Category: Jenayah

  • Salah faham punca peniaga, pengunjung OKU bergaduh di pasar malam

    Salah faham punca peniaga, pengunjung OKU bergaduh di pasar malam

    GARA-gara salah faham, seorang peniaga dan pengunjung kurang upaya (OKU) bertengkar di Pasar Malam Dataran Mara, Kota Bharu, tengah malam kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian pada pukul 12.25 tengah malam semalam.

    Beliau berkata, polis telah mengesan klip video membabitkan kejadian dimuat naik oleh pengguna TikTok dikenali sebagai Shajarr.

    “Pertengkaran berpunca daripada salah faham melibatkan remaja Orang OKU yang dikatakan menggangu seorang badut lelaki sedang menghibur pengunjung di pasar malam itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, tiada sebarang pergaduhan yang berlaku dan ketika kejadian terdapat anggota polis menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan itu.

    Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak membuat sebaarang spekulasi berhubung kejadian, lapor Utusan TV.

  • Lelaki ditemui mati di tempat letak kereta

    Lelaki ditemui mati di tempat letak kereta

    SEORANG lelaki tanpa identiti ditemui tidak sedarkan diri di tempat letak kereta berhadapan premis perniagaan di Jalan Penjaja, di Batu Pahat, pada malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Ismail Dollah berkata, orang awam menemui lelaki berusia lingkungan 50 tahun itu dan bertindak memaklumkan kepada polis pada kira-kira pukul 8 malam.

    “Lelaki berkenaan disahkan telah meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan daripada Hospital Sultanah Nora Ismail ( HSNI) yang datang sejurus dimaklumkan tentang kejadian itu.

    “Susulan daripada itu, seorang warganegara asing berusia 43 tahun yang dilihat cuba melarikan diri dari tempat kejadian telah berjaya ditangkap oleh seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di bangunan berhampiran sebelum diserahkan kepada polis.

    “Pasukan forensik daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor telah hadir membantu menjalankan siasatan di tempat kejadian dan hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan cedera di bahagian kepala mangsa,” katanya melalui kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berhampiran dan rakaman video yang dibuat oleh saksi awam yang kebetulan berada di tempat kejadian, menunjukkan ada berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek sebelum mangsa ditemui mati.

    “Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Mayat mangsa di bawa ke HSNI untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Ujian DNA tentukan identiti mayat wanita dalam semak

    Ujian DNA tentukan identiti mayat wanita dalam semak

    IDENTITI mayat yang ditemukan di kawasan semak dekat Kampung Alor Gali di Marang minggu lalu akan disahkan melalui keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan diperoleh dalam masa terdekat.

    Susulan penemuan mangsa, dua individu telah hadir membuat pengecaman ke atas mayat kira-kira pukul 6.30 petang di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mereka telah mengenal pasti mayat sebagai seorang ahli keluarga berdasarkan tanda-tanda pada badan mayat dan juga barang-barang peribadi yang dikemukakan serta beberapa bukti bergambar.

    “Namun identiti sebenar si mati hanya dapat disahkan setelah Pegawai Penyiasat Kes mendapat keputusan sampel DNA dari Jabatan Kimia Malaysia yang akan diterima dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Sementara itu, Mohd. Zain berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang meminta supaya orang awam menjaga sensiviti ahli keluarga mangsa dan tidak membuat sebarang spekulasi liar berkaitan kes yang sedang disiasat.

    Siasatan kes itu katanya, dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta terus menghubungi Bilik Gerakan IPD Marang di talian 09-6181451 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan mayat wanita tanpa identiti ditemukan dalam kawasan semak di Kampung Alor Gali di Marang, pada 19 Januari lalu.

    Mayat tersebut ditemukan orang awam yang mencari daun palas di kawasan itu yang terletak kira-kira 30 meter dari jalan utama.

  • Polis buru banduan larikan diri dari Pusat Koreksional Jasin

    Polis buru banduan larikan diri dari Pusat Koreksional Jasin

    POLIS sedang mengesan banduan lelaki yang meloloskan diri Pusat Koreksional Jasin, Jabatan Penjara Malaysia, Lipat Kajang, Jasin, petang semalam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd
    Fadzli Othman berkata, Mohammad Roshaidi Mohd Ghazali, 44, meloloskan diri dan kehilangannya disedari pegawai bertugas di penjara berkenaan, pukul 2.20 petang.

    “Banduan terbabit kes samun itu sedang menjalani Program Reintegrasi Penghuni di pusat tahanan itu.

    “Polis menerima laporan kehilangan banduan itu pada 7.03 malam yang dibuat pengadu selepas menyedari kehilangan suspek semasa dia berada di Pejabat Pegawai Yang Bertugas (PYB) giliran awal Pusat Koreksional Jasin.

