Category: Jenayah

  • Mati di penjara Kluang: Polis beri jaminan siasatan menyeluruh dilaksanakan

    Mati di penjara Kluang: Polis beri jaminan siasatan menyeluruh dilaksanakan

    POLIS  Johor hari ini memberi jaminan siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan berhubung kematian seorang banduan lelaki di penjara Kluang, bulan lepas.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata hasil siasatan nanti adalah berdasarkan laporan bedah siasat dan patologi, yang menjurus kepada sebab kematian individu berkenaan.

    Justeru, beliau berharap agar orang ramai termasuk ahli keluarga lelaki berkenaan supaya tidak bimbang dengan proses siasatan.

    “Setiap kematian, kita buka kertas siasatan dan siasatan menjurus kepada elemen-elemen lain termasuk (sekiranya ada elemen) pembunuhan.

    “Kalau tiada elemen lain, kematian itu akan diklasikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Seri Alam, Pasir Gudang hari ini.

    Justeru, Kamarul Zaman menasihati agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai sama ada polis akan menjalankan siasatan menyeluruh susulan desakan ahli keluarga lelaki berkenaan semalam untuk mengetahui punca sebenar kematian.

    Pada 28 Jun lepas, Kim Shih Keat telah dijadualkan dibebaskan daripada penjara Kluang selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari dan denda sebanyak RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen, di Johor Bahru, pada 22 Jun lepas.

    Bagaimanapun, keluarga lelaki berkenaan yang dalam perjalanan untuk mengambil Kim, mendakwa mendapat panggilan pada waktu pagi hari yang sama daripada pengurus rumah mayat yang memaklumkan Kim telahpun meninggal dunia.

    Dalam satu sidang media semalam, ahli keluarga kepada Kim memohon agar laporan bedah siasat dan kimia berhubung kematian lelaki berkenaan, dapat didedahkan selewat-lewatnya Jumaat. – Bernama

  • Polis sukar kesan pekerja ubah suai rumah Zalina Azman

    Polis sukar kesan pekerja ubah suai rumah Zalina Azman

    POLIS sukar menjejaki pekerja yang membuat kerja pengubahsuaian di rumah bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman ekoran proses tersebut telah lama dijalankan.

    Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata status kewarganegaraan pekerja tersebut juga tidak dapat dipastikan melainkan mereka sendiri tampil ke hadapan untuk membantu siasatan berkenaan Zalina Shaharah atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas.

    “Namun siasatan akan diteruskan merangkumi sudut dijalankan berdasarkan petunjuk baharu. Setakat ini status masih sama, kami tiada petunjuk baharu, Kertas Enkuiri Polis (KEP) akan diteruskan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

    Sebelum ini, polis mempercayai Zalina Shaharah, 58, masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.

    Pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan wanita itu daripada anaknya Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi. — Bernama

  • Polis 25 lelaki, rampas barang seludup hampir RM2 juta

    Polis 25 lelaki, rampas barang seludup hampir RM2 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan 25 lelaki termasuk enam warga asing kerana terlibat kegiatan penyeludupan diesel, minyak masak bersubsidi, arak dan rokok ditahan menerusi 14 serbuan Op Kontraban, di seluruh Johor sejak Rabu lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua mereka berusia antara 20 hingga 53 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan pasukan khas yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di setiap daerah.

    “PDRM turut dibantu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Kementerian Perdagangan
    Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    “Hasil operasi pihaknya merampas pelbagai barangan bernilai hampir RM2 juta.

    “Sejak Rabu lalu hingga 2 pagi tadi, pasukan khas kontraban melakukan 14 serbuan di hampir semua daerah termasuk di Mersing, Johor Bahru, Muar, Kota Tinggi dan Segamat,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini.

