Category: Jenayah

  • 23 set bubu naga dirampas di perairan Kepala Batas

    23 set bubu naga dirampas di perairan Kepala Batas

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 23 set bubu naga di dua lokasi berasingan pada kedudukan kira-kira 1.7 batu nautika dari barat Penaga, Kepala Batas petang semalam.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, rampasan itu dilakukan semasa rondaan rutin bot ronda Maritim Malaysia negeri dalam Op Pertiwi antara pukul 2.03 petang hingga 3.05 petang.

    Menurut beliau, ketika rondaan bot Maritim Malaysia itu mengesan pelampung penanda yang mencurigakan di dua lokasi dan berjaya menjumpai 23 set bubu naga yang dipasang individu tidak bertanggungjawab.

    “Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai RM2,760 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, penggunaan bubu naga diharamkan di laut kerana sifatnya yang tidak selektif selain merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan yang lain.

    Tegas beliau, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

    Jika Sabit kesalahan ujarnya, mereka boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh diajukan kepada Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

  • Tuntutan palsu:SPRM tahan bekas pengarah, pegawai kanan kerajaan

    Tuntutan palsu:SPRM tahan bekas pengarah, pegawai kanan kerajaan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan seorang bekas pengarah dan pegawai kanan agensi kerajaan dipercayai mengemukakan tuntutan palsu dan meminta wang suapan daripada pihak kontraktor berjumlah RM230,000.

    Menurut sumber, kedua-dua lelaki yang berusia 44 hingga 50 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sabah pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

    Difahamkan, kedua-dua suspek telah menggunakan lesen beberapa syarikat bagi melakukan tuntutan palsu berhubung kerja-kerja pembekalan makanan dan minuman berjumlah lebih RM175,000 namun tiada pembekalan mahupun program dilaksanakan oleh pihak terbabit.

    Bekas pengarah itu juga dipercayai menerima bayaran secara bulanan lebih RM60,000 daripada seorang kontraktor dalam tempoh 2017 hingga 2019.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy yang mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 18 Akta SPRM 2009.

    “Tangkapan ini adalah hasil kerjasama antara SPRM Sabah dan Unit Integriti agensi kerajaan berkenaan.

    “Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah esok (Rabu) bagi tujuan permohonan reman,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Tawar gaji, komisen lebih untuk jadi Scammer

    Tawar gaji, komisen lebih untuk jadi Scammer

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Johor mengesan sindiket penipuan dalam talian menyasarkan golongan muda yang sedang mencari kerja untuk menjadi scammer dengan menawarkan gaji dan komisen lumayan sehingga lebih RM10,000 sebulan.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang mendeddahkan perkara itu berkata, sindiket tersebut mengambil kesempatan terhadap orang muda terutama mereka yang sememangnya sedang mencari kerja selepas pandemik Covid-19.

    “Golongan muda ini juga tidak merasa bersalah melakukan kerja berkenaan selepas tertarik dengan tawaran lumayan.

    “Seperti dalam operasi yang dibuat di Batu Pahat baru-baru ini, serbuan mendapati ejen yang menjadi ‘scammer’ melibatkan golongan muda berusia berusia antara 18 hingga 25 tahun.

    “Sindiket ini ‘memancing’ individu yang sedang mencaTri pekerjaan dengan tawaran gaji lumayan, gaji tetap RM2,500 sebulan tidak termasuk komisen, jika mereka berjaya memperdaya lebih ramai orang, pendapatan mereka boleh mencecah lebih RM10,000 sebulan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan konvoi Kempen Pencegahan Jenayah Komersial @ awie Ride di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

    Hadir sama penyanyi rock terkenal, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie dan Saifulazam Mohammad Yusoff atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek.

    Kamarul Zaman berkata, sebanyak 1,747 kes jenayah komersial dengan kerugian keseluruhan melibatkan RM156 juta direkodkan sejak Januari hingga 31 Julai lalu di negeri ini.

    Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, 90 peratus atau sejumlah 1,554 kes adalah membabitkan jenayah penipuan secara dalam talian.

    Justeru, beliau berharap, kempen berkenaan dapat memberi maklumat kepada masyarakat berkenaan trend terkini jenayah komersil antaranya ‘Love Scam’, ‘Macau Scam’, ‘Parcel Scam’ dan ‘Internet Scam’.

    Sementara itu, Awie berkata, penganjuran program itu berjaya mencapai matlamat awal untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat agar lebih peka dengan jenayah komersial khususnya secara atas talian.

    Pihaknya sudah melakukan fasa satu dengan jelajah ke utara sebelum pantai timur dan kini fasa terakhir bergerak ke selatan.

    “Maklum balas yang saya dapat masyarakat sudah semakin cakna dan mahu mengambil tahu perkembangan semasa termasuk taktik penjenayah.

    “Kita dapat melihat orang ramai bertanya soalan dan juga mendengar penerangan secara serius, Alhamdulillah ini satu kerjasama yang sangat bagus dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

  • 9 anggota polis terlibat kes peras ugut ditukar ke Sabah, Sarawak

    9 anggota polis terlibat kes peras ugut ditukar ke Sabah, Sarawak

    SEMBILAN anggota polis yang dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi, siasatan berkaitan kesemua anggota terdiri daripada konstabel hingga sub inspektor masih dijalankan secara terperinci.

    Jelasnya, semua anggota yang terlibat telah ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.

    “Siasatan masih dijalankan melibatkan semua aspek dan saya tegaskan bahawa polis Selangor sama sekali tidak berkompromi terhadap anggota atau pegawai yang terlibat dalam sebarang kes jenayah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara khas Sinar Harian di Studio F, Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, hari ini.

    Pada Sabtu, media melaporkan sembilan anggota polis disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini.

    Anggota yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pada Jumaat.

    Sasikala Devi berkata, kesemua anggota berpangkat konstabel hingga sub inspektor itu disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan selepas pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada 26 Julai lalu.

  • Kastam rampas senjata api dihantar menerusi khidmat kurier

    Kastam rampas senjata api dihantar menerusi khidmat kurier

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya mengesan perbuatan seorang kontraktor amembeli pelbagai jenis senjata api dari luar negara dengan menggunakan perkhidmatan kurier.

    Pengarah JKDM Melaka, Norlela Ismail berkata, rampasan melibatkan lima senjata api dari negara Sepanyol yang diikrarkan sebagai barangan hiasan logam itu dibuat dengan kerjasama sebuah syarikat kurier.

    “Hasil tangkapan terhadap lelaki berusia 36 tahun di sebuah hotel di Ayer Keroh, pihak JKDM berjaya merampas dua laras senapang angin, satu laras senapang dan dua pucuk pistol angin.

    “Kita turut merampas tiga tin peluru selain serbuan di rumah lelaki berkenaan di Bemban, Jasin kemudian turut menemukan satu lagi pucuk pistol angin dan kesemua senjata itu kononnya didakwa dibeli untuk dijadikan koleksi.

    “(Suspek) menggunakan alamat perkhidmatan kurier sebagai penerima. Bungkusan kemudian dihantar secara selamat ke destinasi yang diminta pelanggan.

    “Ini bermakna pelanggan dia guna alamat syarikat kurier kemudian dia ‘follow up’ barang dibeli secara online, kemudian bila barang tu dah sampai, dia minta kurier hantar ke alamat yang dia nyatakan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabat JKDM Melaka di Ayer Keroh, Melaka, hari ini, lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana mengimport senjata dari luar negara menggunakan perkhidmatan kurier tanpa pengisytiharan dan permit yang sah.

    Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000, dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, atau dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, atau kedua-duanya.

