Category: Jenayah

  • Lelaki ditahan disyaki belasah ibu kerana tidak kemas rumah

    Lelaki ditahan disyaki belasah ibu kerana tidak kemas rumah

    POLIS menahan seorang remaja lelaki yang disyaki membelasah ibunya kerana tidak mengemaskan rumah mereka di Kampung Lindungan Sungai Way, Petaling Jaya, dekat sini, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata wanita berusia 44 tahun itu cedera di bahagian muka dan badan.

    Beliau berkata semasa kejadian suspek yang berusia 19 tahun dikatakan bertindak mengunci pintu hadapan dan membaling barang perhiasan rumah ke arah mangsa.

    “Suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau itu turut bertindak menumbuk mangsa di bahagian muka dan memijak dada sebelah kiri.

    Bertindak atas laporan dibuat ibunya pada Isnin lepas, polis menahan remaja itu pada 7.30 malam dan kini direman sehingga Sabtu (5 Nov) ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi malam ini.

    Mohamad Fakhruddin berkata suspek didapati negatif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek merbahaya.

    Beliau turut mengesahkan kejadian berkenaan bukan kali pertama dan pihaknya sedang menyiasat sama ada suspek mempunyai masalah mental atau sebaliknya. – BERNAMA

    Mohamad Fakhruddin, polis, remaja, ibu

  • Sindiket penyeludupan manusia babit pegawai Imigresen tumpas

    Sindiket penyeludupan manusia babit pegawai Imigresen tumpas

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket membawa masuk warga asing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) semalam dengan tertangkapnya seorang pegawai Imigresen dan enam rakyat India, semalam.

    Pegawai Imigresen yang ditahan berusia 31 tahun manakala warga India itu pula berumur antara 20 hingga 42 tahun.

    Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, mereka ditahan dalam satu operasi bermula pukul 7.45 malam oleh pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai Imigresen Klia2.

    Beiau berkata, warga asing terbabit cuba memasuki negara ini untuk bekerja tanpa pas yang sah serta mengelakkan bayaran levi.

    “Modus operandi sindiket ini adalah menawarkan e-visa palsu kepada warga asing berkenaan untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong,” katanya melalui dalam kenyataan hari ini.

    Khairul Dzaimee berkata, sindiket itu menyediakan tempat tinggal, program lawatan dan sejumlah wang kepada warga asing terbabit bagi menunjukkan seolah-seolah mereka adalah pelancong sebenar.

    Katanya, pegawai Imigresen yang bersubahat pula akan menurunkan cop ke atas pasport tanpa merekodkan perjalanan warga asing itu ke dalam sistem MyImms.

    “Sindiket ini disyaki telah menjalankan operasi sejak pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu,” katanya,

    Khairul Dzaimee memberitahu, berdasarkan maklumat risikan, sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada setiap warga asing yang menyamar sebagai pelancong untuk memasuki negara ini tetapi sebenarnya untuk bekerja tanpa pas kerja sah.

    Warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah.

    Pegawai Imigresen berkenaan pula akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, setelah perintah reman diperolehi.

  • Polis Thailand, Malaysia lumpuhkan sindiket pemerdagangan orang

    Polis Thailand, Malaysia lumpuhkan sindiket pemerdagangan orang

    POLIS Malaysia dan Tailand melumpuhkan sindiket pemerdagangan orang dan menyelamatkan empat mangsa yang ditahan di Malaysia.

    Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat Leftenan Jeneral Jirabhop Bhuridej berkata empat wanita, dua warga Thailand dan dua warga Indonesia, diselamatkan di sebuah hotel di Selangor pada Sabtu.

    Beliau berkata polis Thailand menahan dua lelaki, seorang di Chachoengsao dan yang kedua di Chonburi pada Sabtu manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia menangkap tiga wanita di Selangor pada hari yang sama.

    “Kami sedang menyiasat lebih lanjut sama ada lebih ramai yang terlibat,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berterima kasih kepada polis Malaysia atas bantuan mereka dalam menyelesaikan kes itu.

    Dua lelaki yang ditahan di Thailand kini dalam tahanan polis.

