Category: Politik

  • Pemimpin bahagian Bersatu anggap tindakan dua bekas ADUN langkah politik

    Pemimpin bahagian Bersatu anggap tindakan dua bekas ADUN langkah politik

    TINDAKAN  bekas Ketua Bersatu Bahagian Tebrau Mazlan Bujang meletakkan jawatan dan keluar daripada parti dipercayai merupakan satu langkah politik.

    Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Tebrau Kamaruzzaman Abu berkata seharusnya Mazlan mengambil tindakan itu lebih awal sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Beliau berkata Mazlan juga telah berulang kali menolak untuk menjadi calon kerusi Ahli Parlimen Tebrau dan DUN Tiram sejak 1 Jan lepas, untuk persediaan bahagiannya itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu sebelum pengumuman PRN.

    “Kalau kata tidak ada kepercayaan (terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin) kenapa tidak bertindak keluar lebih awal daripada yang berlaku sekarang. Apabila berlaku PRU atau PRN, maka berlaku perkara seperti ini (keluar parti),” katanya pada sidang media di Johor Bharu, malam tadi, lapor Bernama.

    Sementara itu, Kamaruzzaman turut mempersoalkan mengenai kenyataan Mazlan bahawa seramai 23 ahli jawatankuasa Bersatu Tebrau turut sama mengikut jejak langkah keluar parti, serta meletakkan jawatan.

    Beliau berkata hal ini berikutan hanya enam sahaja ahli jawatankuasa yang berbuat demikian, dan setakat ini Bersatu Bahagian Tebrau mempunyai seramai 3,425 ahli melibatkan sebanyak 17 cawangan.

    Kamaruzzaman berkata meskipun kecewa dan kesal atas tindakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu, pimpinan Bersatu Bahagian Tebrau tetap teguh dan setia bersama parti di bawah pimpinan Muhyiddin.

    Pada Khamis lepas, Mazlan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau dan keluar parti, berkuat kuasa serta-merta.

    Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor itu dipetik sebagai berkata turut sama meletakkan jawatan ialah 22 Ahli Jawatankuasa Bersatu Tebrau.

    Sementara itu,  Ketua Bahagian Bersatu Labis, Ahmad Humaizi Uzir berkata, tindakan keluar parti oleh dua bekas ADUN dan Exco dari Bersatu Johor tidak sesekali memberikan sebarang kesan terhadap parti keseluruhannya dan tidak menjejaskan pendokong Perikatan Nasional (PN) serta pengundi.

    Ketua Bahagian Bersatu Labis Ahmad Humaizi Uzir berkata, tindakan yang dilakukan kedua-dua bekas ADUn itu juga adalah sekali gus memalukan diri serta penyokong mereka.

    “Tindakan mereka untuk keluar dari parti selepas pembubaran Dewan Negeri Johor juga dilihat seperti bersifat politik dendam dan penakut, berkemungkinan sudah mengetahui diri tidak dicalonkan atas kegagalan menunjukkan prestasi yang bagus sebagai ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Johor.

    “Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mencabar mereka bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor sekiranya yakin pengundi akan mengundi mereka semula,” katanya dalam kenyataan.

  • Resolusi Bersatu-Pas ‘talkin buat Muafakat Nasional’ – Nur Jazlan

    Resolusi Bersatu-Pas ‘talkin buat Muafakat Nasional’ – Nur Jazlan

    TIMBALAN Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, hari ini menyifatkan resolusi Muzakarah Pas-Bersatu 2022 sebagai ‘’talkin buat Muafakat Nasional’.

    Beliau turut bersyukur selepas membaca resolusi yang dikeluarkan Bersatu serta Pas hasil muzakarah kedua-dua parti pada semalam dan hari ini.

    Memetik laporan Malaykini, Nur Jazlan berkata, berdasarkan kepada apa yang terkandung dalam resolusi berkenaan, bolehlah dikatakan ia menjadi penamat kepada kewujdan Muafakat Nasional (MN).

