Category: Jenayah

  • Lelaki berkhalwat dengan isteri orang maut jatuh tingkat empat

    Lelaki berkhalwat dengan isteri orang maut jatuh tingkat empat

    TINDAKAN  seorang lelaki cuba melarikan diri selepas perbuatan berdua-duaan dengan isteri orang terbongkar, membawa padah apabila maut terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Jasin, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 11.47 pagi itu, lelaki itu yang juga duda berusia 46 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas jatuh tertiarap dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, lapor Asto AWANI.

    Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas lelaki itu yang berada di dalam rumah kekasihnya di pangsapuri itu panik apabila suami wanita berkenaan pulang ke rumah secara tiba-tiba.

    “Menurut saksi yang juga kekasih kepada si mati itu, lelaki itu datang bermalam di rumahnya sebelum secara tiba-tiba suaminya pulang ke rumah kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

    “Menyedari ada individu lain di dalam rumahnya, suami wanita itu kemudian bertindak mengunci pintu jeriji hadapan rumah menyebabkan pasangan berkenaan tidak boleh keluar dan suaminya turut menghubungi pihak polis.

    “Wanita tiga anak yang merupakan isteri kedua itu kemudian meminta si mati berunding dengan suaminya, namun lelaki itu nekad mengambil seutas dawai ampaian dan mengikat pada besi palang di bahagian koridor untuk melarikan diri,” katanya.

    Sejurus itu katanya, secara tiba-tiba wanita itu terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian luar koridor dan mendapati kekasihnya telah tertiarap di atas tanah dan tidak bergerak.

    Ujar Mispani, lelaki itu telah bercerai pada tahun 2017 lalu dan kemudian mencari semula bekas kekasihnya untuk meneruskan hubungan walaupun mengetahui bahawa wanita itu telah berkahwin.

    “Pada tahun 2005 si mati telah berkenalan dan bercinta dengan saksi, namun mereka tiada jodoh dan apabila bercerai dengan isterinya pada tahun 2017 lalu, lelaki ini telah mencari semula saksi untuk meneruskan hubungan.

    “Hubungan si mati dengan saksi adalah secara sembunyi tanpa pengetahuan suami wanita itu,” katanya.

    Katanya mayat lelaki itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • Nur Hidayati hilang sejak 20 Jun, bantuan orang ramai diperlukan

    Nur Hidayati hilang sejak 20 Jun, bantuan orang ramai diperlukan

    POLIS sudah menerima laporan berhubung kehilangan seorang remaja perempuan dikenali sebagai Nur Hidayati Duwaijah Mazlan sejak 20 Jun lepas di Kampung Bandar Dalam, Sentul, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, laporan mengenai kehilangan remaja berusia 17 tahun itu diterima daripada ibunya pada 21 Jun lepas.

    Beliau berkata, siasatan mendapati remaja itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya iaitu sebuah kondominium di Kampung Bandar Dalam pada 7.20 petang.

    “Remaja berkenaan dikatakan telah keluar dari rumah mereka untuk ke kedai dan sehingga kini, masih gagal dihubungi,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

    Beh berkata, Nur Hidayati berketinggian kira-kira 145 sentimeter itu, yang berkulit cerah, berbadan sederhana dan kedua-dua matanya berwarna coklat, kali terakhir dilihat memakai baju berwarna merah serta seluar hitam dan kehilangannya telah dihebahkan melalui Nur Alert.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-318 5868 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222. – BERNAMA

  • Ejen laut warga asing terima upah sehingga RM890 bawa PATI

    Ejen laut warga asing terima upah sehingga RM890 bawa PATI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan tiga individu warga Indonesia menaiki bot tongkang kayu di perairan Jeram, Kuala Selangor pukul 1.16 pagi tadi.

    Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, mereka ditahan ketika cuba menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI).

    Pihaknya mengesan kapal mencurigakan yang bergerak di perairan Pulau Angsa menuju ke Sungai Janggut pukul 11.38 malam tadi.

