Category: Jenayah

  • Bekas ADUN Sanglang cedera diserang lelaki kurang siuman

    Bekas ADUN Sanglang cedera diserang lelaki kurang siuman

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang mengalami kecederaan setelah diserang dengan kerusi oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman selepas mendengar tazkirah di Masjid Alwi, Kangar, Perlis awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata Datuk Mohd Zain Hamzah, 87, mengalami kecederan pada bahagian kepala sebelah kanan setelah dipukul dengan kerusi kecil kira-kira 5.30 pagi tadi.

    “Mangsa berkata beliau diserang oleh suspek di hadapan masjid ketika mengisi duit dalam tabung anak yatim selepas mendengar tazkirah di masjid berkenaan.

    “Polis telah menahan seorang suspek warga tempatan berumur 65 tahun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa masih mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah Kangar dan motif serangan masih dalam siasatan.

    Katanya suspek dipercayai mengalami masalah mental.

    Mohd Zain merupakan bekas ADUN Sanglang selama dua penggal dari 1978 hingga 1986.

  • SPRM tahan pengajar sekolah memandu

    SPRM tahan pengajar sekolah memandu

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang tenaga pengajar sekolah memandu kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang calon ujian.

    Majistret M. Mageshwary mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini dikeluarkan di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.

    Menurut sumber, suspek lelaki berusia 70-an dan bekerja di sebuah sekolah memandu di Petaling Jaya ditahan pukul 3 petang semalam, selepas hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.

    Penahanan lelaki itu susulan daripada penahanan reman selama lima hari membabitkan seorang wanita yang juga pekerja sambilan di sekolah memandu itu semalam kerana disyaki meminta wang berjumlah RM650 daripada seorang calon ujian memandu sebagai dorongan bagi mendapat lesen ‘dijamin lulus’.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan suspek lelaki itu.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

  • Empat ditahan bantu siasatan kes bunuh pelatih Puspen Perlop

    Empat ditahan bantu siasatan kes bunuh pelatih Puspen Perlop

    SEORANG pelatih serta tiga kakitangan Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Perlop, di Sungai Siput, ditahan polis Selasa lalu, bagi membantu siasatan kematian seorang pelatih pusat pemulihan itu yang disyaki dibunuh.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, polis menerima maklumat kematian pelatih lelaki berusia 50 tahun itu 12.55 tengah hari dan siasatan awal mendapati ada kecederaan pada badan mangsa.

    “Mangsa dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan hasil bedah siasat mendapati kecederaan pada belakang badan mangsa akibat dipukul menggunakan objek tumpul.

    “Susulan itu, empat individu berusia lingkungan antara 30 hingga 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, semua mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 8 Februari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau turut menasihati masyarakat untuk tidak sesekali menularkan maklumat tidak sahih dan spekulasi berhubung kes itu.

  • Tujuh ditahan kes curi kenderaan, pecah rumah

    Tujuh ditahan kes curi kenderaan, pecah rumah

    POLIS menahan tujuh individu yang terbabit dalam kegiatan curi kenderaan dan pecah rumah di Kota Bharu dalam Ops Lejang, semalam.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata,tangkapan suspek berusia di antara 26 dan 58 tahun itu dilakukan dalam serbuan di Kampung Machang Limbat dan Kampung Berhala Lima, Pasir Tumboh antara pukul 12.15 tengah malam hingga 4 pagi semalam.

    “Dengan penahanan tujuh individu itu, pihak polis berjaya menemui lima buah kereta Proton Wira, peralatan memecah rumah dan kereta, serta sejumlah wang tunai.

    “Berdasarkan kes kehilangan kenderaan Proton Wira yang ketara sejak awal tahun, 21 kes dilaporkan dan tindakan diambil menjurus kepada penyelesaian kes melalui Ops Lejang,” kata Muhamad Zaki, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, kesemua kereta Proton Wira itu dipercayai dicuri sebelum dijual pada harga di antara RM3,000 hingga RM5,000.

    Muhamad Zaki berkata, kejayaan tangkapan kumpulan curi kereta dan pecah rumah itu selepas polis menemui cap jari seorang suspek yang dikesan di sebuah rumah yang dipecah masuk.

    “Suspek termasuk seorang bekas banduan yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau serta mengaku sebagai ketua sindiket itu, direman bermula semalam hingga 7 Februari,” katanya.

