SEORANG lelaki berusia 56 tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu berjumlah RM41,442.

Perintah tahanan reman terhadap suspek lelaki yang juga pemilik syarikat penyediaan latihan dan suspek wanita yang merupakan eksekutif kanan sebuah syarikat di Pulau Pinang itu dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab selepas dipohon Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rashid Ambi.

Semalam, SPRM dilaporkan menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM40,000.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berkenaan ditahan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang, dekat sini kira-kira pukul 4.30 petang ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kesalahan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan lima penganjuran latihan perisian komputer bernilai lebih RM40,000 pada 2021 sedangkan penganjuran latihan-latihan tersebut tidak dilaksanakan.

Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 manakala hanya suspek wanita diwakili peguam, K. Mahendran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here