    “Dalam serbuan itu, kita merampas 4,012 paket minyak masak; 158,380 liter diesel; 215 karton dan 476 rokok pelbagai jenama, serta 216 karton dan 50 botol arak pelbagai jenama,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah 16 lori termasuk sebuah lori tangki, sebuah kereta, dua van dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) serta peralatan penyeludupan lain.

    Katanya, semakan rekod ke atas semua suspek mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau bagi kegiatan jenayah atau dadah.

    “Pemeriksaan ke atas suspek warga asing pula mendapati mereka menyalahgunakan dokumen perjalanan masing-masing.

    “Suspek warga asing sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959)63,” katanya.

    Kes turut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, katanya.

    “Polis akan terus memastikan kegiatan penyeludupan minyak diesel dan petrol, minyak masak bersubsidi, rokok dan arak terus dibanteras.

    “Polis juga memberi amaran kepada mereka yang masih terbabit supaya menghentikan perbuatan itu, kerana kita tak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

  • 13 PATI ditahan di sempadan Malaysia-Thailand

    13 PATI ditahan di sempadan Malaysia-Thailand

    ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba masuk ke negara ini melalui dua laluan di sempadan negara Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.

    Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataannya berkata, kesemua PATI warga Myanmar dan Thailand itu ditahan di kawasan Bukit Kayu Hitam di bawah Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

    “Tangkapan pertama dilakukan ke atas tujuh orang PATI warga Myanmar pada jam 11.15 pagi.

    “Kesemua mereka dikesan anggota ketika melakukan rodaan di sempadan ternampak sekumpulan individu yang mencurigakan bergerak masuk dari arah pagar sempadan dan bersembunyi di kawasan semak dalam kebun getah.

    “Kesemua mereka ditahan terdiri daripada enam lelaki dan seorang perempuan berusia antara 14 hingga 47 tahun,” katanya menurut laporan Astro Awani.

    Sementara tangkapan kedua sepasukan anggota daripada pasukan serang dan tangkap (Serkap) ternampak kelibat sekumpulan individu melintasi sempadan di kawasan ladang getah pada jam 5.18 petang.

    Seramai lima PATI warga Myanmar dan seorang warga Thailand berusia 18 hingga 38 tahun ditahan.

    Pemeriksaan lanjut ke atas lima lelaki dan seorang wanita ini tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

    Menerusi dua tangkapan itu pihak ATM turut merampas lima buah telefon bimbit, sebuah motosikal jenis Honda Wave 125, wang tunai dalam matawang Myanmar dan Thailand serta 13 beg pakaian dimana keseluruhan rampasan bernilai RM5,209.

    Kesemua PATI terbabit diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

  • Polis Johor semak status siasatan kes penipuan ‘Jho Low 2’

    Polis Johor semak status siasatan kes penipuan ‘Jho Low 2’

    POLIS Johor akan menyemak status siasatan berhubung kes penipuan pembelian hartanah berkait seorang ahli perniagaan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand, Jumaat lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ketika ini pihaknya belum dapat memberikan komen lebih lanjut sama ada lelaki berkenaan akan dibawa pulang ke negara ini untuk siasatan atau sebaliknya.

    “Kita (Polis Johor) hanya ada satu siasatan (kes) sahaja untuk dia, maka kita akan semak semula apa status siasatan berkenaan.

    “Kita juga akan melihat apakah tindakan lanjut yang akan diambil oleh pihak berkuasa Thailand,” katanya lapor Berita Harian.

    Terdahulu, media Thailand melaporkan pihak berkuasa negara itu menahan Teow Wooi Huat atau dikenali sebagai Teddy Teow, kerana didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram hasil aktiviti perjudian dalam talian di selatan Thailand.

    Teddy Teow, 55, dilaporkan ditahan di ibu pejabat syarikatnya, MBI Group di Danok berhampiran sempadan daerah Sadao, awal pagi Jumaat lalu.

    Bernama kelmarin pula melaporkan, visa lelaki terbabit dibatalkan dan sedang menunggu untuk diusir keluar oleh pihak berkuasa Thailand.

