Category: Politik

  • PRN Johor: BN yakin menang selesa, majoriti dua pertiga…mampukah?

    PRN Johor: BN yakin menang selesa, majoriti dua pertiga…mampukah?

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad semasa berucap semasa Taklimat Pilihanraya MIC Johor di Johor Bahru, semalam, memberitahu, Sultan Johor mudah memberikan perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, kelmarin.

    “Sultan Johor tidak banyak soal, tidak banyak pertanyaan, baginda setuju bubar DUN dan serahkan semula mandat kepada rakyat,” katanya.

    Keadaan itu seakan-akan tenang ‘di atas’ tetapi sebenarnya bergolak ‘di dasarnya’. Ini kerana pembubaran DUN Johor masih lagi mengejutkan ramai pihak kerana tidak menyangka langkah tersebut diambil walaupun Johor antara negeri tertinggi kadar jangkitan Covid-19 ketika ini.

    Tanpa mempedulikan nyawa rakyat dan risiko Covid-19 di Johor serta tidak hirau sains ata data bahawa varian Omicron membiak dengan amat pantas mengalahkan Delta, apa yang lebih penting adalah mengukuh hegemoni UMNO.

    Objektif UMNO bukan sahaja untuk menewaskan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) tetapi juga mahu hapuskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari bumi Johor-iaitu tempat lahirnya parti Bersatu.

    Sejak pembubaran DUN kelmarin, boleh dilihat dalam setiap sidang akhbar atau ucapan Hasni akan menebak persoalan atau memberikan alasan PRN Johor perlu diadakan kerana kerajaan campuran BN, Bersatu dan Pas pimpinan beliau di Johor hanya ada satu kelebihan kerusi.

    Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor memberikan contoh semasa membuat satu keputusan dalam sidang DUN Johor baru-baru ini, keputusan tidak dapat dibuat kerana tergantung kerana masing-masing kerajaan dan pembangkang memberikan 27 undi.

    Namun keputusan itu memihak kepada kerajaan sebelum ini dan Hasni tidak menyatakan pula ‘kekurangan satu kerusi’ itu tidak menghalang pembangkang sepakat meluluskan Belanjawan Johor 2022 dan meluluskan pindaan calon usia 18 bertanding dalam pilihan raya dalam sidang DUN.

    Ini dijadikan Hasni dan pemimpin UMNO Johor ‘modal’ dalam konteks ‘matlamat menghalalkan cara’. Ini adalah cara dan strategi mereka dalam mengalih isu utama mengapa PRN itu perlu dilakukan dalam keadaan pandemik dan pascabanjir yang masih menekan hidup rakyat Johor.

    Umum mengetahui rata-rata rakyat Johor tidak bersetuju PRN diadakan. Masanya tidak sesuai dan alasan untuk mendapatkan mandat rakyat juga tidak boleh dipakai kerana alasan itu sangat rapuh – malah tidak berpijak di bumi nyata.

    PRN Johor adalah pertama kali dalam sejarah negeri itu. Walaupun Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 membenarkan DUN dibubarkan, tiada siapa mahukan PRN kecuali pihak ‘kolonial UMNO’ yang terus mahu menjarah dan menjajah untuk mendapatkan kuasa politik.

    Walaupun Hasni yakin menang PRN ini dengan jangkaan majoriti dua pertiga, sebenarnya UMNO dan BN tidak akan semudah itu diberikan laluan untuk menjadi dominan dalam ‘menguasai’ pusat pentadbiran ibu negeri di Iskandar Puteri.

    Bersatu selain blok pembangkang seperti PH, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) atau Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan memberikan tentangan sengit dalam PRN ini yang jauh lebih mencabar berbanding PRN Melaka, Sarawak atau Sabah.

    Ramai menjangkakan strategi PRN Johor akan menyaksikan peratusan keluar mengundi akan rendah sekali gus memberi kelebihan kepada BN.

    Meskipun jangkaan atau ramalan peratusan keluar mengundi belum dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), berdasarkan strategi itu tidak mustahil krisis kepercayaan masyarakat Johor bakal memberi impak terhadap peratusan keluar mengundi.