    “Berdasarkan laporan itu, tahanan terbabit dilihat kali terakhir memakai baju banduan berwarna hijau serta memakai selipar,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Mohd. Fadzli berkata, sejurus menerima laporan, polis segera menggerakkan pasukan bagi membantu mengesan suspek.

    Katanya, siasatan kes mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan mengenai kemungkinan berlaku kecuaian hingga menyebabkan tahanan lolos, dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan polis.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tahanan ini diminta menyalurkan maklumat kepada kepada polis atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

  • Polis tahan lelaki Palestin intai rumah pelajar wanita di Cyberjaya

    Polis tahan lelaki Palestin intai rumah pelajar wanita di Cyberjaya

    POLIS menahan seorang pelajar lelaki warga Palestin yang dipercayai mengintai sebuah rumah didiami pelajar wanita warga tempatan di Mutiara Ville di Cyberjaya, dekat Putrajaya.

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mangsa membuat laporan setelah mendapat maklumat daripada jiran bahawa terdapat seorang lelaki disyaki berbangsa Arab mengintai rumahnya.

    “Lelaki tersebut telah membuka cermin tingkap tandas dan berdiri di ruang tepi untuk mengintai dan mengambil seluar milik rakan serumah wanita itu. Perbuatan lelaki tersebut telah dirakam oleh jiran pengadu dan lelaki tersebut telah melarikan diri,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa kemudian membuat pemeriksaan di bahagian balkoni belakang dan mendapati sehelai seluar panjang warna kelabu milik rakan serumahnya tiada dan ketika kejadian, tiada sesiapa berada dalam tandas.

    “Lelaki Palestin itu ditahan pada kira-kira 4 petang tadi di Mutiara Ville dan polis telah merampas telefon bimbit, baju, seluar dan selipar yang digunakan namun seluar milik rakan serumah pengadu belum dijumpai. Siasatan masih diteruskan,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

  • Amah larikan wang tunai, barang kemas majikan bernilai RM14,000

    Amah larikan wang tunai, barang kemas majikan bernilai RM14,000

    SEORANG pembantu rumah wanita warga asing melarikan barang kemas dan wang tunai milik majikannya bernilai RM14,000 di Seremban.

    Kejadian itu disedari pengadu iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun pada pukul 7.30 malam kelmarin, ketika dia sekeluarga pulang ke rumah selepas selesai menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Selangor.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pembantu rumahnya yang bernama Hendriyawati, 40, tidak menyahut sebaik dipanggil lalu pengadu memeriksa dapur dan mendapati pintu dapur serta pintu pagar belakang telah terbuka.

    “Hasil semakan mendapati barang kemas milik anak pengadu dan ibunya telah tiada dalam almari di bilik tidur. Pengadu kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 11.44 pagi semalam.

    “Pengadu lewat membuat laporan polis kerana dia terlebih dahulu mengesan suspek daripada ejen pekerjaan serta cuba menghubungi beberapa nombor telefon daripada buku catitan milik pembantu rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, hasil siasatan mendapati suspek yang baru tiga bulan bekerja tidur di bilik tidur bahagian atas bersebelahan bilik tidur pengadu dan beg pakaian wanita berkenaan masih ada.

    Suspek katanya, hanya keluar rumah dengan membawa beg galas milik anak pengadu dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Polis tahan 88 individu, rampas barangan seludup lebih RM64 juta

    Polis tahan 88 individu, rampas barangan seludup lebih RM64 juta

    POLIS menahan 88 individu termasuk 15 warga asing dan merampas barangan bernilai RM64.7 juta dalam serbuan membanteras kegiatan penyeludupan kontraban dan hidupan liar di tiga negeri dalam tempoh 20 hari.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan berkata ia hasil 35 serbuan dan operasi dilakukan di Selangor, Sabah dan Perak oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar Perisikan Siasatan Khas bagi tempoh 1 hingga 20 Jan lepas.

    Beliau berkata operasi dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang mengikut Akta Kastam 1966 dengan jumlah rampasan berjumlah RM42.8 juta, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (RM1.2 juta) dan Akta Bahan Letupan 1957 (RM7.7 juta).

    Selain itu, operasi juga dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan jumlah rampasan RM10.7 juta, Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 (RM2.2 juta) dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan (RM5,200).

    “PDRM akan terus memacu langkah ke hadapan dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain dalam memerangi jenayah kontraban dan pelbagai kesalahan lain,” katanya.

  • Kumpulan Ayahanda Harimau Kumbang digempur polis

    Kumpulan Ayahanda Harimau Kumbang digempur polis

    PERTUBUHAN haram Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) yang digempur pasukan polis bermula Khamis lalu dikesan menjadi orang tengah untuk mengutip hutang ah long dan aktiviti menarik kereta.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, dua kegiatan tersebut dipercayai turut melibatkan elemen keganasan dan gengsterisme iaitu menggunakan kekerasan serta ugutan jenayah terhadap mangsa.

