Category: Politik

  • Dakwaan Mokhtar tak benar, PAS tetap sokong kempen PN

    Dakwaan Mokhtar tak benar, PAS tetap sokong kempen PN

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    PAS Kawasan Masjid Tanah menafikan dakwaan seorang individu bernama Mokhtar Razak kononnya jentera parti itu diarahkan supaya tidak membantu kempen Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi PAS.

    Berikut adalah kenyataan penuh Yang Dipertuanya, Imran Abdul Rahman yang dibaca dalam sidang media bagi menjawab dakwaan Mokhtar hari ini:

    PAS Kawasan Masjid Tanah ingin membuat penjelasan tentang sebuah video yang tular baru-baru ini berkaitan satu sidang media oleh seorang yang bernama Mokhtar Razak.

    Individu ini dalam sidang media tersebut membangkitkan dua perkara iaitu tentang arahan PAS agar membantu jentera di Kuala Linggi dan Taboh Naning dan percanggahan arahan kepada ahli PAS untuk mengundi parti mana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-5.

    Berkaitan isu pertama, individu ini mengeluarkan kenyataan bahawa kononnya pimpinan PAS tempatan mengeluarkan arahan agar semua jentera PAS di DUN yang PAS tidak bertanding untuk beralih membantu DUN Kuala Linggi dan Taboh Naning.

    PAS Kawasan Masjid Tanah menafikan ada mengeluarkan arahan seperti ini. Arahan sebenar adalah agar SEBAHAGIAN petugas PAS di DUN yang PAS tidak bertanding untuk membantu sementara di dua DUN tersebut bagi membuat kerja-kerja awal sementara menunggu ketibaan petugas-petugas PAS dari negeri-negeri lain.

    Ia BUKAN arahan agar semua jentera PAS di DUN yang PAS tidak bertanding untuk terus membantu jentera PAS di DUN Taboh Naning dan Kuala Linggi dan meninggalkan terus jentera PERIKATAN NASIONAL di DUN tersebut.

    Yang kedua, individu ini mendakwa kononnya tiada arahan yang jelas daripada pimpinan sama ada untuk mengundi BN atau PERIKATAN NASIONAL di kawasan-kawasan DUN yang PAS tidak bertanding.

    Hakikatnya pada 6 November ketika berlangsungnya Muktamar PAS Pusat, Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan arahan dengan jelas bahawa semua ahli dan penyokong PAS mesti mengundi calon PERIKATAN NASIONAL sekiranya berlaku pertembungan dengan BN.

    Tidak ada sebarang kekeliruan dalam hal ini. Ia telah difahami oleh semua ahli PAS.

    Walau pun mendakwa kononnya terdapat percanggahan arahan daripada pihak atasan PAS tentang perkara ini, namun, individu ini sendiri di dalam sidang media yang sama sendiri menyatakan bahawa memang ada arahan daripada Presiden PAS agar semua ahli PAS ‘solid’ mengundi calon PERIKATAN NASIONAL.

    Ini jelas menunjukkan individu ini berniat jahat dan sengaja menimbulkan kekeliruan dan ingin memecahbelahkan dan merosakkan keutuhan jentera PERIKATAN NASIONAL DUN Lendu.

    Kami juga percaya bahawa memang ada dalang di sebalik individu ini yang dilihat cuba membuat sabotaj kepada PAS dan PERIKATAN NASIONAL.

    PAS Kawasan Masjid Tanah juga menegaskan bahawa semua ahli dan penyokong PAS wajib patuh pada arahan parti untuk HANYA mengundi calon PERIKATAN NASIONAL dalam PRN Melaka ini.

    PAS Kawasan Masjid Tanah juga akan menghantar cadangan kepada pihak PAS Pusat agar individu ini dipecat dan digugurkan keahliannya sebagai ahli PAS.

  • Kenyataan Pengerusi PN Melaka bantah calon Ketua Menteri palsu

    Kenyataan Pengerusi PN Melaka bantah calon Ketua Menteri palsu

    PERIKATAN Nasional (PN) Melaka menafikan kenyataan akhbar yang tular kononnya ahli parti menzahirkan ketidakpuashatian melantik calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri.