    Mereka berdepan sembilan pertuduhan termasuk pemerdagangan orang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

    Jirabhop berkata penahanan itu susulan siasatan berbulan-bulan selepas polis Thailand dan Malaysia menyelamatkan seorang gadis berusia 13 tahun yang dipaksa melacur di sebuah hotel di Cheras, Kuala Lumpur pada Julai.

    Katanya gadis muda itu dihubungi seorang lelaki di media sosial memintanya untuk bekerja di rumah urut di Malaysia dengan gaji antara 20,000 dan 200,000 baht sebulan.

    Gadis berkenaan menerima tawaran itu dan menyelinap masuk ke Malaysia secara haram di Sungai Kolok di Narathiwat.

    Beliau berkata gadis itu kemudiannya diselamatkan dan dihantar pulang ke Thailand pada Julai selepas keluarganya membuat laporan polis. – BERNAMA 

  • Bekas ahli politik di Pulau Pinang ditahan kes pemerdagangan orang

    Bekas ahli politik di Pulau Pinang ditahan kes pemerdagangan orang

    SEORANG bekas ahli politik di Pulau Pinang merupakan antara 11 individu yang ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pemerdagangan orang membabitkan penghuni pusat pemulihan dadah dan alkohol.

    Kesemua mereka ditahan dalam beberapa siri serbuan di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Selatan (SPS) dalam operasi bermula Khamis lalu hingga semalam.

    Ahli politik bergelar Datuk berusia 50-an yang juga pengasas pusat pemulihan dadah dan alkohol di daerah Timur Laut dan SPS itu ditahan di rumahnya kira-kira pukul 8.25 malam semalam.

    Penghuni-penghuni yang menghuni pusat pemulihan dadah dan alkohol itu dipercayai menjadi mangsa eksploitasi buruh apabila dipaksa bekerja sebagai di pusat cuci kereta, kedai makan, kedai kayu dan kedai servis pendingin hawa.

    Namun mereka didakwa tidak dibayar gaji atau diberikan cuti sepanjang tempoh bekerja, malah turut dipukul dengan rotan serta diikat dengan rantai besi sekiranya enggan mengikut arahan.

    Difahamkan, ahli politik berkenaan pernah bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Pulau Pinang namun tewas.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, seramai 10 lagi suspek yang ditahan berusia antara 22 dan 60 tahun termasuk dua wanita.

    Jelas beliau, siasatan mendapati pusat pemulihan itu telah dibuka sejak dua tahun lalu namun tidak mempunyai permit yang sah daripada mana-mana agensi.

    “Mangsa terdiri daripada mereka yang mendapatkan rawatan di pusat berkenaan kerana ketagihan dadah dan alkohol dengan ada yang membayar wang antara RM1,200 dan RM1,500 sebulan.

    “Hasil pemeriksaan fizikal ke atas mangsa juga mendapati kebanyakan mereka mempunyai kesan kecederaan akibat dipukul,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut beliau, dengan penahanan suspek-suspek berkenaan polis berjaya menyelamatkan seramai 13 mangsa yang kesemuanya lelaki berusia antara 22 hingga 62 tahun.

    Tambahnya, polis turut merampas beberapa barangan antaranya sebuah komputer riba, sembilan buah telefon bimbit, dua utas rantai besi, sebatang paip PVC dan dua batang besi penyambung katil.

    Ujarnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2010 (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda.

  • Polis siasat video tular lelaki belasah wanita

    Polis siasat video tular lelaki belasah wanita

    SUSULAN tular sebuah video memaparkan seorang wanita dipukul oleh seorang lelaki yang dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang awam yang mempunyai maklumat agar tampil memberi kerjasama.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menyiasat perkara tersebut dan belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian terbabit.

    Dalam masa sama, beliau berkata, dakwaan mengenai lokasi kejadian juga belum disahkan oleh pihak polis, lapor Astro Awani.

    Sejak beberapa hari lalu, tular video seorang lelaki dilihat menendang dan menampar seorang wanita tular dalam media sosial.

