Category: Politik

  • Abu Hafiz letak jawatan Ketua Pemuda Pejuang

    Abu Hafiz letak jawatan Ketua Pemuda Pejuang

    KETUA Pemuda Pejuang, Abu Hafiz Salleh Hudin mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa, hari ini.

    Keputusan itu kata Abu Hafiz dibuat setelah mengambil kira pelbagai timbangan termasuk rasa tanggungjawab terhadap prestasi parti itu pada PRU15.

    “Semoga kepimpinan baru mampu mengemudi sayap pemuda Pejuang dengan lebih baik dan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini lapor Free Malayasia Today.

    Abu Hafiz turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan utama Pejuang khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memberi kepercayaan kepadanya menggalas amanah berkenaan selama ini.

    PRU-15 menyaksikan Pejuang tewas di kesemua 121 kerusi ditandingi termasuk pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad, yang hilang deposit di Langkawi.

    Selain Mahathir, presiden Pejuang yang juga anaknya, Mukhriz, dan timbalan presidennya, Marzuki Yahya, masing-masing hilang deposit di Jerlun dan Sungai Petani.

    Pejuang membentuk Gerakan Tanah Air (GTA) bersama Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), NGO, ahli akademik serta profesional.

    Pada PRU15, calon GTA bertanding menggunakan logo Pejuang kecuali di Kelantan yang menggunakan logo Putra.

  • PN N.Sembilan sasar menang 19 kerusi DUN

    PN N.Sembilan sasar menang 19 kerusi DUN

    PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 19 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekali gus membolehkan PN membentuk kerajaan negeri.

    Pengerusinya Datuk Eddin Syazlee Shith berkata meskipun bukan perkara mudah, dengan usaha barisan kepimpinan yang komited selain kemenangan di kerusi Parlimen Padang Serai kepada PN baru-baru ini memberi isyarat bahawa perkara itu tidak mustahil untuk dicapai.

    “Kita sasar lebih kurang dua hingga tiga kerusi di setiap Parlimen di negeri ini, ia bukan tanggungjawab mudah tapi dalam tempoh yang ada ini kita gunakan sebaik mungkin untuk perbetulkan keadaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

    “Insya-Allah, banyak kita belajar daripada PRU15, saya harap kita kekalkan momentum supaya PRN kali ini kita lebih bersedia berdepan parti lawan selain tumpuan kepada pengundi muda yang beri sokongan kepada PN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Malam Apresiasi Jentera PN di sini malam tadi.

    Beliau berkata peluang PN untuk mendominasi Negeri Sembilan juga besar berdasarkan perkembangan terkini dalam negara serta perancangan teliti dan sistematik jentera parti.

    DUN Negeri Sembilan ketika ini diwakili 20 ahli Pakatan Harapan dan 16 Barisan Nasional daripada keseluruhan 36 kerusi pada PRU14. – BERNAMA

  • [TIDAK RASMI] PN mendahului di Padang Serai, BN pula di DUN Tioman

    [TIDAK RASMI] PN mendahului di Padang Serai, BN pula di DUN Tioman

    PERIKATAN Nasional (PN) sedang mendahului di Parlimen (P107) Padang Serai dengan memperolehi 16,594 undi setakat 8.20 malam.

    Lapor Astro Awani, Barisan Nasional (BN) pula mendahului di Tioman (N42) dengan memperolehi 7,714 undian, juga setakat 8.20 malam.

  • Calon PN diberi dana tapi bukan daripada syarikat judi – Hamzah

    Calon PN diberi dana tapi bukan daripada syarikat judi – Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mengakui bahawa calon yang mewakili gabungan itu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diberikan dana untuk tujuan kempen, namun menafikan ia datang dari syarikat perjudian.

    Beliau berkata, gabungan itu hanya memberikan RM50,000 kepada setiap calon yang bertanding di bawah tiket PN pada PRU15.

    “Mereka bimbang dengan apa yang berlaku ketika pilihan raya baru-baru ini, oleh itu Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) mendakwa untuk kempen, PN menerima jutaan ringgit dana daripada ‘tauke’ judi.

    “Ya, benar kami berikan dana. Saya Setiausaha Agung PN dan ada ramai calon di depan saya…kami hanya memberikan RM50,000 untuk setiap calon.

