Category: Jenayah

  • Presiden UMNO disiasat mengikut Akta Hasutan

    Presiden UMNO disiasat mengikut Akta Hasutan

    POLIS menjalankan siasatan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung ucapannya ketika Taklimat Khas Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, A. Skandaguru berkata, ia berikutan 12 laporan diterima ke atas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berhubung ucapannya.

    Menurut beliau, kes dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

    “Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan.

    Semalam, Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan membuat laporan polis terhadap Zahid di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

    Sany berkata, Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Najib Razak, minggu lalu.

    Selain itu, wanita Pakatan Harapan (PH) turut membuat laporan sama pukul 3 petang hari ini.

    Sabtu lalu, UMNO menganjurkan taklimat khas presiden antara lain menyentuh kesiapsiagaan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-15 serta solidariti ke atas Datuk Seri Najib Razak.

    Dalam ucapannya, Ahmad Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

    Antara inti pati taklimat adalah menunjukkan solidariti ahli UMNO kepada Najib yang dihukum penjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

  • Ibu ditahan bantu siasatan, kematian bayi ada unsur dera

    Ibu ditahan bantu siasatan, kematian bayi ada unsur dera

    SEORANG wanita warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kematian bayi lelaki berusia enam bulan di Kampung Klang Gate di sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata wanita berusia 34 tahun yang juga ibu kepada bayi malang itu ditahan di lobi Hospital Tunku Azizah pada 8.40 malam tadi.

    Beliau berkata dalam kejadian Sabtu lepas, pegawai perubatan hospital telah menerima pesakit seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat muntah dan sawan namun telah disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang semalam.

    Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesan lebam di bahagian peha kanan dan kening mangsa disyaki terdapat unsur penderaan.

    “Suspek yang ditahan tidak mengaku membunuh mangsa namun mengakui mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi dan kening akibat terjatuh dari katil semasa dalam jagaannya beberapa hari sebelum dibawa ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai tidak mempunyai sebarang rekod lampau manakala ujian saringan awal air kencing didapati bebas sebarang jenis dadah.

    Menurutnya, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ampang untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Sementara itu, Mohamad Farouk berkata polis sedang giat mengesan suami suspek iaitu lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun untuk membantu siasatan.

    Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-42897222.- BERNAMA

  • Abdul Hadi hadir ke Bukit Aman bantu siasatan

    Abdul Hadi hadir ke Bukit Aman bantu siasatan

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir ke Bukit Aman semalam bagi memberi keterangan berkenaan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan bumiputera paling ramai terbabit rasuah.

    Tanpa memberi butiran lanjut, Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP A. Skandaguru berkata Abdul Hadi hadir bersama peguamnya.

    “Beliau telah memberikan kerjasama sepanjang sesi rakaman keterangan berlangsung. Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Semalam, Bernama melaporkan PDRM telah membuka kertas siasatan terhadap Abdul Hadi susulan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.

    A.Skandaguru sebelum ini dilaporkan berkata polis menerima 28 laporan berhubung kenyataan Abdul Hadi itu, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.- BERNAMA

  • Mayat lelaki dengan kesan kelar dileher di ladang sawit

    Mayat lelaki dengan kesan kelar dileher di ladang sawit

    MAYAT seorang lelaki dengan kesan kelar di leher ditemukan di kawasan ladang sawit di Felda Kerteh 6 dekat sini, kira-kira 6.50 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Dungun Supt. Baharudin Abdullah berkata mayat yang berlumuran darah itu ditemukan dalam keadaan terbaring di ladang oleh saksi yang melalui kawasan berkenaan.

    “Saksi iaitu pengurus ladang yang terkejut dan cemas melihat keadaan mangsa yang tidak bergerak terus menghubungi Balai Polis Ketengah Jaya untuk membuat laporan.

    “Siasatan awal mendapati terdapat kesan kelar pada leher mangsa, namun tiada sebarang kecederaan ditemukan pada bahagian lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Baharudin berkata tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mangsa, namun selepas siasatan lanjut mangsa dipercayai warga tempatan berusia 42 tahun.

    Katanya polis sedang  menjalankan siasatan terperinci daripada semua aspek termasuk motif kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.- BERNAMA

  • 50 kenderaan mewah RM11.4 juta tanpa AP dirampas

    50 kenderaan mewah RM11.4 juta tanpa AP dirampas

    SEBANYAK Sebanyak 50 kenderaan mewah tanpa permit import (AP) bernilai RM11.4 juta disita dalam Op Bearing dilaksanakan bermula 15 Ogos lalu.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad, berkata operasi berakhir esok itu memfokuskan kepada kenderaan import individu serta syarikat di sekitar Pelabuhan Klang.

    “Sembilan daripada 50 kenderaan melibatkan motosikal berkuasa tinggi manakala selebihnya adalah kereta mewah dari pelbagai negara antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam, Pulau Indah.

    Mohammad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1957 kerana mengimport barang larangan bawah Butiran 3 Jadual Kedua/Bahagian 1 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang permit pengimportannya dibenarkan dengan syarat ia tertakluk permit import dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

    Beliau menggesa orang ramai membantu JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol 1 800 88 8855 atau menghubungi pejabat JKDM terdekat di semua negeri.