    Pihak polis masih mengesan saki-baki ahli dan individu lain yang ada kaitan dengan kumpulan curi kereta itu.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379a, 325/353 Kanun Keseksaan.

  • Bot nelayan tempatan tiada nombor pendaftaran ditahan

    Bot nelayan tempatan tiada nombor pendaftaran ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas didapati gagal mengemukakan lesen bot.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan pada kedudukan 2.6 batu nautika Pulau Rimau, pukul 4.30 petang semalam.

    Jelas beliau, penahanan itu dibuat oleh pasukan Maritim Malaysia dalam rondaan OP PERTIWI ketika mereka sedang leka melakukan aktiviti perikanan.

    “Hasil pemeriksaan, bot tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan oleh seorang tekong dan seorang kru yang mana masing-masing ialah warga tempatan berusia 33 dan 40 tahun, namun didapati gagal mengemukakan lesen bot.

    Maritim Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas didapati gagal mengemukakan lesen bot

    “Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki lesen bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, bot serta kru ditahan bersama dua kilogram hasil laut sebelum dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

    Dalam itu tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

    “Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • 5 bengkel tumpuan mat rempit ubah suai motosikal di Georgetown dikompaun

    5 bengkel tumpuan mat rempit ubah suai motosikal di Georgetown dikompaun

    MESKIPUN pernah diserbu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan dikenakan saman tahun lalu, namun pemilik sebuah bengkel motosikal di pusat bandar Georgetown tidak pernah serik menawarkan servis mengubah suai motosikal kepada mat rempit dipercayai untuk tujuan lumba haram.

    Bengkel motosikal itu antara lima buah bengkel yang diserbu JPJ Pulau Pinang dalam Ops Bengkel yang berlangsung lebih tiga jam bermula pukul 1 tengah hari, hari ini.

    Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, bengkel di pusat bandar itu antara bengkel yang menjadi tumpuan pemilik motosikal untuk melakukan proses ubah suai secara haram.

    Jelasnya, antara kesalahan yang dikesan dilakukan pemilik bengkel itu ialah mengubah tayar standard kepada tayar ‘sotong’; mengubah ekzos; memasang alat mengawal kelajuan; mengubah sistem enjin, mengubah ‘swing arm’ dan banyak lagi.

    ”Kita mendapati pengubahsuaian yang dilakukan di bengkel motosikal ini mungkin untuk meningkatkan kelajuan motosikal bagi berlumba secara haram.

    “Pemilik bengkel ini juga menjual aksesori motosikal yang diimport yang mempunyai potensi digunakan untuk melakukan proses ubah suai motosikal secara haram.

    ”Harga yang ditawarkan untuk pemilik motosikal melakukan proses ubah suai pula sekitar RM400 dan terdapat 14 motosikal di bengkel ini yang sedang diubah suai ketika serbuan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Ops Bengkel itu hari ni.

    Mengulas lanjut, Adenan berkata, secara keseluruhan, sebanyak 66 notis saman melibatkan 30 kesalahan dikeluarkan terhadap lima bengkel motosikal di daerah Barat Daya dan Timur Laut sepanjang Ops Bengkel itu.

    Katanya, Ops Bengkel itu turut dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

    ”Pemilik bengkel motosikal diberikan peluang untuk memperbetulkan semula motosikal yang diubah suai dalam tempoh 10 hari.

    ”Kita juga arahkan pemilik bengkel menghentikan proses ubah suai motosikal secara haram bagi memastikan aktiviti lumba haram tidak berlaku,” katanya.

  • Polis tahan seorang lelaki, rampas dadah lebih RM6 juta

    Polis tahan seorang lelaki, rampas dadah lebih RM6 juta

    SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki mengedar pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM6.36 juta dalam serbuan di sebuah kilang di Seri Kembangan di sini, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 123 kilogram (kg), syabu (0.5 kg), 18 botol berisi serbuk dadah (301 gram), pil ekstasi (21 gram) dan ganja (13.8 gram) serta tiga mesin memproses dadah.

    “Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat 123 kilogram bernilai RM6.38 juta yang berjaya dirampas selepas menahan seorang suspek yang terlibat dalam kegiatan memproses dadah di dalam makmal haram serta mengedar dadah ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata turut dirampas wang tunai RM10,000 dan dua kenderaan disita.