    Dalam pada itu, Norlela berkata JKDM Melaka berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan terlarang bernilai RM23 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

    Katanya, usaha tersebut melibatkan sebanyak 101 kes membabitkan 30 suspek ditahan sejak Januari hingga Jun lalu.

    Jelasnya, tangkapan itu menunjukkan peningkatan kira-kira 15 peratus berbanding tahun lalu.

    Beliau turut menyeru orang ramai untuk membantu pihaknya membanteras jenayah penyeludupan terutamanya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan di talian bebas tol 1-800-888855 atau pejabat kastam terdekat.

  • Dua beradik maut dicampak bapa dari atas Lebuh Raya MRR2

    Dua beradik maut dicampak bapa dari atas Lebuh Raya MRR2

    SEORANG lelaki etnik Rohingya dipercayai membunuh dua anak lelakinya yang berusia anggaran enam dan tujuh tahun dengan mencampakkan mereka dari Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kepong berhampiran lampu isyarat Desa Jaya, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun itu yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kemudiannya dipercayai terjatuh dari lokasi yang sama, iaitu dari ketinggian kira-kira 20 meter.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sebelum kejadian pukul 5.50 pagi, lelaki itu dilihat berjalan di lebuh raya berkenaan sambil mendukung seorang kanak-kanak sementara dua lagi mangsa dipimpin di tangan kanan dan kirinya.

    “Apabila seorang saksi cuba menghampirinya, suspek secara tiba-tiba bertindak mencampak kesemua tiga anaknya sebelum dia terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Eng Lai memaklumkan, suspek dan dua anak lelakinya mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah sementara seorang lagi anak perempuan yang berusia lapan tahun dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapat rawatan.

    Beradasarkan pemeriksaan pegawai perubatan katanya, anak perempuannya itu mengalami kecederaan dalaman di perut dan keretakan di bahagian rusuk kirinya.

    Mangsa dilaporkan dalam keadaan kritikal.

    Ujar beliau, setakat ini polis masih belum mendapat sebarang maklumat berhubung ibu kepada mangsa.

    Beliau memberitahu, mayat tiga beranak itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

    Kes iu katanya, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superitendan Baldev Singh Gurdial Singh di talian 012-480 6062 atau balai polis berhampiran dengan segera.

  • Kerugian kes tipu jemaah haji lebih RM5 juta

    Kerugian kes tipu jemaah haji lebih RM5 juta

    SEBANYAK 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan setakat Ahad lepas membabitkan kerugian lebih RM5.6 juta.

    Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin berkata laporan yang diterima setakat 31 Julai lepas itu melibatkan 336 orang yang menjadi mangsa penipuan tiga syarikat pelancongan swasta.

    Menurutnya Kuala Lumpur mencatatkan bilangan laporan tertinggi iaitu 52 membabitkan kerugian kira-kira RM2.3 juta diikuti Selangor dengan 33 laporan melibatkan kerugian RM966,100.

    Sementara itu, 18 laporan melibatkan kerugian kira-kira RM1.2 juta diterima di Pahang manakala tujuh laporan di Johor dengan kerugian RM226,500 dan masing-masing enam laporan diterima di Kelantan dan Perak membabitkan kerugian keseluruhan RM483,000.

    “Kedah mempunyai tiga laporan dengan nilai kerugian RM48,000 dan Terengganu dua laporan babitkan kerugian RM76,000 manakala masing-masing satu laporan di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang melibatkan kerugian RM48,000,” katanya dalam kenyataan.

    Noorsiah berkata 23 kertas siasatan telah dibuka dengan lima daripadanya telah lengkap dan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

    Pada 7 Julai lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji yang menggunakan visa furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan swasta. – Bernama

  • Polis sudah lengkapkan 5 kertas siasatan penipuan haji furada

    Polis sudah lengkapkan 5 kertas siasatan penipuan haji furada

    POLIS sudah menyiapkan lima kertas siasatan berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan dan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

    Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kertas siasatan itu akan diserahkan oleh Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamed Usuf Jan Mohamad.