  • 11 remaja ditahan, disyaki terlibat kes buli di asrama

    11 remaja ditahan, disyaki terlibat kes buli di asrama

    POLIS menahan 11 remaja berusia 13 hingga 16 tahun bagi membantu siasatan berhubung satu kes buli membabitkan tiga mangsa iaitu pelajar asrama sebuah sekolah harian di Kemaman pada Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Supt. Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima tiga laporan daripada pelajar lelaki berusia 13 hingga 15 tahun itu, yang mendakwa mereka dipukul oleh beberapa pelajar senior di asrama sehingga cedera.

    Susulan laporan itu, beliau berkata pihaknya telah menahan 11 remaja terbabit di asrama sekolah dan rumah masing-masing di sekitar Kemaman hari ini untuk siasatan lanjut.

    “Mangsa mendakwa dipukul kerana suspek berang dengan tindakan mereka melaporkan kepada guru perbuatan suspek yang menghisap vape di asrama.

    “Akibat kejadian itu, mangsa pertama pecah gegendang telinga kanan, manakala mangsa kedua dan ketiga mengalami lebam di beberapa bahagian badan,” katanya kepada pemberita di Kemaman hari ini.

    Hanyan berkata 11 remaja tersebut direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 235 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

    Beliau juga menasihatkan supaya pihak pengurusan sekolah lebih peka dan mengambil tindakan segera jika terdapat aduan daripada pelajar mengenai kes buli yang boleh membawa kepada kejadian lebih buruk. – Bernama

  • Polis tahan 2 individu kes tular gaduh berebut tapak niaga

    Polis tahan 2 individu kes tular gaduh berebut tapak niaga

    POLIS menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung satu video tular didakwa perselisihan faham di tapak pasar pagi di Taman OUG, Kuala Lumpur, semalam.

    Video berdurasi satu minit 24 saat itu memaparkan perbuatan individu meletakkan beberapa bakul plastik berisi sayuran di atas bonet dan bumbung kereta serta mencampakkan besi payung khemah di bahagian hadapan kereta Perodua Bezza menyebabkan cermin hadapannya retak dan bercalar.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua peniaga yang berebut tapak niaga di situ.

    “Ketika kejadian anggota dari Balai Polis Petaling ke lokasi dan mendapati perselisihan faham sudah diselesaikan.

    “Susulan itu, laporan polis dan tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki dan wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini memetik laporan Berita Harian.

    Amihizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan kerana membuat khianat dan ugutan jenayah.

    “Polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini tampil memberi keterangan.

    “Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai berdekatan,” katanya.

  • Lelaki warga asing ditahan cabul wanita

    Lelaki warga asing ditahan cabul wanita

    POLIS menahan seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki mencabul seorang wanita di tepi jalan di sebuah kondominium di Kota Damansara di Petaling Jaya, malam tadi.

    Sebelum itu kejadian berlaku pada pukul 9.30 malam semasa mangsa yang berusia lewat 30-an sedang berjalan kaki ke arah kenderaan rakannya yang sedang menunggu di tepi jalan.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa mendakwa seorang lelaki warga asing telah memegang dan meramas punggungnya.

    “Mangsa telah menjerit, kemudian suspek berjaya melarikan diri dari tempat kejadian.

    “Bertindak atas maklumat, suspek berusia awal 30-an ditahan berhampiran pondok pengawal sebuah kondominium di Kota Damansara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana telah mencabul kehormatan.

    “Orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya sebagaimana laporan Sinar Harian.

  • Kes remaja lelaki maut dalam kebakaran tandas awam kini dalam siasatan – KP Selangor

    Kes remaja lelaki maut dalam kebakaran tandas awam kini dalam siasatan – KP Selangor

    KES kematian remaja lelaki dalam insiden kebakaran tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3, semalam, disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu kematian tanpa niat.

    Sehubungan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kedua-dua rakan mangsa yang berusia 15 dan 16 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan.

    Menurut laporan Astro Awani, Arjunaidi berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua remaja itu juga mendapati negatif dadah.

    Dalam masa sama, kata beliau, permohonan reman terhadap mereka juga dilakukan pagi ini.

    Arjunaidi turut memberitahu, polis juga belum mendapat laporan patologi bagi mengetahui punca kematian remaja berusia 16 tahun itu.

    Semalam, Warta Rakyat melaporkan tindakan dua remaja bermain api mengundang padah apabila seorang rakan mereka maut selepas terperangkap dalam tandas awam di Bandar Puncak Alam Fasa 3.

    Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 2.38 petang.

    Menurut rakan mangsa iaitu dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 16 tahun, ketika kejadian mereka sedang baring di sofa di dalam tandas berkenaan.

    Kebakaran bermula apabila dua rakan mangsa bermain api di hadapan pintu tandas berkenaan sebelum api menjadi tidak terkawal.

  • 8 termasuk wanita ditahan bantu siasatan kes jumpa mayat lelaki

    8 termasuk wanita ditahan bantu siasatan kes jumpa mayat lelaki

    POLIS menahan tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan susulan penemuan mayat seorang lelaki di sebuah rumah kosong di Permyjaya, di Kuching, semalam.

    Penahanan kesemua suspek dibuat sejurus pihak polis menerima laporan awam mengenai penemuan mayat mangsa kira-kira pukul 4.30 petang.

    Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, sebelum itu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bergegas ke tempat kejadian sebelum menemukan mayat mangsa terbaring dengan hanya memakai seluar pendek.

    “Punca kematian belum dapat dikenal pasti dan mayat dibawa ke Hospital Umum Miri untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro.

    Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi kerana akan mengganggu siasatan dan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Noor Asri Ibrahim di talian 085-427093 untuk menyalurkan maklumat.