PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, mereka buat masa ini hanya mahu memberi tumpuan kepada pengukuhan parti dan Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu berbanding perkara lain.
Beliau berkata, ia termasuk soal kerjasama dengan pihak lain terutama berkaitan Muafakat Nasional (MN) yang sedang diperkatakan ketika ini.
Malah menurut Menteri Besar Johor itu, pengukuhan UMNO dan BN lebih utama kerana sebarang jalinan kerjasama sepatutnya bersandarkan kepada kekukuhan parti itu sendiri.
“Kita tahu MN adalah satu persefahaman yang dibuat atas persetujuan kedua-dua pihak di mana satu piagam telah ditandatangani antara UMNO dan Pas.
“Namun pada saya apa yang penting sekarang adalah UMNO dan BN itu sendiri perlu diperkuatkan dengan mengatasi segala masalah yang boleh gugat kekuatan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kebun Bandar di Taman Impian Emas di Johor Bahru, hari ini.
Hasni (kanan) memetik timun yang diusahakan dalam kawasan pekarangan masjid sebelum menyempurnakan Majlis Pelancaran Kebun Bandar di Taman Impian Emas, Johor Bahru, hari ini
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu diminta mengulas pendirian UMNO Johor dalam soal kerjasama MN bersama Pas.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menolak gagasan Muafakat Nasional (MN) kerana UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.
Berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Namun malangnya apabila sampai di peringkat pelaksanaan, kepimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan Pas dalam MN.
Bagaimanapun Hasni berkata, pihaknya tidak menolak untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Perkara itu tertakluk kepada kekuatan UMNO dan BN itu sendiri. Di Johor kita dapat lihat UMNO dan BN buat program sendiri, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga buat program sendiri, jadi saya rasa itu satu suasana amat sihat di mana masing-masing jaga parti sendiri,” ujarnya.
KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari di Lawas dijangka menjadi ‘medan pertempuran’ sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Menjelang hari penamaan calon esok, Bukit Sari, yang menjadi kubu kuat Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), diramalkan menyaksikan sekurang-kurangnya pertembungan lima penjuru.
Setakat hari ini, hanya GPS dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) secara rasmi mengesahkan calon masing-masing iaitu penyandang kerusi, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (GPS) yang menang tanpa bertanding di Bukit Sari pada PRN ke-11, manakala PBK diwakili pesara tentera Riyah Basrah.
Bagaimanapun, menurut sumber, dua calon itu dijangka berdepan saingan daripada beberapa calon termasuk daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Bebas.
“Difahamkan, PSB akan hantar calon untuk bersaing dan parti pembangkang dari Semenanjung mungkin letak calon juga pada saat akhir esok serta individu bebas,” katanya kepada Bernama.
Pada PRN 2016, Awang Tengah menang tanpa bertanding sementara pada PRN 2011 beliau yang juga Timbalan Presiden PBB menang dengan majoriti 5,063 undi mengalahkan calon PKR Japar Suyut.
Sebelum ini, berdasarkan senarai calon Pakatan Harapan pada PRN ke-12, PKR dan DAP masing-masing tidak meletakkan calon mereka di Bukit Sari, begitu juga dengan PAS.
Sementara itu, parti lain yang berhasrat bertanding dalam gelanggang pilihan raya negeri kali ini iaitu PSB dan Parti Amanah Negara (Amanah), belum mengumumkan secara rasmi calon mereka setakat hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari penamaan calon PRN Sarawak sementara undi awal dijadualkan berlangsung 14 Dis manakala hari mengundi pula pada 18 Dis. – BERNAMA
PENULIS sebenarnya tidak ada masalah malah memuji tindakan Hannah Yeoh yang bertudung apabila hadir dalam satu majlis di sebuah masjid, baru-baru ini.
Apa yang dilakukan oleh Hannah harus dipuji kerana tahu membawa diri dan menghormati majlis. Bagaimanapun apabila tindakan Hannah dikritik oleh rakan separtinya itu yang menjadi masalah.
