Category: Politik

  • Azlan Man gagal pertahan jawatan ketua UMNO bahagian

    Azlan Man gagal pertahan jawatan ketua UMNO bahagian

    BEKAS Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kangar, yang disandangnya sejak 2014 pada saingan Pemilihan UMNO yang berakhir, semalam.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu, tewas kepada bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

    Fathul Bari yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kangar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lepas berjaya memperoleh 368 undi, untuk mengatasi Azlan yang hanya memperoleh 179 undi.

    Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian serta Ahli MT bagi penggal 2023-2026 yang berakhir semalam, melibatkan 189 daripada keseluruhan 191 bahagian di seluruh negara.

    Ketika ini keputusan penuh masih belum diumumkan.

    Sementara itu di Melaka, Persidangan Perwakilan Bahagian Tangga Batu turut menyaksikan kejutan apabila penyandang Ketua UMNO Bahagian yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, tewas tipis dengan empat undi kepada Datuk Rais Yasin.

    Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, melakar kemenangan apabila memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali yang mendapat 278 undi.

    Sementara itu, Dr Muhamad Akmal Saleh yang pada Sabtu lepas menang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, diumumkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Jasin yang baharu.

    Berdepan saingan empat penjuru, ADUN Merlimau itu juga melakar sejarah apabila menjadi pemimpin paling muda pada usia 35 tahun memegang jawatan tersebut, selepas menewaskan penyandangnya Datuk Hasan Rahman dengan meraih 340 undi berbanding 194 undi.

    Dua lagi calon yang tewas adalah ADUN Serkam yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan (151 undi) dan bekas Bendahari Bahagian Datuk Mohd Yusof Osman (21 undi).

  • Tengku Zafrul menang tanpa bertanding di Kota Raja

    Tengku Zafrul menang tanpa bertanding di Kota Raja

    SEANTOR Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Kota Raja, menurut keputusan tidak rasmi pemilihan parti itu yang diumumkan UMNO Online malam tadi.

    MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut menyertai persaingan untuk keanggotan Majlis Kerja Tertinggi UMNO, bagi penggal 2023-2026

    Tengku Zafrul yang kini dalam pentadbiran kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dipelawa menyertai UMNO Kota Raja pada Januari lepas.

    Nama beliau juga disebut-sebut sebagai calon PRN Selangor, lapor FMT.

  • (Kemas kini) Wan Rosdy, Khaled dan Johari menang jawatan Naib Presiden UMNO

    (Kemas kini) Wan Rosdy, Khaled dan Johari menang jawatan Naib Presiden UMNO

    MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berjaya memenangi jawatan Naib Presiden UMNO.

    Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Wan Rosdy yang juga Ketua UMNO Pahang memperoleh undi 116 bahagian manakala Khaled dan Johari masing-masing mendapat 104 dan 96 undi bahagian.

    Berdasarkan jumlah undi sehingga pukul 9.30 pagi ini, tiga calon berkenaan berjaya memperoleh undi melepasi separuh daripada 189 bahagian UMNO yang bersidang semalam, lapor Malaysiakini.

    Secara keseluruhannya UMNO mempunyai 191 bahagian, namun dua bahagian digantung daripada mengadakan persidangan dan pemilihan.

    Keputusan itu juga menyaksikan buat pertama kali Wan Rosdy dan Johari berjaya memegang jawatan berkenaan, manakala Khaled mempertahankan kerusi dimenanginya itu sebelum ini.

    Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang menjadi calon tunggal wanita gagal untuk mencipta kemenangan apabila berada di tangga keempat.

    Antara calon yang turut bersaing bagi jawatan naib presiden ialah penyandang jawatan, Mahdzir Khalid, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad.

    Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pula tidak dipertandingkan kali ini susulan ketetapan yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 lalu.

    Keputusan rasmi pemilihan akan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad selepas selesai proses perkiraan undi dan penelitian dijalankan.

  • Kelemahan PH-BN sendiri jadi punca penolakan PRN kali ini

    Kelemahan PH-BN sendiri jadi punca penolakan PRN kali ini

    Oleh MOHD. AZAM MOHD. ATAN

    NAMPAK begitu ketara musuh Perikatan Nasional (PN) bimbang dengan gelombang sokongan terhadap gabungan itu yang memuncak semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berterusan dan makin meningkat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri.

    Maka tidak hairanlah muncul pelbagai dakwaan untuk menafikan sokongan rakyat yang boleh diterjemahkan di peti undi PRN Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor dalam beberapa bulan lagi.