    “Mohamed Usuf akan menyerahkan kertas siasatan itu kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.

    “Setakat ini, polis menerima 132 laporan berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian RM5.67 juta.

    “Tiga agensi berlainan itu membabitkan kes penipuan haji dan umrah furada. Kita menerima 132 laporan polis di 11 negeri berkaitan penipuan pakej haji oleh agensi pelancongan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Noorsiah berkata, ini membabitkan 52 laporan di Kuala Lumpur, 33 laporan di Selangor, 18 laporan di Pahang, tujuh di Johor, enam laporan di Perak dan Kelantan, tiga laporan di Melaka dan Kedah, dua di Terengganu dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    Menurutnya, sebanyak 23 kertas siasatan dibuka daripada 132 laporan polis dibuat mangsa.

    “Jumlah kerugian paling tinggi direkodkan di Kuala Lumpur iaitu RM2.3 juta diikuti Pahang (RM1.2 juta) dan Selangor (RM966,100).

    “Selain itu, Kelantan dilaporkan mencatatkan kerugian RM280,000; Perak (RM203,000); Negeri Sembilan (RM170,000); Johor (RM125,000); Terengganu (RM76,000); Kedah (RM48,000); Pulau Pinang (RM32,000) dan Negeri Sembilan (RM16,000),” katanya.

    Pada 8 Julai lalu, Warta Rakyat melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah dipetik berkata, dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara.

    Katanya, semua individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.

  • Kertas siasatan kes rogol babitkan penceramah bebas diserah kepada pendakwa raya

    Kertas siasatan kes rogol babitkan penceramah bebas diserah kepada pendakwa raya

    KERTAS siasatan membabitkan penceramah bebas yang disyaki merogol seorang remaja perempuan bawah umur dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya, hari ini.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata kertas siasatan itu dirujuk untuk penelitian sebelum menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.

    “Kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini untuk semakan dan kami tunggu arahan seterusnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Pada 28 Julai lepas, Azmi dilaporkan berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu diserahkan kepada Kontinjen Perak selepas tempoh remannya tamat pada 27 Julai bagi siasatan kes di Kuala Lumpur.

    Media sebelum ini melaporkan penceramah bebas itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 4.50 petang pada 18 Julai lepas dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Berdasarkan siasatan awal, perkenalan antara suspek dan remaja bawah umur itu dipercayai bermula apabila mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial bagi bertanyakan masalah agama sebelum hubungan terjalin sejak Mei tahun lepas.

    Setakat ini terdapat empat laporan polis membabitkan individu itu iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak. – Bernama

  • Polis tahan sepasang kekasih, rampas pistol, pil yaba, ganja di Tumpat

    Polis tahan sepasang kekasih, rampas pistol, pil yaba, ganja di Tumpat

    POLIS  merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson .357 Magnum bersama 29 butir peluru selepas menahan sepasang kekasih berumur 27 dan 39 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Palekbang, Tumpat, pada 27 Julai lepas.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pistol tersebut dijumpai di dalam bekas plastik di dalam semak ketika serbuan Op Tapis pada 11.30 malam.

    “Anggota polis turut menemukan 800 biji pil yaba dan ganja seberat 225 gram di dalam tin yang dianggarkan bernilai RM19,250. Susulan penahanan pasangan kekasih itu, polis kemudiannya telah melakukan serbuan ke sebuah rumah lagi di kampung di Palekbang dan menahan seorang lelaki berumur 35 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu hari ini.

    Muhamad Zaki berkata ketiga-tiga individu itu ditahan reman selama tujuh hari hingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960.

    Beliau berkata ketiga-tiga individu yang ditahan itu didapati positif methamphetamine dan turut memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

    Menurutnya, susulan kejadian itu juga polis turut menyita dua motosikal, sebuah kereta Honda Jazz, jam tangan jenama Rado dan satu kad mesin pengeluaran automatik (ATM).