Category: Jenayah

  • 21 bengkel dipercayai terlibat ubah suai motosikal untuk perlumbaan haram diserbu

    21 bengkel dipercayai terlibat ubah suai motosikal untuk perlumbaan haram diserbu

    SEBANYAK 21 buah bengkel motosikal di sekitar daerah Timur Laut; Barat Daya dan Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang diserbu dalam operasi bersepadu polis bersama beberapa pihak berkuasa berkaitan lain hari ini.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan itu dilakukan selepas polis mengesyaki bengkel motosikal terbabit dipercayai terlibat dengan pengubahsuaian motosikal tanpa lesen bagi aktiviti lumba haram.

    Jelas beliau, siasatan polis juga mendapati kesemua bengkel motosikal itu dikenal pasti sering menjadi tumpuan oleh kumpulan pelumba haram dan samseng jalanan.

    ”Siasatan terhadap bengkel-bengkel ini dijalankan susulan ekoran insiden kemalangan di Lebuhraya Lim Chong Eu Julai lalu dan ini adalah salah satu inisiatif dalam usaha polis memastikan Pulau Pinang sifar lumba haram,” katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu itu di Tanjung Bungah hari ini.

    Operasi itu turut melibatkan agensi antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

    Menurut Soffian, dalam operasi sama dua buah bengkel motosikal di Tanjung Bungah termasuk sebuah bengkel yang mempunyai mesin ‘dyno lab’ yang digunakan untuk meningkatkan keupayaan jentera motosikal turut diserbu.

    Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati dua bengkel itu disyaki terlibat dalam kegiatan mengubah suai motosikal sama ada untuk kegiatan lumba motosikal secara sah atau secara haram.

    ”Kita turut merampas tiga buah motosikal yang dipercayai diubah suai tanpa kebenaran dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut.

    ”Kita akan mengesan pemilik motosikal ini bagi soal siasat untuk memastikan mengapa motosikal tersebut diubah daripada spesifikasi asal,” katanya.

    Dalam masa sama ujar beliau, polis turut menjumpai motosikal dan rangka yang ditinggalkan di bengkel itu dan semakan rekod akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada motosikal terbabit pernah dilaporkan hilang atau seumpamanya.

    Tambahnya, dalam operasi sama JPJ turut mengeluarkan tiga notis kepada pemilik bengkel-bengkel tersebut kerana menjalankan pengubahsuaian tanpa lesen yang sah.

  • Tuntutan palsu RM27 juta, dua lagi ditahan SPRM

    Tuntutan palsu RM27 juta, dua lagi ditahan SPRM

    DUA  lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM27 juta bagi program latihan berkaitan teknologi digital.

    Menurut sumber, bekas pengurus kanan sebuah agensi kerajaan dan pemilik syarikat berkaitan digital berusia 50-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, 7.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan.

    Sumber berkata, kedua-dua lelaki itu direman selama dua hari sehingga esok selepas perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

    Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Tan Kang Sai mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Semalam, lima individu direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah agensi kerajaan bagi program latihan berkaitan teknologi digital sedangkan latihan berkenaan tidak dilaksanakan.

    Kes berkenaan dipercayai melibatkan dua buah syarikat yang telah dibayar tuntutan masing-masing berjumlah lebih RM19 juta dan lebih RM7 juta bagi menjalankan program latihan dari 2016 hingga 2020.

  • Lelaki maut dihempap ‘bucket’ lori

    Lelaki maut dihempap ‘bucket’ lori

    RUTIN harian seorang lelaki memeriksa lorinya sebelum bekerja berakhir tragedi apabila dia meninggal dunia akibat dihempap ‘bucket’ lori 10 tan di sebuah rumah di Jalan Penrissen, Padawan, Kuching, hari ini.

    Mangsa, Chin Hung Joon, 38 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian belakang.

    Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada abang mangsa pada 7.21 pagi.

