PEMIMPIN parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang baru setahun jagung, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara terbuka mengecam keputusan Pakatan Harapan (PH) menerima dua daripada empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang berpaling tadah.
Ahli Parlimen Muar itu tidak bersetuju dengan pengumuman Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin menerima bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
Malah, Syed Saddiq mengungkit bahawa beliau menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri dari PH.
“Di sebalik segala yang kita lalui bersama, nampaknya gabungan PH yang saya bekerjasama dengan rapat lebih gemar berunding dengan mereka yang melompat parti berbanding sekutu-sekutu yang rapat dan setia seperti saya.
“Mereka lebih menghargai katak politik yang tidak berprinsip dan ini benar-benar tragis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 27 Oktober lalu, Syed Saddiq menyuarakan hasrat parti MUDA yang masih belum disahkan pendaftaran untuk bertanding mewakili PH pada PRN Melaka.
Walau bagaimanapun, hasrat itu seolah-olah tidak dialu-alukan oleh sayap pemuda dalam kem pembangkang sendiri.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad secara terbuka menyatakan kesangsiannya terhadap motif Muda meletakkan calon mewakili PH.
Pada pandangan beliau, sudah memadai bagi PH meletakkan calon-calon dari PKR, DAP dan PAN sahaja di Melaka.
Walau bagaimanapun, dua hari kemudian, Anwar mengumumkan, PH hanya akan meletakkan calon-calon dari PKR, DAP dan PAN sahaja.
Dengan pengumuman Anwar itu, peluang untuk parti MUDA bertanding buat kali pertama dalam pilihan raya di negara ini menjadi sangat tipis.
Pada masa yang sama, Anwar memberitahu, perbincangan antara PH dengan bekas-bekas ADUN Melaka yang berpaling tadah masih berlangsung.
Selain Syed Saddiq, bantahan turut disuarakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
PH kini berada dalam dilema memandangkan empat bekas ADUN terbabit menyokong usaha mereka membentuk kerajaan negeri Melaka yang akhirnya terbantut apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan akan menghantar 700 petugas bagi membantu kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 Nov ini.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, kumpulan itu melibatkan tenaga penceramah yang berpengalaman dalam pelbagai bidang termasuk politik, agama dan ekonomi.
“Kumpulan ini akan dihantar sebelum hari penamaan calon secara berperingkat dan bergilir-gilir sehingga hari pengundian,” katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Tokoh di Pasir Puteh, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata ahli Bersatu Kelantan yang akan dihantar ke Melaka juga diingatkan supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi sehingga membangkitkan kemarahan penduduk dan menghormati budaya masyarakat setempat.
“Bersatu Kelantan akan berkampung di dua kawasan iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek dan Bukit Katil sebagaimana ditetapkan oleh Bersatu Melaka,” katanya.
PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan itu menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov. – BERNAMA
POLIS Melaka memberi jaminan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu yang dijadualkan bermula 8 November ini berjalan lancar terutamanya melibatkan aspek ketenteraman awam dalam tempoh pandemik Covid-19.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya turut mengenal pasti 16 lokasi panas di ketiga-tiga daerah di negeri itu yang akan dipantau menggunakan unit dron.
“Polis kontinjen Melaka amat bersedia jika berlaku apa sahaja kemungkinan berkaitan ketenteraman awam. Maknanya latihan yang dibuat, bermula daripada latihan ketenteraman awam sehingga jika keadaan jadi tidak terkawal pengisytiharan darurat akan dibuat.
“Semasa PRN ini juga, kontinjen Melaka mempunyai 17 pasukan ‘light strike force’ yang mana kita akan memastikan ketenteramana awam sepanjang PRN ini berjalan lancar supaya rakyat boleh keluar mengundi dan proses demokrasi itu juga berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Latihan Ketenteraamn Awam (POX) OP PRN Melaka di Balai Polis Melaka Tengah di Banda Kaba di Melaka, lapor Astro Awani.
