MESKIPUN pernah diserbu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan dikenakan saman tahun lalu, namun pemilik sebuah bengkel motosikal di pusat bandar Georgetown tidak pernah serik menawarkan servis mengubah suai motosikal kepada mat rempit dipercayai untuk tujuan lumba haram.

Bengkel motosikal itu antara lima buah bengkel yang diserbu JPJ Pulau Pinang dalam Ops Bengkel yang berlangsung lebih tiga jam bermula pukul 1 tengah hari, hari ini.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, bengkel di pusat bandar itu antara bengkel yang menjadi tumpuan pemilik motosikal untuk melakukan proses ubah suai secara haram.

Jelasnya, antara kesalahan yang dikesan dilakukan pemilik bengkel itu ialah mengubah tayar standard kepada tayar ‘sotong’; mengubah ekzos; memasang alat mengawal kelajuan; mengubah sistem enjin, mengubah ‘swing arm’ dan banyak lagi.

”Kita mendapati pengubahsuaian yang dilakukan di bengkel motosikal ini mungkin untuk meningkatkan kelajuan motosikal bagi berlumba secara haram.

“Pemilik bengkel ini juga menjual aksesori motosikal yang diimport yang mempunyai potensi digunakan untuk melakukan proses ubah suai motosikal secara haram.

”Harga yang ditawarkan untuk pemilik motosikal melakukan proses ubah suai pula sekitar RM400 dan terdapat 14 motosikal di bengkel ini yang sedang diubah suai ketika serbuan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Ops Bengkel itu hari ni.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, secara keseluruhan, sebanyak 66 notis saman melibatkan 30 kesalahan dikeluarkan terhadap lima bengkel motosikal di daerah Barat Daya dan Timur Laut sepanjang Ops Bengkel itu.

Katanya, Ops Bengkel itu turut dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

”Pemilik bengkel motosikal diberikan peluang untuk memperbetulkan semula motosikal yang diubah suai dalam tempoh 10 hari.

”Kita juga arahkan pemilik bengkel menghentikan proses ubah suai motosikal secara haram bagi memastikan aktiviti lumba haram tidak berlaku,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here