Category: Politik

  • Aziah angkat isu OKU, pendidikan Kuala Linggi

    Aziah angkat isu OKU, pendidikan Kuala Linggi

    PENGALAMAN lebih 20 tahun mendidik anak-anak istimewa sudah cukup untuk menyuburkan sifat kental dan sabar dalam diri Aziah Mohd Sa’ad atau Cikgu Aziah, calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Justeru kelebihan itu akan dimanfaatkan dalam perjalanannya sebagai wakil rakyat kawasan itu jika diberi mandat oleh pengundi pada PRN kali ini.

    Aziah, 60, yang memiliki seorang anak istimewa Mujahid Abdul Ghani, 29, juga akan mengangkat isu pendidikan anak Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai antara misinya pada pilihan raya ini.

    “Masih ramai ibu bapa ‘menyimpan’ anak-anak OKU di rumah sedangkan anak-anak ini perlu dihantar ke sekolah pendidikan khas supaya potensi diri mereka boleh dicungkil sekali gus berupaya menguruskan diri sendiri.

    “Mereka ini kita gelar anak syurga, tiket kita untuk masuk syurga, tetapi jika tidak kena caranya, umpama kita dapat tiket bola sepak tetapi bila nak masuk stadium tiket tertinggal di rumah, maka kita tak dapat masuk ke dalam stadium,” katanya kepada Bernama di sini.

    Aziah berkata ibu bapa yang mempunyai anak OKU perlu mendaftarkan anak mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya pihak terlibat boleh menyalurkan pelbagai bantuan termasuk pendidikan.

    Selain isu OKU, Aziah juga memperjuangkan pendidikan terutama dalam kalangan anak-anak nelayan di Kuala Linggi. 

    Pesara guru itu sedar golongan nelayan banyak menghabiskan masa di laut dan mungkin kurang mengambil berat tentang pendidikan anak-anak. 

    “Ada anak-anak nelayan yang membantu ibu bapa mereka menjadi nelayan, kadang-kadang mereka tidak ke sekolah sebab sudah letih turun (ke laut) tangkap ikan.

    “Lalu bagaimana anak-anak ini akan menjadi harapan untuk mengubah kehidupan keluarga jika mereka terperangkap dalam situasi seperti ini,” katanya.

    Selaku calon wanita, pembangunan ekonomi wanita di Kuala Linggi turut menjadi perhatian Aziah dan tekad untuk memberikan sebanyak mungkin bantuan dari segi modal dan ilmu agar golongan wanita di kawasan itu mampu menjana pendapatan dalam membantu meningkatkan ekonomi keluarga.

    Beliau turut melihat potensi Kuala Linggi sebagai tempat pelancongan dengan membangunkan kawasan itu sebagai satu lagi tarikan produk ikan bakar seperti Umbai, Muara Sungai Duyong dan Alai.

    “Pelancong akan mempunyai banyak pilihan jika mereka mahu makan di sini. Di sini kita mempunyai Restoran Ikan Bakar Terapung Fort Supai yang boleh kita promosikan lebih giat,” katanya.

    Pada hari pengundian yang ditetapkan 20 Nov ini, Aziah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Masjid Tanah akan menentang Rosli Abdullah (BN), Julasapiyah Kassim (PH) dan Kamisan Palil (Bebas).

    Selain aktif berpolitik, isteri kepada bekas Pesuruhjaya PAS Melaka Abdul Ghani Abdul Rahman itu turut menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu menjahit dan membekalkan peralatan pelindung peribadi (PPE) kepada Hospital Besar Melaka apabila hospital itu mengalami kekurangan peralatan ketika COVID-19 melanda negara. – Bernama

  • Aku janji langkah ke hadapan PN – Mohd Rafiq

    Aku janji langkah ke hadapan PN – Mohd Rafiq

    TINDAKAN kesemua 28 calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menandatangani dokumen aku janji menentang rasuah malam tadi adalah satu langkah ke hadapan, kata Pengerusi PN Negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen. 

    Mohd Rafiq yang juga Naib Presiden Bersatu berkata PN menjadi gabungan pertama melakukan tindakan tersebut dalam memastikan setiap calonnya menjauhi aktiviti rasuah yang mampu memberi kesan negatif kepada bukan sahaja rakyat tetapi juga pembangunan negeri itu.