    Penguasa Polis Sadao, Kolonel Bunthaeng Laocharoen dipetik berkata, Teddy Teow yang juga pengasas MBI Group International, sudah diserahkan kepada Polis Imigresen di Songkhla dan kemudian dipindahkan ke Pejabat Imigresen Suan Plu di Bangkok.

    Dalam pada itu, Bunthaeng menafikan laporan media bahawa Teddy Teow ditahan di wilayah selatan Songkhla pada Jumaat lalu atas tuduhan berhubung pengubahan wang haram yang mempunyai kaitan dengan perniagaan perjudian dalam talian di Danok, Sadao.

    Katanya, Teddy ada dalam senarai Notis Merah Interpol dan dipanggil bagi dimaklumkan visanya dibatalkan dan tidak akan didakwa di Thailand.

    Teddy Teow dianggap sebagai ‘Jho Low 2’, perancang utama penyelewengan wang berbilion dolar daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Pada 3 Januari lalu, bekas Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang media memberitahu polis sedang mengesan tiga perancang utama penipuan Macau Scam menerusi pembelian hartanah bernilai RM336 juta di Pulau Pinang.

    Beliau berkata, Teddy Teow berperanan sebagai pembeli yang berurusan dengan syarikat pemaju manakala dua anaknya Teow Ee Meng, 30, dan Teow Chee Chow, 32, pula adalah dua ‘proksi’ yang juga pengarah syarikat bagi Tuah Semenanjung Sdn Bhd dan MBI Properties Sdn Bhd.

    Ia susulan laporan siasatan awal diterima Ogos tahun lalu di Pekan Nanas, Pontian, dan Nusa Bestari, Iskandar Puteri, membawa kepada pembongkaran kegiatan sindiket itu, seterusnya tangkapan 12 individu tempatan yang juga pengarah syarikat berusia antara 29 hingga 68 tahun, pada 3 hingga 21 Disember lalu.

    Ayob dilaporkan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Johor menubuhkan satu pasukan khas menerusi Ops Pelican 2.0 bagi menjalankan siasatan secara intensif untuk mengesan aliran wang mangsa kepada sindiket Macau Scam terbabit.

    Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan wang hasil penipuan untuk membeli 100 unit kondominium mewah dan unit komersial bernilai RM336 juta di Georgetown, Pulau Pinang selain disalurkan untuk jual beli mata wang kripto.

    Siasatan lanjut mendedahkan sindiket berkenaan menerima wang berjumlah RM25 juta menerusi akaun keldai daripada 91 akaun bank berbeza, iaitu 18 akaun peribadi dan 73 akaun bank milik syarikat sejak Jun tahun lalu.

    Bagaimanapun, Teddy Teow dikatakan berjaya meloloskan diri ke Danok, Thailand manakala dua lagi anaknya dipercayai masih berada di dalam negara.

    Difahamkan, lelaki itu juga dikehendaki kerana mempunyai kaitan dengan kes penggubahan wang haram berjumlah RM336 juta (AS$83 juta) di Macau.

  • Tawar gaji mahal, hidup mewah bekerja di Myanmar, UAE

    Tawar gaji mahal, hidup mewah bekerja di Myanmar, UAE

    SINDIKET menawarkan gaji yang lumayan serta kehidupan mewah antara taktik yang digunakan dua individu termasuk seorang warga Taiwan dalam memperdaya mangsa untuk bekerja sebagai operator ‘scammer’ dan judi dalam talian di Myanmar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

    Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, kegiatan itu bagaimanapun berjaya dibongkar apabila kedua-dua suspek berjaya diberkas dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Setia Impian di Shah Alam pada Jumaat.

    “Kedua-dua suspek yang berumur 35 dan 45 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak awal Jun lalu.