    Dakwaan paling tidak berasas ialah dengan mendakwa bahawa akan berlaku pemindahan pengundi penyokong PN ke negeri Selangor dan kononnya dengan tindakan itu, Selangor yang kini ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) boleh ditumbangkan.

    Mereka mendakwa, individu yang pernah mengundi di negeri yang tidak terlibat PRN akan ditukarkan ke negeri-negeri PH supaya dapat mengundi sekali lagi.

    Dakwaan itu ditimbulkan bekas calon PH bagi kerusi Parlimen Sungai Besar pada PRU15 lalu, Saipolyazan M. Yusop menerusi Twitter beliau.

    Ia kemudiannya dinafikan Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir yang menyifatkan kenyataan itu tidak berasas dan hanya cakap kosong yang jelas menunjukkan mereka gementar dengan sokongan rakyat terhadap PN.

    Kes-kes pendakwaan terhadap pemimpin Bersatu yang dihadapi oleh Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yasin dan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan juga tidak akan dapat mengubah pendirian rakyat yang terus kekal bersama PN.

    Bagi penulis sendiri, walau apa pun dakwaan dan kes mahkamah melibatkan pimpinan PN, ia tidak akan dapat mengubah pendirian pengundi yang sudah tekad untuk menyatakan pendirian mereka di peti undi PRN enam negeri.

    Walaupun ia hanya melibatkan enam negeri, ia adalah simbolik penolakan dan protes terhadap pemerintahan kerajaan ketika ini yang tidak menunjukkan prestasi diharapkan dalam mentadbir negara dan menangani isu kos sara hidup.

    Lagi satu, penulis melihat kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam Kongres Khas PKR semalam bahawa PN tidak mampu menawan negeri pimpinan gabungan PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sebagai reaksi untuk ‘menyedapkan hati’.

    Rafizi terpaksa berkata demikian sedangkan realiti sebenar gelombang kebangkitan ketika ini boleh menggugat kerajaan negeri di tiga negeri itu, lebih-lebih lagi respons yang ditonjolkan anak muda di peringkat akar umbi menunjukkan betapa kukuhnya sokongan terhadap PN.

    Anak-anak muda sebenarnya sudah muak dengan kepimpinan sedia ada dan mahukan perubahan ke arah lebih baik kerana dalam tempoh beberapa penggal di bawah PH, banyak isu-isu di peringkat negeri yang tidak ditangani dengan baik.

    Ditambah pula dengan prestasi semasa kerajaan pusat yang lemah, maka ia akan menjadi faktor penolakan yang kuat terhadap kerajaan gabungan PH-BN yang pada ketika ini dilihat tidak menunjukkan minat untuk menunaikan janji-janji dalam manifesto yang pernah ditabur sebelum PRU15.

    Kerajaan PH-BN jarang mengulas mengenai keperluan untuk menunaikan janji-janji berkenaan dan makin parah apabila dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan baru-baru ini, tiada insentif menarik ditawarkan kepada rakyat.

    Makin mengecewakan, masalah-masalah sedia ada masih gagal ditangani dengan sempurna dan pada masa sama ungkapan ‘spin’ atau ‘putar alam’ meniti di bibir pemimpin kerajaan bagi menafikan permintaan rakyat.

    Banyak lagi kelemahan PH-BN yang boleh dikaitkan untuk menjadi faktor kuat penolakan pengundi pada PRN yang dijangka diadakan pada Julai depan.

    Kesimpulannya, selain daripada gelombang kebangkitan rakyat untuk menyokong PN pada PRN kali ini, faktor kelemahan ditonjolkan kerajaan PH-BN juga menjadi sebab bahawa gabungan itu akan ditolak dengan lebih kuat pada kali ini.

    Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi

  • Ahmad Bashah, Nazifuddin Najib menang Ketua UMNO Alor Setar dan Langkawi

    Ahmad Bashah, Nazifuddin Najib menang Ketua UMNO Alor Setar dan Langkawi

    Oleh BADLISHAH MAT

    PEMIMPIN veteran UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang juga bekas Menteri Besar Kedah kembali dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Alor Setar mengalahkan calon jauh lebih muda pada pemilihan parti itu hari ini.

    Ahmad Bashah, 73, meraih 306 undi daripada perwakilan bahagian itu berbanding 141 undi yang diterima lawannya, Zambri Mat, 44.

    Zambri sebelum ini merupakan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Setar menggantikan Datuk Mohd. Yusof Ismail yang digantung parti itu selama enam tahun.

    Sementara itu, keputusan tidak rasmi menyaksikan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Mohd. Nazifuddin pula menang bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi.

    Mohd. Nazifuddin yang baru berusia 39 tahun menjadi ketua bahagian termuda di Kedah setelah mengalahkan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan.