    Katanya, abang mangsa memaklumkan adiknya tersepit di bahagian ‘bucket’ lori dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah kerana tiada sebarang unsur kesan pergelutan dilihat di lokasi.

    “Menurut isteri mangsa, mangsa akan memeriksa lori berkenaan setiap hari sebelum digunakan untuk bekerja,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Abang Zainal berkata, berdasarkan keterangan adik mangsa pula, dia dipercayai tersentuh kabel hidraulik semasa membuat pemeriksaan menyebabkan ‘bucket’ lori itu turun dan menghempapnya.

    Katanya, ‘chock’ keselamatan lori berkenaan juga tidak dipasang ketika mangsa membuat pemeriksaan.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

  • Polis siasat pergaduhan aksi separuh akhir bola sepak Sukma

    Polis siasat pergaduhan aksi separuh akhir bola sepak Sukma

    POLIS menjalankan siasatan lanjut berkaitan insiden pergaduhan dalam aksi separuh akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) di Stadium Mini Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, semalam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, laporan polis telah diterima oleh pihaknya berkaitan kejadian berkenaan.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati insiden pergaduhan itu berlaku selepas salah seorang pemain dilayangkan kad merah.

    “Tindakan itu mengakibatkan seorang individu dipercayai pegawai salah satu pasukan terlibat tidak berpuas hati sebelum terjadinya kekecohan.

    “Permainan kemudian dihentikan seketika, bagaimanapun kekecohan berjaya dikawal sebelum permainan disambung semula,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku ‘Korupsi, Kemunafikan Dalam Politik Melayu’ di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam hari ini.

    Katanya, siasatan lanjut berkaitan kejadian sedang dijalankan dan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

    “Beberapa individu dipanggil untuk dirakam keterangan melibatkan barisan kejurulatihan, pengadil dan petugas perlawanan.

    “Pihak yang terlibat dalam mana-mana pertandingan dinasihatkan supaya tidak beremosi ketika sesuatu perlawanan supaya tidak tercetus provokasi dan kekecohan yang seterusnya mengganggu perlawanan yang berlangsung,” katanya.

  • Serang polis dengan parang, tekong bawa PATI ditembak mati

    Serang polis dengan parang, tekong bawa PATI ditembak mati

    POLIS menembak mati seorang lelaki maut selepas menyerang anggota pasukan keselamatan itu dengan parang ketika cuba menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan di Jeram Perdah di Kota Bharu, hari ini.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang berusia awal 30-an itu terkena satu das tembakan di bahu kiri dalam Op Wawasan pada pukul 1.40 pagi.

    “Sebelum itu sepasukan pegawai dan anggota polis dari Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) melihat sekumpulan PATI menyeberangi sungai dari Thailand ke Malaysia.

    “Ketika kejadian, pengadu bersama seorang anggota cuba menahan lelaki itu namun dengan tiba-tiba dia berlari ke arah pengadu sambil memegang parang.

    “Ketika lelaki tersebut menyerang pengadu dengan menggunakan parang, pengadu melepaskan satu das tembakan dari arah sisi kiri lelaki itu bagi mempertahankan dirinya daripada serangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pemeriksaan awal terhadap lelaki tersebut mendapati dia masih bernyawa dan dibawa ke Hospital Lati, Pasir Mas, Kelantan bagi mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 2.12 pagi.

    “Tiada parut suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG) ditemui di badannya dan dia dipercayai bukan warganegara Malaysia berdasarkan tiada dokumen diri ditemui padanya.

    “Lelaki itu dipercayai tekong yang membawa masuk PATI melalui jalan tersebut ke satu tempat persembunyian sebelum diambil oleh pengangkut yang lain,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di kawasan tersebut berjaya menahan lima lelaki dan dua wanita warganegara Myanmar.