    “Bot Perkasa 35 yang dalam rondaan rutin memintas sasaran sekitar 1 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati bot kayu itu dikendalikan seorang tekong serta dua kru warga Indonesia berusia lingkungan 28 hingga 59 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

    “Suspek dipercayai menurunkan Pati di perairan Sungai Janggut, Jeram dalam dalam perjalanan pulang ke Tanjung Balai di Indonesia,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, siasatan mendapati pihak ejen laut yang menjalankan kegiatan tersebut ditawarkan upah lumayan sehingga RM890 sebagai
    habuan membawa masuk PATI ke negara ini.

    Difahamkan, setiap kali melakukan penyeludupan pati itu, tekong diupah dua hingga tiga juta rupiah (RM593 hingga RM890), manakala kru kapal dibayar 1.5 hingga 2.5 juta rupiah (RM445 hingga RM742).

    Siva Kumar berkata, ketiga-tiga suspek bersama bot dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

  • Kerugian melibatkan jenayah komersial RM5.2 bilion-KPN

    Kerugian melibatkan jenayah komersial RM5.2 bilion-KPN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menerima 71,833 kes jenayah komersil di seluruh negara sejak tahun 2020 hingga Mei tahun ini.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, keseluruhan kes itu melibatkan kerugian lebih RM5.2 bilion.

    “Daripada jumlah tersebut 48,850 kes atau 68 peratus merupakan jenayah penipuan dalam talian. Ini adalah satu angka yang besar.

    “Bagi kes Love Scam sepanjang tahun 2020 mencatatkan 1,580 kes manakala pada 2021 (1,460 kes) dan sejak awal tahun ini hingga Mei lalu (361 kes). Love Scam biasanya melibatkan mereka yang menyamar sama ada sebagai lelaki atau wanita yang berpura-pura sebagai kekasih.

    “Sementara Macau Scam pula bagi tahun 2020 (2,254 kes), tahun 2021 (1,586 kes) manakala dari awal tahun ini hingga Mei lalu (1,612 kes). Macau Scam biasanya mereka yang menyamar sebagai pihak berkuasa,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 di Mid Valley SouthKey di Johor Bahru hari ini.

    Menurut Acryl, bagi jenayah pembelian dalam talian atau e-dagang pula pada tahun 2020 (5,851 kes); pada 2021 (9,569 kes) dan dari awal tahun ini hingga Mei lalu (3,833 kes).

    Pihaknya akan terus memperhebatkan kempen berkenaan yang bermula November lalu di Kuala Lumpur bagi meningkatkan kesedaran dan kepekaan orang ramai terhadap jenayah penipuan dalam talian yang masih berlaku walaupun langkah pencegahan sudah dilakukan.

    Acryl mahu mereka yang menjadi mangsa penipuan jenayah tersebut supaya tampil membuat aduan supaya pihak polis dapat bertindak sekali gus mengesan penjenayah siber atau sindiket yang terlibat.

    Menurutnya, terdapat mangsa yang tidak membuat laporan polis kerana merasa malu selain beranggapan jumlah yang ditipu kecil serta tidak mahu bersusah payah ke balai polis membuat aduan.

  • JPJ rekod 55,000 kesalahan benarkan kenderaan dipandu individu tak berlesen

    JPJ rekod 55,000 kesalahan benarkan kenderaan dipandu individu tak berlesen

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sebanyak 55,000 kesalahan membenarkan kenderaan dipandu individu tidak mempunyai lesen dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

    Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedly Fadly Ramli berkata, daripada jumlah itu, kebanyakan kesalahan adalah membabitkan ibu bapa yang membenarkan anak di bawah umur memandu tanpa lesen.

    Menurutnya, JPJ amat kesal dengan sikap ambil mudah anggota masyarakat yang berterusan melakukan kesalahan itu tanpa memikirkan risiko serta bahaya kepada pengguna jalan raya.

    Katanya, apabila ditahan anggota penguat kuasa, mereka memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

    “Analisis dan pemerhatian terkini JPJ mendapati tiada perubahan sikap yang ketara daripada pemilik kenderaan mengenai perkara itu sepanjang empat tahun kebelakangan ini,” katanya ketika meninjau Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Stesen Penguatkuasaan JPJ di Kijal Kemaman, malam tadi, lapor Harian Metro.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum dan Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin.

