Category: Politik

  • ‘’Khabar angin saya akan tinggalkan Bersatu berniat jahat’’ – ADUN Endau

    ‘’Khabar angin saya akan tinggalkan Bersatu berniat jahat’’ – ADUN Endau

    AHLI  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alawiyah Talib menyifatkan  khabar angin beberapa hari lalu yang menyatakan beliau akan meninggalkan Bersatu sebagai amat tidak berasas dan merosakkan namanya sebagai ahli yang setia.

    Sambil menafikan apa yang tersebar, Alawiyah menegaskan kesetiaannya terhadap parti pimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

    Memetik laporan Berita Harian, beliau berkata, walaupun tidak selesa dengan khabar angin itu, beliau tetap menjalankan amanahnya sebagai wakil rakyat dengan terus berkhidmat membantu masyarakat seperti biasa.

    “Khabar angin saya akan tinggalkan Bersatu adalah tidak benar dan berniat jahat sedangkan saya di Endau masih menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat Bersatu tanpa henti.

    “Saya akan tetap setia bersama Bersatu dan hanya mahu berkhidmat kepada rakyat di kawasan saya. Namun saya memang terperanjat apabila nama saya tiba-tiba dikait dan ditularkan antara ADUN Bersatu yang akan tinggalkan parti.

    “Sedangkan tiada sesiapa pun yang tanya atau datang berbincang apa-apa, namun nama dan gambar saya tiba-tiba pula ditularkan dengan dakwaan akan tinggalkan Bersatu,” katanya.

    Sabtu lalu, ADUN Larkin, Datuk Mohd Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, mengumumkan keluar Parti Bersatu berkuat kuasa serta merta.

    Khamis lalu pula, Ketua Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang, dilaporkan meletak jawatan ketua bahagian sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

    Bagaimanapun, Mazlan yang juga ADUN Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi Bersatu Johor, dilaporkan berkata beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyokong kerajaan BN.

    Mengulas lanjut, Alawiyah bersyukur apabila keluarga dan masyarakat Endau terus memberikan semangat dan sokongan walaupun berita tidak benar itu sedikit sebanyak menjejaskan nama baiknya.

    “Alhamdulillah, keluarga dan masyarakat Endau bertanya terus dan saya memberikan penjelasan ia tidak benar.

    “Bersatu Pusat juga ada hubungi dan saya menjelaskan tiada sebarang niat hendak keluar parti apatah lagi ada didatangi atau dihubungi pihak yang meminta saya keluar parti,” katanya.

    Dalam pada itu, Alawiyah berkata, beliau bersedia jika parti mahu mencalonkannya semula pada PRN Johor nanti.

    “Saya bersedia bertanding pada PRN Johor jika dicalonkan parti kerana mahu berkhidmat rakyat di kawasan saya. Terserah kepada pucuk pimpinan dan saya terima apa juga keputusan dengan hati terbuka, yang penting saya kekal setia pada parti,” katanya.

  • Pengundi Johor di Singapura…mana suara UMNO?

    Pengundi Johor di Singapura…mana suara UMNO?

    itik patah kaki

    ANALISIS

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KETIKA ini pelbagai parti politik mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan sesuatu agar undi rakyat negeri Johor yang kini berada di Singapura tidak dilupakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sekitar Mac ini.

    Bukan sedikit tetapi dianggarkan sekitar 200,000 pengundi berdaftar berada di negara republik itu untuk mencari rezeki dan mereka sudah tentu tidak dapat pulang untuk mengundi disebabkan faktor pintu sempadan yang masih ditutup untuk ulang-alik harian.

    Pelbagai cadangan dilontarkan beberapa pihak termasuk membuka saluran undi pos kepada mereka. Tidak kurang juga yang meminta satu laluan khas seperti inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat disediakan kepada mereka yang mahu pulang mengundi.

    Begitulah berharganya setiap satu undi daripada 2.59 juta keseluruhan pengundi yang layak memilih dalam PRN ke-15 nanti.