    Beliau berkata,  MN dikuburkan sendiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, apabila Ahli Parlimen Marang itu memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) menghadapi pilihan raya.

    Bekas Ahli Parlimen Pulau itu, UMNo bersedia jika PN menarik balik sokongan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana langkah itu hanya akan membuka jalan kepada pilihan raya umum (PRU) diadakan.

    Beliau juga mendakwa tindakan beberapa wakil rakyat Bersatu meninggalkan parti itu sejak akhir-akhir ini sebagai tanda kekecewaan mereka kepada Muhyiddin.

    Di pihak Pas pula, kata Nur Jazlan, sedang berlaku pertentangan dalaman ke atas pemimpin parti itu yang didakwanya berpunca daripada rasa tidak puas hati mereka terhadap Abdul Hadi dan penyokongnya.

    “UMNO dan BN terpaksa bergerak sendiri sekarang dan pada masa sama menunggu untuk Bersatu dan Pas menarik sokongan daripada kerajaan pusat.

    “Dengan cara itu rakyat boleh memilih parti yang mampu memimpin negara dan mereka bukanlah Bersatu dan Pas yang suka dengan perangai ‘mutaah politik’ apabila gemar bernikah dan bercerai mengikut kepuasan pemimpin sambil meninggalkan kesan buruk kepada pasangan yang tertipu,” katanya.

  • Muzakarah Pas-Bersatu perkukuhkan PN

    Muzakarah Pas-Bersatu perkukuhkan PN

    MUZAKARAH Pas Bersatu 2022 yang menghimpunkan barisan kepimpinan kedua-dua parti membuat ketetapan untuk mengukuhkan Perikatan Nasional (PN), menolak politik ekstrem, dan menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara.

    Dalam resolusi yang dibacakan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut disaksikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Muzakarah PAS dan Bersatu mencapai persetujuan bagi mendukung ‘Prinsip Bersama’ di atas nilai integriti, kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif.

    “Memperhalusi strategi dan pendekatan bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan nasional merentasi platform bukan-politik, berteraskan nilai kepercayaan bersama dan perkongsian saksama.

    “Melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat.

    “Mengambil daya usaha untuk melonjakkan sokongan ‘undi penentu’ dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda, melalui penjenamaan dan mesej jelas yang diterima rakyat,” katanya dalam resolusi yang dibacakan.

    Ujarnya, dalam resolusi Muzakarah hasil daripada perbincangan selama dua hari itu, ketetapan juga dibuat bagi memperkukuhkan kerjasama Pas dan Bersatu sebagai ‘satu pasukan’ sehingga peringkat akar umbi.

    “Mempertegaskan sokongan Pas dan Bersatu dalam kerajaan Persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi, atas nilai integriti, anti-rasuah dan berkebajikan.

    “Menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai PN,” katanya yang membacakan resolusi berkenaan yang menghimpunkan tujuh rumusan utama.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menandatangani poster Muzakarah BERSATU-PAS 2022 selepas mengadakan sidang media Sempena Muzakarah BERSATU-PAS 2022 di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sementara itu, mengulas lebih lanjut berkenaan PRN Johor, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN memberitahu, PN bakal menampilkan gabungan calon muda serta berpengalaman pada pilihan raya berkenaan.

    Beliau bagaimanapun memberitahu, soal calon bakal bertanding akan diputuskan dalam tempoh terdekat membabitkan semua parti komponen PN termasuk agihan kerusi yang akan ditandingi.

    “Kita akan putuskan, insya-Allah akan bincang perkara itu kerana yang penting hasrat kita bertanding bagi mendapatkan mandat rakyat Johor, Bangsa Johor untuk bentuk kerajaan PN di peringkat negeri,” katanya.

    Sementara itu, Abdul Hadi ketika ditanya pemberita mengenai Muafakat Nasional (MN) di Johor, beliau sekadar tersenyum dan meminta soalan terbabit ditanyakan kepada UMNO.