    “Usaha PN ini adalah satu usaha yang baik dalam membuktikan komiten kita yang memang telus mahukan satu kerajaan dan pemimpin berintegriti sekiranya diberi mandat nanti,” katanya di Melaka, hari ini. 

    Dalam perkembangan lain, calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas itu menjelaskan insiden bilik gerakan ditutup dan dikompaun kerana kes positif COVID-19 melibatkan seorang petugas jentera parti itu tidak mengganggu perjalanan kempennya. 

    “Kita terima kecuaian tersebut (tidak mengeluarkan pengimbas suhu) dan kita akan jelaskan kompaun. Bagi bilik gerakan, kita sudah wujudkan bilik lain yang juga di dalam DUN Telok Mas. Kita sentiasa bersedia dengan pelan kecemasan sekiranya perkara sebegini berlaku,” katanya. 

    Pada hari pengundian 20 Nov ini, Mohd Rafiq berdepan saingan empat penjuru menentang Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas), Ashraf Mukhlis Minghat (PH) dan Abdul Razak Abdul Rahman (BN). – Bernama

  • PRN Melaka: Kerana SOP ketat, calon sarapan sampai empat kali

    PRN Melaka: Kerana SOP ketat, calon sarapan sampai empat kali

    PROSEDUR operasi standard (SOP) yang ketat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberikan pelbagai pengalaman menarik, kepada calon-calon yang bertanding.

    Beberapa calon menceritakan yang mereka terpaksa minum pagi sehingga empat kali, dek kerana mahu patuh kepada SOP kempen yang digariskan.

    Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Perikatan Nasional (PN) Tanjung Bidara Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata bersarapan bersama pengundi merupakan salah satu cara beliau menyantuni penduduk, kerana kempen melibatkan orang ramai tidak dibenarkan.

    Pengalaman itu turut dilalui calon Pakatan Harapan (PH) DUN Pantai Kundor Nor Azman Hasan, yang menggunakan cara yang sama untuk bertemu rakyat di kawasannya.

    “Suasana kali ini memang lain dari yang lain, seperti sedia maklum SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menggariskan SOP ketat, dan kita wajib patuhi untuk kepentingan rakyat.

    “Untuk mendekati masalah rakyat, kita kena minum pagi sampai empat kali, selain itu saya pergi kenduri, ke masjid dan majlis kematian untuk mendekati pengundi kita,” katanya yang ditemu bual melalui aplikasi Zoom dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

    Turut serta calon Bebas DUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee.

    Mas Ermieyati berkata SOP yang ketat ini juga, menjadikan dirinya kreatif dengan menggunakan semua platform untuk mendekati seramai mungkin pengundi, termasuk melalui media sosial serta melambai ke arah pengundi ketika membonceng motosikal.

    “Selain minum pagi sampai empat kali, pagi tadi saya cuba kaedah baharu, saya bonceng motor dan di depan saya lori pikap Perikatan Nasional, saya dapat sambutan yang hangat dari pengundi,” katanya.

    Bagi Norhizam pula, PRN Melaka disifatkan pilihan raya yang agak pelik, kerana calon tidak boleh turun padang dan berkempen seperti sebelum ini.

    “Tetapi saya tidak menghadapi masalah, kerana saya telah tiga tahun menabur bakti di kawasan saya dan rata-rata pengundi mengenali saya,” katanya.

    Terdahulu, SPR menetapkan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka, bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

    Pada PRN yang dijadual 20 Nov ini, Mas Ermieyati akan menentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan calon Pakatan Harapan Zainal Hassan.

    Nor Azman pula akan menentang Mohamad Ridzwan Mustafa (PN) dan Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN), manakala Norhizam berdepan cabaran lima penjuru menentang Muhamad Danish Zainudin (PH), Mohd Azrudin Md Idris (PN), Dr Mohd Aluwi Sari (Putra) dan Datuk Kalsom Nordin (BN).

    SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. – Bernama

  • 28 calon PN tandatangan aku janji perangi rasuah

    28 calon PN tandatangan aku janji perangi rasuah

    KESEMUA 28 calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menandatangani dokumen aku janji malam ini, sebagai komitmen memerangi rasuah.

