DUA rakan yang baru bebas dari Penjara Kajang kerana kesalahan dadah diberkas lagi selepas dipercayai terlibat kes samun kedai serbaneka 24 jam di Taman Bayu Perdana, di Klang, pada Jumaat lalu.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 3.35 pagi ketika seorang pekerja berada sendirian di premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dua lelaki yang menaiki motosikal berhenti di depan premis sebelum seorang daripadanya masuk ke dalam premis.

“Suspek kemudian mengambil 47 kotak rokok pelbagai jenis bernilai kira-kira RM700 sebelum melarikan diri.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya memberkas dua suspek terbabit pukul 1.30 petang, hari yang sama selain rampasan pelbagai jenis rokok dan pakaian yang dipakai semasa kejadian.

“Kedua-dua suspek berusia 24 dan 29 tahun itu ditahan secara berasingan di dua buah rumah di Pandamaran Jaya dan Bandar Sultan Suleiman, Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

Katanya, kedua-dua mereka juga baru selesai menjalani hukuman penjara enam bulan di Penjara Kajang.

“Suspek masing-masing sebelum ini ditahan pada 31 Mac dan 20 April atas kesalahan memiliki dadah sebelum keluar penjara pada Ogos lalu,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.

Tegasnya, suspek kini direman lima hari sehingga Rabu untuk siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan.

Tambah Hoong Fong, pihaknya mengingatkan kepada peniaga premis perniagaan untuk meningkatkan kualiti keselamatan di premis masing-masing terutamanya yang beroperasi 24 jam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here