Bekas Pengerusi DAP Johor, Dr. Boop Cheng Hau mengkritik cara pemakaian Hannah itu dalam kumpulan WhatsApp pemimpin DAP.
“Mungkin semua wakil wanita kita harus memakai tudung bukan sahaja di masjid tetapi di seluruh tempat seperti di pasar awam, gereja, sekolah dan sebagainya.
“Lebih bagus, semua orang perlu memeluk Islam. Kemudian kita akan pasti memenangi Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Apa kata anda semua?” sindirnya yang juga bekas pengerusi DAP Johor seperti dilapor portal Malaysiakini berdasarkan komunikasi WhatsApp yang bocor.
Kritikan itu mendapat reaksi Setiausaha Agung Lim Guan Eng., sekali lagi penulis tidak ada masalah dengan teguran beliau apabila Ahli Parlimen Bagan itu menasihatkan Boo agar mengutamakan isu rakyat seperti kenaikan harga barang keperluan yang melambung tinggi berbanding ‘taksub’ terhadap pakaian pemimpin wanita DAP ketika melawat masjid atau tempat ibadat”.
“Bagi seorang pemimpin lelaki DAP menjadikan pakaian dipakai Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh ketika mengunjungi masjid sebagai satu masalah tidak ada bezanya dengan pemimpin Pas yang ekstremis dan primitif yang mahu mengawal apa yang boleh atau tidak boleh dipakai oleh wanita.
“Ini bukan sahaja tidak sensitif jantina tetapi juga menunjukkan bahawa kita sama tidak bertoleransi dan regresif seperti pemimpin ekstremis Pas,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan seperti dilapor Malaysiakini.
Soalnya apa hal pula dikaitkan dengan Pas? Setahu penulis tidak ada seorang pun pemimpin Pas yang membuat sebarang komen berhubung pakaian Hannah.
Sepatutnya Guan Eng lebih berhati-hati apabila membuat kenyataan bak kata orang.. ”Itu masalah kau orang..apa hal babitkan Pas”.
Penulis percaya tidak ada mana-mana pemimpin Pas akan mencampuri apa yang Hannah lakukan kecualilah beliau mengenakan pakaian menjolok mata ketika memasuki masjid.
Kalau itu berlaku bukan kata Pas malah seluruh umat Islam akan bangkit mengecam Hannah tetapi itu tidak berlaku kerana Hannah tahu apa yang pakaian sesuai untuk memasuki kawasan masjid.
Gambar Facebook Hannah Yeoh
Dan untuk rekod, ini bukan kali pertama Hannah bertudung apabila menghadiri majlis di masjid, sejak beberapa tahu lalu lagi beliau berbuat demikian. Rajin-rajinlah Google atau Facebook Hannah Yeoh… di situ ada gambar-gambar berkaitan. Jadi agak hairan jugak kenapakah kali ini ia menjadi isu?
Adakah benar apa yang terjadi membuktikan pertembungan tidak berkesudahan antara puak progresif dan konservatif dalam DAP?
Tetapi tidak mengapalah, itu soal dalaman DAP, namun kalaulah ada perbezaan pandangan atau pertembungan antara kelompok dalam parti janganlah nak alih isu dengan melibatkan parti lain.
Sebab itu sebenarnya politik tidak cerdik dan membuktikan kelemahan seorang pemimpin mengendalikan isu dalaman partinya. Seperkara lagi kenapa Guan Eng menganggap pemimpin Pas bersikap ekstrem? Apa buktinya? Bagaimana kalau orang menuduh DAP parti perkauman? Adakah Guan Eng boleh menerimanya? Jadi janganlah menuduh parti lain sesuka hati!
Tak kan usaha Pas mempertahankan perjuangan Islamnya dan memastikan perkara-perkara berkaitan Islam ditegakkan itu dianggap ekstrem? Selagi apa yang dilakukan bertepatan Perlembagaan dan tidak mengganggu hak kaum serta agama lain, ia tidak ada salahnya.