    Video berdurasi 18 saat itu mendapat kecaman daripada orang awam dan menggesa agar tindakan tegas diambil oleh pihak polis dengan segera.

    Sehubungan itu, PDRM menggesa orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian dinasihatkan agar segera menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

  • Dua kakitangan hospital direman tiga hari, rosakkan hiasan Deepavali

    Dua kakitangan hospital direman tiga hari, rosakkan hiasan Deepavali

    POLIS menahan dua kakitangan hospital bagi membantu siasatan berhubung tindakan merosakkan hiasan lantai tradisional atau kolam sempena Deepavali di pekarangan sebuah hospital swasta di Klang, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an dan 30-an itu ditahan pukul 11 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini.

    “Dua suspek itu masing-masing individu yang berjalan dengan kasut atas kolam Deepavali serta yang merakam aksi lelaki berkenaan.

    “Mereka direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

    Sebelum ini, satu rakaman tular di TikTok yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai kakitangan sebuah hospital swasta sedang berjalan dengan kasut di atas perhiasan kolam.

    Tindakan lelaki berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi serta kecaman orang ramai.

  • 4 termasuk warga emas antara ditahan curi kenderaan, pecah rumah

    4 termasuk warga emas antara ditahan curi kenderaan, pecah rumah

    EMPAT suspek berusia 24 hingga 62 tahun berjaya diberkas polis selepas terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru Selatan sejak awal September lalu.

    Semua suspek terbabit ditahan hasil serbuan di tiga lokasi berasingan di Taman Pulai Indah Kangkar Pulai, Bandar Selesa Jaya dan Skudai.

    Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Assisten Komisioner Rahmat Ariffin, bagi tangkapan pertama, polis menahan sepasang suami isteri di Taman Pulai Indah sebelum memberkas seorang lelaki di Bandar Selesa Jaya dan warga emas berusia 62 tahun di Skudai.

    “Hasil siasatan mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau melibatkan jenayah pecah rumah, curi kenderaan, samun, memiliki barang salah selain rekod kesalahan dadah.

    “Suspek pertama (suami) memiliki 33 rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan dan isterinya (suspek kedua) memiliki satu rekod jenayah (curi kenderaan dan pecah rumah).

    “Suspek ketiga memiliki 11 rekod lampau dan tujuh kes berkaitan dadah manakala suspek keempat mempunyai sembilan rekod lampau,” katanya pada sidang media di lobi IPD Iskandar Puteri, hari ini.

    Rahmat berkata, setakat ini kesemua suspek ditahan reman sehingga Selasa dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 475 Kanun Keseksaan (pecah rumah) dan 379A Kanun Keseksaan (curi kereta),

    Beliau berkata, polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah kenderaan jenis Naza Citra dan sebuah motosikal jenis Honda Wave dianggarkan bernilai RM30,000.

    Jelas Rahmat, modus operandi yang digunakan kesemua suspek adalah dengan menekan loceng bagi memastikan ketiadaan penghuni di rumah disasarkan.

    “Polis tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi tangkapan dibuat selepas ini melibatkan suspek-suspek lain,” katanya lapor Sinar Harian.

  • ‘Letupan’ mercun, kereta awam dibakar 100 ‘perusuh’ di hadapan Stadium Indera Mulia

    ‘Letupan’ mercun, kereta awam dibakar 100 ‘perusuh’ di hadapan Stadium Indera Mulia

    KIRA-KIRA 100 ‘perusuh’ bertindak agresif membakar mercun dan menterbalikkan sebuah kereta sebelum dibakar dalam kejadian di hadapan Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam.

    Keadaan itu bagaimanapun berjaya ‘dikawal’ sepasukan anggota dan pegawai termasuk dari bomba serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tiba di lokasi sekitar 15 minit kemudian.

    Bagaimanapun, pasukan keselamatan berhadapan detik cemas apabila perusuh mula menyerang anggota keselamatan dengan membaling beberapa objek sebelum menyerbu ke arah mereka.

    Namun, kehadiran puluhan anggota polis tambahan dengan menaiki jentera yang tiba di lokasi tidak lama selepas itu berjaya menyuraikan rusuhan selain beberapa individu daripada kumpulan perusuh itu ditahan polis.