    “Polis merampas sebilah parang di tempat kejadian dan sepucuk pistol Styer bersama peluru dari Kompeni Taktikal (Komtek) PGA Jeram Perdah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960, Seksyen 55 E dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

  • Murid darjah satu didera bapa kandung

    Murid darjah satu didera bapa kandung

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera di badan, muka, siku, telinga serta bibirnya pecah disyaki akibat didera bapa kandungnya sejak dua bulan lalu di Taman Desa Jaya, Sungai Petani di sini.

    Perbuatan itu terbongkar setelah seorang guru di tempat kanak-kanak itu bersekolah curiga kerana anak muridnya memakai jaket dalam kelas sebelum mengetahui dia menjadi mangsa dera bapa sendiri.

    Mangsa dipercayai memakai jaket terbabit bagi menyembunyikan kesan luka dan kecederaan pada badannya akibat dipukul.

    Guru berkenaan yang pelik selepas melihat terdapat kesan merah di muka anak muridnya kira-kira pukul 8 pagi semalam memaklumkan perkara itu kepada guru lain yang kemudian membuat pemeriksaan terhadap mangsa.

    Susulan itu, bapa kanak-kanak terbabit yang berusia 29 tahun ditahan polis kira-kira pukul 8 malam tadi selepas dia mengaku memukul anaknya.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mendera anaknya dengan memukul menggunakan rotan, penyapu dan senduk plastik kerana mendakwa mangsa degil dan hiperaktif.

    “Hasil siasatan dan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa yang juga anak tunggal tinggal bersama bapa kandung dan ibu tirinya sejak setahun lalu. Dia sebelum ini dijaga neneknya yang tinggal di Tanjung Dawai sejak kecil dan baru berpindah sekolah,” katanya di sini hari ini.

    Menurutnya, suspek yang juga pekerja kilang itu kini direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

    Zaidy berkata, mangsa dibawa guru penolong kanan sekolahnya ke balai polis selain turut dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

    Menurutnya, dalam laporan perubatan awal, doktor yang merawat mendapati terdapat kesan lebam baru dan lama di kepala, leher serta badan yang didakwa berpunca daripada penderaan.

  • Pelaku rasuah bunuh masa hadapan bangsa, pemusnah negara

    Pelaku rasuah bunuh masa hadapan bangsa, pemusnah negara

    PELAKU rasuah perlu dilihat sebagai musuh yang mahu membunuh masa hadapan generasi akan datang dan sedang memusnahkan negara.

    Ketua Pasukan #RasuahBuster, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacob berkata, aktiviti korupsi yang sudah berakar terlalu lama telah menyebabkan penderitaan yang tidak berkesudahan.

    Tegas beliau, amalan rasuah yang telah mengaibkan dan mengorbankan maruah negara oleh sesetengah individu perlu dihentikan dengan kadar segera.

    “Sudah-sudahlah membiarkan rakyat terzalimi kerana tidak ada keadilan ekonomi dan sosial.

    “Kita tak perlu bina kubu seperti tembok China untuk membentengi negara daripada musuh.

    “Cukup untuk kita bina tembok moral dan keimanan untuk pertahanan diri yang membentengi rasuahdaripada terus-terusan membarah,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran buku ‘Korupsi dan kemunafikan politik Melayu’ hari ini, lapor Utusan TV.

    Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan untuk mencemar dulu bagi melancarkan buku tersebut.

    Turut hadir ialah pimpinan parti politik termasuk kepimpinan Pemuda UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR dan Part Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

    Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, sifat mabuk kuasa dan gila kepada kuasa telah menyebabkan ramai orang menjadi buta.

    Jelas beliau, semua orang perlu memilih corak kepimpinan dan pemimpin bermaruah, berprinsip, mengutamakan rakyat dan mampu membina serta membangunkan negara dengan baik.

    “Jangan memilih pemimpin yang menjadikan rakyat alat dan kuda tunggangan untuk memenuhi cita-cita peribadi mereka.