    “Ini susulan penahanan 21 individu termasuk dua pegawai polis berpangkat inspektor dan 12 anggota polis pangkat rendah berusia 20 hingga 49 tahun dalam Op Selendang di sekitar Dungun serta Kuala Terengganu bermula Khamis hingga Sabtu lalu.

    “Namun tidak semua anggota polis yang ditahan terlibat secara langsung dengan perlakuan jenayah ini tapi mereka menjadi ahli pertubuhan haram, ia merupakan satu kesalahan dalam perkhidmatan polis,”
    katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

    Katanya, pertubuhan itu merupakan serpihan daripada satu kumpulan lain dan anggota polis dipercayai mula terlibat di dalamnya sejak 2021.

    Rohaimi berkata, pelbagai barangan turut dirampas dalam operasi itu termasuk enam bilah pedang, satu badik, satu ekor pari diubah suai menjadi senjata tajam, lapan kenderaan, 28 telefon bimbit, pakaian berlogo pertubuhan dan pelekat kenderaan.

    Menurutnya, penyertaan ahli ke dalam kumpulan diketuai seorang peniaga berusia 39 tahun itu turut melibatkan baiah berikutan rampasan peralatan bagi tujuan ritual tersebut seperti selendang, kain kafan dan naskhah Al-Quran.

    Jelas beliau, kumpulan AHK yang mempunyai ahli sekitar 200 hingga 300 orang di sekitar Dungun dipercayai memberi perlindungan kepada ahli bagi mengelak kenderaan mereka ditarik atau dikenakan tindakan sekiranya melakukan kesalahan.

    “10 anggota polis yang terlibat telah ditahan kerja bermula semalam (Isnin), dua pegawai menunggu tindakan lanjut dari Bukit Aman manakala dua anggota lagi termasuk tujuh individu akan masih ditahan reman sehingga esok.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Media sebelum ini melaporkan Bukit Aman menahan 12 anggota dan dua pegawainya untuk siasatan dipercayai terlibat dengan aktiviti pertubuhan haram di Kuala Terengganu pada Jumaat.

    Operasi Op Selendang yang dijalankan itu turut menahan tujuh orang awam.

    Difahamkan, pertubuhan kumpulan AHK itu dipercayai aktif di kalangan anggota terbabit sejak beberapa tahun lalu.

  • Bot nelayan tempatan ditahan gajikan PATI sebagai kru

    Bot nelayan tempatan ditahan gajikan PATI sebagai kru

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 4.51 petang semalam atas pelbagai kesalahan termasuk menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai kru.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan kelas C itu ditahan Kapal Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan OP PERTIWI dan OP TANJUNG.

    Ujar beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu ditahan pada kedudukan 13 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

    “Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan tekong warga Thailand dan empat kru warga Myanmar berumur  antara 27 hingga 55 tahun yang mana dua daripada kru warga Myanmar gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta  melanggar syarat sah lesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu melanggar syarat lesen dengan menggunakan kru asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

    Sehubungan itu, tambahnya, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 100 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

    Dalam pada itu, ujar beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.

    “Maritim Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

    Tambahnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • Tidak sempat mencuri, lelaki tertidur akibat mabuk

    Tidak sempat mencuri, lelaki tertidur akibat mabuk

    SEORANG penjenayah terlena di rumah yang dicerobohi dipercayai gara-gara mabuk selepas minum minuman keras milik penghuni rumah berkenaan dalam satu kejadian di Taman Tanjung, Bahau, Jempol, semalam.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kehadiran lelaki berusia 41 tahun itu disedari penghuni rumah berusia 65 tahun pada 6.30 pagi yang kemudian membuat laporan polis.

    “Ketika kejadian pengadu tinggal bersama isteri dan empat anak mereka di rumah teres satu tingkat. Semasa masuk ke dalam rumah, suspek dipercayai minum minuman keras milik pengadu sehingga mabuk dan tertidur.

    “Sebaik sahaja pengadu bangun tidur awal pagi, dia menemukan suspek terbaring di dalam rumah tidak sedarkan diri. Pengadu lihat terdapat beg kertas mengandungi dua pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras dan sebuah tablet berada bersebelahan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Hoo berkata lelaki tersebut dipercayai menceroboh masuk rumah berkenaan dengan memanjat pagar dan masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci

    Beliau berkata tiada rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai 15 rekod dadah, enam rekod jenayah dan berstatus orang yang dikehendaki polis.

    “Suspek direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya yang turut menasihatkan penduduk setempat agar lebih berhati-hati dengan sentiasa mengunci rumah bagi keselamatan keluarga.