    BN juga dilihat yakin dan ‘selesa’ kerana walaupun Johor menjadi antara negeri terjejas teruk akibat banjir, tidak ada isu berkenaan bantuan banjir kerana beranggapan perkara itu sudah diselesaikan. Jadi isu banjir tidak akan menjejaskan peluang mereka dalam PRN ini.

    Jika isu Covid-19 akan mendominasi pentas politik PRN Johor, ini juga dirasakan tidak mempunyai impak kerana seluruh negara berdepan pandemik itu. Begitu juga isu insiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara yang sudah disambung semula minggu lalu.

    Semua isu itu tidak akan menjadi masalah kepada BN, namun gabungan itu tetap menempuh laluan berliku dan tajam terutama kira-kira 20 kerusi DUN yang didapati kelabu dan hitam sekali gus mustahil untuk dimenangi semula.

    Kerusi-kerusi kelabu dan hitam itu antaranya di DUN Skudai, Senai, Bukit Batu, Johor Jaya, Yong Peng, Bekok, Bukit Batu, Mengkibol, Bakri dan Perling yang kebanyakannya kawasan bandar serta pinggir bandar.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), BN hanya mengalami kekalahan teruk di kerusi-kerusi tersebut contohnya di Skudai kecundang dengan majoriti 35,126 undi; Puteri Wangsa (24,959); Mengkibol (19,226) dan Senai (18,902).

    Bersatu sekiranya bergabung dalam blok pembangkang akan membentuk satu pasukan yang kukuh sekali gus mampu merobohkan benteng BN dan tidak mustahil akan kembali semula ke tampuk pemerintahan.

  • Pejuang tanding 42 kerusi DUN dalam PRN Johor

    Pejuang tanding 42 kerusi DUN dalam PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan membuat kemunculan pertamanya dalam arena politik tanahiar apabila mengumumkan untuk bertanding di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr. Saharuddin Mohd. Salleh berkata, semua kerusi akan ditandingi mereka adalah di kawasan majoriti Melayu.

    Beliau berkata, pihaknya menyasarkan pengundi Melayu kerana yakin Pejuang akan mendapat tempat dan memenangi hati mereka terutama dengan motto parti Berintegriti, Bersih, Cekap dan Amanah.

    Jelas Ahli Parlimen Sri Gading itu, tiada masalah sekiranya parti itu akan bertemu dengan UMNO yang juga menyasarkan kawasan Melayu.

    “Jika orang Melayu boleh terima UMNO, kenapa mereka tidak boleh menerima Pejuang iaitu sebuah parti yang menentang rasuah dan memperjuangkan integriti.

    “Kita yakin orang Melayu akan memilih Pejuang. Jika menang kita akan bentuk kerajaan sendiri walaupun dua pertiga majoriti menang atau 36 kerusi DUN negeri sudah boleh membentuk kerajaan,” katanya ketika dihubungi.

    DUN Johor dibubarkan kelmarin selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

    Pejuang sebelum ini mengumumkan tidak bertanding di PRN Melaka dan Sarawak malah tidak akan membantu mana-mana parti politik berkempen.

    Menurut Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, ini kerana pilihan raya itu berlaku berkenaan cuma mainan politik pihak tertentu selain keadaan semasa negara yang masih berdepan Covid-19 dan bukan masa terbaik mengadakan pilihan raya.

    Mengulas lanjut, Dr. Saharuddin yang juga Bendahari Agung Pejuang berkata, setakat ini pihaknya belum memutuskan untuk bertanding secara solo atau bakal berganding dengan Pakatan Harapan (PH) untuk PRN tersebut.

    Menuruntnya, perbincangan dengan PH sudah dilakukan untuk bergabung sebagai satu barisan dalam blok pembangkang tetapi masih belum ada kata putus lagi kerana perlu menimbang perkara itu.

    “Pejuang cadang bergerak secara solo dalam PRN ini kerana percaya akan menang di kerusi yang kita tandingi. Kita akan teliti perkara ini.

    “Ada yang bertanya, kenapa Pejuang perlu bertanding solo? Saya kata apa masalahnya kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) pun akan tanding solo. Kita tidak kisah kalau berlaku pertembungan tiga penjuru dengan pihak lain,” katanya.

