AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan bersubsidi bernilai RM17.4 juta dalam siri serbuan dari Januari hingga Jun pada tahun ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, 29 kes telah direkodkan membabitkan 82 tangkapan di sepanjang tempoh enam bulan tersebut.
“Daripada jumlah itu, 21 orang adalah warga tempatan, Filipina (11 orang), Indonesia (tujuh orang) dan selebihnya lain-lain negara.
“Pelbagai barang bersubsidi dirampas iaitu 333,000 liter minyak diesel, 2,650 liter minyak petrol dan 10,626 kilogram (kg) tong gas.
“Turut dirampas adalah 3,732kg minyak masak, 2,514kg gula, 3,460kg tepung serta 40kg beras,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.
Mohd. Zubil berkata, kesemua rampasan bernilai RM17.4 juta ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Tegas Mohd. Zubil, pihak Maritim tidak akan mengendurkan kesiapsiagaan operasi bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara.
“Sebarang maklumat kegiatan jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim di talian 03-89434001 atau mana-mana Pusat Operasi Maritim yang berhampiran di setiap Maritim Negeri seluruh negara,” katanya.
Pada Isnin, kerajaan mengerahkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP), polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menggempur penyelewengan minyak masak bersubsidi dari peringkat kilang sehingga ke sempadan negara.
Laporan eksklusif Sinar Harian semalam mendedahkan minyak masak bersubsidi dari Malaysia dikesan dijual secara berleluasa tanpa kawalan di sekitar pekan Sungai Golok, Thailand.
Bukan sahaja minyak masak peket bersubsidi seberat satu kilogram, malah minyak masak botol seberat lima dan 10kg turut dijual dan boleh didapati dengan begitu mudah tanpa sebarang had pembelian.