    Menurutnya suspek menyewa premis berkenaan di bawah nama syarikat lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Anbalagan berkata suspek disyaki aktif dalam penjualan dadah sejak setahun lepas selain turut memproses dadah dan menjadi ‘runner’.

    Beliau berkata lelaki terbabit dipercayai memperoleh pendapatan RM10,000 hingga RM15,000 seminggu bagi 50,000 biji pil erimin yang diprosesnya.

    “Polis percaya ada lagi rakan suspek yang masih bebas mengendalikan sindiket berkenaan,” katanya menambah suspek direman tujuh hari hingga esok mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Sembilan PATI Indonesia baru mendarat ditahan

    Sembilan PATI Indonesia baru mendarat ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Batu Pahat menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia di perairan Sungai Buntu, Pontian, hari ini.

    Pengarah Zin Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan orang awam mengenai sebuah bot berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di perairan Sungai Buntu pada pukul 4.30 petang.

    “Bot peronda kilat maritim kemudian diatur gerak ke lokasi sekitar pukul 3.30 pagi. Setibanya di lokasi didapati tiada bot seperti dilaporkan namun pemantauan terperinci di sekitar kawasan berkenaan membuahkan hasil apabila berjaya mengesan PATI tersebut berada di kawasan berlumpur kira-kira
    0.16 batu nautika barat daya Sungai Buntu.

    “Tiga daripada lima anggota Penguat Kuasa Maritim bertindak terjun dari bot menyusuri kawasan cetek untuk mengejar suspek yang cuba melarikan diri bagi mengelakkan daripada ditahan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

    Beliau berkata, namun percubaan PATI gagal dan seramai sembilan lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 35 hingga 67 tahun ditahan dan pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah untuk masuk ke negara ini.

    Katanya, semua PATI berkenaan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

    “Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan.

    “Kita akan terus memastikan perairan Johor selamat, aman dan terkawal,” katanya dan memberitahu sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau talian kecemasan MERS 999.

  • 2 tan tepung gandum disimpan tanpa permit disita

    2 tan tepung gandum disimpan tanpa permit disita

    SEBANYAK 2 tan tepung gandum disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang di sebuah premis pengilang roti, di George Town, semalam kerana didapati disimpan tanpa permit yang sah.

    Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, sepasukan penguat kuasa pejabat KPDN Timur Laut menjalankan pemeriksaan rawak di premis berkenaan kira-kira pukul 11 pagi semalam.

    Ujar beliau, hasil pemeriksaan mendapati, sebanyak 700 kilogram (kg) tepung gandum Cap Tank dan 1,300 kg jenama Cap Kuda Merah bernilai RM6,400 disimpan di premis terbabit.

    Tambahnya, premis yang telah beroperasi lebih 20 tahun itu didapati tidak mempunyai permit untuk menyimpan barangan kawalan berjadual.

    “Seorang lelaki berusia 70 tahun yang mengaku sebagai pengarah syarikat memberi alasan pihaknya tidak dimaklumkan oleh pemborong untuk mendapatkan sebarang permit penyimpanan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDN, di sini hari ini.

    Jelas Jegan, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan seseorang itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala denda kepada syarikat perbadanan boleh dikenakan tidak lebih RM2 juta.

  • 3,546 karton ais krim dari China dirampas

    3,546 karton ais krim dari China dirampas

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor merampas sebanyak 3,546 karton hasilan tenusu (ais krim) di Pelabuhan Klang Barat, pada Sabtu lalu.

    Rampasan semua hasilan tenusu (ais krim) yang diimport dari China itu dianggarkan bernilai RM26,000.

    Menurut Pengarah MAQIS Selangor, Mohd Sobri Md Hashim, kejayaan itu hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguatkuasa MAQIS yang mendapati, sebanyak 12,800 kilogram hasilan tenusu yang dibawa masuk oleh syarikat tempatan itu gagal mengemukakan dokumen Permit Import yang sah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

    “Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, MAQIS sentiasa menekankan pendekatan keseluruhan kerajaan dengan mengutamakan keperluan dan suara rakyat adalah amat penting dalam menyahut cabaran keterjaminan makanan negara.

    “Dalam hal ini, pendekatan secara ‘bottom-up’ dan ‘top-down’ akan terus dilaksanakan oleh kerajaan secara strategik.

    “Pihak MAQIS juga menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia,” katanya.