan siasatan kes pencerobohan balak yang didakwa berlaku di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

    Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain berkata, suruhanjaya tersebut kini sedang meneliti maklumat berkenaan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    “Siasatan masih berjalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

  • RM20,000 wang pesara kerajaan lesap ditipu Macau Scam

    RM20,000 wang pesara kerajaan lesap ditipu Macau Scam

    SEORANG pesara kerajaan di Teluk Intan mengalami kerugian apabila wang simpanan persaraannya sebanyak RM20,000 lesap akibat menjadi mangsa sindiket Macau Scam, minggu lepas.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata lelaki berusia 76 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dari Ibu Pejabat Pos Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.

    “Suspek mendakwa mangsa mempunyai bungkusan barangan penghantaran ke Sabah dengan kandungan sekeping kad pengenalan milik mangsa dan lima keping kad ATM dari pelbagai bank namun pengadu telah menafikan.

    “Seterusnya mangsa telah disambungkan pula ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah supaya membuat laporan polis dan kemudian disambungkan kepada pihak mahkamah kononnya pengadu terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Adnan berkata mangsa sekali lagi dihubungi  pada 16  Jun lepas oleh sindiket tersebut dan meminta mangsa melakukan pindahan wang ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek bagi memastikan wang yang dimiliki oleh mangsa adalah bersih daripada kesalahan jenayah penggubahan wang haram.

    Menurutnya mangsa telah melakukan pindahan wang untuk dimasukkan ke dalam akaun suspek di sebuah bank cawangan di Teluk Intan kononnya bagi mengelakkan akaun bank mangsa dibekukan oleh pihak Bank Negara. 

    “Mangsa menghubungi semula suspek namun tiada sebarang jawapan dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan semalam setelah mendapati dirinya ditipu oleh sindiket berkenaan,” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama

  • 4 termasuk 3 beradik lari dari rumah anak yatim ditemukan selamat

    4 termasuk 3 beradik lari dari rumah anak yatim ditemukan selamat

    EMPAT remaja lelaki yang melarikan diri dari rumah anak yatim, di Kuantan, awal pagi semalam, ditemukan selamat, pukul 10 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, remaja berusia antara 13 dan 15 tahun itu ditemukan di sebuah rumah di Kampung Kempadang, Kuantan.

    “Tiga daripada empat remaja terbabit merupakan adik-beradik. Mereka ditemukan di rumah itu yang didiami bapa saudara seorang daripada empat remaja terbabit.

    “Mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan laporan, polis melancarkan operasi mencari empat remaja lelaki, termasuk tiga beradik yang melarikan diri dari rumah anak yatim selepas menerima laporan kehilangan mereka.

    Siasatan awal, kehilangan empat remaja terbabit disedari apabila penyelia asrama berusia 35 tahun dimaklumkan penghuni asrama lain pada 12.30 tengah malam.

    Empat remaja yang juga pelajar itu dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang asrama.

    Siasatan mendapati empat remaja lelaki itu sudah menetap di rumah anak yatim itu bagi tempoh antara satu dan dua tahun.

  • Wanita warga asing ditahan disyaki curi barang kemas majikan selepas bersih rumah

    Wanita warga asing ditahan disyaki curi barang kemas majikan selepas bersih rumah

    POLIS menahan seorang wanita warga asing semalam kerana disyaki mencuri barangan kemas milik majikannya, yang dianggarkan bernilai RM15,000.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata suspek berusia 35 tahun itu, ditahan kira-kira 2 petang semalam di sebuah rumah di Pasir Puteh di sini.

    Katanya penahanan itu dibuat susulan laporan polis diterima daripada seorang wanita pada 3 petang Sabtu lepas, apabila mengesyaki barang kemas miliknya dicuri oleh suspek yang datang menjalankan kerja-kerja pembersihan di rumahnya, di Taman Rapat Setia Baru di Ipoh

    “Dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas laporan polis diterima, polis berjaya menahan suspek yang baharu sahaja bekerja di rumah mangsa sejak sebulan lalu, dengan melakukan kerja-kerja pembersihan sebanyak tiga kali seminggu.