    Tetapi dalam kekalutan parti-parti politik mendesak perkara itu tidak kedengaran pula suara satu parti yang mempunyai ahli teramai ketika ini apatah lagi menerusi sayap Pemuda atau Puteri mereka yang sepatutnya bersama-sama menjuarai isu itu.

    Umum sudah mengetahui, UMNO atau Barisan Nasional (BN) sangat tidak berharap mereka yang berada di luar Johor sekarang pulang mengundi termasuk pengembara di Singapura kerana hal itu sudah tentu mengacau strategi mereka yang mahu peratusan keluar mengundi rendah.

    Timbalan Pengerusi UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan pun ada menyatakan mereka akan menang besar di Johor sekiranya peratusan keluar mengundi rendah sama seperti yang berlaku di Melaka, November tahun lalu.

    Jadi tidak hairan mengapa tiada langsung suara daripada parti itu atau parti-parti komponen lain dalam BN untuk mendesak sama agar pengundi yang berada di Singapura dibenarkan pulang untuk mengundi.

    Sepatutnya UMNO-BN perlu sedar dan bersedia bahawa tidak semua apa yang berlaku di Melaka akan berulang di Johor, mungkin keputusan nanti menterjemahkan perkara yang sebaliknya.

    Bukankah mereka yang mahu melaksanakan PRN, jadi tak perlu takut untuk memberi peluang kepada semua pengundi yang layak kerana kalau rakyat menerima UMNO pasti setiap undi mereka dapat nanti tanpa mengharapkan sokongan ahli semata-mata.

    Mereka seharusnya memberi idea kepada kerajaan bagaimana mahu benarkan pengundi di Singapura dapat tunaikan hak dan tanggungjawab masing-masing dalam PRN nanti barulah nampak keyakinan bertanding bukan atas faktor mengambil kesempatan dengan situasi terkini.

    Jangan guna alasan Covid-19 kerana kalau perkara itu menjadi halangan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak akan dibubarkan lagi ketika ini untuk memberi laluan kepada PRN yang sudah diketahui ramai dirancang oleh UMNO.

    UMNO boleh menggesa kerajaan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Singapura untuk memudahkan perkara itu termasuk membuka pusat mengundi khas di pejabat kedutaan atau mana-mana lokasi yang difikirkan sesuai.

    Hanya cara itu boleh memastikan hak setiap pengundi tidak dinafikan jika langkah mahu membenarkan mereka pulang ke tanah air berkemungkinan lebih mendatangkan risiko.

    Dalam hal pengundi yang berada di negeri lain tetapi tidak dapat pulang mengundi itu tidak boleh buat apa kerana pilihan di tangan mereka. Namun rakyat kita di Singapura terutama orang Johor yang mahu mengundi perlu diberikan peluang itu sewajarnya.

  • 2 ADUN keluar Bersatu kerana kegagalan sendiri, konflik peribadi

    2 ADUN keluar Bersatu kerana kegagalan sendiri, konflik peribadi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak wajar menuding jari terhadap parti itu selepas mereka sendiri gagal semasa menjadi wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri.

    Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Abdull Bakar Ali mempersoalkan alasan mereka mengundurkan diri kerana Bersatu tiada hala tuju dan hilang kepercayaan terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurut beliau, kedua-dua ADUN itu tidak sewajarnya meletak kesalahan terhadap parti dan sekiranya benar parti hilang hala tuju, mereka sebagai wakil rakyat serta Exco boleh memperbetul dan menyumbang idea terhadap parti.

    “Sebagai ADUN dan Exco, apakah peranan dan sumbangan mereka terhadap rakyat dan juga parti yang diwakili mereka? Bukankah membawa parti ke tahap yang lebih baik adalah tanggungjawab beliau sebagai ADUN dan Exco juga?

    “Kenapa mesti menunding jari dan meyalahkan parti sedangkan parti berusaha dan memberi peluang kepada mereka untuk mengalas tanggungjawab membantu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sabtu lalu, Mohd. Izhar Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor mengumumkan keluar Bersatu kerana memdakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan dan hala tuju parti.

