Category: Jenayah

  • Wanita berihram kerjakan umrah masih dicari – Idris Ahmad

    Wanita berihram kerjakan umrah masih dicari – Idris Ahmad

    SIASATAN berkaitan tindakan seorang wanita yang didakwa mengerjakan umrah dengan mengenakan pakaian ihram lengkap seperti lelaki masih dijalankan termasuk bekerjasama dengan Jabatan Imigresen.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata pihaknya tidak mendapat maklumat lengkap sama ada individu tersebut sudah pulang ke Malaysia atau belum.

    “Saya tak ada maklumat. Masih lagi semak maklumat ke mana dia pergi sebab dia ke sana (umrah) bukan dengan agensi tetapi secara DIY (diurus sendiri).

    “Kita juga nak tahu status dia ini macam mana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan dewan besar dan upacara pecah tanah Pondok Kitab Turath di Kompleks Pendidikan Al Rahmat, Duyong di Melaka hari ini.

    Menurutnya sebelum ini pihaknya telah mendapatkan bantuan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menyiasat kesahihan perkara tersebut sebelum tindakan tegas seterusnya diambil.

    Bantuan daripada kedua-dua kementerian tersebut adalah susulan individu tersebut didakwa menggunakan visa pelancongan dan bukan menerusi khidmat agensi umrah.

    Terdahulu, pada 12 Ogos media melaporkan tindakan tegas menanti individu wanita itu berikutan tular di Twitter mengenai dia yang berada di Mekah dalam keadaan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah lelaki.

    Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai penganjuran konsert yang silih berganti, Idris menjelaskan sepatutnya penganjuran sebegitu tidak perlu dilakukan.

    “Sepatutnya konsert tidak perlu ada. Bukan anti hiburan tetapi cukuplah dengan apa yang kita ada.

    “Kita baru saja mengalami pandemik dan Alhamdulilah, Allah tarik semula penyakit itu tetapi tiba-tiba kita buat macam ini, jadi amat malanglah. Dalam keadaan ekonomi yang teruk ini pun rasanya tidak sesuai sebab (penganjuran dan tiket) konsert itu kena bayar banyak,” katanya. – Bernama

  • Arkitek libat tuntutan palsu RM3 juta ditahan SPRM

    Arkitek libat tuntutan palsu RM3 juta ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang arkitek kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah anggaran RM3 juta berkaitan sebuah projek pembangunan di pantai timur.

    Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan susulan penahanan empat individu termasuk seorang pengurus syarikat hartanah berhubung kes sama pada 16 Jun lalu.

    Sumber berkata, lelaki tersebut ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 6 petang semalam.

    “Dia disyaki terlibat dalam tindakan mengemukakan tuntutan palsu bagi projek yang keseluruhannya bernilai lebih RM300 juta sedangkan kerja-kerja tidak dilaksanakan.

    “Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa setelah Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Polis siasat dakwaan anggotanya minta rasuah

    Polis siasat dakwaan anggotanya minta rasuah

    KETUA Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya tidak berdiam diri sebaliknya menyiasat dakwaan salah laku anggotanya dalam kes tangkapan pemandu e-hailing di kawasan Tanjong Sepat pada 18 Mei lalu.

    Beliau berkata, menerusi tangkapan yang dijalankan, suspek mendakwa pegawai penyiasat meminta imbuhan wang bagi mengelakkan dirinya didakwa di mahkamah atas kesalahan membawa pendatang tanpa izin (PATI).

    “Suspek turut mempertikaikan alasan tangkapan dan reman untuk siasatan serta mendakwa pihak polis menyalahgunakan kenderaannya untuk menangkap PATI.

    “Pihak polis mengesahkan ada menerima satu laporan polis pada 8 Ogos lalu daripada suspek berkaitan dakwaan tersebut.

    “Suspek turut membuat aduan kepada pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada 30 Jun lalu mengatakan pegawai penyiasat meminta duit suapan RM20,000 bagi mengelakkan dirinya dari dituduh di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Kuala Langat atas laporan polis serta aduan salah laku terbabit.

    “Siasatan dijalankan secara telus dan tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat salahlaku di kalangan pegawai dan anggota terbabit sebagaimana yang didakwa,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Pada Khamis lalu, menerusi sidang media bersama Biro Pergerakan Masyarakat Sivil dan Koordinasi MCA di Wisma MCA di Kuala Lumpur, seorang pemandu e-hailing mendakwa direman 10 hari dan diminta membayar wang ‘kautim’ RM20,000 selepas ditahan polis kerana didakwa membawa dua penumpang pendatang asing tanpa izin (PATI) secara salah pada Mei lalu.

    Individu berkenaan yang menjadi pemandu e-hailing sejak 2019, mendakwa kenderaannya serta telefon bimbitnya turut disita pihak polis selama 41 hari sehingga menyebabkan beliau hilang punca pendapatan sepanjang tempoh itu.