    Aedly Fadli berkata, sejak Januari 2009 hingga Mei tahun ini, JPJ merekodkan sebanyak 347,300 kesalahan membenarkan kenderaan dipandu mereka yang tidak mempunyai lesen.

    “Mana-mana pemilik yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tidak melebihi tiga bulan atau kedua-dua sekali.

    “Kita meminta orang ramai supaya memandang serius berhubung dengan perkara itu bagi mengelak dikenakan saman,” katanya.

    Beliau berkata, JPJ juga tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tegas dengan menyita kenderaan di bawah Seksyen 64(1) akta yang sama.

  • Suami tikam isteri, wanita trauma ketakutan sepanjang masa

    Suami tikam isteri, wanita trauma ketakutan sepanjang masa

    SEORANG wanita yang menjadi mangsa ditikam suami hingga parah di Chabang Empat, Tumpat, Kelantan, 21 Jun lalu, kini trauma dan ketakutan setiap kali melihat lelaki yang lalu lalang di depan katil hospitalnya.

    Kakaknya yang dikenali sebagai Nik, 34, berkata adiknya yang dirawat di wad biasa selepas dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, menyangka kelibat lelaki itu adalah suaminya, malah dia juga akan meracau setiap kali mahu memejamkan mata untuk tidur.

    “Adik saya ketakutan hampir sepanjang masa termasuk ketika mahu tidur. Setiap kali dia cuba pejamkan mata untuk lelap, dia akan meracau dan jika saya mengejutkannya, dia akan segera memberitahu ‘kak..takut kak’ seolah-olah masih terbayang peristiwa dia ditikam suami,” katanya.

    Nik berkata, adiknya yang berusia 26 tahun itu dipindahkan ke wad biasa petang semalam.

    Selain itu, satu daripada dua jari tangannya putus kerana ditetak dan mungkin tidak dapat diselamatkan disebabkan sudah kehitaman, manakala satu lagi sempat disambung.

    “Balutan di kepalanya juga sudah dibuka dan luluh hati saya melihat banyak kesan jahitan di sekeliling kepalanya, malah terdapat juga beberapa kesan tikaman di bahagian belakang badannya.

    “Sejak dipindahkan keluar ICU semalam, tidurnya tidak lena kerana mengadu sakit dan jika terlelap sekalipun, dia kerap meracau disebabkan trauma dengan kejadian petang Selasa lalu,” katanya.

    Ketika ini, hanya Nik yang juga ibu tunggal dan memiliki dua anak masih kecil yang menjaga mangsa di hospital memandangkan ibunya yang turut menjadi mangsa tikaman masih belum pulih sepenuhnya.

    Menurut laporan Berita Harian, suspek berusia 27 tahun bertindak menikam isteri dan ibu mentuanya berusia 60-an dipercayai akibat perselisihan faham, dalam tragedi jam 6.35 petang Selasa lalu.

    Dalam pada itu, pihak berkuasa menerima maklumat berkaitan suspek yang menyembunyikan diri di Lembah Sireh, Kota Bharu dan berjaya menahan suspek yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan di Lembah Sireh, Kota Bharu pada pagi Rabu lalu

    Suspek yang mempunyai empat rekod lampau ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan (KK) kerana menceroboh bangunan (lokasi suspek bersembunyi) dan Seksyen 326KK kerana mengakibatkan kecederaan kepada mangsa.

  • 10 pelajar pukul, tekap sterika panas pada badan junior angkara cemburu

    10 pelajar pukul, tekap sterika panas pada badan junior angkara cemburu

    HANYA kerana cemburu, seorang pelajar lelaki Tingkatan 2 menjadi mangsa pukul 10 pelajar lain dalam kejadian di bilik asrama sekolah Teluk Intan, Perak, pada 23 Jun lalu.

    Malah, mangsa berusia 14 tahun itu turut dicederakan dengan seterika panas pada tubuh badannya.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami sakit di bahagian pinggang dan kini menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

    “Polis daerah Hilir Perak menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 23 Jun pukul 9.40 malam.