    Kenyataan akhbar kononnya dikeluarkan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen itu, disahkan palsu oleh Penyelaras Gerak Kerja Penerangan Kempen PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Badrul Hisham Shaharin.

    Menerusi kenyataan akhbar palsu itu kononnya Mohd Rafiq didakwa kecewa kerana PN membuat kesilapan kerana Mas Ermieyati bukan berasal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Peringatan dan penjelasan ringkas bahawa kenyataan itu palsu, turut dimuat naik dalam Facebook Mohd. Rafiq, hari ini.

    Pada 14 November lalu, tular dalam media sosial, poster yang kononnya mendakwa Mohd Rafiq sebagai calon Ketua Menteri Melaka daripada PN.

    Ibu Pejabat PN kemudian menafikan pengeluaran sebarang poster berkenaan calon Ketua Menteri Melaka daripada PN.

    DUN Telok Mas menyaksikan saingan empat penjuru dengan Mohd. Rafiq dicabar Datuk Abdul Razak Abdul Rahman daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (Pakatan Harapan) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas).

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, DUN Telok Mas dimenangi oleh Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dengan majoriti 1,288 undi.

  • Majukan pelbagai sektor ekonomi sasaran calon Ketua Menteri PN

    Majukan pelbagai sektor ekonomi sasaran calon Ketua Menteri PN

    Calon Ketua Menteri (KM) Melaka Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudian meletakkan sasaran untuk memajukan pelbagai sektor ekonomi terutama perindustrian dengan menarik pelaburan tempatan dan asing.

    Beliau yang juga calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara berkata, ini juga termasuk meningkatkan sektor pelancongan yang terkenal di negeri itu.

    Jelasnya, hasrat itu selari dengan matlamatnya yang tidak mahu melihat orang ramai di Melaka tercicir berada dalam kesusahan.

    “Langkah ini dapat memastikan setiap rakyat di Melaka memiliki makanan terhidang atas meja, khususnya dalam kesempitan hidup yang dihadapi rakyat semasa berdepan cabaran pandemik Covid-19.

    “Selain itu, saya juga tidak akan mengetepikan sumbangan belia dalam memajukan ekonomi negeri kerana mereka adalah penggerak utama pembangunan ekonomi terutama dalam sektor industri perkilangan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan PN Tanjung Bidara di Kampung Padang Kemunting, Melaka, malam tadi.

    Mas Ermieyati berkata, sebagai seorang ibu yang dapat melihat bagaimana pandemik menghimpit ekonomi keluarga, sedangkan yang paling penting ketika pandemik ialah ingin melihat makanan di atas meja.

    mas ermieyati Melaka

    Katanya, pencalonan beliau sebagai Ketua Menteri memberikan kelebihan kepadanya untuk berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

    Ditanya mengenai hubungannya dengan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Mas Ermieyati berkata, beliau akan berjumpa dengan pemimpin itu.

    “Datuk Rafiq adalah pemimpin yang bertanggunghawab menjadikan PN seperti yang ada pada hari ini dan tanpa beliau, PN tidak akan mencapai tahap yang membanggakan seperti sekarang,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, daripada keseluruhan 10,133 pengundi di Tanjung Bidara, 52 peratus terdiri wanita dan berharap mendapat sokongan padu daripada golongan itu sambil tidak mengabaikan 48 peratus pengundi lelaki.

    “Saya juga berharap jentera pilihan raya PN supaya melipatgandakan usaha bagi memastikan segala perancangan parti untuk melicinkan proses pengundian Sabtu ini,” katanya.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Mas Ermieyati akan dilantik sebagai pemimpin nombor satu negeri Melaka.

    Pengumuman tersebut juga mendekatkan beliau untuk menjadi Ketua Menteri wanita pertama di Malaysia.

  • Mas Ermieyati ikon semangat perjuangan wanita Melaka

    Mas Ermieyati ikon semangat perjuangan wanita Melaka

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    LANGKAH Perikatan Nasional (PN) menamakan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka merupakan satu pengiktirafan terhadap kepimpinan wanita dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan negeri.