  • Yakin menang majoriti dua pertiga, BN Johor tanding solo

    Yakin menang majoriti dua pertiga, BN Johor tanding solo

    BARISAN Nasional (BN) Johor bercadang bertanding tanpa kerjasama parti lain di luar gabungan itu kerana yakin menang dua pertiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad berkata namun keputusan itu tertakluk kepada pucuk pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.

    “Sebagai parti di peringkat negeri kita telah pun mencadangkan untuk bergerak secara solo iaitu BN secara bersendirian, kita akan bertanding di semua 56 kerusi.

    “Tapi ia bukan kuasa kita kerana perkara kerjasama parti dalam hadapi PRN ditentukan pucuk pimpinan di peringkat pusat,” kata Menteri Besar Johor selepas merasmikan majlis penutup Taklimat Pilihan Raya MIC negeri di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di Johor Bahru hari ini.

    Turut hadir Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran.

    Mengenai keputusan membubarkan DUN Johor bagi mengadakan PRN yang dibuat secara unilateral tanpa melibatkan perbincangan antara parti membentuk kerajaan negeri sedia ada, Hasni berkata tiada keperluan untuk mendapatkan persetujuan parti lain.

     “Perkara itu tidak berbangkit kerana ia mengikut Fasal 23 Bahagian Kedua dan Ketiga Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang diperkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim.

    “Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) negeri hanya dimaklumkan tentang hasrat ketua kerajaan untuk mencadangkan atau mengemukakan permintaan kepada raja (untuk mempertimbangkan cadangan pembubaran DUN), bukan perlu mendapat persetujuan MMK. Tidak, ia bukan begitu,” katanya.

    Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu Johor Mohd Solihan Badri dilaporkan berkata keputusan membubarkan DUN Johor bagi mengadakan PRN, dibuat secara unilateral tanpa melibatkan perbincangan antara parti yang membentuk kerajaan negeri sedia ada, sekali gus mengetepikan Bersatu dan PAS.

    Kerajaan negeri sebelum ini diterajui BN dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi); MIC (dua); Bersatu (11); dan PAS (satu) manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi iaitu DAP (14); PKR (tujuh); dan Amanah (enam).

    Ditanya mengenai Johor menjadi medan pertama pengundi 18 tahun, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata pihaknya tidak akan memandang remeh kuasa mengundi golongan muda dalam PRN itu dan akan menyusun strategi bagi mendapatkan sokongan daripada golongan itu.

    Beliau berkata PRN Johor akan menyaksikan lebih 150,000 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun yang layak mengundi buat pertama kali dalam sejarah.

    — BERNAMA

  • Speaker serah warta mansuh DUN Johor kepada SPR

    Speaker serah warta mansuh DUN Johor kepada SPR

    SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat menyerahkan warta kerajaan mengenai pemasyhuran memansuhkan DUN Johor yang ke-14 bertarikh 22 Jan 2022 kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, Nor Nekman Jaimon, hari ini.

    Dengan penyerahan warta kerajaan tersebut, Suhaizan berkata, secara langsung membolehkan SPR melaksanakan proses seterusnya untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Johor.

    “Saya telah terima surat pemakluman mengenai pemasyhuran itu pada pukul 10 pagi tadi, yang kemudiannya telah diwartakan.

    “Jadi petang ini, saya serahkan dan maklumkan kepada SPR mengenai pemansuhan DUN Johor. Selepas ini, SPR akan melaksanakan proses seterusnya iaitu mengadakan PRN dalam tempoh 60 hari,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

    Sementara itu, Nor Nekman berkata tarikh mesyuarat khas berkenaan PRN Johor akan diputuskan oleh SPR pusat. – BERNAMA

  • PAS Kelantan hormat keputusan UMNO putus hubungan

    PAS Kelantan hormat keputusan UMNO putus hubungan

    PAS Kelantan menghormati keputusan UMNO negeri itu untuk memutuskan hubungan antara kedua-dua parti politik itu berkuat kuasa semalam.

    Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan keputusan itu dilakukan oleh pihak kepimpinan dalaman UMNO sendiri.