    “Kejadian tersebut berlaku di salah sebuah sekolah menengah di Teluk Intan. Hasil siasatan mendapati, mangsa telah dibuli oleh 10 orang suspek berumur 16 hingga 17 tahun yang merupakan pelajar senior (tingkatan 4 dan tingkatan 5) di sekolah terbabit.

    “Kejadian berlaku pada Khamis, antara pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 1 pagi.

    “Salah seorang suspek telah membawa mangsa ke bilik asrama dan kemudiannya memukul mangsa secara beramai-ramai dan mencederakan mangsa menggunakan seterika panas pada badan mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu, lapor Astro AWANI.

    Mior Faridalathrash berkata, mangsa kemudiannya menghubungi ibunya serta mengadu mengalami sakit di bahagian pinggang.

    Ibu mangsa kemudiannya membawa mangsa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

    “Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan berada di dalam keadaan stabil.

    “Soal siasat awal mendapati pergaduhan tersebut dikatakan berpunca dari perasaan cemburu setelah mangsa berbual dengan seorang pelajar wanita yang juga teman wanita kepada salah seorang suspek yang membuli mangsa,” katanya lagi.

    Justeru katanya kesemua suspek telah ditahan oleh pihak polis pada hari yang sama, pada pukul 11.20 malam sejurus menerima laporan.

    Kesemua suspek juga telah ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

    Tambahnya lagi, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan.

    Justeru, pihak polis ingin menasihatkan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat.

    Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak sesekali menularkan maklumat yang tidak sahih kepada umum serta disarankan untuk melakukan sebarang laporan dan aduan di balai polis berdekatan.

  • PGA berkas 51 PATI sembunyi dalam semak

    PGA berkas 51 PATI sembunyi dalam semak

    BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa memberkas 51 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bersembunyi dalam semak di Kampung Sapi, Jeram Perdah di Pasir Mas, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semua 47 lelaki dan empat wanita warga Myanmar itu ditahan PGA pada pukul 1 petang.

    “Bertindak atas maklumat PGA telah melakukan serbuan di kawasan semak tersebut dan menemui sekumpulan warga Myanmar dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesemua warga Myanmar itu tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.

    “Mereka dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, kesemua PATI tersebut ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.

    Beliau berkata, kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini akan terus diperketatkan menerusi penugasan Op Wawasan.

  • 45 majikan dikompaun, gagal daftar pekerja, perusahaan

    45 majikan dikompaun, gagal daftar pekerja, perusahaan

    TAKTIK memberi alasan hanya menggaji pekerja sambilan dan menyuruh pekerja segera pulang ketika diserbu penguat kuasa membawa padah kepada 45 majikan apabila dikompaun selepas didapati gagal mendaftar pekerja dan perusahaan mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

    Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar berkata, alasan tersebut tidak boleh diterima memandangkan peraturan sedia ada jelas mewajibkan majikan mencarum walaupun pekerja itu hanya bekerja sehari di premis perniagaannya.

    “Begitu juga dengan alasan pekerja mereka belum disahkan jawatan dan terkesan disebabkan pelaksanaan gaji minimum,” katanya pada sidang media selepas Op Gegar Malam lewat malam Jumaat.

    Beliau berkata, hasil operasi bermula 3 petang itu melibatkan 168 premis di sekitar kawasan Serkam, Umbai dan Klebang, sebanyak 45 kompaun bernilai RM24,500 dikeluarkan penguat kuasa Perkeso.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 34 kompaun bernilai RM18,500 dikeluarkan di bawah Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 kerana majikan gagal daftar perusahaan manakala di bawah Seksyen 5 akta sama, 11 kompaun bernilai RM6,000 dikenakan kerana majikan gagal mendaftar pekerja.

    “Jika pendakwaan dilakukan, mereka boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara dua tahun,” katanya.

    Beliau berkata, tumpuan operasi kali ini adalah melibatkan perusahaan atau perniagaan yang dijalankan pada waktu malam terutama kedai makan, restoran dan kedai serbaneka.