    Sebelum ini, tiada lagi wanita yang dicalonkan sebagai Ketua Menteri apatah lagi menyandang jawatan pentadbiran tertinggi di negeri-negeri seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

    Memang benar rejim Pakatan Harapan (PH) telah menaikkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri selama 22 bulan.

    Namun, kita semua tahu bahawa peranan yang dimainkan oleh Wan Azizah ketika itu adalah kecil dan kewujudan beliau seolah-olah tidak disedari kerana sentiasa dibayangi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad serta suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Berbeza pula dengan Mas Ermieyati yang diberi kepercayaan untuk mencorakkan hala tuju dan pembangunan Melaka setelah PN membentuk kerajaan negeri esok.

    mas ermieyati Melaka

    Calon PN bagi kerusi DUN Tanjung Bidara itu mempunyai imej yang bersih dan terkenal dengan keperibadian yang berintegriti tinggi.

    Reputasi yang dibawa beliau pasti mampu mengembalikan kegemilangan Melaka sebagai sebuah negeri bersejarah yang bebas daripada sebarang skandal dan penyelewengan termasuk isu projek pasir.

    Apa yang lebih penting, Mas Ermieyati bukan ‘boneka’ kepada mana-mana pihak sekali gus membolehkan beliau mentadbir Melaka tanpa ‘ditekan’ oleh kepentingan individu tertentu.

    Tambahan pula, pengalamannya yang luas dalam pentadbiran kerajaan di peringkat Pusat pasti banyak membantu Mas Ermieyati mengendalikan jentera pentadbiran kerajaan negeri Melaka kelak.

    Melaka hanya boleh mencipta sejarah sebagai negeri pertama yang mempunyai seorang Ketua Menteri wanita sekiranya PN diberi mandat dan majoriti yang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

    Sudah tentu, Mas Ermieyati perlu diberi kepercayaan untuk menang di kerusi DUN Tanjung Bidara bagi membolehkan beliau dicalonkan sebagai Ketua Menteri.

    Begitu juga dengan 27 kerusi lain lain dillihat berpotensi besar untuk dimenangi oleh calon-calon PN.

    Mas Ermieyati Samsudin
    Gambar: Facebook Mas Ermieyati Samsudin

    Segala-galanya bakal ditentukan oleh pengundi dan golongan wanita seharusnya menggunakan kuasa mereka untuk memastikan Mas Ermieyati yang juga ikon pejuang wanita Melaka dapat mewakili mereka di peringkat tertinggi di negeri itu.

    Tanamkan dalam fikiran sedalam-dalamnya bahawa Mas Ermieyati dan PN adalah jauh lebih baik berbanding calon-calon Ketua Menteri yang dikitar semula oleh Barisan Nasional (BN) dan PH.

    Hanya PN yang berupaya menyelamatkan Melaka daripada terjerumus sekali lagi ke dalam kancah krisis politik tidak berkesudahan ketika zaman BN dan PH dahulu.

  • Berikan PN kemenangan besar untuk kepentingan besar di Melaka – Hadi Awang

    Berikan PN kemenangan besar untuk kepentingan besar di Melaka – Hadi Awang

    DEMI kepentingan rakyat, Perikatan Nasional (PN) perlu diberikan kemenangan besar dalam pilihan Raya negeri PRN Melaka yang akan berlangsung esok (20 November).

    Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, PN merupakan satu gabungan baru yang stabil dan sejak memegang tampuk kuasa perikatan itu telah membawa banyak kebaikan kepada rakyat.

    Tambah beliau lagi, sejak PN mengambil alih pemerintahan banyak perkara telah dilakukan bagi membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

    Bukan setakat itu sahaja, di bawah pentadbiran PN kata beliau, perpaduan kaum menjadi lebih kuat dan pertumbuhan ekonomi juga menjadi semakin baik.

    “Jadi kalau mahu yang elok-elok dan baik-baik bersamalah dengan PN dan kita hendak seboleh-bolehnya peningkatan ini menang besar di Melaka.