    Sebelum itu pada Rabu, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor turut mengumumkan keluar parti atas sebab yang sama.

    Mengulas lanjut, Abdull Bakar berkata, alasan serta tindakan kedua-dua ADUN itu membuktikan mereka sendiri gagal selepas diberikan peluang sedangkan ramai lagi ahli parti yang lebih berkebolehan, berkaliber dan berintigriti.

    “Mereka boleh dianggap pada dasarnya kegagalan peribadi dan konflik peribadi terhadap pucuk pimpinan parti.

    “Bersatu tidak hilang hala tuju dan penubuhannya semakin dapat menyakini hati rakyat, akan tetapi kemungkinan mereka sendiri yang hilang hala tuju dan apabila berhasrat meninggalkan parti tak perlu lagi menunding jari kepada parti,” katanya.

    Kata beliau, kenyataan mereka untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah suatu yang subjektif sekali gus membuktikan lagi kegagalan mereka.

    Selain itu katanya, dakwaan mereka bahawa generasi muda harus diberi peluang dan BN diharap diberi laluan memerintah bagi memastikan usaha membantu rakyat keluar daripada pandemik Covid-19 dan kemelut ekonomi, adalah alasan dangkal.

    “Pandemik Covid-19 bukan sahaja masalah seluruh negara malah seluruh dunia, kesannya dirasai oleh setiap lapisan masyarakat, golongan peniaga dan usahawan.

    “Ini termasuk kehilangan pekerjaan, ekonomi merundum, perniagaan gulung tikar dan sebagainya. Jadi semasa diberi tanggungjawab sebagai Exco, apakah yang beliau lakukan dan memberi impak membantu rakyat?

    “Sebagai contoh ramai peniaga berdaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengisi borang untuk mendapat bantuan yang dijanjikan tetapi hampa serta tiada jawapan dari pihak wakil rakyat. Adakah beliau mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI),” soalnya.

  • ‘’Tuduhan berbaur fitnah, usaha pembunuhan karakter terhadap saya’’ – Maszlee

    ‘’Tuduhan berbaur fitnah, usaha pembunuhan karakter terhadap saya’’ – Maszlee

    BEKAS  Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dalam sebarang aktiviti rasuah, seperti yang dilaporkan dalam sebuah portal berita baru-baru ini.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menyifatkan dakwaan itu sebagai satu rekayasa berbaur fitnah.

    Tegasnya, dakwaan itu jelas satu usaha pembunuhan karakter terhadap beliau menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung.

    “Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu-isu pendidikan. Saya mengalu-alukan sebarang siasatan kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.

    “Hidup dan perjuangan saya adalah untuk memperjuangkan pendidikan, nasib orang kurang upaya (OKU), nasib masyarakat miskin, kebajikan rakyat Simpang Renggam dan integriti bagi negara kita yang tercinta,” katanya lagi.

    Baru-baru ini, portal Malaysiakini memetik sumber sebagai berkata, siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah berhubung dakwaan rasuah membabitkan Maszlee semasa beliau menjadi menteri pendidikan dari 2018 hingga awal 2020.

    Maszlee didakwa menerima wang daripada pembekal kementerian berkenaan yang kemudiannya digunakan untuk aktiviti politik.

    Beliau juga didakwa menerima sebuah kereta jenis Toyota Vellfire daripada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan kementerian tersebut.

  • AMK mahu 30 peratus calon muda wakili PKR

    AMK mahu 30 peratus calon muda wakili PKR

    itik patah kaki

    ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) telah mengemukakan cadangan kepada pucuk pimpinan parti itu supaya 30 peratus daripada calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi adalah calon muda.

    Sehubungan itu Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sayap PKR tersebut sekurang-kurangnya enam calon muda untuk bertanding.

    ‘’Senarai enam calon tersebut sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk ditimbangkan. Kerusi yang mereka akan tandingi melibatkan kawasan campuran termasuk di kawasan luar bandar.