Dalam pada itu beliau berkata, seramai 3,835 pegawai dan anggota polis termasuk 1,245 bantuan kontinjen luar Melaka digerakkan untuk membuat kawalan dan penugasan sepanjang tempoh PRN ini.
Ujarnya, pasukan polis juga akan menggunakan empat unit dron bagi memantau lokasi-lokasi panas selain bantuan dari Unit Pencegahan Rusuhan, Pasukan Gerak Am (PGA) dan Unit pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
“Daripada penilaian yang dibuat ketika ini kita dapati terdapat 16 kawasan yang dipanggil ‘hot spot’ yang mana akan diberi tumpuan utama oleh polis dan kita akan gunakan unit drone untuk membuat penilaian tentang keselamatan dan ketenteraman awam.
“Apabila ada drone penugasan dan persediaan kita lebih mudah, selain pandangan lebih jauh dan kita sebenarnya akan buat pengawasan di semua kawasan tetapi lokasi-lokasi panas akan diberi tumpuan lebih,”katanya.
Tambah beliau, cuti tahunan pegawai dan anggota polis Melaka turut dibekukan bagi menghadapi PRN ini.
TEKA teki lambang yang digunakan Pas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akhirnya terjawab, dengan parti itu semalam memutuskan untuk bertanding atas tiket dan logo Perikatan Nasional (PN).
Keputusan itu juga menyaksikan buat kali kedua Pas yang ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 dan didaftarkan sebagai parti politik pada 31 Mei 1955, bertanding dalam proses demokrasi negara tanpa menggunakan lambang sendiri, meskipun telah menyertai pelbagai gabungan politik antaranya Pakatan Rakyat, Barisan Alternatif dan Angkatan Perpaduan Ummah, dalam pilihan raya sebelum ini.
Kali pertama Pas tidak menggunakan lambangnya adalah pada Pilihan Raya Umum keempat (PRU4) pada 1974 dan bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN), sebelum parti Islam itu meninggalkan BN pada 1977 dan bertanding sebagai pembangkang pada Pilihan Raya Umum 5 yang diadakan pada 1978.
Pertembungan tiga penjuru membabitkan BN, PN dan Pakatan Harapan (PH), bukanlah perkara yang mengejutkan bahkan sudah dijangka ramai pihak sejak awal lagi, susulan kegagalan mencapai kata sepakat antara BN dan PN.
Namun di sebalik pertembungan itu, apa yang menarik diperhatikan adalah penentuan di 22 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu, yang dijangka sengit oleh pemerhati politik.
UMNO pada PRN Melaka ini yakin mampu mempertahankan 13 kerusi DUN yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, dan menyasarkan dua lagi kerusi tambahan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah, namun dalam landskap politik semasa adalah sukar untuk menyaksikan sebuah parti itu menjadi parti dominan.
Majoriti mudah bagi membentuk kerajaan adalah 15 kerusi dan BN pada PRU14 menang di kerusi DUN Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Ayer Molek, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.
Malah terdapat juga cakap-cakap politik kononnya Pas akan bertanding di enam kerusi, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lapan kerusi dan keadaan ini mungkin telah membawa kepada kegagalan mencari titik temu, membabitkan BN dan PN.
Meskipun ada pihak meramalkan bahawa bahawa kerjasama Pas dengan Bersatu akan menyebabkan kedua-dua parti itu kecundang, namun tindakan Pas untuk menggunakan lambang PN, seolah-olah memberi isyarat bahawa terdapat formula kebolehmenangan ditemui.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang Dr Che Hamdan Che Mohd Razali berkata keputusan Pas itu mungkin didorong dengan kelebihan bertanding lebih banyak kerusi, berbanding pakatan bersama UMNO.
“Walaupun matlamat kemenangan adalah agenda utama, namun menyedari pengaruh mereka kurang berbanding UMNO dan PH, saya lebih melihat ia sebagai satu cara untuk menguji kekuatan, dan satu peluang pemasaran politik yang sukar untuk dilepaskan oleh Pas.