    “Kita secara mesra memahami hasrat UMNO untuk memutuskan hubungan politik ini kerana ia (UMNO) tidak boleh terima Bersatu. Tetapi, pendirian kita masih mahu bersama dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) bagi memperkasakan Perikatan Nasional (PN).

    “Malah, Islam juga turut mementingkan perpaduan jadi kita berhasrat untuk terus bersama UMNO sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melancarkan sambutan dua dekad penubuhan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilaporkan berkata, UMNO Kelantan membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PAS negeri itu.

    Keputusan itu dibuat selepas pertemuan antara Biro Politik UMNO Kelantan dengan Dewan Harian PAS Kelantan gagal mencari kata putus berhubung kerjasama kedua-dua parti dalam MN.

    Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata menerusi perbincangan bersama UMNO semalam, PAS meminta hubungan ini tidak diputuskan memandangkan keadaan semasa kedua-dua parti adalah baik.

    “Namun, kita tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan ia telah diputuskan.

    “Kita juga bersedia untuk berjumpa semula dengan UMNO. Malah, kita turut berharap pada masa akan datang tidak ada pertandingan tiga penjuru, hanya dua penjuru demi kepentingan Melayu dan Islam,” katanya. – BERNAMA

  • UMNO Kelantan pernah suara hasrat putus hubungan dengan PAS

    UMNO Kelantan pernah suara hasrat putus hubungan dengan PAS

    UMNO Kelantan pernah menyuarakan hasrat mahu memutuskan hubungan dengan PAS negeri itu pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata ketika itu, kepimpinan parti menyerahkan kepada kebijaksanaan UMNO Kelantan untuk menentukan masa depan parti di negeri itu.

    “Selagi keputusan tidak merugikan UMNO dan itu yang dirasakan terbaik untuk kekuatan UMNO di Kelantan, kita kata ‘go ahead’ (teruskan).

    “Setiap negeri mempunyai pandangan berbeza berdasarkan negeri masing-masing. Pandangan di Pahang mungkin berbeza di Kelantan atau di Terengganu yang berlainan daripada Selangor.

    “Ada yang mahu bekerjasama dan ada yang tidak, dan ada juga yang masih hendak berbincang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pertemuan tertutup dengan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Pejabat Kemas Bera di Bera hari ini.

    Ismail Sabri berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub semalam, bahawa mereka mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama PAS negeri menerusi Muafakat Nasional (MN) berkuat kuasa serta-merta.

    Ditanya jika keputusan itu berkaitan dengan pertemuannya bersama UMNO Kelantan semalam, Ismail Sabri menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan dirinya kerana ia adalah pertemuan dengan kepimpinan parti daripada semua bahagian di negeri itu. – BERNAMA

  • Perbalahan dalaman antara punca ADUN Elopura tinggalkan DAP

    Perbalahan dalaman antara punca ADUN Elopura tinggalkan DAP

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong meminta Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon supaya tidak sewenangnya membuat tuduhan tidak berasas, dan sebaliknya menerima keputusannya meninggalkan DAP dengan terbuka.

    Katanya, tujuan beliau bersama beberapa rakan seperjuangannya meninggalkan DAP adalah dengan harapan agar pembelaan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih inklusif, dan bukannya sengaja berhasrat untuk melompat ke mana-mana parti lain.

    Dalam satu kenyataan di Sandakan hari ini beliau berkata, mereka juga memilih untuk keluar parti atas alasan sama, yakni DAP Sabah hilang arah, selain mengalami perbalahan dalaman serta masalah komunikasi teruk antara pemimpinnya.

    “Kami tekankan di sini, kami meninggalkan parti kerana mahu berjuang untuk rakyat di Sabah agar dapat diberi lebih autonomi, infrastruktur yang lebih baik serta bersifat masyarakat inklusif mengatasi bangsa dan agama,” tegas Chong.