    “PN ini satu perikatan baru yang kukuh kita buat, jadi kita seru semua rakyat pengundi-pengundi mereka khususnya untuk memilih calon perikatan nasional,” kata beliau dalam satu video yang disiarkan dalam laman media sosialnya.

  • Kesejahteraan ibu bapa muda keutamaan Al Afiz

    Kesejahteraan ibu bapa muda keutamaan Al Afiz

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    ASPEK kesejahteraan golongan ibu bapa muda turut diberi perhatian oleh Perikatan Nasional (PN) di Melaka.

    Perkara itu diberi penekanan oleh calon PN bagi kerusi DUN Bukit Katil, Muhammad Al Afiz Yahya dalam kempennya melalui Facebook.

    Beliau menyedari golongan berkenaan berdepan dengan pelbagai cabaran khususnya dari segi kewangan dalam menguruskan rumah tangga pada usia yang masih muda.

    Berikut adalah hantaran penuh beliau dalam Facebook:

    Bila kahwin masa umur muda, cabaran dia memang lain macam. Secara mudahnya, ibu bapa muda ini ialah pasangan yang baru berkahwin dan masih belum stabil daripada pelbagai sudut terutamanya daripada sudut kewangan.

    Apa keperluan ‘core’ yang ibu ayah usia muda ni perlukan? Dah tentu tempat tinggal yang selesa, ekonomi yang baik dan persekitaran yang lestari untuk aktiviti bersama keluarga.

    Apa yang saya cuba bawa untuk ibu bapa ini mewakili Perikatan Nasional ialah:

    1. Mengurangkan bayaran lesen PBT secara one-fff sebanyak 50% kepada penjaja dan peniaga kecil.
    2. Menyediakan rumah mampu milik.
    3. Membina dan menaik taraf kemudahan rekreasi dan taman awam.
    4. Memperkasakan pusat komuniti.
    5. Meningkatkan penglibatan suri rumah, ibu tunggal dan OKU wanita dalam bidang keusahawanan.
    al afiz yahya prn melaka

    Insya-Allah, inisiatif kepada rakyat Bukit Katil ini akan dilaksanakan sebaik mungkin demi kesenangan ibu bapa muda di waktu sekarang.

    Masa mengundi, ingat kerajaan Prihatin, kerajaan Perikatan Nasional.

    Undilah Perikatan Nasional!

  • Warkah ‘Abah’ Buat Pengundi Melaka

    Warkah ‘Abah’ Buat Pengundi Melaka

    Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera Saudara dan saudari pengundi Melaka yang saya kasihi sekalian,

    Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal’afiat.

    Pilihan Raya Negeri Melaka akan diadakan pada 20 November 2021. Pilihan Raya ini adalah penting kerana ia akan menentukan kerajaan yang akan mentadbir negeri Melaka untuk tempoh lima tahun akan datang. Pilihan yang dibuat oleh saudara dan saudari di peti undi nanti akan menentukan dasar, amalan dan corak pentadbiran kerajaan negeri yang akan dibentuk.

    Perikatan Nasional menerusi Ikrar Untuk Melaka, iaitu komitmen yang ditawarkan oleh Perikatan Nasional untuk rakyat di negeri Melaka, berikrar untuk mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti dan prihatin rakyat.

    Sekiranya mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri, fokus utama Kerajaan Perikatan Nasional ialah untuk memulih dan memajukan ekonomi negeri Melaka, memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat menerusi dasar dan program prihatin rakyat, merancakkan sektor pelancongan, memperbaiki infrastruktur negeri, melestarikan alam sekitar dan mewujudkan sebuah pentadbiran yang bersih dan berintegriti.

    Semua calon Perikatan Nasional yang dipilih dalam kalangan mereka yang berkelayakan dan berintegriti juga telah menandatangani Akujanji Antirasuah, iaitu sebuah pernyataan komitmen dan iltizam untuk menjauhi amalan rasuah dan salah guna kuasa.

    Pengalaman yang lalu mengajar kita bahawa amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin yang tidak bertanggungjawab menyebabkan hasil mahsul negeri dibolot oleh segelintir pihak dan pentadbiran kerajaan negeri menjadi pincang. Rakyat tidak menerima manfaat kekayaan khazanah negeri yang sepatutnya mereka nikmati.

    Kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan saya mempunyai rekod sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti dan beramanah, teguh memegang prinsip antirasuah dan amat prihatin kepada nasib rakyat. Inilah corak pentadbiran kerajaan negeri yang ingin Perikatan Nasional tawarkan kepada rakyat di negeri Melaka.

    Saya berharap agar saudara dan saudari akan memberikan sokongan padu kepada Perikatan Nasional dengan mengundi calon Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada 20 November nanti.

    Saya doakan dengan undi saudara dan saudari ini, Perikatan Nasional akan dapat membentuk kerajaan negeri yang baharu untuk memacu Melaka bangkit sebagai sebuah negeri yang gemilang.

    Sekian, terima kasih. Salam hormat,

    TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

    Pengerusi Perikatan Nasional

    “Abah”

  • Ja’afar Othman ikrar perkukuhkan ekonomi penduduk Durian Tunggal

    Ja’afar Othman ikrar perkukuhkan ekonomi penduduk Durian Tunggal

    CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Ja’afar Othman menawarkan untuk meningkat ekonomi makro dan mikro penduduk setempat sekiranya diberi mandat oleh rakyat menerajui DUN berkenaan.

    Ja’afar berkata, penduduk Durian Tunggal banyak menghasilkan produk-produk persendirian namun menghadapi situasi yang sukar apabila produk yang dihasilkan itu tidak dapat dipasarkan dengan baik.

    “Jadi, itu adalah aspek ekonomi yang mungkin akan saya perkukuh dan perkemaskan. Seperti yang saya cakap sebelum ini, produk kita ada, tapi pemasarannya kurang. Jadi perkara ini kita akan bantu secara teknikal.

    “Sebab sekarang kita sudah ada teknologi, mereka juga boleh berniaga secara atas talian contohnya. Jadi kami akan cuba membantu peniaga-peniaga kecil ini dari sudut pemasaran,” katanya dalam satu bual bicara Sembang Santai HarapTV secara langsung di Facebook.

    Di samping itu, Ja’afar turut beriltizam untuk membantu pengusaha kecil beragama Islam yang menjual produk makanan untuk mendapatkan sijil halal kepada produk mereka.

    “Ini kerana, produk makanan halal ini satu produk besar pada masa ini, yang kita boleh eksport sampai ke Timur Tengah atau ke negara China. Jadi, itu adalah satu perkara yang kita boleh pasarkan. Siapa tahu suatu hari nanti produk anak Durian Tunggal akan pergi peringkat antarabangsa,” tambahnya.

    Perkara ini selari dengan tunjang pertama daripada enam tunjang Ikrar PN Untuk Melaka yang dilancarkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Glanmerie Shah Alam pada 14 November lalu.

    Tunjang pertama itu memfokuskan untuk memantapkan ekonomi negeri Melaka agar lebih utuh dan mampan termasuk memberi tumpuan kepada industri strategik dan berimpak tinggi selain memberikan fokus terhadap pendigitalan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

  • Calon KM : Pemilihan Mas Ermieyati dijangka beri kelebihan kepada Perikatan Nasional

    Calon KM : Pemilihan Mas Ermieyati dijangka beri kelebihan kepada Perikatan Nasional

    AHLI Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dipilih sebagai calon Ketua Menteri jika Perikatan Nasional memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu ini.

    Pemilihan Ahli Parlimen Masjid Tanah yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bidara itu diumumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

    Mas Ermieyati, 45 tahun akan berhadapan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab.Rauf Yusoh di DUN tersebut.

    Pengumuman Muhyiddin itu dilihat mampu memberi impak kepada sokongan pengundi terhadap Perikatan Nasional. Ia memandangkan melalui kajian di lapangan yang dijalankan oleh pelbagai pihak terdapat pengundi yang mahukan muka baharu menjadi Ketua Menteri dan kerajaan negeri diuruskan oleh pentadbiran baharu.