“Melihat kepada trend semasa, pertembungan tiga penjuru itu tidak dapat dielakkan namun meskipun PH dilihat berpeluang pada PRN kali ini, harus diingat bahawa pakatan itu juga mempunyai masalah dari segi menetapkan siapa bakal ketua menteri dan pada masa yang sama, isu penerimaan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang melompat keluar,” katanya kepada Bernama hari ini.
Dengan keputusan Pas itu, Che Hamdan berkata Muafakat Nasional (MN) yang dipelopori Pas dan UMNO yang sebelum ini menyaksikan pelbagai kejayaan ditempa dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil semakin goyah, namun keadaan itu boleh berubah bergantung kepada keputusan PRN berkenaan.
“Pas dan UMNO mungkin akan menguatkan MN apabila mereka menyedari bahawa untuk pilihan raya umum akan datang, mereka tiada pilihan lain (untuk menang),” katanya.
Pada PRU14, PAS yang bertanding di 24 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN di Melaka dengan 10 calon hilang deposit, kalah di semua kerusi yang ditandingi berbanding PRU13, bertanding di 13 kerusi dan menang satu iaitu di DUN Bukit Baru.
Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain menyifatkan keputusan Pas itu sebagai kejutan memandangkan parti itu sangat sensitif dan tidak berkompromi soal identiti parti sebelum ini.
“Saya melihat ia langkah berani Pas untuk mengetepikan logo parti kerana selama ini Pas sangat pertahankan lambang yang menjadi identiti parti dan keputusan itu sudah pastinya telah mengambil kira pandangan akar umbi parti.
“Mungkin ini satu perjudian Pas untuk berhadapan dengan PRN Melaka dan sekiranya Pas tidak mendapat keuntungan atau kalah, mungkin Pas akan mengkajinya semula,” katanya dan tidak menolak kemungkinan bahawa keputusan itu akan membawa kepada undi protes dalam kalangan penyokongnya seperti mana yang berlaku ketika kerjasama parti itu dengan DAP dan PKR sebelum ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.
PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – BERNAMA
UMNO sukar untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa Pas selepas parti Islam itu memutuskan untuk bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.
Martadha Mohamed dari UUM berkata, pertembungan tiga penjuru terutama di kawasan majoriti Melayu dijangka memberi kesan kepada UMNO dan PN kerana ia akan memecah belahkan undi.
“Ini sangat jelas kerana sudah berlaku sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya kepada MalaysiaNow.
“Pertembungan antara Pas, UMNO dan Pakatan Harapan (PH) akan memanfaatkan PH sebab undi Melayu akan berpecah, tetapi undi bukan Melayu akan pergi ke PH.”
Dalam satu kenyataan pada Isnin Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya akan bertanding PRN Melaka menggunakan logo PN.
Kenyataan Hadi itu memberikan tamparan kepada Umno yang sebelum ini meletakkan syarat hanya akan bekerjasama sekiranya Pas menggunakan logo sendiri semasa PRN Melaka.
Sementara itu, James Chin dari University of Tasmania, Australia berkata keadaan semasa menunjukkan akan berlaku pertembungan tiga penjuru, namun ia tidak bermakna PH akan berdepan laluan mudah.
“PH pula kini agak berpecah kerana DAP sangat tidak berpuas hati dengan Amanah dan terdapat ketidakpuasan hati terhadap Anwar Ibrahim apabila cuba memasukkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tersebut.Jika selesai masalah ini, maka PH akan mempunyai kelebihan.”” katanya kepada MalaysiaNow.
Mengulas mengenai keputusan PAS Penganalisis politik Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan berhubung kerjasama antara UMNO, Pas dan Bersatu.