    “Ada (kerusi) di Johor Bahru dan dan juga kawasan lain. Kita mahukan keseimbangan (dalam pembahagian kerusi) supaya apabila (calon muda) menang mereka dapat diberikan peranan sewajarnya,” katanya kepada wartan di Johor Bharu.

    Beliau  yang juga Ahli Parlimen Johor Bharu berkata, melalui calon muda tersebut AMK akan memberi tumpuan dan mengetengahkan isu-isu anak muda.

    Akmal Nasrullah berkata,  rakyat Johor perlu keluar mengundi kerana PRN itu amat penting kerana ia sama pentingnya dengan pilihan raya umum (PRU).

    “Ini bukan kepentingan rakyat Johor atau mahu tentukan siapa Menteri Besar tetapi hakikatnya terdapat percaturan politik yang lebih besar di Johor boleh berlaku sedangkan  PRU dalam tempoh setahun,” katanya.

    Turut akan diberi perhatian oleh AMK kata beliau termasuklah isu kenaikan harga barang yang dijangka berlaku selepas Tahun Baharu Cina.

  • ADUN UMNO nafi tarik sokongan terhadap kerajaan negeri Kedah

    ADUN UMNO nafi tarik sokongan terhadap kerajaan negeri Kedah

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu daripada UMNO, Datuk Norsabrina Mohd Noor menafikan dakwaan bahawa beliau dan seorang lagi ADUN parti itu akan menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Kedah seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

    Norsabrina berkata, beliau tidak pernah memperkata atau membincangkan perkara itu dengan mana-mana pihak sebaliknya ingin fokus kepada tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk membangunkan Kedah.

    “Saya ada terima mesej (tangkap layar) itu sebab orang tanya saya mengenainya, memang tidak ada dibincangkan atau diperkata, tidak ada langsung tajuk itu. Dua ADUN UMNO (yang dirujuk) itu kamilah tapi tidak ada apa (tindakan menarik sokongan).

    “(Saya) buat kerja macam biasa, hubungan (dengan kerajaaan negeri) macam biasa, fikir pasal Kedah sahaja. Tingkatkan prestasi, jangan cari kontroversi,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara KXP Airport Holdings dan POS Aviation serta KLIA College di Alor Setar hari ini.

    Beliau diminta mengulas tangkap layar yang mendakwa dua ADUN UMNO dan dua ADUN Bebas di Kedah akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri serta menyebabkan berlaku pilihan raya negeri.

    Tangkap layar di laman Facebook seorang pengguna media sosial itu dipercayai tular sejak semalam namun carian di akaun pengguna terbabit tidak menemukan status tersebut.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula menyifatkan dakwaan itu sebagai khabar angin dan menegaskan situasi di Kedah adalah aman.

    “Setakat ini semua ok, tak ada isu, kita aman. Kita pun tak buat benda-benda orang marah, saya harap begitulah. Jangan buat benda orang marah, kalau ada apa-apa bincang, berunding, tak ada masalah, bila-bila masa di mana sahaja,” katanya.

    Kerajaan Negeri Kedah di bawah Perikatan Nasional yang diterajui PAS kini memiliki 23 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan sebahagian besar dimiliki PAS (15) diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (6) dan UMNO (2).

    Pakatan Harapan pula memiliki 11 kerusi iaitu PKR (5), Parti Amanah Negara (4) dan DAP (2) manakala dua lagi kerusi dimiliki oleh Parti Pejuang Tanah Air. – BERNAMA

  • Tindakan dua bekas ADUN sudah dijangka, tak kan beri kesan kepada Bersatu

    Tindakan dua bekas ADUN sudah dijangka, tak kan beri kesan kepada Bersatu

    KETUA-Ketua Penerangan Bersatu bahagian utara Johor mengutuk tindakan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meninggalkan parti itu selepas DUN dibubarkan.