    “Siasatan dijalankan mendapati, suspek warga Taiwan berperanan mencari individu-individu di negara ini untuk bekerja sebagai operator dalam talian melibatkan ‘scammer’ dan judi dalam talian dengan menerima upah bayaran sebanyak AS$1,000 bagi setiap seorang.

    “Suspek warga tempatan pula berperanan sebagai pemandu bagi menghantar mangsa ke lapangan terbang mengikut jadual penerbangan yang ditetapkan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

    Katanya, serbuan dijalankan berjaya merampas pelbagai peralatan serta dokumen dipercayai digunakan untuk penghantaran mangsa.

    “Antara dirampas ialah enam unit telefon bimbit, 14 pasport Malaysia atas nama individu yang berlainan, 14 keping borang pemeriksaan Covid-19 atas nama individu yang berlainan.

    “Ini termasuk 19 keping borang ‘Visa Approval to Myanmar’ atas nama individu yang berlainan, tujuh keping borang Visa Negara Dubai atas nama individu yang berlainan, lima pasport mempunyai borang pemeriksaan Covid-19 dan visa ke Myanmar.

    “Selain itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dipercayai disewa turut dirampas dalam serbuan dijalankan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Menurutnya, siasatan masih dijalankan melibatkan jumlah mangsa yang terlibat dalam kegiatan ini.

    “Berdasarkan kepada pasport yang ditemukan, mereka yang menjadi mangsa dipercayai masih belum bertolak ke negara yang dinyatakan.

    “Polis juga masih belum menerima sebarang laporan daripada ahli keluarga mangsa yang terlibat setakat ini,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terperdaya dengan mana-mana pihak atau individu yang cuba menawarkan gaji yang lumayan untuk bekerja di luar negara,” katanya.

  • Polis buru pemandu Honda Civic putih lari pemeriksaan

    Polis buru pemandu Honda Civic putih lari pemeriksaan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS kini giat memburu individu yang memandu sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna putih, yang meloloskan diri daripada diperiksa di Kuah, Langkawi, malam tadi.

    Menerusi klip video yang tular di media sosial, kereta tersebut dipandu laju dalam keadaan berbahaya termasuk melalui lorong-lorong kecil di sekitar destinasi pelancongan popular itu.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kenderaan tersebut kira-kira pukul 8 malam tadi.

    “Anggota polis terlibat mengarahkan pemandu Honda Civic tersebut memberhentikan kenderaan namun arahan tersebut tidak diendahkan.

    “Pemandu kereta itu sebaliknya memecut laju menghala ke Kampung Padang Lalang di Kuah sebelum membuat pusingan di sekitar Kuah bagi meloloskan diri.

    “Kereta itu kemudiannya ditemukan di hadapan sebuah sekolah di Kisap dan pihak polis kini giat mengesan pemandunya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, semakan awal mendapati pemilik berdaftar kenderaan itu beralamat di Kulim namun dia telah menjual kereta tersebut tanpa melaksanakan proses penukaran nama.

    “Pembeli kereta tersebut pula sebelum ini telah ditahan di Langkawi pada 17 Julai lalu dan sedang disiasat mengikut Seksyen 39A(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Buat masa ini kami masih mengesan pemandu kereta tersebut malam tadi. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Bot penumpang bawa pelancong tanpa lesen, insuran ditahan

    Bot penumpang bawa pelancong tanpa lesen, insuran ditahan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot penumpang selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan pada kedudukan 0.19 batu nautika Tanjung Puchat, Mukah Head, Teluk Bahang, pukul 5.25 petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tersebut ditahan semasa sedang membawa tiga pelancong di perairan Tanjung Puchat.

    Ujar beliau, bot yang menggunakan nombor pendaftaran PPP 02389 (P) itu dikendalikan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut membawa penumpang tanpa lesen yang sah serta insuran telah tamat tempoh.

