Category: Jenayah

  • Cubaan seludup barang subsidi RM17.4 juta dipatahkan

    Cubaan seludup barang subsidi RM17.4 juta dipatahkan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan bersubsidi bernilai RM17.4 juta dalam siri serbuan dari Januari hingga Jun pada tahun ini.

    Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, 29 kes telah direkodkan membabitkan 82 tangkapan di sepanjang tempoh enam bulan tersebut.

    “Daripada jumlah itu, 21 orang adalah warga tempatan, Filipina (11 orang), Indonesia (tujuh orang) dan selebihnya lain-lain negara.

    “Pelbagai barang bersubsidi dirampas iaitu 333,000 liter minyak diesel, 2,650 liter minyak petrol dan 10,626 kilogram (kg) tong gas.

    “Turut dirampas adalah 3,732kg minyak masak, 2,514kg gula, 3,460kg tepung serta 40kg beras,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Mohd. Zubil berkata, kesemua rampasan bernilai RM17.4 juta ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Tegas Mohd. Zubil, pihak Maritim tidak akan mengendurkan kesiapsiagaan operasi bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara.

    “Sebarang maklumat kegiatan jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim di talian 03-89434001 atau mana-mana Pusat Operasi Maritim yang berhampiran di setiap Maritim Negeri seluruh negara,” katanya.

    Pada Isnin, kerajaan mengerahkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP), polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menggempur penyelewengan minyak masak bersubsidi dari peringkat kilang sehingga ke sempadan negara.

    Laporan eksklusif Sinar Harian semalam mendedahkan minyak masak bersubsidi dari Malaysia dikesan dijual secara berleluasa tanpa kawalan di sekitar pekan Sungai Golok, Thailand.

    Bukan sahaja minyak masak peket bersubsidi seberat satu kilogram, malah minyak masak botol seberat lima dan 10kg turut dijual dan boleh didapati dengan begitu mudah tanpa sebarang had pembelian.

  • APMM Pahang tahan nelayan Myanmar cari hasil laut guna bot nelayan tempatan

    APMM Pahang tahan nelayan Myanmar cari hasil laut guna bot nelayan tempatan

    SEBUAH bot nelayan tempatan dikemudi tekong dan empat awak-awak warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang pada kedudukan 20 batu nautika dari muara Kuala Pahang, Pekan, Ahad lalu.

    Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot itu kelihatan mencurigakan ditahan untuk pemeriksaan.

    Menurut beliau, pemeriksaan mendapati, kru bot tidak memiliki permit kerja selain dokumen pengenalan diri mereka mencurigakan.

    “Kami turut merampas 950 kilogram hasil laut serta peralatan menangkap ikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kru serta barangan rampasan dibawa ke Jeti Penerpa dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

    Kamal Ariffin meminta komuniti maritim, terutamanya nelayan tempatan, supaya mematuhi undang-undang dan syarat lesen selain mengutamakan keselamatan apabila berada di laut.

    Maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau MERS 999.

  • Suami isteri ditemukan mati dibunuh ahli keluarga

    Suami isteri ditemukan mati dibunuh ahli keluarga

    SEPASANG suami isteri ditemukan meninggal dunia dipercayai dibunuh ahli keluarga dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bercham Aman, Ipoh, hari ini.

    Pasangan itu yang berusia lingkungan 40-an itu ditemui meninggal dunia di ruang tamu rumah berkenaan lapor Sinar Harian.

    Setakat pukul 11.50 pagi, polis masih menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian dan kedua-dua mangsa belum dibawa keluar.

    Turut berada di lokasi kejadian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman.

  • Elak denda buat kad pengenalan baharu, dua lelaki ditahan buat laporan palsu

    Elak denda buat kad pengenalan baharu, dua lelaki ditahan buat laporan palsu

    HANYA kerana tidak mahu membayar denda bagi membuat kad pengenalan baharu, dua lelaki sanggup membuat laporan palsu kononnya menjadi mangsa ragut dan samun dalam kejadian berasingan pada Ahad dan Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, tindakan tersebut mengundang padah apabila hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan tidak pernah berlaku dan kedua-dua lelaki berusia 30 dan 43 tahun itu ditahan pihaknya

    “Pada Ahad lepas, lelaki berusia 43 tahun itu membuat laporan polis dan mendakwa telah diragut dua lelaki bermotosikal yang tidak diketahui bangsanya ketika sedang berjalan kaki serta mengalami kerugian kira-kira RM500 termasuk dokumen pengenalan diri.