    “Polis turut merampas pelbagai barang kes disyaki milik mangsa bernilai kira-kira RM13,000 dan resit-resit pajak gadai semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Yahaya berkata suspek direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

    — BERNAMA

  • Wanita warga asing disyaki curi barang kemas majikan RM15,000

    Wanita warga asing disyaki curi barang kemas majikan RM15,000

    POLIS menahan seorang wanita warga asing semalam kerana disyaki mencuri barang kemas milik majikannya, yang dianggarkan bernilai RM15,000.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, suspek berusia 35 tahun itu, ditahan kira-kira 2 petang semalam di sebuah rumah di Pasir Puteh di Ipoh.

    Katanya, penahanan itu dibuat susulan laporan polis diterima daripada seorang wanita pada 3 petang Sabtu lepas, apabila mengesyaki barang kemas miliknya dicuri oleh suspek yang datang menjalankan kerja-kerja pembersihan di rumahnya, di Taman Rapat Setia Baru di Ipoh.

    “Dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas laporan polis diterima, polis berjaya menahan suspek yang baharu sahaja bekerja di rumah mangsa sejak sebulan lalu, dengan melakukan kerja-kerja pembersihan sebanyak tiga kali seminggu.

    “Polis turut merampas pelbagai barang kes disyaki milik mangsa bernilai kira-kira RM13,000 dan resit-resit pajak gadai semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Yahaya berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. – BERNAMA

  • Pesara berputih mata, rugi RM652,000 diperdaya Macau Scam

    Pesara berputih mata, rugi RM652,000 diperdaya Macau Scam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pesara berusia 68 tahun kerugian RM652,500 selepas ditipu sindiket Macau Scam sejak Mei lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Amran Md. Jusin berkata, warga emas terbabit membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Nusa Bestari, Iskandar Puteri, semalam.

    “Kejadian berlaku apabila mangsa mendakwa dihubungi sindiket penipuan itu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

    “Suspek menakutkan mangsa dengan memberitahu bahawa mangsa terbabit dengan pengambilan ubat terlarang dan pengubahan wang haram.

    “Suspek meyakinkan mangsa bahawa akaun bank milik mangsa akan diaudit dan disiasat,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

    Amran berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan semua wang dari akaun miliknya ke dalam satu akaun bank lain yang diberikan suspek kononnya bagi tujuan siasatan.

    Bukan itu sahaja, Amran berkata, suspek juga memberitahu terdapat notis perintah mahkamah tinggi yang mengarahkan mangsa untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis.

    “Tanpa usul periksa, mangsa memindahkan sebanyak RM652,500 dari akaun bank miliknya kepada nombor akaun bank tempatan yang diberikan suspek,” katanya.

    Katanya, pemindahan wang dilakukan mangsa menerusi 22 transaksi bermula 11 Mei lalu hingga 5 Jun lalu.

    Amran berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu dan memaklumkan kepada anaknya yang seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Nusa Bestari semalam.

    Hasil siasatan awal, Amran berkata, terdapat dua kes direkodkan antara tempoh 6 Mei hingga semalam dalam lain-lain kes jenayah komersil dilaporkan.

  • Air bertakung bongkar penemuan mayat

    Air bertakung bongkar penemuan mayat

    KEADAAN air paip yang keluar sehingga bertakung di hadapan rumah akhirnya membongkar penemuan mayat seorang lelaki yang sudah membengkak.

    “Pada mulanya saya berasa agak pelik melihat keadaan air paip yang bertakung keluar dari dalam rumah mangsa,” kata seorang peniaga kedai makan Mohd Rozlan Deraman sebelum menemui mayat jirannya yang membengkak, hari ini,lapor Harian Metro.

    Mayat Anuar Yusof, 52, ditemukan dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah di Kampung Lubuk Panjang Bukit Besi, Dungun pukul 8.30 pagi ini.

    Mohd Rozlan, 55, yang tinggal bersebelahan rumah mangsa berkata, kali terakhir dia menemui mangsa pada pagi khamis lalu ketika dia minum di kedainya.