Kalaulah Guan Eng sesuka hati boleh melemparkan tuduhan kepada Pas maka jangan marah jika selepas ini pemimpin Pas pula akan bertindak balas mengecam DAP. Soalnya adakah itu akan menguntungkan rakyat?
Oleh itu lebih baik jika Guan Eng tidak mengaitkan parti lain bila ada isu dalam DAP. Jika Guan Eng menasihatkan Boo supaya menumpukan kepada isu rakyat seperti kenaikan harga barang maka beliau juga seharusnya mengelakkan membuat kenyataan yang hanya akan ‘memanaskan suhu’ politik negara.
Janganlah menjadi ‘ketam mengajar anaknya berjalan betul’ walaupun kita tahu DAP masih lagi ‘berduka’ dengan pencapaian di PRN Melaka dan gelisah jika di PRN Sarawak keputusannya lebih parah.
PERTIKAMAN lidah antara bekas Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung isu Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memakai tudung di masjid menjadi semakin panas.
Dalam catatan Facebook miliknya, Cheng Hau menuduh Guan Eng sebagai ‘pak turut’ kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Menteri Kewangan era rejim Pakatan Harapan (PH) dahulu.
Beliau mengungkit perkara itu ekoran keengganan Guan Eng meluluskan peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).
“Saudara Setiausaha Agung, sehingga kini anda masih tidak faham mengapa kaum Cina masih tidak dapat menerima keengganan anda meluluskan dana untuk TAR UC semasa anda menjadi Menteri Kewangan.
“Kaum Cina kecewa dengan anda kerana mengutamakan sentimen kepartian mengatasi pendidikan dan menjadi ‘pak turut’ kepada Tun Mahathir,” katanya.
Baru-baru ini, Cheng Hau membidas pakaian Hannah pada hari terbuka masjid di kawasannya dalam perbualan kumpulan WhatsApp DAP Johor yang bocor.
“Mungkin semua wakil wanita kita harus memakai tudung bukan sahaja di masjid tetapi di seluruh tempat seperti di pasar awam, gereja, sekolah dan sebagainya.
“Lebih bagus, semua orang perlu memeluk Islam. Kemudian kita akan pasti memenangi Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Apa kata anda semua,” soalnya pada perbualan itu.
Cheng Hau mempertahankan kenyataannya ketika bercakap kepada Malaysiakini, berkata walaupun sensitiviti budaya adalah penting, DAP mesti melampaui cara ‘dangkal’ dalam mendekati masyarakat Melayu, sambil berlaku adil kepada semua masyarakat.
Berikutan itu, Guan Eng membela Hannah dan menempelak Cheng Hau secara terbuka.
Pada masa yang sama, Cheng Hau tetap mempertahankan pendiriannya mengecam tindakan Hannah memakai tudung yang disifatkannya sebagai gimik politik.
Menurut beliau, gimik politik yang dibuat-buat hanya mampu meraih keuntungan politik yang sementara.
“Perbuatan mengambil hati mana-mana kumpulan etnik secara keterlaluan tidak akan memberi kesan politik jangka panjang.
“Kekalahan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan amaran yang membimbangkan kepada DAP dan PH,” jelasnya.
PAS akan hanya meletakkan seorang calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata keputusan meletakkan seorang calon dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk situasi terkini Covid-19 dalam negara.
Calon tunggal parti itu ialah Setiausaha Pas negeri Mohammad Arifiriazul Paijo.
“Keputusan meletakkan hanya seorang calon pada PRN12 dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk situasi Covid-19 yang masih belum berakhir.
“Pas juga mahu memelihara hubungan di peringkat pusat dengan kerajaan pelbagai parti termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon Pas PRN12 Sarawak, hari ini,di Kuching.
Turut hadir Ketua Penerangan Pas Senator Khairil Nizam Khirudin dan Pesuruhjaya Pas Sarawak Jofri Jaraiee.
Mohammad Arifiriazul, 37, merupakan usahawan dan pernah bertanding di Lambir, satu daripada 11 kerusi yang ditandingi PAS pada PRN11.- BERNAMA
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluh kerana partinya dilabel sebagai ‘tamak’ sedangkan ia cuma menerima sisa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang sedang dibahagikan.
Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, PKR hanya diberikan kerusi tidak boleh dimenangi yang tidak diingini oleh orang lain.
“Kerusi yang lebih berdaya saing sedang dituntut oleh semua parti ini.
“Tetapi kerusi yang mereka tidak bertapak, tiada harapan untuk parti-parti ini (mereka katakan) ‘OK PKR lebih baik bertanding (di sana) jika tidak anda akan membenarkan GPS menang tanpa bertanding’ dan kami terbeban dengan ini.
“Rakyat menganggap PKR tamak. (Tetapi) kita merebut kerusi yang kita boleh menang, (kerusi) kategori A, tetapi kita diberi kerusi kategori F,” katanya kepada pemberita di Port Dickson, hari ini.
Pada masa yang sama, Anwar berkata, PKR perlu bertanding di beberapa kerusi yang lebih sukar ini kerana mereka mempunyai kehadiran yang lebih besar daripada parti lain.
Beliau yang juga Pengerusi PH berkata demikian ketika menjelaskan mengapa PKR meletakkan tidak ramai calon pada PRN Sarawak.
PKR Sarawak diperuntukkan 47 kerusi untuk ditandingi semasa rundingan dengan DAP awal tahun ini.
Bagaimanapun, ia kemudiannya menuntut lebih banyak kerusi untuk bertanding, namun DAP enggan berganjak.
Selepas usaha untuk mendapatkan lebih banyak kerusi tidak membuahkan hasil, PKR sebaliknya memilih untuk bertanding sedikit kerusi saja.
Anwar berkata, mereka mungkin bertanding antara 28 atau 29 kerusi sahaja kali ini, supaya jentera parti tidak terlalu kurang.
PKR sebelum ini memenangi tiga kerusi pada PRN Sarawak 2016.
Bagaimanapun, semua wakil rakyat mereka keluar parti dengan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan seorang lagi memasuki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) mempersoalkan sama ada Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadiri prosiding rayuannya di mahkamah Isnin ini bagi membatalkan perbicaraan kes rasuahnya dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim ketika membangkitkan perkara itu mendakwa bahawa maklumat diperolehinya menunjukkan Rosmah masih berada di Singapura.
Beliau membangkitkan keraguan itu apabila Rosmah gagal pulang ke negara ini sebelum 21 November seperti yang disyaratkan oleh mahkamah.
“Beliau sepatutnya pulang sebelum 21 November dan selepas pulang kena lalui proses kuarantin. Peguam mengatakan beliau akan hadir sesi rayuan di mahkamah Isnin ini.
“Persoalannya adakah beliau sudah ada di Malaysia atau masih lagi ada di Singapura, sebab beliau kena kembalikan pasport 6 Disember dan perlu hadir sesi prosiding rayuan pada hari sama…takkan balik sampai terus boleh ke mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membuat laporan polis.
Mohd Ashraf menambah, pihaknya membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa membatalkan pasport Rosmah dan membawanya pulang ke Malaysia kerana gagal hadir di Mahkamah Rayuan dua hari lalu.
“Mahkamah sebelum ini menetapkan memulangkan sementara pasport Rosmah untuk ke Singapura dengan syarat hanya dari 22 Oktober hingga 21 November, dan pasport wajib dipulangkan ke mahkamah selewat-lewatnya 6 Disember.
“Malangnya, Rosmah gagal hadir perbicaraan kesnya kerana masih berada di luar negara. Terang-terang beliau telah langgar dan hina perintah mahkamah. Ini satu penghinaan terhadap sistem keadilan negara.
“Kita minta polis siasat dan tindakan diambil kalau tidak sistem perundangan negara, sistem kehakiman dan pihak berkuasa akan ditertawa oleh negara luar,” jelasnya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Jabatan Peguam Negara tidak membantah apabila Rosmah memohon untuk ke Singapura.
“Kita minta mahkamah layan Rosmah macam kes perbicaraan rakyat biasa yang lain,” katanya.