“Mereka masih mempunyai enam hari sebelum tarikh penamaan calon untuk berbincang dan membuat keputusan sama ada akan jadi kawan atau lawan,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Malah, Pas hanya membuat keputusan untuk menggunakan logo PN, ini tidak bermakna mereka akan tolak Umno. Mungkin Pas akan kerjasama dengan UMNO menerusi PN.”
Bagaimanapun, Chin berpendapat keadaan ini memberikan kesan terhadap hubungan antara UMNO dan Pas.
“Pas sedang memanfaatkan hubungan dengan PN dan UMNO. Kini mereka tersangkut dan terpaksa memilih satu daripada mereka.
“Nampak gaya Pas akan pilih PN, tetapi ini bukanlah satu jaminan kerana ada juga beberapa pimpinan Pas yang ingin gunakan logo PAS,” katanya dan menambah keputusan muktamad hanya akan diketahui pada hari penamaan calon.
Tambahnya, perkara ini bukanlah satu kejutan bagi UMNO kerana parti itu lebih terdahulu sudah menyuarakan beberapa pandangan mereka untuk bertanding secara solo.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Adun kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November ini, manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.
KEPUTUSAN semua enam bahagian UMNO Melaka menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) jelas memperlihatkan parti mana yang mengutamakan kepentingan diri dan parti mana yang benar-benar berusaha untuk penyatuan umah.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen mengakui semua parti mahupun individu mempunyai hak untuk membuat segala keputusan.
“Akhirnya rakyat bijak membuat penilaian yang tepat. Saya fikir rakyat boleh melihat pihak mana yang cintakan perpaduan dan pihak mana yang mahukan perpecahan (kerana) kita konsisten untuk bekerjasama dengan kerajaan dan parti yang membentuk kerajaan Pusat sebelum ini.
“Tetapi kita dapat lihat UMNO menolaknya dan itu jelas memperlihatkan kepada rakyat Malaysia khususnya orang Melayu bahawa pihak mana yang tidak mahu penyatuan dan pihak mana yang cuba menyatukan masyarakat terutamanya dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menampaikan sumbangan Deepavali Melaka Prihatin di Taman Bachang Baru, Melaka, hari ini.
Semalam, enam Ketua Bahagian UMNO di Melaka membuat pendirian menolak kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka 20 November ini.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Keputusan muktamad itu diambil selepas mengambil kira sentimen serta hasrat ahli-ahli UMNO akar umbi di negeri itu.
Mengulas lanjut, Mohd. Rafiq yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka berkata, tindakan semua bahagian UMNO menolak kerjasama itu juga merupakan hak peribadi memandangkan gabungan itu sudah lama bersiap sedia dalam menghadapi apa sahaja bentuk pilihan raya.
“Saya kira itu hak mereka… kita di peringkat PN sudah lama bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dari segenap segi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
“Fokus kita hanya terarah kepada PRN dan tidak tergugat atas keputusan pihak lain,” tambahnya.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP kekal dengan keputusan menolak kesemua empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang sebelum ini menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata partinya hanya berjaya meyakinkan sekutu dalam PH untuk menolak hanya dua daripada empat ADUN tersebut sebagai calon PH dalam PRN Melaka, manakala dua lagi masih dipertimbangkan seperti yang dinyatakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“DAP terus konsisten dalam mempertahankan prinsip, cita-cita dan integriti kami bahawa PH perlu menjauhkan diri daripada golongan ‘kleptokrat, oportunis dan penyangak’ untuk mengekalkan dan tidak kehilangan ketinggian nilai moral.
“Apa yang dikatakan adalah bagi mencapai kemenangan di Melaka, kita perlu secara taktikal bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan.
“Bagaimanapun, matlamat itu tidak membenarkan cara, terutamanya apabila komitmen mereka terhadap reformasi tulen politik yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara diragui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani
Guan Eng turut mendedahkan bahawa DAP telah kalah undian dalam PH oleh PKR dan Amanah selain terpaksa akur dengan keputusan majoriti demi kepentingan perpaduan pakatan.
“Bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa keputusan majoriti yang dibuat sebelum ini adalah betul.
“DAP berharap kewarasan akan tertegak dalam PH dan menggesa sekutu kami dalam PH supaya memilih mereka yang ikhlas terhadap aspirasi PH dan bukannya mereka yang bermotifkan politik oportunis semata-mata,” ujarnya.
Tegasnya, PH tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama dengan kehilangan ketinggian nilai moral dengan membenarkan dua daripada empat ADUN berkenaan bertanding sebagai calon PH pada PRN tersebut.
PAS Melaka akur dengan keputusan yang dibuat pimpinan pusat parti berkenaan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Piihan Raya Negeri (PRN) itu.
Menurut Pesuruhjayanya, Datuk Kamaruddin Sidek, Pas negeri memahami bahawa PN merupakan gabungan parti-parti politik yang berdaftar sementara Muafakat Nasional (MN) hanyalah gagasan kerjasama antara Pas dan UMNO.
Sehubungan itu, Pas Melaka, jelas Kamaruddin, akan cuba mengelak daripada berlaku pertembungan kerusi di 28 Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan di PRN pada 20 November ini.
” PN dan Barisan Nasional (BN) sepakat satu lawan satu, tiada pertembungan kerusi,” kata beliau kepada Astro AWANI.
Bagaimanapun, sekiranya wujud pertembungan lebih daripada dua penjuru, Pas, tegas beliau, akan mengambil pendekatan menyokong penyandang kerusi yang memenangi di DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
“Kalau berlaku juga (pertembungan lebih dua penjuru), Pas akan ambil sikap menyokong pemegang kerusi PRU14,” jelasnya lagi.
Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan media memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas meluluskan penggunaan lambang PN dalam PRN Melaka.
Ketetapan itu, kata Abdul Hadi, mengambil kira panduan yang diberikan Majlis Syura Ulama (MSU) Pas yang bersidang 31 Oktober lalu dan selaras dengan Peruntukan Fasal 84 Perlembagaan Pas.
Sementara itu bercakap kepada BERNAMA, beliau berkata, langkah menggunakan logo itu bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dapat dilaksanakan dalam usaha mereka menghalang kemenangan Pakatan Harapan (PH).
“Pas dah buat pendirian… dalam perjumpaan tiga parti (sebelum ini), bahawa setuju bersama satu lawan satu dan mengekalkan kerusi status quo… dan saya boleh beri jaminan kalau kerusi yang dimenangi oleh UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi itu tidak boleh ditandingi oleh PN.
“Makna kalau kata ada pihak PN, contoh Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) masuk lawan juga di kawasan kerusi yang UMNO menang, Pas tidak teragak-agak untuk menyokong UMNO dalam kerusi tersebut, begitu juga sebaliknya.
“Kerusi yang telah dimenangi oleh Bersatu, UMNO tak boleh masuk… kalau dia (UMNO) masuk kita (Pas) akan menyokong Bersatu… bermakna kita menghormati, jadi tak ada isu saya rasa… matlamat (tetap) satu lawan satu (dengan PH),” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Kamarudin berkata PAS Melaka akan bertanding di kerusi yang dimenangi PH pada PRU14 pada PRN Melaka kali ini bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.
“Pas akan ditempatkan di kerusi dimenangi oleh PH. Makna kita takkan ganggu kerusi UMNO, kita takkan ganggu kerusi Bersatu,” katanya.
Pada PRU14 lepas, BN menang 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Ayer Molek, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai dari keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka.
DAP pula menguasai lapan kerusi DUN iaitu Gadek, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Banda Hilir dan Bemban manakala PKR di tiga kerusi (Rembia, Machap Jaya dan Klebang).