    “Sehubungan itu, bot serta tekong telah ditahan dan dibawa ke Maritim Negeri Pulau Pinang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, kes itu akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang tanpa lesen yang sah dan insuran tamat tempoh.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengusaha-pengusaha bot yang membawa penumpang atau pelancong di laut supaya mematuhi undang-undang serta peraturan yang telah dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

    “Orang ramai serta komuniti maritim diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.

    “Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya.

  • Suami isteri ditahan, dadah RM2 juta dirampas

    Suami isteri ditahan, dadah RM2 juta dirampas

    SEPASANG suami isteri ditahan dan polis merampas dadah jenis methamphetamine seberat lebih 20 kilogram di dua lokasi di Ipoh, Khamis lalu.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, nilai keseluruhan dadah itu lebih RM2 juta yang boleh digunakan 200,000 penagih.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kira-kira pukul 4.40 petang Khamis, sepasukan pegawai dan anggota polis telah menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan isterinya, warga Vietnam berusia 38 tahun di tepi jalan sekitar kawasan Taman Panorama Lapangan Perdana, Ipoh.

    “Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang dipandu suspek lelaki Cina tersebut, telah menjumpai 10 bungkusan plastik warga hijau bertulisan Guanyingwang bahan disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 10,356 gram.

    “Pemeriksaan susulan telah dilakukan terhadap sebuah kereta di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di sekitar Ipoh, telah menjumpai lagi 10 bungkusan plastik warna hijau bertulisan Guanyingwang, bahan disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 10,339 gram,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, polis turut menyita seutas jam tangan dengan tulisan Rolex, seutas rantai kaki, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan dengan anggaran jumlah keseluruhan lebih RM83,000.

    Katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala isterinya negatif.

    Pasangan suami isteri itu dipercayai telah melakukan aktiviti tersebut sejak tiga bulan lalu dan semakan awal mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

    Suspek direman tujuh hari sehingga 28 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

  • Polis tahan lelaki rompak, bakar kedai

    Polis tahan lelaki rompak, bakar kedai

    POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki merompak dan membakar kedai runcit di Felda Tersang 1, Raub Sabtu lalu di kawasan ladang kelapa sawit Felda Sungai Koyan, Lipis pada Ahad.

    Hasil maklumat orang awam, suspek berusia 50 tahun dan tidak bekerja berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan Balai Polis Cheroh dengan bantuan Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada pukul 7.15 malam.

    Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, ketika tangkapan dibuat, suspek telah bertindak agresif dan berlaku pergelutan di antara suspek dan pihak polis.

    “Susulan daripada itu polis turut menemukan sebuah beg warna hitam tertulis waterproof, wang tunai RM1,420, seutas gelang tangan emas berloceng, dua utas gelang tangan emas, dua unit pemetik api jenama Aladdin dan satu pemetik api jenama Cricket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 10 rekod kesalahan dadah dan empat rekod kesalahan jenayah.

    “Soal siasat awal ke atas suspek mendapati dia mengaku bertindak bersendirian melakukan rompakan hingga mendatangkan kecederaan serta khianat dengan api.

    “Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Raub untuk permohonan reman,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Dalam kejadian Sabtu lalu di Kedai Mara Felda Tersang 1, seorang pembantu kedai warga Indonesia dipukul, dirompak sebelum kedai di bakar.

    Kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu menyebabkan Nur Hasanah, 43, mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.

    Mangsa mengatakan antara pukul 1 hingga 2 pagi, terdapat seorang lelaki bertopeng memanjat bumbung dan masuk ke dalam kedai sebelum bertindak menyerangnya dengan menggunakan sebatang besi hingga menyebabkan kecederaan.

    Suspek kemudiannya melarikan wang tunai sebanyak RM1,700 yang berada di kaunter kedai dan dua utas gelang emas milik mangsa.

    Mangsa diikat di tangan menggunakan pita pelekat dan melihat suspek bertindak membakar kedai. Mangsa berjaya melarikan diri dan meminta bantuan.