Kelmarin, Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar sambungan hujahan rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dan menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.
Rosmah sepatutnya pulang ke negara ini pada 21 November lalu, tetapi peguam Jagjit Singh hanya memaklumkan ketidakhadiran anak guamnya 10 minit sebelum mahkamah bersidang.
Jagjit dilaporkan berkata, anak guamnya masih berada di Singapura. Beliau mengaku ia pelanggaran perintah Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 15 Oktober lalu, untuk membenarkan isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu menemani anaknya bersalin.
PRESIDEN Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menyatakan bahawa Yayasan Penjaja dan Perniagaan Kecil 1Malaysia (YPPKM) yang ditubuhkan partinya tidak sama dengan yayasan yang diasaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, yayasan yang diasaskan bekas Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong itu benar-benar membantu peniaga kecil.
“Selain mempunyai Universiti Terbuka Wawasan, Gerakan juga mempunyai sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh (bekas presiden kami) Mah Siew Keong bernama YPPKM.
“Saya masih ingat bahawa Siew Keong telah menubuhkan yayasan ini semasa menjadi menteri Kabinet, untuk membantu penjaja dan pengusaha perniagaan kecil. Mari kita berikan tepukan gemuruh kepada Mah Siew Keong.
“Tetapi saya ingin mengatakan bahawa yayasan ini tidak seperti Zahid. Ia berbeza. Melalui yayasan ini, kita benar-benar membantu perniagaan kecil di negara kita,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.
Difahamkan, beliau merujuk kepada kes mahkamah yang dihadapi Ahmad Zahid melibatkan sebuah yayasan bernama Yayasan Akal Budi.
Kes itu menyaksikan Zahid berdepan siri pertuduhan jenayah membabitkan pecah amanah RM20.83 juta, menerima suapan RM21.25 juta sebagai menteri dalam negeri, dan pengubahan wang haram RM72.07 juta.
Sementara itu, Dominic turut mengingatkan para perwakilan tentang pentingnya Gerakan mendapatkan semula mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, tiada guna parti itu menjadi pertubuhan politik jika tidak mempunyai wakil di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita mesti memenangi pilihan raya dan mendapat mandat untuk masuk Parlimen dan DUN.
“Jika kita masih gagal mendapatkan ini, kita akan menjadi seperti NGO di luar, yang hanya boleh menyuarakan kebimbangan mereka di luar tetapi tidak boleh mewakili rakyat di dalam Parlimen dan DUN,” katanya.
Bagi memenangi pilihan raya akan datang, Dominic menegaskan parti itu perlu fokus mendapatkan sokongan pengundi muda.
Katanya, Undi18 yang bermula tahun depan akan menyaksikan sejumlah besar anak muda berumur 18 tahun ke atas menjadi pengundi di setiap kawasan.
“Ini adalah kumpulan besar di mana kita mesti mendapat sokongan mereka.
“Jawatankuasa pusat parti telah menjalankan analisis, dan didapati secara amnya, setiap kawasan akan melihat kira-kira 20,000 pengundi muda, malah ada sehingga 80,000.
“Oleh itu, kita mesti menggunakan kaedah baharu untuk membuat persediaan menghadapi pilihan raya ini,” katanya sambil menambah parti itu akan mengalih tumpuan daripada kaedah kempen tradisional kepada digital untuk menarik minat golongan muda.
KEGAGALAN UMNO mematuhi perjanjian dalam piagam yang disepakati dalam Muafakat Nasional menjadi punca Pas menolak gagasan itu, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Presiden Pas itu menegaskan, berdasarkan apa yang dipersetujui bersama kedua-dua parti bersedia menerima parti-parti lain termasuk Bersatu dan NGO untuk menyertai Muafakat Nasional.
‘’Tetapi apabila sampai peringkat pelaksanaan, kepimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan Pas dalam Muafakat Nasional, ini bermakna ia sudah lari daripada perjanjian, ini tak betul sedangkan kita berpegang pada perjanjian. UMNO mahu Pas dan parti mereka sahaja dalam Muafakat Nasional,” tegasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Mahabbah Rasulullah SAW sempena Maulidur Rasul di Larut, hari ini yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Abdul Hadi juga menegaskan, UMNO tidak boleh mengarahkan Pas mengikut kehendak parti itu.
