DAP didakwa telah benar-benar menguasai UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menerusi satu kenyataan Pas mendakwa, UMNO bagaimanapun dilihat cuba menyembunyikan pengaruh DAP itu dengan menjulang tinggi Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwa Pas lagi, UMNO yang mempunyai pilihan untuk bersama rakan Muafakat Nasional, Pas ternyata tewas dengan ‘ketakutan’ kes-kes mahkamah pimpinan nombor satu parti tersebut serta godaan jawatan daripada prinsip perjuangan parti.

“PKR yang merupakan parti serpihan UMNO pun sudah menjadi ‘ketua’ kepada mereka, apatah lagi DAP yang memegang kerusi terbanyak dalam pakatan itu.

“Pilihan sudah dibuat, jawatan sudah ditawarkan, mahu tidak mahu UMNO sekarang perlu bersedia menerima dan memenuhi kehendak DAP yang dominan dalam PH,” katanya hari ini.

Pada PRU lepas, UMNO hanya mempunyai 26 kerusi, PKR 31 kerusi manakala DAP memegang 40 kerusi.

Mengulas lanjut Pas mendakwa, penguasaan DAP juga dibuktikan apabila penyokong akar umbi UMNO kini terpaksa patuh agar jangan mengusik DAP lagi.

Katanya, mungkin ahli UMNO juga perlu belajar untuk terima bahawa komunis adalah pahlawan negara seperti yang dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin DAP.

“UMNO yang dahulunya memperjuangkan kemerdekaan kini terpaksa membantu DAP untuk menulis semula sejarah kemerdekaan negara ini,” tambah kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here