Bersatu dan Amanah masing-masing menguasai dua kerusi iaitu Paya Rumput, Telok Mas, Durian Tunggal dan Bukit Katil manakala Pas bertanding di 24 kerusi namun tiada kerusi yang dimenangi. – BERNAMA
KEPUTUSAN Pas untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja satu tamparan kepada UMNO tetapi juga pengajaran kepada kepemimpinan parti itu supaya janganlah angkuh atau dilihat angkuh dan berhati-hatilah membuat kenyataan apabila melibatkan kerjasama dengan parti lain.
Beberapa kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang ada hubung kaitnya dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberi gambaran seolah-olah beliau memandang Pas ‘sebelah mata’.
Atas sebab itulah Ahmad Zahid sering menekankan soal bertanding secara solo dan yakin UMNO serta Barisan Nasional (BN). Dan ia diikuti pula dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang bersetuju bekerjasama dengan Pas tetapi Pas mesti menggunakan lambang sendiri dalam PRN Melaka.
Sementara Pas bagaikan dipaksa mengikut kehendak UMNO, UMNO pula tidak serius untuk memastikan impian Pas mahu menyatukan ummah dan mengelakkan tiga penjuru berlaku di Melaka tercapai.
Penegasan yang diberikan oleh bahagian-bahagian UMNO di Melaka yang menolak kerjasama dengan Bersatu dan sebelum ini kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang mengingatkan parti itu tidak masuk ke dalam ‘lubang biawak’ kali kedua menunjukkan UMNO tidak menjaga perasaan Pas dalam soal menyatukan ummah.
Tetapi apa yang anehnya pada masa sama di peringkat pusat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberikan tanggungjawab untuk berunding dengan Bersatu dan Pas bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.
Penulis tertanya-tanya apakah penugasan diberikan kepada Ismail Sabri itu benar-benar ikhlas atau ‘wayang kelas tertinggi’ yang akhirnya akan dijadikan modal bahawa Perdana Menteri tidak berupaya dalam melaksanakan misi yang diberikan.
Kalau tidak, masakan ketua-ketua bahagian di Melaka boleh membuat keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu? Kenapa mereka tidak menunggu dulu apa hasil rundingan Ismail Sabri? Adakah terdapat arahan daripada mana-mana pemimpin supaya mereka membuat kenyataan tersebut?
Dan beberapa jam selepas mereka menolak kerjasama dengan Bersatu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan keputusan parti itu untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).
Pendirian Pas itu sudah tentulah memberi tamparan hebat kepada UMNO khususnya UMNO Melaka kerana mereka mengharapkan Pas akan bersama dengan syarat menggunakan lambang Pas.
Sebenarnya percaturan atau perhitungan yang dibuat oleh kepemimpinan UMNO yang seolah-olah memandang remeh kekuatan Pas adalah satu kesilapan.
Memang benar, Melaka bukanlah kubu Pas dan dalam PRU-14 lalu, Pas kalah kesemua 14 kerusi yang ditandingi di negeri tersebut, tetapi satu kelebihan yang ada pada Pas yang tidak ada kepada parti-parti lain ialah kekuatan jentera serta kesetiaan ahli-ahlinya.
Dua kelebihan ini sudah pasti sedikit sebanyak akan membantu mana-mana parti yang bekerjasama dengan Pas tetapi dengan syarat mereka mestilah ikhlas, bukannya mahu memperalatkan Pas.
Inilah ditunjukkan oleh Bersatu di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional itu sentiasa berusaha menjaga hati dan perasaan pemimpin dan ahli-ahli Pas.
Walaupun baru-baru ini beliau membuat kenyataan meminta Pas memikirkan semasak-masaknya keputusan dalam soal kerjasama dengan UMNO tetapi beliau bukanlah mendesak atau memberi tekanan, beliau serahkan kepada kepemimpinan Pas membuat keputusan dan beliau serta Bersatu pasti menghormatinya.
Dalam pertemuan penulis dengan pelbagai sumber di Melaka termasuk semalam, ramai pemimpin politik yang ditemui bersetuju bahawa Pas ada kekuatan sendiri dan harus dihormati.