  • PRN Johor: Pas, Bersatu bertanding di bawah Perikatan Nasional

    PRN Johor: Pas, Bersatu bertanding di bawah Perikatan Nasional

    PAS dan Bersatu mengumumkan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai Perikatan Nasional (PN).

    Keputusan itu dicapai bersama dan disahkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membacakan resolusi Muzakarah Pas-Bersatu kepada media di Grand Ballroom Glenmarie Hotel, Shah Alam, Selangor, hari ini.

    Menurut beliau, ia bagi memperkukuhkan jalinan bersama Pas-Bersatu sebagai satu pasukan sehingga peringkat akar umbi dan mempertegaskan sokongan terhadap kerajaan persekutuan adalah bersyarat.

    “Memperkukuhkan jalinan bersama Pas-Bersatu sebagai satu pasukan sehingga peringkat akar umbi.

    “Mempertegaskan sokongan Pas dan Bersatu dalam kerajaan persekutuan adalah bersyarat; perlu dihormati dan dirundingi diatas nilai integriti, anti-rasuah dan berkebajikan,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Pas-Bersatu menerusi Muzakarah tersebut turut melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat. 

    Sementara itu Muhyiddin berkata, PN akan memutuskan agihan kerusi dalam kalangan parti komponen dalam tempoh sehari, dua lagi.

    “Kita akan memutuskan perkara itu dalam tempoh sehari, dua ini insyaAllah.

    “Hasrat kita untuk bertanding ialah untuk mendapat sokongan dan mandat rakyat Johor membentuk kerajaan PN di peringkat negeri,” katanya.

    Untuk rekod, sebanyak 56 kerusi akan dipertandingkan pada PRN Johor yang diberi laluan untuk diadakan  selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) 22 Januari lalu. 

    Perkara itu sekaligus menamatkan desas-desus mengenai PRN di negeri berkenaan selepas kematian Ahli DUN Kempas, Datuk Osman Sapian bulan lalu yang menyebabkan perbezaan majoriti antara kerajaan negeri dan pembangkang hanya satu kerusi.

  • Khaled Nordin minta Pas berhenti berpura-pura

    Khaled Nordin minta Pas berhenti berpura-pura

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengakui Pas adalah sebuah parti yang besar serta hebat.

    Justeru bekas Menteri Besar itu berharap, kekuatan dan kehebatan PAS berkenaan dapat dibuktikan pada PRN Johor tidak lama lagi.

    Pun begitu, bekas menteri besar Johor itu mengingatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan menumpang kehebatan dan kekuatan Pas.

    Dengan langkah diambil UMNO itu, tambahnya, Abdul Hadi tidak wajar memarahi mereka.

    Khaled juga mengingatkan Abdul Hadi dan Pas bahawa ‘kluster mahkamah’ tidak ada kena-mengena dengan PRN Johor.

    Bahkah Khaled sendiri berpendirian isu mahkamah membabitkan pemimpin Umno wajar ditangani di mahkamah.

    “Cuma, hakikatnya, kerajaan Johor sebelum ini berdiri dengan hanya satu majoriti. Berhentilah berpura-pura. Terimalah hakikat bahawa kedudukan sebegitu adalah kedudukan yang sangat lemah dan tidak menentu.

    “Jadi, jalan terbaik untuk mendapatkan kembali sebuah kerajaan yang kukuh, dengan mandat yang sah, adalah melalui PRN.

    “Kita tidak boleh terus-menerus mempunyai kerajaan yang terbentuk hanya dengan percaturan ahli politik yang sekali gus menafikan pilihan rakyat,” katanya seperti dipetik Malaysiakini, hari ini.

    Semalam Abdul Hadi berkata, PRN di Johor berpunca daripada percaturan berkaitan ‘kluster mahkamah’ dan tidak wajar diadakan pada ketika ini.