    Kesemua calon berkenaan hadir di Bilik Gerakan Utama PN di Tanjung Minyak, di sini dan majlis menandatangani aku janji yang bermula pada pukul 9 malam itu, disaksikan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Antara inti pati yang terkandung dalam borang ‘Aku Janji Calon Pilihan Raya Negeri’ yang ditandatangani calon itu ialah, calon perlu memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dilaksanakan secara bersih, adil dan bebas rasuah sekiranya terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

    Selain itu, calon juga harus mematuhi sepenuhnya undang-undang yang diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) dan undang-undang berkaitan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.

    Selesai menandatangani dokumen itu, kesemua 28 calon melafazkan ikrar aku janji berkenaan dan borang kemudian diserahkan kepada Muhyiddin oleh Pengerusi PN Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

    Sementara itu, kawasan bangunan berkenaan dikawal ketat anggota polis dan penguatkuasa Kementerian Kesihatan (KKM), manakala pihak media kecuali jurugambar tidak dibenarkan memasuki bangunan.

    Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata aku janji itu selari dengan pendirian yang didukung gabungan itu untuk menentang salah guna kuasa dan rasuah, serta akan memberi layanan yang adil kepada semua pihak.

    PN bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 20 Nov ini dan daripada jumlah berkenaan, Bersatu bertanding di 15 kerusi manakala PAS (lapan) dan Gerakan (lima). – BERNAMA

  • Bela nasib nelayan, wujudkan peluang ekonomi baharu di Telok Mas fokus Mohd. Rafiq

    Bela nasib nelayan, wujudkan peluang ekonomi baharu di Telok Mas fokus Mohd. Rafiq

    PERMASALAHAN infrastruktur yang membabitkan kepentingan nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Emas amat kritikal untuk diberikan penyelesaian segera.

    Menurut calon Perikatan Nasional (PN) N23 DUN Telok Mas, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, beliau memberikan fokus terhadap penyelesaian itu kerana isu itu menjadi penentu kepada kelancaran pencarian rezeki bagi golongan nelayan di kawasan itu.

    Beliau berkata, perkara itu memerlukan penyelesaian yang tuntas kerana sejumlah besar masyarakat di Telok Mas adalah golongan nelayan dan sekali gus memberi sokongan untuk mereka mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan.

    “Antara masalah infrastruktur di sini ialah jeti, tempat basuh bot dan kelengkapan-kelengkapan lain berkaitan untuk mereka teruskan kerja harian mereka.

    “Sebagai pemimpin, inilah perkara yang akan saya berikan tumpuan tak kira menang atau kalah dalam pengundian yang akan berlangsung pada 20 November ini,” katanya kepada ketika ditemubual Agenda Awani Melaka Memilih pada Khamis.

    Tambah beliau, fokusnya di Telok Mas juga adalah untuk menambah baik infrastruktur di kawasan berkenaan seperti mana yang beliau telah lakukan di N13 Paya Rumput sebelum ini.

    Selain itu, beliau juga akan berusaha membuka peluang ekonomi di Telok Mas bagi membantu memperbaiki ekonomi penduduk setempat yang terjejas akibat pandemik Covid-19. 

    Antara lain Mohd. Rafiq melihat potensi industri pelancongan untuk dibangunkan di kawasan Telok Mas sebagai satu tawaran ekonomi baharu di kawasan itu.

    prn melaka mohd muhammad

    “PN  telah mengenalpasti sumber-sumber ekonomi yang terjejas di DUN Telok Mas dan telah membuat perancangan untuk menjayakan usaha ini termasuk daripada sudut pembiayaan modal.

    “Langkah ini bakal dapat memperkasakan lagi sektor pelancongan di DUN Telok Emas dan membantu ekonomi masyarakat setempat,” jelas beliau.

    Tambah beliau apa yang dirancangkan itu selari dengan fokus PN untuk memperkasakan industri pelancongan serta memperkenalkan produk pelancongan baharu yang boleh menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

    “Kawasan perindustrian di negeri Melaka ini sudah semakin padat, berkurangan, sesak, jumlahnya sudah tidak mampu menampung, menarik peminat pelabur-pelabur baharu.

