BARISAN Nasional (BN) yang dahulunya dominan sudah “hilang taring” susulan sokongan majoriti pengundi Melayu terhadap gabungan itu yang semakin merosot sejak tiga pilihan raya umum (PRU) lalu.

Pas menerusi satu kenyataan berkata, BN hanya mampu meraih 33 peratus undi Melayu pada PRU-15, menurun berbanding 62 peratus pada PRU-13 dan 43 peratus pada PRU-14.

“Bukti apa lagi yang BN mahu lihat betapa perjuangan mereka hari ini tidak ada tempat di hati rakyat, terutama orang Melayu.

“BN sudah hilang taring mereka yang mungkin sudah sekian lama tumpul kerana masalah moral pimpinan dan hala tuju perjuangan parti.

“Makin terhina apabila saat jatuh tersungkur menghulur tangan mengharapkan ihsan dan simpati namun saat diberi peluang hidung meninggi rasa diangkat lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Pas berkata, PRU-15 menjadi gelombang tsunami Melayu berpaling kepada Perikatan Nasional (PN) yang meraih 54 peratus undi golongan itu berbanding 11 peratus undi yang diperolehi Pakatan Harapan (PH).

Katanya, BN sepatutnya menggunakan keputusan PRU-15, di mana ia memenangi 30 daripada 221 kerusi Parlimen, untuk bermuhasabah dan memperbaiki gabungan itu.

Namun dakwanya, gabungan itu semakin terserlah “mabuk kuasa” dan pentingkan diri.

“Rakyat tidak akan menghinakan diri bersama pimpinan dan parti penuh keladak yang hidup segan, mati tak mahu ini.

“Jika UMNO dan BN tetap tidak berubah, BN hanya mampu menjadi laksana melukut di tepi gantang PH. Masuk tak penuh, keluar tak kurang.”

PRU-15 pada bulan lalu berakhir dengan Parlimen tergantung buat julung kali dalam sejarah negara, dengan PH memenangi 82 kerusi dan PN menguasai 73 kerusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here