    Dalam pada itu, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum yang pernah menyandang Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu gagal dalam percubaannya untuk kembali menduduki jawatan itu.

    Beliau ditewaskan oleh Datuk Aminuddin Omar yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu dalam penggal sebelum ini.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula tidak berdepan masalah mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Jerai dalam saingan empat penjuru di bahagian itu menerusi keputusan tidak rasmi yang diperolehi.

    Sementara itu, antara yang dipercayai turut mengekalkan jawatan ketua bahagian ialau Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling); Datuk Muhar Hussain (Kulim Bandar Baharu); Datuk Suraya Yaacob (Pendang) dan Datuk Syed Ali Syed Rastan (Pokok Sena).

    Bagi Bahagian Kuala Kedah pula, Naib Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Abdul Muthalib Harun berjaya menewaskan Dr. Zaki Zamani Abd. Rashid serta dua calon lain.

    Manakala calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid sudah diumumkan menang tanpa bertanding di Bahagian Padang Terap, sebelum ini.

  • Hasrat Lokman Adam rebut jawatan Ketua UMNO Sri Gading tak kesampaian

    Hasrat Lokman Adam rebut jawatan Ketua UMNO Sri Gading tak kesampaian

    HASRAT Datuk Lokman Noor Adam merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading tidak kesampaian apabila tewas kepada pesaingnya dalam pemilihan UMNO hari ini.

    Lapor Berita Harian, Lokman yang kembali menyertai UMNO selepas dipecat tiga tahun lalu turut bertanding bagi jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tewas kepada saingannya, Datuk Lassim Burhan.

    Difahamkan, Lassim berjaya memperoleh 333 undi, manakala Lokman hanya memperoleh 169 undi perwakilan, sekali gus gagal dalam usaha merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading.

    Pada pemilihan kali ini, penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Ali Sheikh Ahmad, memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan itu yang dimenanginya pada 2018, akibat masalah kesihatan.

    Ini adalah percubaan kedua Lokman untuk masuk ke dalam barisan kepimpinan UMNO Bahagian Sri Gading, selepas pernah bertanding merebut jawatan Naib Ketua Bahagian pada 2018, namun tewas ketika itu.

    Bagaimanapun, beliau berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Cawangan Bandar Sri Gading dalam pemilihan kali ini.

    Sementara itu, keputusan semasa pemilihan bagi jawatan MKT UMNO menyaksikan Lokman berada di kedudukan ke-26 daripada 95 calon, selepas hanya meraih empat undi setakat ini.

    Hanya 25 calon yang mendapat undi terbanyak akan mengisi jawatan MKT UMNO.

    Pada 7 Februari 2020, Lokman yang ketika itu memegang jawatan Ahli MKT UMNO dilaporkan dipecat daripada UMNO selepas disiasat atas dakwaan melanggar disiplin parti.

    Bagaimanapun, mesyuarat MKT UMNO pada 16 Februari lalu memutuskan untuk membatalkan pemecatan Lukman, sekali gus beliau kembali menyertai UMNO.

  • BN-PH Pulau Pinang bincang PRN selepas pemilihan parti

    BN-PH Pulau Pinang bincang PRN selepas pemilihan parti

    UMNO Pulau Pinang akan mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) negeri itu bagi membincangkan gerak kerja dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaik sahaja pemilihan parti tersebut di peringkat Bahagian dan Pusat selesai.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, buat masa ini, Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang belum mengadakan pertemuan rasmi dengan PH meskipun kedua-dua parti telah mendapat arahan rasmi untuk memulakan rundingan daripada Pusat.

    Ujar beliau, meskipun kedua-dua parti bakal mengadakan kerjasama dalam PRN negeri itu kelak, namun ia adalah atas dasar Kerajaan Perpaduan yang terbina ketika ini dan BN tetap akan bertanding atas tiket serta logo parti itu sendiri.

    “Arahan sudah ada untuk kita bincang bersama PH Pulau Pinang dan kita akan bincang berkenaan pengagihan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu terlebih dahulu khususnya dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

    “Berkenaan perkara lain (termasuk pengahihan baki kerusi DUN melibatkan kedua-dua parti komponen BN dan PH) akan dibincang pada pertemuan seterusnya,” katanya.

    Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian itu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam pada itu, ditanya berhubung penerimaan pengundi terhadap kerjasama pertama kali BN dan PH pada PRN Pulau Pinang kelak, Musa berkata, kerjasama kedua-dua parti tersebut hanyalah bermatlamat untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan yang stabil dari sudut ekonomi dan politik dalam negara.