‘’Tetapi pemimpin UMNO angkuh…mereka yakin sangat kalau bertanding solo, mereka boleh menang sedangkan kalau tiga penjuru, belum tentu lagi,’’ kata seorang pemimpin parti itu.
Sementara itu, seorang pemimpin Pas di peringkat akar umbi ketika dihubungi berkata, mereka akur dengan keputusan kepemimpinan parti dan ia sebagai isyarat kepada UMNO janganlah angkuh sangat.
‘’Kita nak satukan ummah, macam Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man cakap, muafakat ni bukan soal nak rebut kerusi pilihan raya sahaja tetapi ada agenda lebih besar.
‘’Tetapi pemimpin UMNO hanya nak kerusi. Kalau berundingpun dia orang sahaja nak lebih, nak dominan, parti-parti lain kena ikut kehendak dia orang sedangkan sentimen pengundi di Melaka terhadap UMNO sudah berubah,’’ katanya.
Namun begitu kenyataan Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek menarik apabila menegaskan;’
‘’PN dan BN sepakat satu lawan satu, tiada pertembungan kerusi. Sekiranya wujud pertembungan lebih daripada dua penjuru Pas akan mengambil pendekatan menyokong penyandang kerusi yang dimenangi di DUN berkenaan pada PRU-14,’’ katanya seperti disiarkan oleh AstroAwani.
Jika begitu pendiriannya sudah pasti kelebihan ada kepada UMNO yang menang 13 kerusi dalam PRU-15 lalu berbanding Bersatu hanya dua kerusi manakala Pas tiada kerusi dimenangi. Adakah Bersatu akan bersetuju dengan pendirian Pas ini?
Persoalannya apakah kesan besar dengan keputusan Pas itu? Sama-sama kita tunggu..yang pastinya pelbagai ‘gejolak’ sedang melanda gelanggang politik Melaka dan paling penting, rakyat Melaka sedang memerhati..
AHLI Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh sukar menerima penjelasan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bekas-bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang berpaling tadah boleh membantu usaha menawan semula Melaka.
Malah, wakil rakyat DAP itu menegaskan, PH membuat kesilapan besar jika menerima empat bekas ADUN terbabit menjadi calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Melaka.
“Menerima mereka adalah kesilapan besar oleh PH yang mungkin menyebabkan kemarahan pengundi dalam PRN Melaka serta PRU15, dan ini perlu dielakkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Seperti yang dibayangkan oleh Anwar semalam, tiga bekas ADUN terbabit iaitu Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan dan Datuk Noor Effandi Ahmad masih berpeluang menjadi calon PH pada PRN Melaka.
Anwar berpandangan, ketiga-ketiga mereka boleh menarik sokongan pengundi bagi memastikan Melaka jatuh ke tangan PH sekali lagi.
Ramkarpal turut mempersoalkan motif bekas-bekas ADUN terbabit bertanding di bawah tiket PH pada PRN Melaka.
Menurut beliau, keempat-empat mereka masih belum menyatakan secara terbuka bahawa mereka menjadi ADUN Bebas kerana mahu mengembalikan Melaka ke tangan PH.
“Malah, dua daripada mereka daripada UMNO dan tidak pernah bersama PH.
“Maka, persoalan yang mereka menjadi bebas kerana mahu kembalikan mandat rakyat kepada PH tidak berbangkit,” katanya.
Tegas Pengerusi Biro Undang-undang DAP itu, PH tidak boleh menyokong penggubalan akta antilompat parti dan pada masa yang sama menerima empat bekas ADUN Melaka berkenaan menjadi calon pada PRN Melaka.
Selain Ramkarpal, kesediaan PH menerima tiga bekas ADUN Melaka berkenaan turut dipertikaikan oleh bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Walau bagaimanapun, Rafizi mendakwa Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sebagai antara pemimpin PH yang berkeras untuk menerima ‘katak-katak’ untuk PRN Melaka.