    “Dia memang tinggal bersendirian di rumah itu. Pagi khamis dia datang minum dan seperti biasa, arwah akan bergurau dengan saya dan penduduk kampung serta tidak menunjukkan perbuatan pelik.

    “Pada hari sama pukul 7 malam, saya ada mendengar dua kali mangsa menjerit dan saya tidak ambil peduli dan menganggap mungkin kerana mangsa bosan,” katanya.

    Menurut Mohd Rozlan,beberapa minit selepas itu, dia ternampak mangsa keluar dari rumah dengan menunggang motosikal.

    Beliau berkata, sejak dari itu, dia tidak lagi melihat mangsa dan ketiadaannya sepanjang tiga hari menimbulkan rungutan daripada kawan- kawannya.

    “Pada Sabtu, saya dan pelanggan kedai terhidu bau busuk dan kami semua sangka bau itu adalah sampah atau bangkai haiwan di kawasan semak,” ceritanya.

    Katanya, pagi ini, dia mengambil keputusan memeriksa di sekitar kawasan kedai sebelum mendapati air mengalir begitu banyak dari rumah mangsa.

    “Saya sangkakan mangsa terlupa menutup paip dan saya bersama rakan, Mohd Redzuan Mohd. Zain, 44, pergi ke rumahnya,” katanya.

    Ujarnya, selepas sahutan tidak dijawab, mereka cuba mengintai di celah tingkap sebelum mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

    “Saya buka pintu depan rumahnya yang tidak berkunci dan ketika itu kami dapati bau mayat sangat kuat sebelum segera menghubungi polis,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai buruh di kilang kayu di Bukit Besi dipercayai meninggal sejak beberapa hari lalu.

    “Keluarga mangsa sudah dihubungi dan mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

    “Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelas beliau.

  • Kes Sharnaaz Ahmad pukul dan tendang ‘guard’, polis tunggu arahan TPR

    Kes Sharnaaz Ahmad pukul dan tendang ‘guard’, polis tunggu arahan TPR

    POLIS sedang menunggu arahan selanjutnya selepas kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini berhubung pelakon, Sharnaaz Ahmad yang didakwa menumbuk dan menendang penghuni sebuah kondominium di Segambut, Kuala Lumpur.

    Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan dan dirujuk ke TPR hari ini untuk mendapatkan keputusan kesalahan apa yang akan dituduh di mahkamah ke atas suspek.

    “Setakat ini, polis masih menunggu keputusan arahan daripada TPR. Pelakon terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis pukul 12 tengah hari ini selepas direman tiga hari bagi membantu siasatan.

    “Suspek ditahan selepas mangsa yang juga penghuni kondominium tampil membuat laporan polis mendakwa dipukul suspek dan lebam di mukanya,” katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Eng Lai berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di tempat lain meminta rakannya membeli minyak masak.

    “Bagaimanapun rakannya itu tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan di kondominium terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan pengawal keselamatan itu.

    “Kebetulan ketika kejadian itu, pelakon terbabit yang melihat insiden terbabit datang menegur mereka sebelum bertukar sebaliknya apabila dia didakwa bertindak menumbuk mangsa,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, pelakon lelaki direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang pengawal keselamatan di kondominium di Segambut.

    Suspek berusia pertengahan 30-an yang juga penghuni di kondominium sama dilaporkan menumbuk dan menendang mangsa dalam kejadian pada pukul 8.30 malam, Khamis lalu.

  • Polis tembak mati penjenayah dikehendaki

    Polis tembak mati penjenayah dikehendaki

    SEORANG lelaki yang dipercayai terbabit dengan kejadian samun ditembak mati dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Taman Salak Selatan, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Pihak polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan disamun tiga suspek bersenjatakan pisau di Bandar Tasik Sri Permaisuri Cheras, Kuala Lumpur, pada 11 November 2021.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam kejadian itu, wang tunai, beberapa barang kemas serta tiga jam tangan berjenama milik mangsa dianggarkan berjumlah RM693,000 dilarikan oleh suspek.

    “Hasil siasatan dilakukan, kami membuat serbuan di sebuah unit kondominium di Taman Salak Selatan pukul 10 malam pada 18 Jun lalu.

