Category: Jenayah

  • Budak 3 tahun maut didera pengasuh

    Budak 3 tahun maut didera pengasuh

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG budak lelaki berusia tiga tahun maut didera pengasuh di Taman Skudai, Johor Bahru, semalam.

    Polis menerima maklumat kejadian itu daripada bapa mangsa yang bertindak membuat laporan polis pukul 10 malam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, aduan itu dibuat bapa mangsa sejurus dimaklumkan mengenai perkara terbabit daripada kenalan bapa mangsa yang juga suspek.

    “Susulan daripada laporan diterima itu, suspek berusia 28 tahun dan pembantu rumah warga asing 40 tahun ditahan hari ini.

    “Mangsa dan adik lelakinya berusia setahun dihantar untuk dijaga oleh suspek dengan bayaran RM2,800 sebulan. Bapa mangsa bekerja di Singapura manakala ibunya bekerja di Yong Peng.

    “Kedua-dua kanak-kanak ini telah dijaga hampir tiga bulan oleh suspek dan juga pembantu rumah. Suspek juga mempunyai dua orang anak berusia tujuh hingga lima tahun,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian, malam ini.

    Katanya, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan dipercayai terdapat beberapa luka dan lebam di beberapa anggota mangsa dipercayai akibat didera namun tiada kecederaan pada pada adik mangsa.

    Menurut beliau, polis akan mendapatkan keterangan daripada beberapa pihak termasuk rakan dan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

    Kamarul Zaman berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk dibedah siasat yang siasat akan dilakukan esok.

    Tambahnya, suspek yang bekerja sebagai jurujual mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman kedua suspek di mahkamah esok, katanya.

    “Siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi memastikan dalang yang menyebabkan punca kematian kanak-kanak malang itu dibawa ke pengadilan,” katanya.

  • Bayi berusia 40 hari maut akibat sesak nafas

    Bayi berusia 40 hari maut akibat sesak nafas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG bayi lelaki meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba di rumahnya di Taman Merbau dekat Tikam Batu, Kedah pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.50 pagi apabila bapa bayi tersebut menyedari anaknya yang berusia 40 hari, berdepan kesukaran untuk bernafas.

    “Tanpa menunggu lama, bapa bayi tersebut terus membawa bayi berkenaan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dengan menaiki kereta sendiri.

    “Mangsa yang dibawa ke Jabatan Kecemasan bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia dipercayai ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan awal doktor terhadap tubuh bayi tersebut mendapati, tiada sebarang kesan kecederaan mahu pun unsur jenayah.

    “Kes tersebut setakat ini diklaisifikasikan sebagai mati mengejut dengan pihak hospital akan menjalankan bedah siasat terhadap jasad bayi berkenaan,” katanya.

  • Pasangan kekasih antara 4 ditahan edar dadah

    Pasangan kekasih antara 4 ditahan edar dadah

    SEPASANG kekasih merupakan antara empat individu yang ditahan polis dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dalam beberapa serbuan di daerah Timur Laut, Pulau Pinang, pada 28 September lalu.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi itu, pihaknya merampas dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan pil ekstasi dan eramin 5 yang kesemuanya bernilai lebih RM168,000.

    Menurut beliau, pasangan kekasih iaitu lelaki tempatan berusia 27 tahun dan wanita warga asing berusia 29 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah sebuah kondominium di Jelutong, pukul 2.30 petang.

    Dalam serbuan itu katanya, polis merampas sebanyak 65 gram MDMA dan enam biji pil eramin 5 daripada pasangan kekasih berkenaan.

    Serbuan itu jelas beliau, membawa kepada operasi kedua di sebuah lagi kondominium di Pengkalan Weld yang mana seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan bersama-sama 131 bungkusan pelbagai perisa serbuk minuman yang dicampur dadah MDMA seberat 3.085 gram dan ketamin (22 gram).

    Dengan penahanan suspek-suspek itu jelas beliau, polis berjaya mengesan seorang lagi ahli sindiket itu di Jalan Tunku Kudin 2, Gelugor.

    “Suspek ketika itu sedang memandu sebuah kereta jenis Nissan Almera dan ketika polis mahu menjalankan pemeriksaan ke atasnya suspek bertindak memecut kereta secara berbahaya.

    “Polis bertindak mengejar sejauh kira-kira lapan kilometer dan turut melepaskan tembakan sebanyak tujuh das ke arah tayar kenderaan suspek bagi memberhentikannya.

    “Hasil pemeriksan ke atas suspek, polis merampas sebanyak 123 biji pil ekstasi dan 10 peket ketamin mengandungi sebanyak 35.33 gram,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah Timur Laut, Georgetown hari ini.