    Dua hari lepas Poon mendakwa, tindakan Chong dan ADUN Sri Tanjong Justin Wong Yung Bin untuk keluar parti dibuat sebelum Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang disebabkan agenda tertentu, dan beliau turut menggesa mereka supaya meletak jawatan sebagai ADUN. – BERNAMA

  • Mesyuarat Bersatu Johor bincang PRN dalam masa terdekat

    Mesyuarat Bersatu Johor bincang PRN dalam masa terdekat

    BERSATU Johor akan mengadakan mesyuarat bersama semua Ketua Bahagian dan jentera parti itu bagi membincangkan secara terperinci persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

    Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam kenyataan hari ini berkata selain itu, pertemuan dan perbincangan bersama PAS dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) selaku komponen dalam Perikatan Nasional negeri juga akan diadakan bagi tujuan sama.

    Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada PRN.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Bersatu yang ketika itu di bawah payung Pakatan Harapan, bertanding 17 kerusi DUN Johor dan memenangi sembilan kerusi.

    Sementara itu di IPOH, Perak Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu akan mengadakan perbincangan bersama rakan strategik dalam Perikatan Nasional (PN) berhubung PRN Johor.

    “Dewan telah pun dibubarkan dan kami menghormati keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar.

    “Tentunya Bersatu akan ambil bahagian dan kami akan berbincang dengan rakan strategik kami dalam PN untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) di sini hari ini.

    Ahmad Faizal bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai perancangan kerjasama dalam menghadapi PRN itu antara UMNO dan PAS.

    Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kementeriannya sedang merancang bekerjasama dengan GABEM dan rakan kongsi lain untuk mengadakan program bagi membantu usahawan dalam kalangan belia di seluruh negara.

    “Saya lihat usaha GABEM untuk program pendigitalan perniagaan ini amat baik dan kami akan memulakan proses perundingan kerjasama dan insya-Allah jika ia sesuai, kita akan memulakan secepat mungkin,” katanya. – BERNAMA

  • PRN Johor: PN diharap letak 30 peratus calon wanita

    PRN Johor: PN diharap letak 30 peratus calon wanita

    KETUA Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun berharap Perikatan Nasional (PN) memberi ruang kepada sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita Bersatu dan Wanita PN untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “Dalam mana-mana pilihan raya pun kita berharap diberikan tempat juga kepada calon-calon wanita khususnya kepada Srikandi dan Wanita PN.

    “Jadi kita harap agar sekurang-kurangnya 30 peratus yang akan bertanding terdiri daripada calon wanita,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyampaian Kotak Makanan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Kit Dana Kasih Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kampung Spang Loi di Segamat hari ini.

    Seramai 126 mangsa banjir di kampung berkenaan menerima sumbangan kotak makanan, dapur gas dan tong gas.

    Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

    Dalam pada itu, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata lebih 90 peratus daripada 37,000 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan dengan banjir telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) setakat ini.

    “(Senarai) nama tu kita dah selesaikan. (Senarai) nama itu telah diberikan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan NADMA telah menyerahkan BWI kepada lebih 90 peratus KIR (yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat) di pusat pemindahan sementara,” katanya. – BERNAMA

  • Rasman mungkin tidak dicalonkan dalam PRN Johor-Bersatu

    Rasman mungkin tidak dicalonkan dalam PRN Johor-Bersatu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain berdepan tindakan tidak akan dicalonkan semula dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika didapati bersalah dalam kes gangguan seksual.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan polis dan masih belum dibuktikan bersalah.

    “Ini masih kes polis dan kalau terbukti bersalah kita akan ambil tindakan secara ‘politically’. Kita tidak akan ambil calon yang terbukti bersalah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senai, Kulai, hari ini.

    Laporan polis terhadap Rasman dibuat mangsa, 26, pada Isnin lalu sebelum tular dalam media sosial yang mendakwa diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit semasa terlibat dalam aktiviti bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Sungai Ara, Mersing dan Bukit Kepong, Muar baru-baru ini.

    Pada 18 Januari lalu, Rasman menafikan tuduhan beliau melakukan gangguan seksual terhadap seorang Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu Bahagian Kota Tinggi.

    Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi berkata, dakwaan wanita tersebut tidak benar dan menyifatkannya sebagai satu konspirasi politik untuk mencemarkan reputasinya

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, pihaknya telah memanggil 11 individu bagi dirakam percakapan berhubung kes itu.