    “Tentang parti, kita tidak bergabung dengan PH, cuma soal kerjasama untuk berdepan pilihan raya itu memang ada.

    “Kita akan bertolak ansur, yang mana kerusi PH bertanding kita tidak akan bertanding, kita pun berharap mana-mana kerusi yang kita tanding, PH tidak akan bertanding.

    “Sebab kalau kita mahu lawan tiga penjuru sudah pasti kita (PH dan BN) akan kalah. Jadi kerjasama ini lebih kepada tolak ansur sebab kita mahu tubuh Kerajaan Perpaduan,” katanya.

  • Ku Li sukar digugat, kekal terajui UMNO Bahagian Gua Musang

    Ku Li sukar digugat, kekal terajui UMNO Bahagian Gua Musang

    TENGKU Razaleigh Hamzah atau Ku Li membuktikan beliau masih belum hilang pengaruh apabila perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang terus memberi kepercayaan kepada beliau menerajui pentadbiran kawasan itu.

    Pada Pemilihan UMNO Bahagian Gua Musang itu, Ku Li mendapat 453 undi untuk meninggalkan jauh dua pencabarnya, Che Mohd Izani Che Musa dan Datuk Saari Lembut.

    Memetik laporan Sinar Harian, Che Mohd Izani memperoleh 46 undian, manakala Saari lima undi.

    Ini merupakan kali kedua Ku Li dicabar sejak memimpin UMNO Bahagian Gua Musang selama 64 tahun.

    Kali pertama Ku Li dicabar oleh bekas Ketua Pemuda ketika itu, Datuk Bazlan Baharuddin pada pemilihan UMNO Bahagian Gua Musang 2013.

    Kemenangan itu menyaksikan Ku Li mengekalkan jawatan dan menjadi Ketua UMNO bahagian paling lama berkhidmat di negara ini.

    Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hasyim ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

    Katanya, kemenangan besar memberi isyarat Ku Li masih relevan memimpin UMNO Bahagian Gua Musang.

  • Ahli Parlimen Putatan digantung keahlian UMNO 6 tahun

    Ahli Parlimen Putatan digantung keahlian UMNO 6 tahun

    UMNO bertindak menggantung keahlian Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmy Yahya dalam parti itu selama enam tahun.

    Memetik laporan Astro AWANI, difahamkan, beliau dikenakan tindakan berkenaan selepas dipercayai membelakangkan keputusan parti dengan tidak menyokong keputusan UMNO Sabah sebelum ini.

    Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengesahkan perkara berkenaan dalam satu sidang media di Sandakan, hari ini.

    “Well… dia kena gantung enam tahun,” katanya ringkas.

    Sebelum ini, Shahelmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, bersama empat lagi ADUN yang bertanding menggunakan tiket UMNO ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, bertindak kekal menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

    Shahelmy bersama empat ADUN itu tidak menyokong keputusan UMNO Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji.

    Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmy Yahya, digantung, UMNO,

  • “Sombong!”, Tajuddin kesal dihalang masuk Mesyuarat Perwakilan UMNO

    “Sombong!”, Tajuddin kesal dihalang masuk Mesyuarat Perwakilan UMNO

    MESYUARAT Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak kecoh selepas Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dihalang daripada memasuki Dewan Besar Bandar Baru Felda Seberang Perak di Pasir Salak, hari ini.

    Memetik laporan Astro AWANI, difahamkan Tajuddin yang juga bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu tidak dibenarkan masuk atas sebab keanggotaannya sebagai ahli parti berkenaan digantung.

    Bekas Ketua UMNO Bahagian itu terdahulu hadir sekitar pukul 9.50 pagi sebelum dihalang oleh petugas keselamatan di pintu pagar utama dewan tersebut.

    Sementara itu, ketika dihubungi Tajuddin menzahirkan kekesalan kerana tidak dibenarkan untuk mengikuti perjalanan mesyuarat berkenaan.
    Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut menyifatkan kejadian itu sebagai ‘sombong’ dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

    “Saya sayang UMNO, saya setia. 50 tahun dalam UMNO.

    “Sombong! Mantan KB (ketua bahagian) pun dihalang masuk. Tidak pernah berlaku, tiada alasan diberikan mereka,” dakwanya ketika dihubungi hari ini.

    Pada pemilihan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, anak sulung beliau, Dr Faizal Tajuddin bertanding menentang bekas pemangku ketua bahagian itu, Khairul Azwan Harun.

    Minggu lalu, anak perempuan Tajuddin, Datin Sri Rahayu dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak baharu menewaskan penyandangnya, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

    Oktober lalu, media melaporkan Tajuddin digantung keahliannya selama enam tahun selain dipecat daripada MKT UMNO.