    “Bagaimanapun, hasil soal siasat yang dijalankan mendapati pengadu membuat laporan palsu dan mengakui kejadian ragut itu tidak berlaku, sebaliknya laporan itu dibuat bagi mengelakkan didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya dalam kenyataan semalam, lapor Astro AWANI.

    Rupiah berkata pada Isnin lepas pula, seorang lelaki berusia 30 tahun membuat laporan dan mendakwa menjadi mangsa samun oleh seorang lelaki yang tidak diketahui bangsanya ketika berada di depan sebuah kedai serbaneka di Taman Ungku Tun Aminah di Johor Bahru.

    “Hasil soal siasat mendapati pengadu berkenaan juga telah membuat laporan polis palsu,” katanya sambil menambah kedua-dua lelaki berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini untuk didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

  • Maritim tahan bot nelayan tempatan gajikan warga asing

    Maritim tahan bot nelayan tempatan gajikan warga asing

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga asing pada kedudukan 7.3 batu nautika barat daya Pulau Ketam, di Pelabuhan Klang pada 7.20 petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, sebelum itu pihaknya mengesan bot nelayan kelas C itu dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan, bot itu dikendalikan oleh empat kru warga asing iaitu tiga warga Myanmar dan seorang warga Indonesia berusia lingkungan 32 hingga 55 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu telah melanggar syarat sah lesen kerana menggajikan kru warga asing tanpa permit.

    “Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pihaknya memandang serius sebarang kesalahan dan pelanggaran undang-undang di perairan negara dan akan mengambil tindakan tegas terhadap salah laku dan jenayah.

    Katanya, sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • Guru wanita berputih mata RM63,800 diperdaya ‘pegawai’ LHDN

    Guru wanita berputih mata RM63,800 diperdaya ‘pegawai’ LHDN

    SEORANG guru sekolah rendah di Teluk Intan kerugian RM63,800 selepas diperdaya sindiket Macau Scam kononnya wanita itu akan dikenakan tindakan mahkamah selepas didakwa mempunyai tunggakan cukai.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian itu berlaku pada 28 Jun lalu guru berusia 49 tahun itu menerima panggilan telefon daripada lelaki yang mendakwa dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Teluk Intan.

    “Suspek memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai namun dia menafikannya sebelum panggilan itu kononnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

    “Mangsa bercakap dengan seorang individu yang mendakwa anggota polis berpangkat Sarjan dan diberitahu kononnya dia terbabit dalam siasatan pengubahan wang haram dan boleh diambil tindakan mahkamah.

    “Perbualan itu kemudiannya disambungkan pula kepada individu yang menyamar polis berpangkat Inspektor di IPD Ipoh bagi membantu mangsa menyelesaikan kes,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Ahmad Adnan berkata, individu terbabit meminta mangsa membuat pembayaran sekiranya mahu kes diselesaikan dan talian disambungkan pula dengan pegawai Bukit Aman berpangkat Datuk.

    “Mangsa yang takut ditangkap pihak polis atas kesalahan itu menerima tawaran untuk selesaikan kes dan diminta maklumat nombor kad ATM serta TAC akaun miliknya untuk siasatan.

    “Mangsa hanya menyedari wang dalam akaun banknya berkurangan keesokannya dan pihak sindiket membuat tiga transaksi ke akaun pihak ketiga.

    “Mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Polis nafi tahan 2 pegawai, rampas wang tunai di pusat hiburan

    Polis nafi tahan 2 pegawai, rampas wang tunai di pusat hiburan

    POLIS Selangor menafikan tangkapan dua pegawai polis dan merampas sejumlah wang tunai dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, pukul 12 tengah malam tadi, seperti yang tersebar dalam media sosial.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman melakukan satu serbuan di pusat hiburan berkenaan.

    “Ketika serbuan, dua pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dan Inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Bukit Aman turut berada di dalam premis itu bersama dengan pengunjung lain.

    “Namun, kami mengesahkan tiada sebarang tangkapan atau rampasan dalam bentuk wang tunai yang dibuat terhadap kedua-dua pegawai berkenaan seperti didakwa sesetengah pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Bagaimanapun, katanya, kes itu akan dirujuk kepada JIPS bagi kesalahan dari sudut tatatertib.