    Duta khas bertaraf menteri itu juga mengibaratkan UMNO sebagai itik patah kaki yang kini mahu berenang bersendirian selepas ‘dirawat’ Pas sesudah pilihan raya umum (PRU) pada 2018 lalu.

    Abdul Hadi juga berkata, Muafakat Nasional (MN) tidak boleh hanya melibatkan parti Melayu seperti Umno dan Pas sebaliknya mesti memperlihatkan kemajmukan masyarakat Malaysia.

    Kenyataan itu adalah antara kritikan terbaru dibuat Pas ke atas UMNO ketika PRN Johor semakin menghampiri.

    Khaled berkata, mungkin Pas dan Abdul Hadi gemar dengan pendekatan politik melalui percaturan sesetengah orang dan menafikan hak rakyat untuk mengundi, ia adalah amalan tidak matang serta gagal menyantuni prinsip demokrasi yang jujur.

    Khaled juga berkata, sehingga kini dia tidak faham bagaimana Perikatan Nasional (PN) dan MN merupakan agenda kemajmukan ketika BN sendiri – yang sudah dianggotai parti pelbagai kaum – dianggap Abdul Hadi sebagai tidak relevan.

    “Apa-apa pun, dalam keseriusan Tan Sri (Abdul Hadi) untuk menyatukan semua pihak di bawah kemajmukan PN dan MN, saya harap jangan lupa untuk turut menjemput PAN (Amanah) dan DAP bersama. Barulah benar-benar majmuk,” katanya.

  • Tok Mat dilantik Pengarah PRN Johor BN

    Tok Mat dilantik Pengarah PRN Johor BN

    TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Sementara Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Muhammad pula dilantik sebagai ketua penyelarasnya.

    Lantikan itu diputuskan pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bersidang pada malam tadi.

    Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, mesyuarat sebulat suara bersetuju atas lantikan itu bagi memperkukuhkan jentera BN dan bergerak atas lambang BN secara bersama.

    “Mesyuarat juga turut menegaskan kebulatan tekad seluruh pimpinan parti komponen untuk terus mempertahankan dan mengemaskini kedudukan BN yang menjadi wadah politik negara selama ini,” katanya menerusi kenyataan.

    PRN Johor akan diadakan tidak lama lagi ekoran pembubaran Dewan Undangan Negerinya (DUN) setelah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari lalu.

    Pilihan raya itu diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni yang sebelum ini penyandang Menteri Besar Johor hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan (PH) pula 27 kerusi daripada 56 DUN.

    Katanya, mesyuarat itu keseluruhannya membincangkan tentang perkembangan mutakhir dalam negara dan perencanaan pada tahun 2022.

  • PRN Johor:Syed Saddiq sahkan Muda bertanding

    PRN Johor:Syed Saddiq sahkan Muda bertanding

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan mereka akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ahli Parlimen Muar itu mengesahkan demikian dalam menerusi satu hantaran video dalam Facebook miliknya.

    Jelasnya, keputusan itu menjadikan PRN Johor sebagai pilihan raya pertama pertama mereka terlibat secara rasmi dalam politik tanah air.

    “Muda secara rasminya akan bertanding di dalam PRN Johor 2022. Johor adalah permulaan bagi Muda, Muda adalah perubahan bagi Johor.

    “Jadi marilah kita bangunkan Johor yang bersatu dan sejahtera bersama-sama, mari bersama Muda,” katanya dalam video berkenaan yang dikongsikan dalam Facebook miliknya.

    Muda dilaporkan berdaftar sebagai parti politik secara rasminya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 23 Disember tahun lalu.

    Sebelum ini, media turut melaporkan Syed Saddiq dijangka bertanding dalam PRN Johor dan sedia meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN.

    Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse dilaporkan memberitahu Pakatan Harapan (PH) Johor bakal bertemu dengan Muda pada Ahad untuk membincangkan kerjasama politik antara mereka.

    Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan bermesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor.