    “Ini adalah operasi pertama bagi tahun ini dan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa dan kita anggap op malam ini sebagai warm up (gerakan pemanas) untuk memberi peringatan kepada majikan yang masih gagal mencarum dan mendaftar pekerja mereka.

    “Suka diingatkan pada semua industri sama ada beroperasai siang atau malam, Perkeso akan memastikan tiada majikan terlepas daripada tanggungjawab mencarum pekerjanya kerana ini adalah berkaitan keselamatan sosial,” katanya.

    Sementara itu, Abd Razak berkata dari Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 25 majikan telah didakwa di mahkamah manakala sepanjang 2021, Perkeso Melaka telah menjalankan 99 kes pendakwaan melibatkan pelbagai kesalahan.

    Katanya, pihak Perkeso Melaka juga telah mengambil tindakan ke atas majikan yang gagal melaporkan kemalangan dalam tempoh ditetapkan kepada agensi tersebut. – Bernama

  • Wang ibu tunggal lesap diperdaya SMS palsu, terpaksa pinjam ah long

    Wang ibu tunggal lesap diperdaya SMS palsu, terpaksa pinjam ah long

    SEORANG ibu tunggal yang juga peniaga minuman menjadi mangsa penipuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada awal tahun ini.

    Selepas diperdaya menerusi SMS, wanita berkenaan terpaksa meminjam pula daripada along selepas kehabisan wang simpanan.

    Mei Ling (bukan nama sebenar) berkata, dirinya pada mulanya menerima SMS daripada satu nombor yang tidak dikenali memaklumkan dirinya memenangi wang tunai berjumlah RM5,000.

    “Saya amat teruja ketika menerima SMS tersebut, kebetulan saya memang perlukan sedikit wang untuk guna dalam perniagaan minuman yang saya jalankan.

    “SMS tersebut meminta saya agar memuat turun satu aplikasi, setelah muat turun saya kemudiannya mengisi segala maklumat peribadi termasuk nombor kad pengenalan, nombor akaun dan data peribadi lain,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, setelah beberapa hari dia menerima SMS daripada bank yang menyatakan terdapat pengeluaran dilakukan.

    “Ketika menerima SMS tersebut, saya amat terkejut kerana memang saya tidak melakukan sebarang pengeluaran sama ada menerusi dalam talian atau secara fizikal.

    “Pada masa sama, saya langsung tidak menerima sebarang wang seperti SMS yang saya terima sebelum ini, malah wang saya berjumlah RM3,000 pula yang lesap,” katanya.

    Mei Ling berkata, dirinya yang kehabisan wang simpanan terpaksa meminjam daripada along untuk digunakan dalam perniagaan yang dijalankan.

    “Perniagaan saya memerlukan tambahan sedikit modal pusingan, asalnya wang simpanan saya itu saya simpan untuk gunakan dalam perniagaan.

    “Namun, gara-gara terlalu percayakan SMS yang menyatakan saya memenangi sejumlah wang sebanyak RM5,000, wang simpanan saya pula yang tiada dan terpaksa berhutang dengan along,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam Klang, Datuk B. K. Tan berkata, pihaknya mengesan pelbagai bentuk penipuan menerusi SMS dan WhatsApp yang mengumpan pengguna.

    “Taktik yang digunakan, sindiket akan menghantar pesanan kepada mangsa menyatakan mangsa memenangi sejumlah wang. Dalam masa sama mangsa diminta untuk memuat naik satu aplikasi.

    “Aplikasi berkenaan memerlukan mangsa untuk mengisi segala butiran peribadi dan daripada situ sindiket akan menggunakannya bagi menggodam maklumat seperti akaun mangsa untuk mendapatkan wang,” katanya.

    Beliau berkata, perkara itu perlu ditangani segera bagi mengelakkan lebih ramai individu menjadi mangsa.

    “Perlu ada kaedah untuk menangani perkara ini oleh pihak yang bertanggungjawab. Kita bimbang sekiranya tidak ditangani ramai lagi mangsa akan terpedaya.

    “Mereka yang menjadi mangsa pula perlu segera melaporkannya kepada pihak polis, jangan berdiam diri,” katanya.