    “Jika saya ada duit daripada kaki judi, saya rasa (PN) bukan sahaja menang 73 kerusi, (malah) 30 (kerusi) BN juga kita sapu habis.

    “Namun kerana kami tidak mempunyai wang mencukupi, sebab itulah kita tak dapat menang banyak,” katanya dalam satu ceramah ketika berkempen untuk PRU-15 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di sini, malam tadi.

    Semalam, Anwar ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya membayangkan dana kempen pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas judi.

    Pada sidang media sama, Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan keputusan kerajaan sebelum ini yang meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan daripada lapan kepada 22 kali setahun berkuat kuasa 1 Januari depan.

    Sementara itu, Hamzah mengingatkan Anwar bahawa Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik membarisi senarai Kabinet Kerajaan Perpaduan kini, adalah Menteri Kewangan ketika Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri.

    Beliau berkata, keputusan berkaitan cabutan khas syarikat perjudian diputuskan Menteri Kewangan dan Tengku Zafrul harus menjawabnya.

    “Beliau (Anwar) berkata ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini terdapat 22 cabutan khas. Siapa Menteri Kewangan? (Jawapannya) Tengku Zafrul (dan) anda kena tanya Tengku Zafrul.

    “Hari ini (semalam) ketika mesyuarat Kabinet diadakan beliau (Anwar) mengumumkan 22 cabutan khas dikurangkan kepada lapan, jadi apa maksudnya?

    “Ini hanya menunjukkan Menteri Kewangan ada kuasa dan dalam perkara berkenaan perjudian hanya Menteri Kewangan berkuasa dan anda perlu tanya Tengku Zafrul,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Hanya Pas serius hapuskan judi hingga diakui DAP – Ahmad Fadhli

    Hanya Pas serius hapuskan judi hingga diakui DAP – Ahmad Fadhli

    HANYA Pas yang serius menghapuskan judi di negara ini seperti mana yang berlaku di tiga negeri yang ditadbir parti itu di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kesungguhan Pas itu tidak terhad hanya sekadar untuk menurunkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan malah usaha itu turut diakui ahli Parlimen DAP, Khoo Poay Tiong semasa kempen pilihan raya negeri Melaka.

    Menurutnya, langkah itu juga mungkin diperluaskan ke negeri baharu dikuasai parti tersebut iaitu Perlis.

    “Hakikatnya, hanya Pas yang serius hapuskan judi, bukan sekadar turunkan bilangan cabutan.

    “Ini berlaku di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Insya-Allah Perlis.

    “Ini fakta yang diakui sendiri oleh MP DAP dalam kempen (pilihan raya negeri) di Melaka, takkanlah MP DAP nak bohong pulak ya,” katanya menerusi satu kenyataan malam ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, semasa cabutan judi dinaikkan ke 22 kali setahun, setiap wakil rakyat Pas yang berbahas di dalam Parlimen menentang langkah berkenaan.

    Tegasnya, beliau sendiri tidak terkecuali tampil bersuara pada setiap kali sidang dewan.

    “Tapi apakan daya, Menteri Kewangan pada masa itu tidak memberikan apa-apa respon. Kenapa ia berlaku demikian? Kena tanyalah Menteri Kewangan yang kini sudah menjadi menteri kerajaan campuran PH-BN,” tambahnya.

    Kenyataan beliau dipercayai merujuk keputusan kerajaan membatalkan keputusan kerajaan sebelum ini yang meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan daripada lapan kepada 22 kali setahun.

    Mulai 1 Januari depan, cabutan khas berkenaan akan kembali kepada lapan kali.

  • Jeffrey sahkan STAR tinggalkan PN

    Jeffrey sahkan STAR tinggalkan PN

    PRESIDEN Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Jeffrey Kitingan mengesahkan parti pimpinannya telah keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

    Beliau yang sebelum ini berkias mengenai perkara itu berkata, STAR dan PN kini sudah tidak lagi sehaluan selepas gabungan yang disertai oleh parti itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengisytiharkan sokongan terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH).

    Menurutnya, pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat.

    “Ya (sah keluar PN). Kita tunggu sajalah ada pengumunan.

    “Sebab kalau saya pergi sini, kau pergi sana bererti kita tidak sehaluanlah tu”, ujar Jeffrey ringkas hari ini lapor Astro Awani.