    Dalam kenyataan bersama, mereka bagaimanapun menegaskan, tindakan Mazlan Bujang dan Datuk Mohd Izhar Ahmad sudah dijangka.

    ‘’Ia tidak menjejaskan perpaduan Bersatu Johor dan ukhuwah Perikatan Nasional,’’ kata kenyataan itu yag dibuat Ketua Penerangan Bahagian Pagoh, Ledang, Labis, Muar, Bakri, Batu Pahat, Sembrong, Segamat, Sri Gading dan Air Hitam.

    Mereka juga turut menyokong penuh Resolusi Muzakarah Pas-Bersatu pada 28 Januari dan 29 Januari lalu yang antaranya membuat ketetapan akan bersama menyertai pilihan raya negeri Johor atas nama Perikatan Nasional.

    Sebelum itu dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri mendedahkan, tidak berasas apabila Mohd Izhar memberi alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin walhal masih menganggotai Bersatu sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

    Malah, Mohd Solihan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ledang percaya tindakan Mohd Izhar yang bersama-samanya menjadi Exco kerajaan Johor sebelum ini langsung tidak memberi kesan kepada Bersatu.

    “Beliau keluar parti kerana menganggap Perikatan Nasional (PN) akan tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus hilang jawatan Exco dan lantikan Ahli Lembaga Pengarah syarikat kerajaan negeri.

    “Justeru, beliau beranggapan dengan keluar Bersatu, peluang untuk menyertai parti tertentu dan kekal menjadi Exco adalah terbuka walaupun mendakwa tidak mahu mempertahankan kerusi DUN Larkin atau bertanding di mana-mana kerusi lain.

    “Sebaliknya, tindakan dan dakwaan Mohd Izhar mencetuskan pelbagai persepsi negatif sekali gus bakal memakan diri beliau sendiri kerana dilakukan ketika DUN sudah dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

  • PRN Johor: Srikandi Bersatu serah 15 nama calon

    PRN Johor: Srikandi Bersatu serah 15 nama calon

    SEBANYAK 15 nama telah diserahkan oleh Srikandi Bersatu untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan parti sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Memetik laporan FMT, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, beliau berharap mereka diberi peluang sewajarnya

    “Kita sudah serahkan nama 15 calon wanita untuk PRN Johor.

    “Terserah kepada Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan pucuk pimpinan untuk membuat keputusan. Namun saya percaya wanita akan diberi ruang dan peluang sewajarnya,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) Persatuan Kebajikan Chen Ai, di Petaling Jaya sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

    Rina berkata, jentera parti juga sudah digerakkan untuk menghadapi PRN Johor yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Feb nanti.

    “Kami di Srikandi akan menunggu ‘signal’ (isyarat) dari pucuk pimpinan untuk langkah seterusnya.

    “Di peringkat Srikandi pula, kami juga telah bermesyuarat. Jentera parti telah digerakkan,” jelasnya.

  • UMNO tak rela jadi ‘janda’ PAS, tegas Khaled Nordin

    UMNO tak rela jadi ‘janda’ PAS, tegas Khaled Nordin

    itik patah kaki

    UMNO tidak rela menjadi ‘janda’ PAS yang didakwa mempunyai kecenderungan meninggalkan parti-parti yang pernah menjadi sekutu politiknya.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO tidak mahu menjalinkan hubungan dengan parti yang keputusan dan pendiriannya berubah-ubah ‘ikut musim’.

    “UMNO tak mahu jadi ‘janda’ kepada PAS tapi dia bila-bila boleh ‘jandakan’ UMNO,” katanya seperti dipetik daripada laporan FMT.

    Ketika ini, hubungan UMNO dan PAS yang bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) semakin tegang, lebih-lebih lagi selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan.

    Pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS bertikam lidah secara terbuka termasuk dalam media sosial bagi menyerang antara satu sama lain.