    Jelas beliau, siasatan mendapati suspek berperanan membekalkan semua dadah kepada ahli sindiket lain sebelum mencampurkan dalam pelbagai minuman berperisa.

    Katanya, sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan penjualan dadah menerusi aplikasi WeChat dan bergiat aktif sejak Jun lalu.

    “Dadah jenis itu dipercayai dibekalkan di pusat-pusat hiburan di sekitar negeri ini dengan harga RM150 hingga RM250 sebungkus,” katanya.

    Dalam operasi sama tambah Soffian, polis turut menyita wang tunai sebanyak RM1,150 dan menyita dua buah kenderaan bernilai RM128,000.

    Jelasnya, tiga daripada suspek merupakan penganggur manakala seorang lagi bekerja sebagai pemandu e-hailling.

    “Kesemua mereka direman sehingga 7 Oktober ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Air mata kegembiraan sambut kepulangan ejen produk kosmetik yang diculik

    Air mata kegembiraan sambut kepulangan ejen produk kosmetik yang diculik

    EJEN jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang diculik sekumpulan lelaki di rumahnya di Tumpat, pada 13 Sept, hari ini diserahkan polis kepada ahli keluarganya di Jalan Kelochor, Kota Bharu.

    Kepulangan Rosnazirah, 36, disambut dengan tangisan kegembiraan oleh kedua ibu bapa serta anggota keluarganya yang lain, termasuk anak perempuannya yang berusia 13 tahun.

    Turut mengiringi ketibaan mangsa adalah Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun serta pegawai-pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

    Muhamad Zaki berkata dengan penyerahan mangsa kepada keluarganya, kes dianggap sudah selesai dan kejayaan itu menunjukkan kesepaduan masyarakat dalam menangani permasalahan seperti ini.

    “Ini adalah kejayaan hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan, Bukit Aman dan rakan setugas dari negara jiran.

    “Kita tahu mangsa ditahan penculik melebihi 20 hari dan mungkin pengalaman dialami mangsa meninggalkan kesan emosi dan kejutan kepadanya. Sebaiknya kita berilah ruang kepadanya dan keluarga buat masa sekarang,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan mangsa kepada keluarganya hari ini.

    Jelasnya polis akan terus membantu mangsa termasuk bantuan di segi psikologi dan berharap agar masyarakat jangan memperkatakan hal yang negatif melibatkan mangsa.

    Katanya orang ramai perlu mengambil iktibar daripada kejadian ini dan berharap perkara sama tidak menimpa ke atas orang lain.

    “Apa yang penting kita berikan ruang kepada mangsa dan keluarga untuk menenangkan diri,” katanya.

    Dalam kejadian 13 Sept lepas, mangsa diculik oleh beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada pukul 5.10 petang.

    Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan sebelum ini berkata mangsa diselamatkan melalui kerjasama dan perkongsian maklumat dan perisikan antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand yang berjaya mengesan lokasi keberadaan mangsa di negara itu.

  • Polis tahan pengasuh selepas terdapat lesan gigitan di muka bayi

    Polis tahan pengasuh selepas terdapat lesan gigitan di muka bayi

    SEORANG pengasuh wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kecederaan dialami bayi perempuan berusia lapan bulan di Taman Putra, Ampang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 43 tahun ditahan selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat ibu mangsa sehari sebelum itu.

    “Berdasarkan laporan, ibu mangsa menyedari anaknya mengalami kecederaan dengan kesan gigitan pada muka dan kesan pulasan pada kedua-dua telinga.

    “Ibu mangsa kemudian membawa anaknya ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Farouk berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai enam anak asuhan berusia tiga bulan hingga dua tahun selain mempunyai anak kandung yang tinggal bersama iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan berusia 16 dan lapan tahun.

    “Siasatan awal mendapati kecederaan dialami mangsa dipercayai berpunca daripada anak asuhan yang lain menggigit muka bayi berkenaan ketika suspek keluar dari rumah.

    “Suspek direman selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

  • Baru keluar penjara, dua rakan  ditahan terlibat samun

    Baru keluar penjara, dua rakan ditahan terlibat samun

    DUA rakan yang baru bebas dari Penjara Kajang kerana kesalahan dadah diberkas lagi selepas dipercayai terlibat kes samun kedai serbaneka 24 jam di Taman Bayu Perdana, di Klang, pada Jumaat lalu.

    Kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 3.35 pagi ketika seorang pekerja berada sendirian di premis terbabit.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dua lelaki yang menaiki motosikal berhenti di depan premis sebelum seorang daripadanya masuk ke dalam premis.

    “Suspek kemudian mengambil 47 kotak rokok pelbagai jenis bernilai kira-kira RM700 sebelum melarikan diri.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya memberkas dua suspek terbabit pukul 1.30 petang, hari yang sama selain rampasan pelbagai jenis rokok dan pakaian yang dipakai semasa kejadian.