    Beliau ditemui media Bangunan Yayasan Sabah, Kota Kinabalu selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Institut Pertanian Sabah (IPS) Timbang Menggaris Ke-50 dan Pusat Latihan Vokasional Pertanian (AVTC) Lahad Datu kali ke-37 dan 38 tahun hari ini.

    Kenyataan tersebut sekali gus menyaksikan STAR tidak lagi terikat dengan PN selepas menyertai gabungan itu selama 26 bulan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada September 2020.

    Jeffrey di dalam kenyataan beliau sebelum ini menyifatkan hubungan STAR dengan PN seperti ‘sudah bercerai’ kerana sudah tidak lagi sehaluan selepas parti itu bersepakat dengan parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memberikan sokongan terhadap kerajaan baharu yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 November lalu.

    Keputusan keluar daripada PN itu juga menurut Jeffrey telah dibincangkan di dalam Biro Politik STAR dan pengumuman berkaitan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

  • Masa terbaik Kedah, Kelantan dan Terengganu adakan PRN

    Masa terbaik Kedah, Kelantan dan Terengganu adakan PRN

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu boleh memikirkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan segera selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Padang Serai dan Tioman.

    Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ketika ini adalah waktu terbaik kepada gabungan itu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) hasil gelombang rakyat yang menyokong mereka.

    Katanya, perkembangan semasa itu juga ditambah dengan kemarahan rakyat terhadap pelantikan barisan menteri Kabinet baru-baru ini.

    “Rakyat menunjukkan rasa marah kepada Kabinet dan marah kepada UMNO. Orang MIC, India pun banyak yang turut marah kerana tidak diberi pengiktirafan (tiada wakil MIC dalam Kabinet).

    “Jadi saya percaya Kedah, Kelantan dan Terengganu ini masa terbaik diadakan PRN selepas selesai pilihan raya di Padang Serai dan Tioman,” katanya selepas program Flash Mob PN di Lunas, di Kulim.

    Shahidan menaruh keyakinan sekiranya PRN dapat diadakan segera khususnya di Kedah, PN mampu menyapu bersih kesemua 36 kerusi DUN sekali gus mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri.

    “Pernah berlaku di zaman Rasullah selepas habis berlaku peperangan, Rasullah tidak benarkan askar-askar balik ke rumah sebaliknya terus berperang dengan orang-orang Yahudi.

    “Jadi selepas pilihan raya ini saya ingat askar-askar kami pun tak balik lagi, khemah-khemah perpaduan ummah kami ada di sini terus dengan PRN saya rasa di Kedah macam di Perlis PN akan sapu bersih,” katanya.

  • PN janji laksana empat kriteria sebagai pembangkang efektif

    PN janji laksana empat kriteria sebagai pembangkang efektif

    PERIKATAN Nasional (PN) menjanjikan empat kriteria yang diutamakan sebagai pembangkang melalui pendekatan konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia.

    Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, empat kriteria yang PN janjikan kepada rakyat adalah penting demi kepercayaan yang diberikan kepada parti itu.

    Menurutnya, janji itu akan ditunaikan melalui perbahasan yang lebih efektif, membina, membangun dasar yang menguntungkan rakyat dan mestilah jujur dalam tanggungjawab sebagai suara rakyat.

    “Dalam perbahasan Dewan Negara sebelum ini, PN ada kemukakan hujah sekiranya kita ingin mewujudkan kerjasama yang baik di antara kerajaan dan pembangkang, perkara asas yang perlu diutamakan ialah pemberian peruntukan Ahli Parlimen mestilah sama rata secara keseluruhannya.

    “Perkara ini juga termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang kini menerajui Kerajaan Perpaduan.

    “Kami melihat bahawa hubungan simbiotik antara pembangkang dan kerajaan perlu dilaksanakan dengan telus tanpa syarat seperti yang diamalkan ketika pemerintahan kerajaan PN dan kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya melalui kenyataan hari ini.

    Khairil Nizam berkata, Agenda Transformasi Institusi Parlimen wajib diutamakan seperti pemerkasaan Jawatankuasa kira-Kira Wang Negara (PAC) dan jawatankuasa lain bagi memastikan setiap perjalanan kerajaan berasaskan integriti dan kepentingan rakyat, menolak budaya rasuah, kronisme dan monopoli.