    “Ingin ditegaskan pihak polis tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar peraturan atau mencemarkan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peraturan yang ditetapkan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

  • KPDNHEP Terengganu buka 5 kertas siasatan kes minyak masak

    KPDNHEP Terengganu buka 5 kertas siasatan kes minyak masak

    LIMA kertas siasatan dibuka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) Terengganu membabitkan pembungkus, pemborong dan industri kecil sederhana (IKS) berhubung kes minyak masak.

    Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, kesemua kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan di bawah Ops Ayam, Telur Ayam, Minyak Masak (Ops ATM) bermula 23 Jun lalu hingga semalam.

    Beliau berkata, tiga kesalahan iaitu masing-masing berlsku dua di Kuala Terengganu dan satu di Dungun.

    Katanya, IKS terbabit menggunakan minyak masak melebihi kuantiti yang dibenarkan tanpa permit iaitu melebihi 12 kilogram.

    “Dua lagi kesalahan masing-masing membabitkan pembungkus dan pemborong di Kuala Terengganu serta Dungun. Ia mengikut Peraturan 13, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu gagal menyelenggara buku stok barang kawalan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan pemeriksaan IKS di Muslim Food Industry di Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Nerus hari ini, lapor Harian Metro.

    “Kesemua kesalahan ini dikesan hasil 434 pemeriksaan di seluruh Terengganu membabitkan 366 peruncit, 36 pemborong, 19 IKS dan 13 pembungkus.

    “Pemeriksaan ini susulan daripada pengapungan harga minyak masak tulen bagi pek kemasan botol dan penetapan harga kawalan siling terbaharu bagi ayam dan telur ayam,” katanya lagi.

    Saharuddin berkata, Ops ATM akan berakhir 31 Julai ini dan pihaknya akan melakukan pemeriksaan secara berterusan sama ada hasil aduan atau secara proaktif di peringkat KPDNHEP sendiri.

    Beliau berkata, pihaknya ketika ini menjalankan pemeriksaan bersasar terhadap 13 syarikat pembungkus minyak masak paket bersubsidi di Terengganu.

    “Seramai 115 penguat kuasa digerakkan untuk melakukan pemeriksaan selain pemantauan berterusan turut dilakukan 58 pegawai pemantau harga,” katanya.

  • 34 motosikal musnah terbakar dipercayai akibat khianat

    34 motosikal musnah terbakar dipercayai akibat khianat

    PIHAK polis sedang melakukan siasatan berhubung satu kes kebakaran dipercayai mempunyai unsur khianat yang memusnahkan 34 buah motosikal di kawasan parkir di Blok G, Projek Perumahan Rakyat Kampung Muhibbah, Bukit Jalil hari ini.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

    “Kita sedang mengesan suspek yang melakukan perbuatan khianat ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu, lapor Sinar Harian.

    Muhammad Idzam berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada pukul 2.21 pagi daripada seorang wanita tempatan memaklumkan berlaku kebakaran membabitkan motosikal.

    “Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat. PIhak polis dengan bantuan Forensik Bomba dari Balai Bomba Sri Rampai telah menjalankan siasatan di tempat kejadian untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut,” katanya.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden kebakaran itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Firdaus Eber ditalian 014-364 9458, Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

  • Pegawai penyelidik Exco beri keterangan untuk siasatan kes cabul

    Pegawai penyelidik Exco beri keterangan untuk siasatan kes cabul

    PEGAWAI penyelidik kepada Exco kerajaan Negeri Sembilan, Ahmad Shukri Kamarudin dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul seorang wanita di sebuah hotel di Negeri Sembilan.

    Menurut beliau, dakwaan yang dilemparkan kepadanya adalah bersifat dendam dan bermotifkan politik.

    “Saya mengesahkan bahawa saya dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan oleh pihak polis pada 4 Julai lalu.

    “Saya memberi kerjasama yang penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia supaya proses siasatan ini dapat dibuat secara telus,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ahmad Shukri berkata, beliau bersama-sama pasukan peguamnya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

    Beliau sedang mempertimbangkan tindakan mengikut lunas undang-undang bagi membersihkan namanya.

    Media pada Isnin melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian cabul yang dikatakan melibatkan seorang pegawai kepada exco kerajaan Negeri Sembilan di sebuah hotel di Negeri Sembilan.

    Suspek yang merupakan lelaki berusia 30-an itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut pada 30 Mac dan 26 April lalu.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada Ahad lalu.

    “Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk menggunakan khidmat forensik, mengambil keterangan daripada saksi-saksi yang boleh membantu siasatan seterusnya mengesan suspek.

    “Semua pihak diharap tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.