    “Antara tumpuan kerajaan PN nanti, adalah untuk mewujudkan satu pusat perindustrian yang baharu yang canggih, berpagar dan dikawal keselamatannya, yang lebih teratur sistem pengurusannya,” katanya.

    Mohd Rafiq bakal berdepan dengan calon daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat daripada Pakatan Harapan (PH), dan calon Bebas iaitu Muhammad Ariff Adly Mohammad, di N23 DUN Telok Mas, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November.

  • Ahmad Bilal sentiasa dekat di hati rakyat:Calon PN

    Ahmad Bilal sentiasa dekat di hati rakyat:Calon PN

    CALON Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi DUN N26 Serkam, Ahmad Bilal Rahudin hari ini melawat salah seorang peserta umrah di bawah pimpinan beliau pada tahun 2019.

    “Bilal, bila nak pergi lagi? Mak Lang memang cukup suka. Memang cukup sempurna.”

    Itulah luahan seorang wanita yang digelar Mak lang apabila Ahmad Bilal datang melawat rumahnya.

    Ucapan syukur dan puas hati tidak lekang dari mulut Mak Lang sepanjang mereka berbual dan bercerita tentang pengalamannya mengerjakan umrah.

    “Terima kasih Mak Lang kerana meletakkan kepercayaan kepada saya untuk memimpin rombongan umrah semasa itu,

    “Bagi saya, kata-kata Mak Lang amat menyentuh hati saya kali ini. Saya gembira apabila melihat penduduk tempatan selesa dan mesra dengan khidmat saya selama ini.” tulis Ahmad Bilal di Facebooknya.

    Ahmad Bilal juga sempat menceritakan bahawa beliau sendiri sudah lama mengenali Mak Lang, bahkan umur Mak Lang juga hampir seusia dengan umur ibunya.

    Dapat dilihat dari situ bahawa Ahmad Bilal sentiasa dekat dengan rakyat terutamanya penduduk di Kampung Berangan Enam.

    Tambahnya lagi, hari pengundian bakal berlangung tidak lama lagi, oleh itu Ahmad Bilal mengingatkan warga Serkam supaya bijak dalam memilih pemimpin.

    “Saya yakin warga Serkam bijak dalam memilih pemimpin yang sedia turun bersama membantu dan mendengar luahan penduduk setempat.” katanya.

  • Calon Ketua Menteri Melaka PN dari Bersatu

    Calon Ketua Menteri Melaka PN dari Bersatu

    CALON Ketua Menteri Melaka dari Perikatan Nasional (PN) yang bakal diumumkan sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini adalah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan soal calon Ketua Menteri Melaka itu dalam sidang media di Bemban, Melaka, hari ini.

    “Kita akan umumkan, kenapa kita ambil masa? Itu strategi kita. Kita tak boleh umum awal. tapi tak umum langsung pun tak boleh.

    “Mesti ada calon. Ramai sebenarnya yang layak dan boleh jadi Ketua Menteri. Jadi, tak jadi masalah kepada kita.

    “Sewajarnya kerana Bersatu mempunyai sejumlah kerusi yang besar, dan kami diberikan kepercayaan oleh rakan-rakan parti PAS dan Gerakan, Ketua Menteri itu akan datang dari Bersatu,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata satu badan pemantau akan dibentuk bagi memantau kemajuan manifesto PN yang telah digariskan dan memastikan ia ditunaikan.

    “Sebab kita bukan PH (Pakatan Harapan), PH janji bulan dan matahari tapi bila tak boleh tunai, Tun M cakap manifesto bukan kitab suci.

    “Kita tak boleh bohong pada rakyat, apa kita janji kita mesti tunaikan,” katanya.

    Mengulas tentang strategi meletakkan Dr Mohd Yadzil Yaakub sebagai calon DUN Bemban iaitu kawasan yang dianggap kerusi tradisi parti bukan Melayu, Muhyiddin berkata, tiada isu yang timbul.

    Malah, menurut beliau, langkah itu merupakan strategi PN dengan meletakkan seorang tokoh profesional yang banyak berjasa di kawasan tersebut.

    “Walaupun ada kata (kerusi) ini tradisinya MCA, DAP, saya tak takut kerana saya yakin di atas tahap kematangan pengundi,” jelasnya.