    “PN akan memastikan empat pendekatan ini dilaksanakan dengan efektif untuk kami memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan dan menguntungkan rakyat serta negara.

    “Kita semua mengimpikan kerajaan yang tidak mengungkit dendam dan sengketa lama, tetapi terus fokus dalam agenda membantu rakyat mendepani kemelut ekonomi dan sosial yang semakin membimbangkan,” katanya.

  • UMNO sudah dikuasai DAP, dakwa Pas

    UMNO sudah dikuasai DAP, dakwa Pas

    DAP didakwa telah benar-benar menguasai UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menerusi satu kenyataan Pas mendakwa, UMNO bagaimanapun dilihat cuba menyembunyikan pengaruh DAP itu dengan menjulang tinggi Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Dakwa Pas lagi, UMNO yang mempunyai pilihan untuk bersama rakan Muafakat Nasional, Pas ternyata tewas dengan ‘ketakutan’ kes-kes mahkamah pimpinan nombor satu parti tersebut serta godaan jawatan daripada prinsip perjuangan parti.

    “PKR yang merupakan parti serpihan UMNO pun sudah menjadi ‘ketua’ kepada mereka, apatah lagi DAP yang memegang kerusi terbanyak dalam pakatan itu.

    “Pilihan sudah dibuat, jawatan sudah ditawarkan, mahu tidak mahu UMNO sekarang perlu bersedia menerima dan memenuhi kehendak DAP yang dominan dalam PH,” katanya hari ini.

    Pada PRU lepas, UMNO hanya mempunyai 26 kerusi, PKR 31 kerusi manakala DAP memegang 40 kerusi.

    Mengulas lanjut Pas mendakwa, penguasaan DAP juga dibuktikan apabila penyokong akar umbi UMNO kini terpaksa patuh agar jangan mengusik DAP lagi.

    Katanya, mungkin ahli UMNO juga perlu belajar untuk terima bahawa komunis adalah pahlawan negara seperti yang dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin DAP.

    “UMNO yang dahulunya memperjuangkan kemerdekaan kini terpaksa membantu DAP untuk menulis semula sejarah kemerdekaan negara ini,” tambah kenyataan itu lagi.

  • Sokongan pengundi Melayu merosot, BN sudah hilang taring

    Sokongan pengundi Melayu merosot, BN sudah hilang taring

    BARISAN Nasional (BN) yang dahulunya dominan sudah “hilang taring” susulan sokongan majoriti pengundi Melayu terhadap gabungan itu yang semakin merosot sejak tiga pilihan raya umum (PRU) lalu.

    Pas menerusi satu kenyataan berkata, BN hanya mampu meraih 33 peratus undi Melayu pada PRU-15, menurun berbanding 62 peratus pada PRU-13 dan 43 peratus pada PRU-14.

    “Bukti apa lagi yang BN mahu lihat betapa perjuangan mereka hari ini tidak ada tempat di hati rakyat, terutama orang Melayu.

    “BN sudah hilang taring mereka yang mungkin sudah sekian lama tumpul kerana masalah moral pimpinan dan hala tuju perjuangan parti.

    “Makin terhina apabila saat jatuh tersungkur menghulur tangan mengharapkan ihsan dan simpati namun saat diberi peluang hidung meninggi rasa diangkat lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

    Pas berkata, PRU-15 menjadi gelombang tsunami Melayu berpaling kepada Perikatan Nasional (PN) yang meraih 54 peratus undi golongan itu berbanding 11 peratus undi yang diperolehi Pakatan Harapan (PH).

    Katanya, BN sepatutnya menggunakan keputusan PRU-15, di mana ia memenangi 30 daripada 221 kerusi Parlimen, untuk bermuhasabah dan memperbaiki gabungan itu.

    Namun dakwanya, gabungan itu semakin terserlah “mabuk kuasa” dan pentingkan diri.

    “Rakyat tidak akan menghinakan diri bersama pimpinan dan parti penuh keladak yang hidup segan, mati tak mahu ini.

    “Jika UMNO dan BN tetap tidak berubah, BN hanya mampu menjadi laksana melukut di tepi gantang PH. Masuk tak penuh, keluar tak kurang.”

    PRU-15 pada bulan lalu berakhir dengan Parlimen tergantung buat julung kali dalam sejarah negara, dengan PH memenangi 82 kerusi dan PN menguasai 73 kerusi.