  • Mayat wanita warga emas ditemui terapung

    Mayat wanita warga emas ditemui terapung

    MAYAT wanita warga emas ditemukan orang awam dalam keadaan terapung di Taman Botani Perdana, Tasik Perdana, Kuala Lumpur pada pagi ini.

    Pusat Gerakan Bomba (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur berkata, sebuah jentera dan anggota dari Balai Bomba Jalan Hang Tuan dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.39 pagi.

    “Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada pukul 9:54 pagi, pihak polis meminta bantuan mengambil dan menaikkan mayat yang berada di dalam tasik anggaran jarak tiga meter dari tebing.

    “Mayat mangsa berjaya dinaikkan pada jam 10.12 pagi dan diserahkan kepada polis dan paramedik di lokasi untuk pemeriksaan,” menurut kenyataan itu, lapor Sinar Harian.

    PGO Kuala Lumpur memaklumkan, mangsa yang berusia 68 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang berada di lokasi kejadian.

    Katanya, punca kematian masih dalam siasatan manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Polis tahan empat lelaki dipercayai Ah Long, seludup rokok

    Polis tahan empat lelaki dipercayai Ah Long, seludup rokok

    POLIS Terengganu menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan rokok seludup dan pinjaman wang tidak berlesen (ah long) di negeri ini.

    Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, keempat-empat lelaki berasal dari Selangor itu, ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dalam serbuan di sebuah rumah di sekitar Kuala Terengganu pada pukul 5.30 petang, Rabu lepas.

    Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai lebih RM86,000 dan 600 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM34,200 dan pemeriksaan lanjut membawa kepada serbuan kedua di sebuah pangsapuri di Kuala Terengganu jam 11 pagi semalam dan turut menemui 26 karton rokok.

    “Keempat-empat suspek yang berusia antara 26 hingga 34 tahun direman selama empat hari bermula 18 Ogos lepas,” katanya, lapor BH Online.

    Wan Rukman berkata, suspek mengaku menjalankan aktiviti pinjaman wang sejak awal Mei lalu dan menjadikan peniaga kecil sebagai sasaran bagi menawarkan pinjaman dan siasatan lanjut mendapati suspek yang berusia 26 tahun memiliki empat rekod kesalahan lampau melibatkan kesalahan rumah judi terbuka dan pemberi pinjaman wang.

    “Suspek disiasat mengikut dua seksyen iaitu pertama Seksyen 52 Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. Jika sabit kesalahan hukuman denda tak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Manakala Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Tuntutan palsu lebih RM41,000, 2 individu direman 4 hari

    Tuntutan palsu lebih RM41,000, 2 individu direman 4 hari

    SEORANG lelaki berusia 56 tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu berjumlah RM41,442.

    Perintah tahanan reman terhadap suspek lelaki yang juga pemilik syarikat penyediaan latihan dan suspek wanita yang merupakan eksekutif kanan sebuah syarikat di Pulau Pinang itu dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab selepas dipohon Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rashid Ambi.

    Semalam, SPRM dilaporkan menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM40,000.

    Menurut sumber, kedua-dua suspek berkenaan ditahan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang, dekat sini kira-kira pukul 4.30 petang ketika hadir memberi keterangan.

    Katanya, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kesalahan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan lima penganjuran latihan perisian komputer bernilai lebih RM40,000 pada 2021 sedangkan penganjuran latihan-latihan tersebut tidak dilaksanakan.

    Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 manakala hanya suspek wanita diwakili peguam, K. Mahendran.

  • Remaja OKU lembam dirogol dua rakan bapa

    Remaja OKU lembam dirogol dua rakan bapa

    SEORANG remaja perempuan berusia 13 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam dipercayai dirogol dua rakan bapanya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Bapa mangsa yang berusia 54 tahun itu hanya mengetahui kejadian menimpa anaknya itu selepas mangsa mengadu sakit perut dan pinggang ketika mereka berada di kampung.

    Menurut sumber, lelaki itu kemudian membawa anaknya bertemu bidan kampung sebelum diberitahu kemungkinan anaknya itu pernah melakukan hubungan seks.

    “Terkejut dengan perkara itu, dia bertanya kepada mangsa sebelum anaknya menceritakan pernah menjadi mangsa rogol dua rakan lelaki bapanya ketika suspek menumpang rumah mereka di Bukit Jalil.

    “Mangsa juga memberitahu dia dirogol beberapa kali oleh suspek ketika bapanya tiada di rumah,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Sehubungan itu, lelaki terbabit tampil membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil pada Selasa lalu untuk tindakan selanjutnya.

    Sumber berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan setakat ini suspek masih belum ditahan.