    Muhyiddin turut menjangka Dr Mohd Yadzil sebagai calon terbaik dan yakin dengan kemampuan beliau untuk menang di DUN Bemban.

    Berhubung Bilik Gerakan PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang ditutup kerana terdapat kes positif COVID-19, Muhyiddin mengesahkan perkara itu.

    Tambah beliau, bilik gerakan akan ditutup dan lokasi sementara akan dibuka untuk gerak kerja jentera di DUN itu.

  • SOP memang ketat, tapi nyawa rakyat lebih penting – Bakri

    SOP memang ketat, tapi nyawa rakyat lebih penting – Bakri

    prn melaka mohd muhammad

    PROSEDUR operasi standard (SOP) kepada calon yang berkempen semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sememangnya terlalu ketat tetapi apa yang lebih penting ialah nyawa rakyat, kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Bakri Jamaluddin.

    Calon Perikatan Nasional (PN) itu mengakui sekatan untuk aktiviti ceramah atau kempen secara fizikal menyukarkan calon untuk menyantuni rakyat tetapi sekatan berkenaan adalah bertujuan untuk menjaga nyawa rakyat dan ahli politik wajib patuh kepada sekatan itu.

    “Saya berkempen sudah dua hari dan memang rasa ketat…tak boleh ceramah, memang rasa tersekat. Bagus juga guna digital kerana paling tidak ia memberi keselamatan kepada rakyat.

    “Kalau kita kempen rumah ke rumah, kita kena ingat ada anak kecil, orang tua… anak kecil ini tak vaksin… kita tak nak penularan Covid-19 berlaku,” katanya lapor Bernama semasa wawancara bersama Bicara Harakah dalam talian.

    Beliau turut menyifatkan bahawa gelanggang perang PRN pada kali ini sebagai adil kepada semua pihak kerana semua calon menggunakan teknologi sebagai alat untuk mendidik dan mematangkan rakyat dan bukan menimbulkan suasana tidak harmoni.

    “Saya berpegang kepada satu iaitu apabila anda memberikan maklumat yang betul, orang akan memberi anda keputusan yang betul. Bermain di media sosial hari ini, adalah adil tapi yang lebih penting jadikan medium ini sebagai alat mendidik dan matangkan rakyat,” katanya.

    Selain itu, calon PN DUN Serkam, Ahmad Bilal Rahudin dalam sidang media bersama Naib Presiden PAS Idris Ahmad pula berkata, meskipun DUN yang ditandinginya terletak di kawasan luar bandar, kempen mempromosikan diri dan perjuangan menerusi media sosial tidak menjejaskannya.

    “Pengundi telah mengamalkan norma baharu sudah dua tahun dan saya rasa tidak ada masalah untuk pengundi tonton penjelasan dalam talian. Ia juga tidak menjadi masalah bagi saya berkempen dalam talian dan bagi PN, kita ada akar umbi yang cukup yang boleh bagi penerangan di lokaliti. Perkara ini perlu dititikberatkan untuk kesihatan awam,” katanya.

    Pada 8 November yang lepas, SPR telah melarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka diadakan sepanjang tempoh PRN Melaka.

  • Cabar tarik sokongan, Shahrir Samad berniat jahat – Muhyiddin

    Cabar tarik sokongan, Shahrir Samad berniat jahat – Muhyiddin

    prn melaka mohd muhammad

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad sebagai ‘bodoh’ dan ‘tidak bertanggungjawab’ kerana mencabarnya mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Johor yang diketuai UMNO.

    Beliau mendakwa, Shahrir juga berniat jahat dan tidak dapat berfikir secara waras setelah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Tengok apa yang UMNO buat di Melaka? Jahat, kerajaan sudah ada, dia sendiri tumbangkan kerajaan dia.

    “Jadi, kalau saya buat di Johor, macam Shahrir bodoh tu, minta maaf, saya katakan, dia suruh Bersatu tarik supaya kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Hasni Menteri Besar daripada UMNO tu akan jatuh. Bijak ke bodoh?

    “Mintak maaf ha. Saya pun tak nak mintak maaf dengan Shahrir, saya dah kenal lama dah.

    “So you have to be reasonable. When time is so difficult, it is about the livelihood of people. It is about the interest of rakyat.

