TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sementara Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Muhammad pula dilantik sebagai ketua penyelarasnya.

Lantikan itu diputuskan pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bersidang pada malam tadi.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, mesyuarat sebulat suara bersetuju atas lantikan itu bagi memperkukuhkan jentera BN dan bergerak atas lambang BN secara bersama.

“Mesyuarat juga turut menegaskan kebulatan tekad seluruh pimpinan parti komponen untuk terus mempertahankan dan mengemaskini kedudukan BN yang menjadi wadah politik negara selama ini,” katanya menerusi kenyataan.

PRN Johor akan diadakan tidak lama lagi ekoran pembubaran Dewan Undangan Negerinya (DUN) setelah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari lalu.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni yang sebelum ini penyandang Menteri Besar Johor hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan (PH) pula 27 kerusi daripada 56 DUN.

Katanya, mesyuarat itu keseluruhannya membincangkan tentang perkembangan mutakhir dalam negara dan perencanaan pada tahun 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here