  • Tiga orang rentung dalam kebakaran rumah di Sandakan

    Tiga orang rentung dalam kebakaran rumah di Sandakan

    Tiga ditemukan rentung dalam tragedi kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Taman Rajawali, Lorong 11, di sini semalam.

    Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, ketiga-tiga mangsa ditemukan di tingkat bawah, dipercayai gagal keluar selepas rumah mereka terbakar.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.35 malam.

    “Katanya, seramai 18 anggota dan pegawai bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.

    “Pasukan bomba mendapati sebuah rumah dua tingkat jenis kekal telah terbakar dan operasi memadam segera dilakukan,” katanya dalam kenyataan media, lapor UtusanBorneo.

    Menurutnya, pasukan bomba menggunakan tiga pancutan dari sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.

    “Sebaik pemeriksaan dilakukan, pasukan bomba menemukan tiga mangsa, seorang lelaki dan dua wanita rentung di bahagian tingkat bawah rumah tersebut.

    “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis, sebelum dibawa ke Hospital untuk proses bedah siasat,” katanya.

    Jimmy berkata, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kejadian selamat sebelum menamatkan operasi pada jam 1.21 pagi.

    “Pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.

  • Ustaz, 3 warden ditahan kes kematian penghuni pusat pemulihan dadah

    Ustaz, 3 warden ditahan kes kematian penghuni pusat pemulihan dadah

    SEORANG penghuni sebuah pusat pemulihan dadah di Padang Rengas, Kuala Kangsar maut akibat kecederaan parah dipercayai selepas kejadian amuk, pada Rabu.

    Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian lelaki berusia 25 tahun yang beralamat di Shah Alam, Selangor itu daripada doktor bertugas di Hospital Kuala Kangsar.

    Beliau berkata mangsa yang dibawa dengan sebuah kereta tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu pada 8.10 malam dan disahkan meninggal dunia.

    “Pesakit (mangsa) telah dibawa oleh seorang ustaz dan tiga orang warden daripada pusat pemulihan dan doktor itu difahamkan mangsa tidak sedarkan diri sejak kira-kira pukul 7 petang.

    “Mangsa kemudian dibawa ke wad kecemasan bagi ujian COVID-19 dan X-ray keseluruhan tubuh mangsa kerana terdapat kesan luka di bahagian dahi serta kesan lebam di bahagian muka, mata kiri, dada, kedua-dua belah kaki dan tangan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata hasil temu bual dengan pengasas dan warden pusat itu mendapati mangsa telah bercakap seorang diri dan cuba melarikan diri pada tengah hari kejadian, namun berjaya ditangkap sebelum bertindak cuba mencederakan seorang warden menggunakan sebilah pisau lalu mengamuk.

    Menurut Azizi, warden telah menumbuk bahagian badan mangsa beberapa kali untuk menenangkannya, namun pada pukul 4.45 petang, mangsa cuba melarikan diri sekali lagi dan terjun dari tangga tingkat satu bangunan yang berketinggian kira-kira lapan meter.

    Katanya, selepas berjaya ditangkap semula, mangsa diikat kaki dan tangan menggunakan kain lalu ditempatkan di dalam bilik tetamu, namun mangsa beberapa kali menghentak kepalanya pada lantai dan dinding sehingga berdarah, sebelum warden mendapati mangsa tidak sedarkan diri pada 7.45 malam dan membawanya ke hospital.

    Azizi berkata bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar pagi tadi mendapati punca kematian adalah kecederaan parah pada bahagian dada serta otot-otot dan tisu badan disebabkan trauma tumpul.

    Susulan itu, katanya polis menahan ustaz dan tiga warden berusia lingkungan 20 dan 30an terbabit hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

      — BERNAMA

  • Tiga remaja 15 tahun pukul rakan ditahan polis

    Tiga remaja 15 tahun pukul rakan ditahan polis

    TIGA remaja ditahan selepas bertindak ‘samseng’ memukul seorang gadis dalam kejadian di tempat letak kenderaan di Buangkok, Singapura.

    Polis telah menerima maklumat membabitkan kejadian di Blok 269 Compaccvale Link pada pukul 9.25 malam Selasa.

    Memetik laporan Channel News Asia, mangsa terbabit tidak mengalami kecederaan, tetapi dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

    Ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 15 tahun dan siasatan dijalankan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

    “Mangsa dan suspek dipercayai mengenali antara satu sama lain,” kata polis dalam satu kenyataan, lapor Utusan TV.

    Malah, video pergaduhan terbabit telah tular di media sosial dan memaparkan aksi ketiga-tiga suspek dilihat memukul mangsa berulang kali.

    Suspek juga telah menarik rambut dan menolak mangsa ke lantai beberapa kali.

    Turut kelihatan di dalam klip video dua orang lelaki cuba menghalang perbuatan tersebut namun menerima akibat apabila ditumbuk oleh suspek beberapa kali.