    “Wang negara yang diselewengkan, bocor dan tiris di sini-sana kerana memenuhi sifat tamak dan kepentingan peribadi pelaku rasuah.

    “Sampai bilakah kita harus leka dan tenggelam dalam pendustaan mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

    Hussamuddin menambah, #RasuahBusters telah turun padang ke setiap pelosok negeri untuk berjumpa orang ramai untuk berbicang dan merangka strategi transformasi memerangi rasuah.

    Selain itu, jelas beliau, pihaknya juga menganjurkan dialog bersama para pelajar di sekolah dan pusat pengajian bagi membolehkan mereka menjadi sebahagian daripada gerakan memerangi rasuah.

    “Alhamdulillah hari ini sokongan yang semakin meningkat dan suara anti rasuah semakin lantang bergema di seluruh negara tak kira oleh ahli politik, anak kecil atau siapa-siapa pun juga,” katanya.

  • Rasuah: SPRM tahan pesara kerajaan salah guna kedudukan

    Rasuah: SPRM tahan pesara kerajaan salah guna kedudukan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pesara kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kerana menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah pada 2005.

    Sumber memaklumkan, lelaki berusia 69 tahun itu yang pernah bertugas di sebuah Pejabat Tanah dan Daerah di negeri ini ditahan di Pejabat SPRM negeri kira-kira pukul 3 petang kelmarin.

    “Lelaki itu disyaki menyalahgunakan jawatannya semasa proses pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek Lebuhraya Langkawi untuk mendapatkan suapan.

    “Suapan tersebut merupakan sebuah rumah di Sungai Menghulu, Langkawi untuk dirinya sendiri,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

    Tambah sumber, suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

    “Jaminan itu diberikan atas faktor umur dan kesihatan dirinya,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut masih dalam siasatan.

    “Kami masih menyiasat kes tersebut di bawah di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Penuntut antarabangsa miliki bahan pornografi kanak-kanak ditahan

    Penuntut antarabangsa miliki bahan pornografi kanak-kanak ditahan

    POLIS menahan seorang penuntut antarabangsa kerana disyaki memiliki bahan pornografi kanak-kanak di Seremban, Negeri Sembilan, Isnin lepas.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata penahanan lelaki berumur 24 tahun yang menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi itu merupakan hasil kerjasama antara PDRM dengan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat.

    Beliau berkata pemeriksaan polis menemukan sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak dalam komputer riba dan telefon bimbit milik lelaki terbabit.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit menggunakan aplikasi media sosial untuk berkomunikasi dan memerangkap mangsa serta melakukan ugutan (sextortion) bagi mendapatkan bahan berunsur seksual daripada mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak di luar negara.

    “Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini untuk dituduh di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini-BERNAMA

     

  • Dua beradik direman 3 hari disyaki buat bayaran palsu RM23 juta

    Dua beradik direman 3 hari disyaki buat bayaran palsu RM23 juta

    DUA beradik direman tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit kes membuat pembayaran palsu bernilai lebih RM23 juta bagi projek pembinaan pangsapuri.

    Majistret Mahkamah Putrajaya Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman bermula hari ini sehingga Jumaat, selepas kedua-dua lelaki berusia 60-an itu ditahan pada 7 malam kelmarin ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.

    Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek adalah bekas pengarah urusan di sebuah syarikat pembangunan, kejuruteraan dan pembinaan.

    “Suspek disyaki membuat pembayaran palsu kepada perunding, subkontraktor dan pihak-pihak ketiga dengan menggunakan kemudahan perbankan overdraf sebuah bank tempatan bernilai lebih RM23 juta.

    “Mereka melakukan kegiatan berkenaan antara tahun 2017 hingga 2019 bagi projek pembinaan pangsapuri di Kuala Lumpur bernilai lebih RM350 juta sedangkan projek tersebut tidak dijalankan,” kata sumber itu.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – BERNAMA