‘’Nak suruh Pas dengan UMNO sahaja dalam Muafakat Nasional.. tak boleh, sebab kita dah berjanji dengan parti-parti lain, kita sudah tetapkan tarikh nak berjumpa dengan Bersatu dan parti lain, bahkan nak terima Bersatu masuk. Pas terbuka tetapi malangnya dia (pimpinan UMNO) nak Pas dengan UMNO sahaja, jadi tak bolehlah, Pas tak boleh diarah, Pas parti tersendiri, Pas bukan di bawah BN,” tegasnya.
Ketika berucap di majlis tersebut, Abdul Hadi secara tegas mengingatkan, Pas tidak akan teragak-agak melawan pihak yang degil dalam soal kerjasama politik.
“Siapa pihak yang degil itu? Kita akan lihat nanti, tapi satu contoh sudah berlaku di Melaka (PRN) apabila UMNO degil kita lawanlah. Dalam PRU-15 nanti tak tahu lagi. Boleh jadi UMNO kena fikir balik kerana dalam PRN Melaka undi kepada UMNO tak naik, undi ditakuk lama, bagaimana kalau semua keluar habis mengundi? Jadi dia (UMNO) kena fikir baliklah,” katanya.
PARTI Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mengakui persaingan sengit perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan bandar terutamanya melibatkan pengundi majoriti masyarakat Cina dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Setiausaha Agungnya Datuk Sebastian Ting berkata antara kawasan bandar yang menjadi tumpuan dan penuh dengan cabaran ialah di Pujut, Senadin, Piasau, Batu Kawa, Kota Sentosa, Padungan, Batu Kitang, Pending dan Batu Lintang.
“Di seluruh Sarawak, semua kawasan yang pengundinya majoriti Cina dijangka menghadapi tentangan sengit dan mencabar termasuk kesemua 18 kerusi yang ditandingi oleh SUPP,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sepakat@Komuniti anjuran Jabatan Penerangan di Miri hari ini.
Katanya politik tidak boleh diramal, tetapi yang pasti kesemua calon dari SUPP akan terus menabur bakti selaras dengan objektif utama penubuhan parti itu sejak 1959 yang akan turun padang berkhidmat untuk rakyat.
“Kami semua sangat komited, bekerja keras dan tidak pernah mengalah kerana SUPP adalah parti yang berorientasikan perkhidmatan. Rakyat akan tentukan dan kita akan lihat berapa banyak sokongan yang kami terima,” katanya
Ketika ditanya mengenai Datuk Bandar Miri, Adam Yii yang menjadi calon baharu bertanding di Pujut, Sebastian berkata beliau yakin dengan keupayaan Yii untuk merampas kembali kerusi terbabit daripada DAP yang memenanginya pada PRN Sarawak ke-11.
“Tentunya kami di SUPP gembira apabila Datuk Bandar Miri Adam Yii adalah calon di DUN Pujut. Kami perlu berjuang bersama-sama bagi membawa kejayaan untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS),” tambahnya.
Pada PRN11 kerusi DUN Pujut dimenangi Dr Ting Tiong Choon daripada DAP. Dr Ting kemudian dilucutkan kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Mei 2017, kerana memiliki dua kewarganegaraan iaitu Australia dan Malaysia.
Pada PRN11, SUPP menang tujuh kawasan DUN iaitu Simanggang yang dimenangi Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Seri Huang Tiong Sii (DUN Repok), Lo Khere Chiang (Batu Kitang), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (Batu Kawah), Datuk Ding Kuong Hiing (Meradong), Sebastian (Piasau), serta DUN Senadin yang dimenangi oleh Datuk Seri Lee Kim Shin.
GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), SUPP dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 18 Dis ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak, penamaan calon pada 6 Dis manakala pengundian awal pula ditetapkan pada 14 Dis. – BERNAMA