    “Ketika serbuan dilakukan, suspek melepaskan tembakan ke arah polis menyebabkan kami bertindak melepaskan tembakan balas bagi melindungi keselamatan serta nyawa pasukan bertugas.

    “Dalam kejadian itu, suspek berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia dan kami menemui satu pistol semi automatik jenis C7 75 Compact yang mengandungi lima peluru hidup di dalam kelopak serta satu peluru di dalam silinder peluru (chamber),” katanya.

    Sebutir bom tangan yang dirampas selepas pihak polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah
    yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang .

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Pihaknya turut menemui satu bom tangan di dalam beg silang suspek berkenaan.

    “Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan tiga rekod dikehendaki selain pernah ditahan atas pembabitan 26 kes jenayah termasuk kes bunuh, samun, pemilikan senjata api, khianat serta pecah rumah.

    “Susulan insiden itu, kami membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

    Sepucuk pistol semi automatik jenis CZ 75 dan peluru yang dirampas

    Beliau berkata, pihaknya melancarkan Op Tiger bagi mengesan rakan suspek yang membawa kepada penahanan tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 28 hingga 67 tahun dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, sejak dua bulan lalu dengan tangkapan terbaru 6 pagi tadi.

    “Hasil serbuan dilakukan, kami merampas satu pistol jenis CZ Compact dan dua kelopak mengandungi 28 peluru di sebuah gudang di Klang Utara, Selangor.

    “Semakan dilakukan mendapati semua suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah dengan seorang daripada mereka mempunyai 40 rekod jenayah serta dadah.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim

    “Kami percaya kumpulan ini terbabit dalam 15 kes samun dan tiga kes bunuh sejak 2009,” katanya.

    Katanya, usaha mengesan saki-baki kumpulan terbabit sedang giat dijalankan.

    “Permohonan reman terhadap semua suspek terbabit dibuat hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Akta Senjata Api 1960 dan Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur di talian 03-21460685, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • Sindiket tawar pinjaman tidak wujud beroperasi dari kondominium mewah tumpas

    Sindiket tawar pinjaman tidak wujud beroperasi dari kondominium mewah tumpas

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    BEROPERASI dari kondominium mewah untuk tawar pinjaman wang tidak wujud menerusi media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp.

    Bagaimanapun, sindiket itu yang menyewa unit kondominium mewah di Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang sejak empat bulan lalu berjaya ditumpaskan dalam serbuan Rabu lalu.

    Dalam operasi kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, seramai 13 individu warga tempatan iaitu sembilan lelaki dan empat wanita berusia antara 19 hingga 30 tahun yang dipercayai ahli sindiket terbabit turut ditahan.

    Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, sindiket itu berjaya dibongkar hasil maklumat awam dan risikan polis berhubung kegiatan jenayah khianat seperti simbah cat, ugutan jenayah dan ah long.

    Bagaimanapun jelas beliau, siasatan lanjut mendapati sindiket itu turut menjalankan kegiatan memberi pinjaman tidak wujud dengan mengenakan yuran pemprosesan kepada mangsa.

    “Sindiket akan menghubungi mangsa yang tertarik dengan iklan pinjaman di media sosial sebelum memperdayakan mereka dengan meminta sejumlah bayaran sebagai yuran pemprosesan.

    “Hasil semakan setakat ini mendapati sebanyak 132 laporan polis diterima berkaitan aktiviti kumpulan ini membabitkan kerugian RM1.914 juta yang melibatkan kes di seluruh negara dengan enam daripadanya dilaporkan di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, sindiket itu menjalankan kegiatan terbabit di Pulau Pinang sejak tahun lalu dan berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain bagi mengelak dikesan piyak berkuasa.

    Jelas beliau, dalam serbuan di unit kondominium itu, polis turut merampas sebanyak 27 unit telefon bimbit, komputer riba, sebuah kereta dan 10 buah nota tercatat nombor telefon serta nombor akaun mangsa.

    “Siasatan lanjut juga mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

    “Mereka kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 dan 420 Kanun Keseksaan,” katanya.