  • Hanya pucuk pimpinan putuskan kerjasama BN dengan Bersatu, PAS

    Hanya pucuk pimpinan putuskan kerjasama BN dengan Bersatu, PAS

    KEPUTUSAN Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hanya akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti di peringkat pusat.

    Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua anggota parti akan patuh terhadap segala keputusan dasar, yang dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan.

    “Seperti yang kita tahu, perkara dasar perlu diputuskan oleh pimpinan parti dan kita sebagai anggota parti akan mematuhi apa yang diputuskan oleh parti.

    “Di peringkat UMNO, beberapa keputusan dasar telah dibuat dan diputuskan oleh majlis tertinggi dan juga Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor. Jadi jentera semua akan mengikut satu ‘command’ secara ‘united front’ berasaskan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pasca Banjir di Dewan Komuniti Ayer Hitam di Batu Pahat hari ini.

    Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan BN akan bekerjasama dengan Bersatu dan PAS untuk PRN Johor.

    Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata PN kini dalam peringkat akhir untuk menentukan kerusi yang akan dipertandingkan pada PRN Johor.

    Isnin lepas, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin dilaporkan akan berusaha untuk bertemu dengan pimpinan UMNO negeri dalam masa terdekat, bagi berbincang mengenai persefahaman dua parti itu dalam menghadapi PRN Johor atas semangat Muafakat Nasional (MN).

    Rabu lalu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata kerjasama politik antara BN dan PAS dalam PRN Johor, akan dikaji dengan penuh penelitian. – BERNAMA

  • PRN Johor: Bersatu Pahang bantu parti tambah kerusi

    PRN Johor: Bersatu Pahang bantu parti tambah kerusi

    BERSATU Pahang bersedia untuk membantu parti itu memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

    Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu telah diputuskan setelah pihaknya bermesyuarat pada 22 Jan lepas, disusuli dengan satu lagi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Kebangsaan yang diadakan tiga hari kemudiannya.

    Menteri Luar itu berkata, kesemua 14 bahagian Bersatu di Pahang hanya menunggu arahan untuk ke Johor, dengan disertai sayap Armada, Srikandi dan sayap bersekutu dalam misi mempertahankan kerusi dan menambah kerusi untuk dimenangi.

    “Kita bukan sahaja akan berusaha keras, tetapi pilihan raya kali ini dianggap luar biasa penting kerana Pengerusi Bersatu Johor ialah Presiden Bersatu sendiri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sudah semestinya kita perlu menunjukkan prestasi yang baik iaitu lebih baik berbanding pilihan raya di Melaka,” katanya.

    Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan mengedarkan angpau kepada warga emas di Pusat Gabungan Persatuan Tiong Hua sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Jalan Bukit Ubi di Kuantan hari ini.

    Sabtu lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

    Kerajaan Negeri Johor sebelum ini diterajui Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi) dan MIC (dua) serta disokong Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – BERNAMA

  • PRN Johor: Hasni nekad pertahan DUN Benut

    PRN Johor: Hasni nekad pertahan DUN Benut

    MENTERI Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad nekad mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu memilih untuk terus bertanding di kawasan itu yang disandangnya itu sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

    “Jika diberi peluang sekali lagi, saya mahu bertanding di Benut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina peringkat DUN Benut di Dewan Kompleks Muafakat Sungai Pinggan Benut, Pontian, hari ini.

    Ditanya mengenai khabar angin bahawa adik Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bakal bertanding di DUN Benut, Hasni hanya menjawab ringkas sambil tersenyum.

    “Lebih ramai, lebih meriah,” ujar Pengerusi UMNO Johor itu.

    Aziz Shari, 33, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pontian dilaporkan akan menentang Hasni di DUN Benut.

    DUN Benut antara dua kerusi DUN yang terletak di Parlimen Pontian, selain DUN Pulai Sebatang.

    Pada PRU-14 lalu, Hasni menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zulkifly Tasrep dan Mohd. Firdaus Jaafar (Pas) dengan majoriti 4,447 undi.