    Keputusan Perikatan Nasional dijangka memberi kesan sokongan kepada Pakatan Harapan  dan Barisan Nasional terutamanya dalam pengundi atas pagar.

    Barisan Nasional dan Pakatan Harapan masing-masing mencalonkan kembali dua bekas Ketua Menteri bagi menduduki jawatan tersebut. Mereka ialah Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali (Barisan Nasional) dan Adly Zahari (Pakatan Harapan).

    ‘’Saya kira ini kali pertama kali dalam sejarah negara seorang wanita profesional dan berkelayakan dicalonkan sebagai Ketua Menteri. Ini membuktikan Perikatan Nasional sentiasa memberi peluang kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina,’’ kata Muhyiddin.

    Beliau berkata, di Melaka segala-galanya bermula, jika seorang wanita terpilih sebagai Ketua Menteri.

    ‘’Kita menaruh harapan kesemua 28 calon ADUN Perikatan Nasional akan mencapai kemenangan besar,’’ katanya.

    Muhyiddin sekali lagi menegaskan, Perikatan Nasional adalah satu-satunya parti dalam PRN Melaka yang  membuat akujanji menentang rasuah dan salah guna kuasa.

    Menjawab satu soalan, Muhyiddin berkata, beliau tidak kisah pandangan sesetengah penganalisis bahawa PRN itu hanya melibatkan pertarungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

    ‘’PRN di Sabah sudah menjadi bukti. Kita mencapai kemenangan walaupun baru tiga minggu ditubuhkan, sekarang kita ada kerajaan. Jadi saya (fikir) jangan memandang rendah kebijaksanaan pengundi-pengundi Melaka,’’ katanya.

    Mas Ermieyati yang berkelulusan undang-undang adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)

  • Dr. Dina aktif bantu masyarakat Ayer Limau sejak 2007 lagi

    Dr. Dina aktif bantu masyarakat Ayer Limau sejak 2007 lagi

    SITUASI getir yang dialami oleh rakyat Malaysia akibat penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu sukar untuk diterjemahkan.

    Pegawai perubatan yang juga petugas barisan hadapan menjadi saksi terhadap penderitaan dialami oleh rakyat Malaysia.

    Berdasarkan pengalaman itu, ia telah mendorong Dr. Nordina Abdul Latif iaitu calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau untuk menyahut cabaran yang diberikan oleh pimpinan gabungan tersebut.

    Mesra dikenali masyarakat sebagai Dr. Dina, pernah bertugas sebagai pegawai kesihatan di Klinik Kesihatan Lubok Cina, Melaka, selama 14 tahun.

    “Alhamdulillah sebelum ini saya bekerja di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tempat bertugas pertama saya adalah di Hospital Melaka, kemudian di Klinik Kesihatan Masjid Tanah, seterusnya ditempatkan di Klinik Kesihatan Lubok Cina,” katanya.

    Beliau yang juga merupakan ibu kepada lima orang anak itu berkata, beliau telah lama bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan membantu NGO seperti SMART.

    “Saya banyak membantu aktiviti kemasyarakatan dan pernah membawa masuk seperti satu aktiviti Komuniti Bebas Rokok serta mendapat pengiktirafan Majlis Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHO),” ujarnya.

    Menurutnya, beliau sayang kepada kawasan Lubok Cina ataupun di DUN Ayer Limau kerana sudah lama berkhidmat untuk masyarakat di kawasan berkenaan.

    “Kalau sebut nama Dr. Dina, alhamdulillah masyarakat di sekitar ini banyak yang mengenali diri saya.

    “Banyak program-program saya yang saya telah buat di kawasan DUN Ayer Limau sejak 2007, memang banyak aktiviti kemasyarakatan yang pernah saya buat di sini,” katanya.

    Terdahulu, Dr. Nordina membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma di sebuah kedai kopi di Kampung Bukit Apit, Melaka selepas secara kebetulan menikmati sarapan di situ.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Dr Nordina yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Mazenah Baharuddin dan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basher daripada Barisan Nasional (BN).

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Ayer Limau dimenangi oleh Datuk Amiruddin Yusof daripada BN dengan majoriti undi 1,479.