KETUA Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya tidak berdiam diri sebaliknya menyiasat dakwaan salah laku anggotanya dalam kes tangkapan pemandu e-hailing di kawasan Tanjong Sepat pada 18 Mei lalu.

Beliau berkata, menerusi tangkapan yang dijalankan, suspek mendakwa pegawai penyiasat meminta imbuhan wang bagi mengelakkan dirinya didakwa di mahkamah atas kesalahan membawa pendatang tanpa izin (PATI).

“Suspek turut mempertikaikan alasan tangkapan dan reman untuk siasatan serta mendakwa pihak polis menyalahgunakan kenderaannya untuk menangkap PATI.

“Pihak polis mengesahkan ada menerima satu laporan polis pada 8 Ogos lalu daripada suspek berkaitan dakwaan tersebut.

“Suspek turut membuat aduan kepada pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada 30 Jun lalu mengatakan pegawai penyiasat meminta duit suapan RM20,000 bagi mengelakkan dirinya dari dituduh di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Kuala Langat atas laporan polis serta aduan salah laku terbabit.

“Siasatan dijalankan secara telus dan tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat salahlaku di kalangan pegawai dan anggota terbabit sebagaimana yang didakwa,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Pada Khamis lalu, menerusi sidang media bersama Biro Pergerakan Masyarakat Sivil dan Koordinasi MCA di Wisma MCA di Kuala Lumpur, seorang pemandu e-hailing mendakwa direman 10 hari dan diminta membayar wang ‘kautim’ RM20,000 selepas ditahan polis kerana didakwa membawa dua penumpang pendatang asing tanpa izin (PATI) secara salah pada Mei lalu.

Individu berkenaan yang menjadi pemandu e-hailing sejak 2019, mendakwa kenderaannya serta telefon bimbitnya turut disita pihak polis selama 41 hari sehingga menyebabkan beliau hilang punca pendapatan sepanjang tempoh itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here