    “Kedua-dua suspek berusia 24 dan 29 tahun itu ditahan secara berasingan di dua buah rumah di Pandamaran Jaya dan Bandar Sultan Suleiman, Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

    Katanya, kedua-dua mereka juga baru selesai menjalani hukuman penjara enam bulan di Penjara Kajang.

    “Suspek masing-masing sebelum ini ditahan pada 31 Mac dan 20 April atas kesalahan memiliki dadah sebelum keluar penjara pada Ogos lalu,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.

    Tegasnya, suspek kini direman lima hari sehingga Rabu untuk siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan.

    Tambah Hoong Fong, pihaknya mengingatkan kepada peniaga premis perniagaan untuk meningkatkan kualiti keselamatan di premis masing-masing terutamanya yang beroperasi 24 jam.

  • Pembabitan wanita sebagai pelaku rasuah membimbangkan – Azam Baki

    Pembabitan wanita sebagai pelaku rasuah membimbangkan – Azam Baki

    BILANGAN kes-kes rasuah yang membabitkan pelaku wanita semakin meningkat sejak kebelakangan ini dan keadaan itu amat membimbangkan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

    Beliau berkata berdasarkan statistik, seramai 824 wanita ditahan dan daripada jumlah itu, 356 dituduh di mahkamah dalam tempoh 2017 hingga Ogos lepas.

    Secara terperinci seramai 308 wanita ditahan bagi kes tuntutan palsu; 249 (menerima rasuah); 90 (memberi rasuah) dan 82 (salah guna kuasa) manakala selebihnya membabitkan kesalahan lain berkaitan rasuah.

    “Rata-rata mereka yang dituduh adalah mereka yang mempunyai kuasa, peranan dan jawatan dalam sesuatu entiti.

    “Masa mula-mula zaman saya masuk kerja dalam BPR, dalam masa setahun pun, susah hendak tangkap walaupun seorang wanita. Rasuah adalah mengenai orang yang mempunyai kuasa, orang yang sudah diberi kepercayaan untuk melaksanakan amanah. Jadi mereka ini diberikan tanggungjawab,” katanya semasa temu bual di Putrajaya.

    SPRM ditubuhkan pada 1 Oktober 1967, dengan dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum menjadi suruhanjaya bebas pada 2009 dengan dikenali sebagai SPRM.

    Bercakap mengenai undang-undang berkaitan pembiayaan dana politik, Azam berkata, perkara itu perlu disegerakan bagi memastikan ahli dan parti politik mengisytiharkan dana yang diterima mereka sama ada dari dalam atau luar negara dan punca dana itu diperoleh.

    Beliau berkata, takrifan mengenai pembiayaan politik yang sah atau tidak bergantung kepada takrifan yang dipersetujui dalam rang undang-undang dan ia berbeza antara satu negara dan negara lain.

    Bagaimanapun, Malaysia belum mempunyai undang-undang dan peraturan pembiayaan politik, justeru bukan satu jenayah bagi ahli politik dan parti politik untuk menerima pembiayaan politik dan derma persendirian.

    Ini bermakna mana-mana ahli politik atau parti politik boleh menerima sumbangan politik daripada perbadanan atau individu, dengan syarat wang itu bukan daripada sumber haram (tetapi) isu itu menjadi jenayah jika dapat dibuktikan bahawa ahli politik yang menerima dana itu berada dalam kedudukan untuk membalas budi kepada pemberi derma berdasarkan jawatan ahli politik itu, katanya.

    Azam berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada masyarakat yang meminta SPRM menyiasat entiti-entiti politik yang dikatakan menerima dana berbentuk rasuah.

    “Kami siasat dan bukan kami tidak siasat apabila dilaporkan tapi banyak kes berakhir dengan tiada tindakan pertuduhan. Mereka (orang awam) yang melaporkan tidak berpuas hati… apabila tiada akta (khusus) ini maka kami mengklasifikasikan sebagai tindakan menerima suapan atau menerima rasuah,” katanya.

  • Maritim Malaysia tahan lapan nelayan tempatan langgar syarat lesen

    Maritim Malaysia tahan lapan nelayan tempatan langgar syarat lesen

    Oleh BADLISHAH MAT

    LAPAN nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen dalam pemantauan Op Aman di kedudukan 0.4 batu nautika timur laut Pulau Bunting, Yan di Kedah semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Bagan Tiang, Perak itu ditahan kira-kira pukul 11.13 pagi.

    Katanya, pemeriksaan yang dilakukan Maritim Malaysia mendapati, bot tersebut melakukan dua kesalahan dengan satu daripadanya adalah melanggar kawasan aktiviti perikanan yang telah ditetapkan.

