JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket membawa masuk warga asing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) semalam dengan tertangkapnya seorang pegawai Imigresen dan enam rakyat India, semalam.

Pegawai Imigresen yang ditahan berusia 31 tahun manakala warga India itu pula berumur antara 20 hingga 42 tahun.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, mereka ditahan dalam satu operasi bermula pukul 7.45 malam oleh pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai Imigresen Klia2.

Beiau berkata, warga asing terbabit cuba memasuki negara ini untuk bekerja tanpa pas yang sah serta mengelakkan bayaran levi.

“Modus operandi sindiket ini adalah menawarkan e-visa palsu kepada warga asing berkenaan untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong,” katanya melalui dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, sindiket itu menyediakan tempat tinggal, program lawatan dan sejumlah wang kepada warga asing terbabit bagi menunjukkan seolah-seolah mereka adalah pelancong sebenar.

Katanya, pegawai Imigresen yang bersubahat pula akan menurunkan cop ke atas pasport tanpa merekodkan perjalanan warga asing itu ke dalam sistem MyImms.

“Sindiket ini disyaki telah menjalankan operasi sejak pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu,” katanya,

Khairul Dzaimee memberitahu, berdasarkan maklumat risikan, sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada setiap warga asing yang menyamar sebagai pelancong untuk memasuki negara ini tetapi sebenarnya untuk bekerja tanpa pas kerja sah.

Warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah.

Pegawai Imigresen berkenaan pula akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, setelah perintah reman diperolehi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here