    “It’s not about your party. It’s not about kuasa. Sorry to say, Shahrir has lost his bearing. He doesn’t make sense anymore. He is more concerned about his power. He lost his last election.

    “Dia macam rasa marah dia kalah. But the fact is he has lost before. Tapi kalau kita nak membalas, kita boleh buat, semalam pun saya kata. Tetapi kita tak nak buat.

    “Saya kesian orang Melaka. Takkan yang saya lihat di Melaka nak ulang berlaku di Johor di negeri saya. Bodohlah saya, betul tak?” katanya dalam sidang media bersama calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub di Bemban, Melaka, hari ini.

    Yang turut hadir, Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr Sahrudin Jamal.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengingatkan Shahrir supaya yang mencabar beliau mengambil tindakan yang boleh menyebabkan rakyat Johor terjerumus dalam krisis politik seperti yang berlaku di Melaka.

    “Itu niat jahat, Shahrir Samad saya kenal. Dia hendak supaya macam mana berlaku di Melaka, berlaku di Johor.

    “Ini pemimpin UMNO, apa pemikiran dia? Dia macam nak sinilah. Jangan cabar saya.

    “Saya Presiden parti Bersatu, Perikatan Nasional. Hanya kerana memikirkan nasib rakyat yang terutama.

    “Shahrir tak fikir. Dia nak mencabar saya, saya boleh buat. Besok, sekarang saya boleh tekan button. Semua jatuh.

    “You want to see that happened? Oh, pasal saya takut nak buat begitu? Saya tak takut.

    “Kerana saya fikir yang penting rakyat di negeri Johor jangan berhadapan dengan masalah sebesar yang berlaku di negeri Melaka.

    “Saya boleh cakap panjang semalam pun saya ada sebutkan. Kalau saya ni orang kata vindictive, hendak membalas dendam, saya jatuh kerana UMNO tak sokong.

    “Tetapi tak ada pilihan raya, tak apalah orang lain naik. Jadi rakyat tak terkesan, tak ada pilihan raya umum,” jelasnya.

    Beliau meminta Shahrir menunggu sehingga pilihan raya tiba dan melihat parti mana yang akan disokong rakyat.

    “Sepatutnya orang Johor marah Shahrir Samad. Dia jangan tak tahu saya sudah lama di Johor, dan saya asal Johor dan saya tidak akan lakukan kepada orang Johor macam mana UMNO lakukan dengan orang Melaka,” katanya.

  • PN lancar manifesto PRN Melaka Ahad ini

    PN lancar manifesto PRN Melaka Ahad ini

    PERIKATAN Nasional (PN) akan melancarkan manifesto pakatan itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ahad ini, kata Penyelaras Gerak Kerja Penerangan Kempen PN bagi PRN Melaka, Badrul Hisham Shaharin.

    Badrul Hisham atau Che’gu Bard berkata, manifesto yang antara lain berjanji untuk mewujudkan kerajaan stabil di Melaka dan antirasuah itu akan dilancarkan secara hibrid oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Untuk memastikan standard operasi prosedur (SOP) dipatuhi, ia diumumkan secara hibrid,” katanya kepada ketika ditemui Bernama di Melaka hari ini.

    Bagaimanapun Badrul Hisham berkata waktu pelancaran manifesto tersebut belum dimuktamadkan.

    Rabu lepas Barisan Nasional (BN) melancarkan manisfeso BN ‘Melaka Lima Tahun’ bersempena PRN Melaka yang menggariskan satu matlamat di samping lima teras dan 103 inisiatif.

    Pakatan Harapan (PH) pula melancarkan manifesto Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan yang mempunyai tiga teras utama iaitu Melaka Sejahtera, Melaka Makmur dan Melaka Stabil yang menggariskan 32 inisiatif.

    SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

    Sementara itu, Pengerusi PN Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata manifesto PN yang akan dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pukul 5 petang di Shah Alam, Selangor, Ahad ini.

    Katanya manifesto itu juga akan meliputi segenap aspek dan lapisan masyarakat pelbagai kaum di Melaka.

    Setakat ini, gabungan besar parti politik seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan manifesto masing-masing pada Rabu (10 Nov) lepas sementara Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dijangka melancarkan manifestonya minggu depan. – BERNAMA