    “Selain itu, lesen menangguk siput milik mereka juga telah tamat pada 2020,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, Kedah, hari ini.

    Noor Azreyanti berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 700 kilogram siput dalam bot tersebut ketika ditahan pihaknya.

    Dianggarkan terdapat kira-kira 700 kilogram siput dalam bot tersebut ketika ditahan pihak maritim

    Katanya, operasi pemantauan itu dijalankan berikutan aduan awam yang diterima Maritim Malaysia mengenai kehadiran beberapa bot nelayan tempatan yang bernombor pendaftaran dari negeri Perak di lokasi terbabit.

    “Mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 56 tahun. Kesemua individu terlibat serta barangan dirampas terdiri daripada bot, enjin berserta hasil tangkapan yang keseluruhannya bernilai RM21,050 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah,” katanya.

    Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

    “Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Pihak kami mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dengan maklumat boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

  • Kastam sita kontena muatan rokok seludup dari China, rampasan RM10 juta

    Kastam sita kontena muatan rokok seludup dari China, rampasan RM10 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KASTAM Johor merampas dan menyita sebuah kontena dengan muatan rokok seludup dari China bernilai lebih RM10 juta selepas melakukan pemeriksaan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, Iskandar Puteri pada 22 September lalu.

    Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, menerusi pemeriksaan anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam Gelang Patah pada pukul 11.20 pagi, mesin pengimbas telah mengesan imej yang meragukan dalam muatan kontena berukuran 12 meter itu.

    “Kontena yang diimport dari luar negara itu dipercayai transit di Bay Pemeriksaan Kastam, PTP. Destinasi terakhir yang diikrar dalam ‘manifest ‘ adalah di
    Pelabuhan Kota Kinabalu.

    “Semakan ke atas dokumen ‘manifest’ mendapati bahawa kontena tersebut telah diikrar membawa pelbagai jenis barangan antaranya lampu, aksesori komputer, peralatan bakeri, perlatan bayi dan pemanggang BBQ elektrik.

    “Pemeriksaan imbasan mendapati imej diimbas tidak sama seperti yang diikrarkan. Hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati terdapat 9.18 juta batang rokok putih dengan dua jenama dipercayai tidak berkastam yang diimport dari luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Larkin, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata, rokok itu dipercayai dari China dan kontena itu transit di PTP dianggarkan bernilai RM3.67 juta manakala jumlah duti atau cukai yang terbabit adalah sebanyak RM6.42 juta.

    Katanya, keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai adalah berjumlah lebih RM10 juta.

    Sazali memberitahu, modus operandi sindiket itu adalah dengan membuat pengikraran tidak benar dalam ‘manifest’mereka sebelum menjadikan PTP sebagai lokasi ‘transhipment’ sebelum dihantar ke lokasi lain bagi mengaburi pihak berkuasa.

    Kes itu katanya, disiasat mengikut Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 dan Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 kerana membuat pengikraran tidak benar dalam manifest dan mengimport barang larangan tanpa permit.

  • Cubaan seludup tayar kereta mewah import gagal

    Cubaan seludup tayar kereta mewah import gagal

    Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) menyeludup tayar kereta mewah yang diimport di Taman Cemerlang Lancar, Senai, Johor Bahru, pada 26 September lalu.

    Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, kedua-dua MPV berkenaan ditahan pada pukul 10 malam selepas diekori pasukan penguat kuasa JKDM Johor dari pintu masuk sempadan negara di
    Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Iskandar Puteri.

    Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai, JKDM Johor ke atas dua MPV berkenaan mendapati tayar pelbagai jenama dan saiz disumbat dalam kenderaan itu.

    “Terdapat 69 tayar baharu pelbagai jenama dan saiz dipercayai tidak berkastam yang diimport dari luar negara dalam kedua-dua MPV berkenaan.

    “Tayar yang diseludup ini adalah tayar bagi kenderaan mewah dengan saiz 19 inci ke atas,” katanya dalam sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Johor Bahru hari ini.

    Beliau berkata, anggaran nilai tayar baharu yang disita ini adalah RM41,400 manakala jumlah duti atau cukai yang terbabit sebanyak RM19,500.

    Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket penyeludupan itu adalah dengan menyeludup masuk sejumlah dagangan tayar baharu pelbagai jenama dan saiz dari negara jiran tanpa sebarang pengikraran.

    “Mereka akan membawa barangan ini melalui laluan penumpang di pintu masuk negara dekat selatan tanah air,” ujar beliau.

    Menurutnya, turut disita kedua-dua MPV jenis Toyota Alphard yang bernilai RM80,000 itu.

    “Kedua-dua pemandu MPV berkenaan yang berusia antara 36 hingga 41 tahun itu kemudian ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan tidak berkastam,” katanya.