    Keadaan bertambah buruk ekoran pendirian Barisan Nasional (BNB) Johor menolak kerjasama dengan parti-parti lain dan memutuskan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    PAS juga telah membuat ketetapan untuk bekerjasama dengan Bersatu dan bertanding dalam PRN Johor di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

    Mohamed Khaled menambah, UMNO punya asas yang kukuh untuk meragui PAS kerana parti itu tidak boleh kekal lama dalam kerjasamanya dengan pihak lain.

    Beliau memberitahu, adalah tidak menghairankan kenapa PAS dikatakan parti yang banyak ‘janda’ jika dilihat pada kelakuannya.

    “Berapa kali (kerjasama gagal)? PAS kena buat keputusan betul-betul. Di Melaka dia pilih Perikatan Nasional, di Sarawak dia bertanding (menentang GPS).

    “Kemudian di Johor dia kata nak dengan Barisan Nasional…selepas itu?” soalnya.

    Mohamed Khaled berkata, UMNO tidak mahu berunding dengan PAS yang dianggapnya ‘kabur’.

    Beliau turut mengingatkan bahawa PAS yang memilih untuk bertanding di bawah tiket PN.

    “Siapa yang menyukarkan (penyatuan PAS dan Umno)?” ujarnya.

  • Mohd Izhar didakwa masih berharap jadi Exco

    Mohd Izhar didakwa masih berharap jadi Exco

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SUDAH terang lagi bersuluh tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pasti ada sebab lain di sebalik dakwaan beliau parti itu telah gagal.

    Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri mendedahkan, tidak berasas apabila Mohd Izhar memberi alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin walhal masih menganggotai Bersatu sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

    Malah, Mohd Solihan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ledang percaya tindakan Mohd Izhar yang bersama-samanya menjadi Exco kerajaan Johor sebelum ini langsung tidak memberi kesan kepada Bersatu.

    “Beliau keluar parti kerana menganggap Perikatan Nasional (PN) akan tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus hilang jawatan Exco dan lantikan Ahli Lembaga Pengarah syarikat kerajaan negeri.

    “Justeru, beliau beranggapan dengan keluar Bersatu, peluang untuk menyertai parti tertentu dan kekal menjadi Exco adalah terbuka walaupun mendakwa tidak mahu mempertahankan kerusi DUN Larkin atau bertanding di mana-mana kerusi lain.

    “Sebaliknya, tindakan dan dakwaan Mohd Izhar mencetuskan pelbagai persepsi negatif sekali gus bakal memakan diri beliau sendiri kerana dilakukan ketika DUN sudah dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri itu semalam, mengumumkan keluar Bersatu serta merta dan akan menyokong Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor.

    Beliau mendakwa hilang keyakinan kepada Presiden parti dan Bersatu sendiri yang didakwa telah hilang hala tuju asal perjuangan parti sekali gus dilihat gagal.

    Tindakan Mohd Izhar dibuat selepas beberapa hari seorang lagi Exco kerajaan negeri daripada parti itu, Mazlan Bujang yang juga penyandang DUN Puteri Wangsa meninggalkan Bersatu dengan alasan serupa.

    Sementara itu, Mohd Solihan berkata, jika benar Bersatu telah hilang hala tuju, Mohd Izhar boleh membuat teguran daripada dalam parti bagi memperbaiki keadaan.

    “Malah amat mengelirukan apabila Mohd Izhar mendakwa prestasinya sebagai wakil rakyat dan Exco berjaya melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sedangkan beliau adalah wakil Bersatu iaitu parti yang didakwa hilang arah dan gagal.

    “Beliau juga silap besar apabila mendakwa Muhyiddin gagal selepas berpisah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini kerana Ahli Parlimen Pagoh itu telah dilantik menjadi Perdana Menteri dan melaksanakan pelbagai tindakan untuk kesejahteraan rakyat termasuk melaksanakan inisiatif membendung pandemik Covid-19 dan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    “Oleh itu, bagaimana Mohd Izhar melihat dan menilai Tan Sri Muhyiddin sebagai gagal selepas Tun Dr Mahathir keluar Bersatu,” soalnya.