    Itu merupakan antara situasi dalam simulasi latihan amal Pasukan Unit Tempur Ringan atau Light Strike Force (LSF) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang dijalankan pada Isnin sebagai persediaan menghadapi fasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Simulasi itu mengambil gambaran keadaan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku semasa proses penamaan calon di sebuah kawasan Parlimen di Perak pada 5 November nanti.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, latihan yang dimulakan sejak 21 Oktober lalu itu melibatkan 1,567 anggota IPD Ipoh yang akan diatur gerak bagi penugasan sepanjang fasa PRU-15.

    “Latihan atau simulasi ini dijalankan lanjutan daripada kesiap-siagaan PDRM Kontinjen Perak untuk menghadapi fasa PRU15 tidak lama lagi.

    “Jadi saya berharap daripada latihan yang diadakan di peringkat PDRM Kontinjen Perak dan juga seluruh IPD di negeri ini, ia dapat menambahkan lagi kesediaan anggota dan pegawai dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU nanti,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu meninjau demonstrasi latihan simulasi itu.

  • Polis siasat insiden peniaga ‘bundle’ mengamuk dekat Serdang

    Polis siasat insiden peniaga ‘bundle’ mengamuk dekat Serdang

    POLIS mengesahkan telah menerima laporan berhubung insiden peniaga barangan terpakai mengamuk akibat ditipu penganjur sehingga mengalami kerugian mencecah RM36,000.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian daripada pengurus acara barangan terpakai terbabit pada Jumaat lalu.

    Beliau berkata, kejadian terbabit berlaku di kawasan Serdang dan penyewa dipercayai mengamuk kerana tidak berpuas hati dengan pengadu dan meminta memulangkan kembali duit sewa.

    “Siasatan telah dijalankan dan kedua-dua pihak telah membuat laporan polis berkaitan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, pengadu membuat laporan bagi tujuan rujukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

    Malah, penyewa juga mengesahkan akan memulangkan kembali barangan yang diambil bagi tujuan cagaran.

    Sebelum itu, tular klip video kejadian memaparkan beberapa penyewa menengking dan mencerca seorang wanita dipercayai wakil penganjur.

    Difahamkan, penyewa bertindak demikian apabila tapak perniagaan mereka diarahkan tutup kerana tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

    Penganjur dipercayai tidak membuat permohonan permit niaga sedangkan pihak penyewa telah membayar sejumlah wang kepada penganjur untuk berniaga di tapak jualan tersebut.

  • Lima anggota polis ditahan miliki pelbagai dadah di pusat hiburan

    Lima anggota polis ditahan miliki pelbagai dadah di pusat hiburan

    LIMA anggota polis ditahan dan pelbagai jenis dadah seberat 13.9 gram dirampas dalam serbuan dan pemeriksaan di bawah Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Puchong di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Serbuan pada pukul 11.45 malam itu dilakukan sepasukan polis daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

    Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan yang mengaku penjaga premis semasa serbuan itu.

    “Selain itu, tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Vietnam yang disyaki pelayan pelanggan turut ditahan.

    “Semasa pemeriksaan di sebuah bilik di premis itu, terdapat lima pengunjung yang juga penjawat awam. Hasil pemeriksaan dijalankan menemui dadah jenis methamphetamine anggaran berat 0.87 gram, pil eramin 5 (7.38 gram) dan ganja (5.65 gram),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Amihizam berkata, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati empat suspek positif dadah amphetamine dan methamphetamine, manakala seorang lagi suspek positif ketamin.

    “Kesemua suspek ditahan reman tiga hari bermula semalam hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Kes juga akan disiasat dari segi kesalahan tatatertib,” katanya.

    Menurut Amihizam, jumlah keseluruhan dadah dirampas dianggarkan boleh dibekalkan kepada lima sehingga 10 pengguna dadah.

    Polis juga katanya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah diperoleh.

    Sementara itu, Amihizam berkata, pusat hiburan juga akan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai rampasan dadah itu untuk menyalurkannya dengan menghubungi pihaknya di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan.